Wang RM85,000 hilang ketika serbuan di 'Mini Dhaka', tiga anggota polis ditahan

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kehilangan wang tunai RM85,000 dari sebuah premis ketika operasi khas membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di lokasi tumpuan dikenali 'Mini Dhaka' di Jalan Silang di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika mengesahkan perkara itu, berkata wang tunai berkenaan dilaporkan hilang dari sebuah premis di Lebuh Pudu di sini.

Beliau berkata, polis menerima aduan daripada pemilik premis jam 12.36 tengah malam kelmarin yang mendakwa wang tunai RM85,000 yang disimpan di premis itu hilang.

"Hasil siasatan dijalankan, kita menahan tiga anggota polis berusia 26 hingga 36 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes kehilangan wang tunai seperti mana yang dilaporkan.

"Ketiga-tiga suspek direman empat hari dari 23 hingga 26 Disember ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Allaudeen berkata, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan, justeru orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan ataupun boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam.

Terdahulu, tular satu laporan polis berkaitan kejadian terbabit di media sosial, yang mana pengadu mendakwa wang hasil perniagaan berjumlah RM85,000 tersimpan dalam almari di premisnya didapati hilang.

Pengadu mendakwa, semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis itu menunjukkan tiga anggota polis dilihat memasuki premisnya pada hari kejadian.

Dalam operasi besar-besaran bermula jam 11 pagi itu, sebanyak 60 premis di lokasi berkenaan serta di sekitar Kompleks Kota Raya diperiksa dan seramai 1,101 warga asing ditahan untuk pemeriksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan