Tunjuk kemaluan dalam MRT, penganggur didenda RM2,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penganggur didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana menunjuk kemaluannya kepada seorang wanita dalam Transit Aliran Massa (MRT).

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu selepas Ngu Chee Liang, 31, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

“Tindakan kamu mengundang ketakutan orang ramai kerana kesalahan itu dibuat di tempat awam,” kata Wong menurut Sinar Harian yang turut merintahkan tertuduh dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Ngu didakwa mahu mengaibkan kehormatan dengan menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita 22 tahun dalam MRT dari Stesen Kepong Baru ke Stesen Metro Prima pada 6.46 petang 5 Dis lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap Jie Xi mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana mencetuskan ketakutan kepada mangsa.

Tetapi, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sukdesh Francis Xavier yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung ibu.

Selasa lalu, polis dilaporkan berjaya menahan seorang lelaki berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluannya ke arah seorang wanita dalam MRT pada hari kejadian.

Berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku berbuat demikian semasa berada dalam gerabak MRT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan