Wahab akan heret pegawai J-Kom, Chegubard ke mahkamah

Hidir Reduan Abdul Rashid

Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani ditetapkan untuk mengheret pengarah bahagian latihan dan pendidikan jabatan itu, Hakim Ramlee dan ahli jawatankuasa penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) ke mahkamah atas dakwaan fitnah.

Peguam Wahab, Faizal Rahman hari ini berkata bahawa kedua-dua mereka gagal mematuhi tempoh 48 jam untuk permohonan maaf dan pembayaran ganti rugi berhubung penyebaran video yang didakwa mengandungi perbualan lucah.

Video itu didakwa menunjukkan individu yang kelihatan seperti bekas ketua pengarah J-Kom Mohammad Agus Yusoff dan Abdul Wahab.

Faizal memberitahu Malaysiakini bahawa Abdul Wahab telah memutuskan untuk meneruskan saman fitnah kerana Chegubard didakwa tidak membalas surat tuntutan pegawai J-Kom itu.

Peguam itu berkata Abdul Wahab juga tidak berpuas hati dengan jawapan Hakim terhadap surat tuntutan itu.

Faizal menambah bahawa mereka akan memfailkan tindakan fitnah berasingan terhadap Hakim dan Chegubard.

Malaysiakini cuba menghubungi Hakim dan Chegubard berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Abdul Wahab mengeluarkan surat tuntutan berhubung penyebaran video itu.

Sebelum ini, video perbualan dengan seorang lelaki mirip Mohammad Agus tular pada 17 Nov lalu.

Mohammad Agus susulan itu meletakkan jawatan sebagai ketua pengarah J-Kom dan mendakwa video perbualan membabitkannya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Pada sidang media khas berhubung isu itu, Wahab mendakwa dia dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Encik H.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan