Siap ambil gambar lelaki tayang kemaluan, wanita bengang polis tak ambil tindakan

WAN SITI AMINAH

Seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan atas aduan gangguan seksual yang dilaporkannya.

Lebih memburukkan keadaan, wanita tersebut turut mendakwa pihak polis hanya ‘memandang sepi’ bahan bukti yang diserahkannya ketika membuat laporan di balai.

Tular di media sosial, wanita itu menceritakan semula kejadian yang terjadi di dalam pengangkutan awam Transit Aliran Massa (MRT) menghala ke Kwasa Damansara.

“Pada 5 Disember 2023, saya dalam perjalanan pulang dari kerja menaiki MRT (ke arah Kwasa Damansara). Saya duduk di bahagian penjuru, bermain dengan telefon.

“Saya kemudian mendongak ke atas bagi memeriksa di stesen manakah tren berada. Kemudian saya ternampak lelaki ini dengan kemaluannya terkeluar (buka zip seluar).

“Perkara pertama yang muncul di fikiran saya ketika itu adalah mengambil gambar untuk dijadikan sebagai bukti. Jika tidak, tiada siapa akan mempercayai saya,” katanya.

Selepas turun di perhentiannya, wanita itu terus membuat laporan kepada pegawai keselamatan MRT memandangkan tiada polis yang bertugas di stesen berkenaan.

Wanita itu kemudian dimaklumkan bahawa laporannya bakal dibawa kepada pihak atasan, namun polis mungkin tidak menangkap pelaku kerana dirinya tidak disentuh.

Tidak berpuas hati dengan jawapan pegawai keselamatan, wanita tersebut membuat keputusan untuk pergi ke balai polis bagi melaporkan kejadian mencemaskan itu.

“Saya menunggu di situ selama tiga jam untuk membuat laporan. Akhirnya, mereka memaklumkan bahawa kes itu hanya boleh dilabelkan sebagai ‘cover report’ sahaja.

“Pihak polis hanya menasihati saya untuk membuat laporan sekali lagi sekiranya pelaku mengulangi perbuatannya. Ketika itu, barulah mereka boleh menangkapnya.

“Saya terfikir, adakah pihak polis akan membebaskan lelaki itu begitu sahaja? Dari luaran mungkin saya nampak tenang. Tetapi emosi saya sangat terganggu.” Adunya.
Wanita itu turut mendakwa pihak polis memintanya untuk memadam gambar bukti.
Khuatir bakal dipersalahkan, wanita berkenaan turut memuat naik satu gambar bagi membuktikan bahawa dirinya tidak memakai baju terdedah ketika kejadian berlaku.

Memandangkan pihak berkuasa enggan mengambil tindakan, mangsa turut bertindak berkongsi gambar pelaku di laman Facebook sebagai amaran kepada wanita lain.

Difahamkan, pelaku turun di stesen Metro Prima, Kepong namun tidak dipastikan sama ada hentian itu adalah tempat tinggalnya atau sekadar taktik melarikan diri sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan