Anak 12 tahun hamil diperkosa lapan lelaki Agensi

Jakarta: Kanak-kanak perempuan Jawa Tengah, Indonesia berusia 12 tahun yang hamil tiga bulan rupanya dirogol lapan lelaki.

Bapanya yang berusia 54 tahun berkata, dia mahukan keadilan buat anaknya itu diteruskan walaupun suspek adalah jiran serta rakannya sendiri.

"Saya mahu mencari keadilan buat anak saya. Saya kenal suspek kerana kami berjiran, malah dua daripada mereka kawan saya sendiri," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Banyumas, Rabu lalu.

Mengulas lanjut, katanya mangsa sihat, namun dia tidak sanggup melihat keadaan anaknya yang kini hamil.

Katanya, dia bimbangkan masa depan anaknya kerana anaknya dinasihatkan pihak sekolah untuk berhenti sekolah selepas kejadian itu.

"Saya diarahkan untuk membuat kenyataan anak saya berhenti dari sekolah.

"Saya terpaksa akur dengan arahan pihak sekolah.

"Kini, fokus kami memantau perkembangan kandungannya dan penjagaan selepas pantang," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Banyumas, Agus Supriadi berkata, pihaknya akan berbincang dengan Pejabat Pendidikan mengenai pelajaran mangsa.

Sementara itu, Ketua Pendidikan Banyumas, Joko Wiyono berkata, pihaknya akan membantu mangsa melanjutkan pelajaran melalui program Pakej B.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan mangsa dirogol lapan lelaki berusia antara 27 hingga 70 tahun.

Lima suspek ditahan dengan empat daripadanya adalah jiran, manakala tiga lagi suspek melarikan diri.

Kes terbongkar apabila ibu bapa mangsa mengesyaki anak kedua daripada tiga beradik itu hamil.

Sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak.

Wanita terjun sungai elak ditahan polis dikhuatiri lemas

Khairulmizan Yahya

bhnews@bh.com.my
Anggota bomba melakukan pencarian seorang wanita dikhuatiri lemas di sekitar tebing sungai dekat Pulau Biawak, Batu Tiga, Kuantan. NSTP/Khairulmizan Yahya

Anggota bomba melakukan pencarian seorang wanita dikhuatiri lemas di sekitar tebing sungai dekat Pulau Biawak, Batu Tiga, Kuantan. NSTP/Khairulmizan Yahya
KUANTAN: Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam sungai ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis, di Pulau Biawak, Batu Tiga, di sini, semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan wanita berusia 42 tahun itu pada jam 2.53 petang ini.

Berikutan itu, katanya, sepasukan 10 pegawai dan anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuantan digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan.

Katanya, berdasarkan laporan, terdapat seorang wanita disyaki lemas dan maklumat daripada keluarga menyatakan mangsa lari daripada serbuan polis yang dilakukan semalam.

"Kami membuat tindakan awal dengan mencari mangsa di tepi sungai sekitar lokasi kejadian.

"Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Kuantan juga diarahkan bersiap sedia bagi misi mencari dan menyelamat di dalam air," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli keluarga mangsa yang enggan namanya disiarkan, berkata kehilangan wanita itu hanya disedari selepas dimaklumkan oleh rakan mangsa.

"Menurut cerita saksi, dua lelaki warga asing cuba menyelamatkannya, namun gagal sebelum wanita berkenaan tenggelam dan gagal dikesan.

"Keluarga kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, kira-kira jam 2 petang tadi," katanya.

Katanya, mangsa mempunyai tujuh anak berusia 16 tahun hingga 27 tahun, namun sudah lama bercerai dengan suaminya.

Turkiye kutuk keputusan Sweden benarkan tindakan bakar al-Quran

KOSMO!

Rasmus Paludan mendapat kebenaran dari kerajaan Sweden untuk membakar kitab suci al-Quran di Stockholm. - Mikkel Berg Pedersen

ANKARA – Kerajaan Turkiye memanggil Duta Sweden ke Ankara berikutan kebenaran yang diberikan kepada seorang pemimpin perkauman berhaluan kanan untuk membakar senaskhah kitab al-Quran, lapor laman berita TRT.

Rasmus Paludan, menerima permit daripada kerajaan Sweden untuk membakar kitab suci umat Islam itu di hadapan bangunan kedutaan Turkiye hari ini, lapor akhbar The Washington Post.

“Apabila mengetahui mengenai kebenaran yang diberikan untuk membakar kitab suci al-Quran berhampiran kedutaan kami di Sweden, duta Sweden ke Turkiye telah dipanggil ke kementerian hari ini (semalam),” kata sumber daripada Kementerian Hal Ehwal Luar Turkiye.

Ankara mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokasi itu yang jelas merupakan jenayah kebencian, tambah sumber berkenaan.

“Sikap Sweden tidak boleh diterima. Kami menjangkakan perbuatan itu tidak dibenarkan dan penghinaan terhadap nilai-nilai suci tidak boleh dipertahankan dengan bertopengkan hak-hak demokrasi,” kata sumber itu lagi.

Paludan, 41, mengetuai parti sayap kanan Denmark, Stram Kurs dan memegang kewarganegaraan Denmark dan Sweden. Dia ialah seorang tokoh yang sering menimbulkan kontroversi.

Pada 2020, dia dijatuhi hukuman penjara sebulan selepas menyiarkan video anti-Islam di media sosial rasmi partinya. Walaupun Paludan telah membuat rayuan terhadap sabitan itu, Mahkamah Tinggi Denmark masih mengekalkan keputusan tersebut. – Agensi

Dua mangsa kemalangan disangka mati selepas diselimuti kain putih

Mary Victoria Dass

am@hmetro.com.my

KEMALANGAN berlaku di Lebuh Raya Perling berhampiran Sungai Danga menyebabkan dua mangsa menaiki kereta jenis Proton Wira mengalami kecederaan. FOTO Ihsan JBPM

KEMALANGAN berlaku di Lebuh Raya Perling berhampiran Sungai Danga menyebabkan dua mangsa menaiki kereta jenis Proton Wira mengalami kecederaan. FOTO Ihsan JBPM
Johor Bahru: Dua mangsa kemalangan di Lebuh Raya Perling, berhampiran Sungai Danga di sini, yang disangka maut oleh pengguna jalan raya berdasarkan keadaan kereta yang remuk pada awal pagi ini, sebenarnya hanya cedera.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, mangsa membabitkan seorang lelaki berusia 25 tahun dan perempuan berumur 20 tahun hanya cedera.

Jurucakap berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2 pagi.

"Sebuah jentera dengan kekuatan 12 anggota dikerah ke lokasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nazaruddin Ahmad.

"Kemalangan membabitkan Proton Wira yang terbabas. Dua mangsa tersepit sebelum mereka dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas," katanya pada kenyataan.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan manakala operasi tamat jam 3.19 pagi.

Terdahulu, beberapa pengguna jalan raya memuatnaik gambar lokasi kejadian, kereta serta mangsa.

Malah berdasarkan keadaan kereta yang remuk serta mangsa yang diselaputi kain putih, ada pengguna jalan raya menzahirkan ucapan takziah kerana menyangka mangsa menemui ajal.

'PKR, Umno negeri sudah mulakan perbincangan tak rasmi'

Bernama

Sudah ada perbincangan tidak rasmi antara PKR dan Umno di peringkat negeri termasuk Terengganu berkenaan Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau berkata bagaimanapun perbincangan itu hanyalah proses suai kenal antara kepimpinan kedua-dua parti dan bukannya melibatkan sebarang keputusan atau prinsip berhubung PRN.

“(Perbincangan mengenai PRN) belum secara rasmi. Yang berlaku sekarang secara tidak rasmi. Maksudnya di peringkat negeri masing-masing. Di Terengganu pun Nik Nazmi (Nik Ahmad Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kelantan dan Terengganu) sudah jumpa dengan Ahmad Said (pengerusi Umno Terengganu),” katanya.

Rafizi yang juga menteri ekonomi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pilihan Raya PKR Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu hari ini.

Katanya keputusan mengenai PRN termasuk pembahagian kerusi dan penggunaan logo akan terlebih dahulu dibincangkan secara rasmi oleh kepimpinan parti-parti di peringkat pusat.

-Bernama

Kecam Harga Babi Turun, Lelaki Ini Disekolahkan Warganet

MAISARAH AISYA

Masih tidak habis dengan isu harga babi diturunkan, lelaki ini mengecam tindakan kerajaan menurunkan harga babi bersempena perayaan Tahun Baru Cina.

Sebelum ini media melaporkan bagaimana babi hidup kawalan peringkat ladang sahaja dijual pada harga RM15 sekilogram.

Ini adalah antara lapan jenis barangan diwartakan dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina 2023 yang akan berlangsung selama 15 hari berkuat kuasa dari 15 hingga 29 Januari.

Namun pengguna Twitter yang digelar walaun ini dikatakan masih lagi tidak berpuas hati susulan isu tersebut.

“Wahh dengan bangganya dia umum harga baru babi selepas dapat bawa masuk ke parlimen. 

“Tahniah! Inilah Kejayaan Kerajaan Pakatan Harapan bangga pamer harga daging Babi RM15 sekilo lebih murah dari daging lembu. Sampai sekarang ayam dan telur pun masih mahal,” ciapan walaun tersebut.

Orang ramai mula mengecam lelaki ini kerana penurunan harga babi tersebut tidak memberi kesan kerana orang Islam tetap tidak akan membelinya.

Seorang pengguna Twitter @injang_nation mempersoal sama ada pemilik ciapan itu mempersoal harga babi kerana takut orang muslim beli.

“Harga babi murah sebenarnya tak menyebabkan muslim tiba-tiba ramai pergi beli dan makan babi pun. Itu fakta dan hakikatnya. 

“Tapi manusia bodoh macam dia ni tetap pilih untuk merentan pasai harga babi yang tak ada kena mengena dengan dia pun,” katanya.

Warganet menyokong Injang dan memaklumkan bahawa penurunan harga babi bertepatan dengan Tahun Baru Cina, andai kata ia turun pada Hari Raya maka wajarlah jika mahu marah pada kerajaan.

PM kena denda tak pakai tali pinggang keledar

Bernama

LONDON: Perdana Menteri Britain Rishi Sunak telah menerima notis penalti kerana gagal memakai tali pinggang keledar semasa membuat rakam video di tempat duduk penumpang bahagian belakang kereta yang sedang bergerak, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Sunak sebelum ini memohon maaf atas kesalahannya itu yang dilakukannya ketika mengadakan beberapa siri lawatan di Lancashire, pada Khamis.

Menurut polis Lancashire: “Selepas meneliti perkara ini, kami hari ini (Jumaat, 20 Jan) mengeluarkan notis penalti bersyarat kepada seorang lelaki berusia 42 tahun dari London.”

Buaya hantar mayat kanak-kanak lemas kepada keluarga

JAKARTA: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun, Muhammad Ziyad Wijaya mati lemas ketika bermain di Sungai Mahakam, Kutai Kartanegara (Kukar), Kalimantan Timur (Kalimantan Timur) dan mayatnya dikatakan dihantar buaya.

Menurut laporan detik.com, mayat kanak-kanak itu ditemukan dua hari selepas kehilangannya.

Malah, jenazah mangsa dikatakan dibawa seekor buaya ke tebing sungai.

Bahkan, ahli keluarga sedang menunggu mayat mangsa di sana ketika itu.

Ketua Pejabat Pencarian dan Bantuan Basarnas Kalimantan Timur, Melkianus Kotta ketika dihubungi berkata, kira-kira pukul 7 pagi tadi, ketika pasukan penyelamat bergerak mencari orang hilang untuk hari kedua, pasukan berkenaan menerima maklumat daripada ahli keluarga mangsa yang ternampak seekor buaya membawa mayat manusia.

Selepas mayat itu dilepaskan, ternyata mayat itu adalah kanak-kanak yang kami cari,” kata Kotta.

-Utusanonline

Buli anak PM, polis cari pemandu proton Iriz

FMT Reporters

Klip video yang dikongsi secara meluas dikatakan menunjukkan tindakan seorang pemandu wanita yang didakwa cuba menakut-nakutkan anak perempuan Anwar Ibrahim. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Polis sedang mencari pemandu Proton Iriz yang tular dalam satu video berdurasi 14 saat dilihat memandu secara berbahaya dan cuba menghalang laluan kereta lain.

Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menerusi kenyataan di Facebook rasminya menggesa pemandu kereta tersebut segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Tambah JSPT, pemandu terbabit diminta berbuat demikian susulan nombor plat kenderaan itu juga telah dikenalpasti.

“Tular satu video yang berdurasi 14 saat memaparkan sebuah kereta jenama Proton Iris warna hijau nombor plat kenderaan WB 7482 M yang dipandu secara berbahaya dan cuba menghalang laluan sebuah kereta (perakam video).

“Tindakan sebegini boleh mendatangkan risiko kemalangan kepada pemandu yang lain,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, anak perdana menteri, Nurul Ilham Anwar Ibrahim memuat naik satu video di twitternya yang menunjukkan aksi bahaya pemandu tersebut yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

Dalam video itu, dilihat sebuah kereta jenis Proton Iriz warna hijau yang dipandu seorang wanita telah menghalang laluan Nurul.

Berdasarkan perkongsian video berdurasi 14 saat itu, pemandu sebuah kenderaan jenama Proton telah beberapa kali menekan brek di lorong laju.

Menurut Nurul, tindakan berkenaan amat berbahaya tambahan anaknya yang berusia dua tahun turut berada di dalam kenderaan.

“Saya biasanya tidak berkongsi perkara ini tetapi saya dibuli di jalan raya hari ini. Kereta ini asyik tekan brek di lorong laju.

“Sangat bahaya dan saya mempunyai anak berusia 2 tahun bersama saya,” tulisnya di Twitter.

Enam dilaporkan maut selepas tali layang-layang terbelit di leher

Teruja Lihat Perayaan Dipenuhi Layang-Layang, Tak Sangka Tali Boleh Terbelit Di Leher

MAISARAH AISYA

Akibat terlalu teruja untuk lihat layang-layang lebih dekat ketika perayaan Uttarayan di Gujerat, India, ramai berpusu-pusu naik ke bangunan lebih tinggi.

Uttarayan atau dikenali sebagai Makar Sakranti di bahagian lain India adalah hari apabila matahari mula bergerak ke utara menandakan penurunan musim sejuk.

Hari-hari menjadi lebih lama, langit lebih jelas dan sejuk. Rasa menjangkakan, kegembiraan dan keseronokan mengatasi semua orang yang meraikan peristiwa kesyukuran dan keseronokan.

Namun siapa menyangka perayaan ini mampu bertukar tragedi apabila enam dilaporkan maut selepas tali layang-layang terbelit di leher mereka.

Polis mengesahkan seramai 176 orang awam tercedera manakala tiga orang lelaki serta tiga kanak-kanak maut akibat tragedi tersebut lapor Daily Star.

Kejadian bermula apabila orang ramai berpusu-pusu dan berkumpul di bahagian teres dan bumbung bangunan untuk lihat lebih dekat perayaan tersebut.

Seorang kanak-kanak berusia dua tahun meninggal dunia sebaik saja menerima rawatan di hospital selepas terjerut tali semasa membonceng skuter bersama bapanya.

Sementara itu, kanak-kanak berusia tiga tahun yang berada dalam perjalanan untuk pulang ke rumah disahkan meninggal dunia sebaik saja tiba di pusat perubatan.

Menurut pasukan keselamatan, dalam 176 mangsa yang cedera, seramai 130 orang mengalami luka dan 46 lagi tercedera gara-gara terjatuh dari ketinggian kawasan sekitar festival itu.

Anak PM jadi mangsa buli jalan raya

Raja Noraina Raja Rahim

rnoraina@hmetro.com.my
TANGKAP layar video yang dirakam oleh Nurul Ilham. FOTO Ihsan Nurul Ilham

TANGKAP layar video yang dirakam oleh Nurul Ilham. FOTO Ihsan Nurul Ilham

Kuala Lumpur: Anak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Nurul Ilham mendakwa menjadi mangsa buli jalan raya, hari ini.

Kejadian itu dikongsi anak keempat Anwar dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerusi ciapan dan rakaman video di Twitter.

Menurutnya, kejadian berlaku selepas melalui satu plaza tol dan ketika itu beliau menaiki kereta bersama seorang anak berusia dua tahun.

"Saya jarang berkongsi hantaran tetapi hari ini saya menjadi mangs buli jalan raya. Pemandu sebuah kereta beberapa kali menekan brek di lorong laju.

"Sangat berbahaya dan ada anak berusia dua tahun bersama saya.

"Pemandu wanita itu berada di lorong berkenaan selama kira-kira satu minit sebelum dia bertukar ke lorong lain," ciapnya hari ini.

Beliau berkata, pemandu itu turut membunyikan hon ke arah kenderaannya.

Katanya, pada mulanya beliau melihat kereta itu berhampiran plaza tol apabila pemandu itu secara tiba-tiba membunyikan hon ke arah kenderaannya untuk menuju ke lorong Touch N Go (TnG).

"Saya memberi isyarat untuk ke kiri, tetapi saya tidak nampak sebarang isyarat daripadanya untuk ke kanan (ke arah lorong Smart Tag)," katanya.

Bagaimanapun, beliau beranggapan pemandu itu marah terhadapnya menyebabkan bertindak demikian.

Pemandu treler, isteri ditemui rentung dalam kemalangan

FMT Reporters
Bomba memadamkan kebakaran pada lori treler berkenaan sebelum berjaya mengeluarkan mayat suami isteri yang rentung. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Pemandu treler dan isterinya rentung selepas kenderaan dinaiki terbakar dalam kemalangan di KM 259.6 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, berhampiran susur masuk Plaza Tol Seremban-Port Dickson di Seremban pagi tadi.

Ketua Polis Seremban, Nanda Maarof berkata, kemalangan pada 9 pagi itu mengorbankan pemandu treler Mazlan Molot, 48, yang beralamat di Taman Putra Damai, Petaling Jaya, Selangor dan penumpang dipercayai isterinya, Fauziah Uyop berusia dalam lingkungan 40-an.

Katanya, ketika kejadian, treler berkenaan membawa muatan biji plastik dalam perjalanan dari Klang, Selangor menuju ke Senawang.

“Siasatan awal mendapati treler itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan, sebelum melanggar penghadang jalan dan terbakar sepenuhnya.

“Kemalangan itu juga menyebabkan kesesakan di kedua-dua arah lebuh raya berkenaan sejauh 6km,” katanya dalam kenyataan.

Bomba dilaporkan mengambil masa selama sejam untuk memadamkan kebakaran dan mengeluarkan mayat mangsa yang rentung dalam kenderaan itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muhyiddin dah kecut, Anwar saman RM15juta

Saman isu RM15j: Anwar tak patut tersinggung, kata Muhyiddin

Hidir Reduan Abdul Rashid

Sebagai ketua kerajaan perpaduan dan pemimpin Pakatan Harapan (PH), kata Muhyiddin Yassin, Anwar Ibrahim tidak sepatutnya berasa tersinggung dengan "kritikan dan pertanyaan yang sah" ditimbulkan ke atasnya.

Kata Muhyiddin kritikan dan pertanyaan tersebut dibuatnya dalam ucapan-ucapan politik.

Itu adalah antara hujah balas dikemukakan presiden Bersatu itu bagi menjadi pembelaan terhadap saman yang dikemukakan Anwar terhadapnya baru-baru ini.

Muhyiddin mendakwa kata-kata yang dilafazkannya semasa kempen politik menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu bukanlah mempunyai sebarang unsur fitnah selain melibatkan hal-hal berkepentingan awam.

Tambah pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu lagi kenyataan yang dibuatnya dalam acara politik di kawasan parlimen Padang Serai pada Nov tahun lepas lalu juga tidak diketahuinya diterbitkan semula dalam aplikasi TikTok.

Muhyiddin juga berhujah dia tidak mempunyai kawalan atau pengetahuan mengenai akaun TikTok yang memuat naik kenyataan tersebut.

"Sebagai ketua kerajaan perpaduan, pemimpin PH dan perdana menteri terkini, (Anwar) tidak harus tersinggung terhadap kritikan dan pertanyaan yang sah yang ditimbulkan oleh defendan (Muhyiddin) semasa ucapan-ucapan politik," katanya.

Wajib sampaikan kenyataan

Muhyiddin juga berkata Anwar sepatutnya menjawab pertanyaan yang dikemukakan dalam ceramah itu secara terbuka dan menafikannya sebagai palsu.

"Memandangkan kedua-dua plaintif dan defendan adalah tokoh awam dan pemimpin parti masing-masing, adalah penting mereka sering berhadapan dengan dakwaan yang mungkin telah disalah nyata, disalah sebut atau diambil di luar konteks oleh media," kata bekas perdana menteri itu lagi.

Anwar pada 20 Dis lalu memfailkan saman fitnah terhadap ahli parlimen Pagoh berkenaan selepas dia dituduh menerima bayaran RM15 juta sebagai penasihat ekonomi Selangor.

Peguam utama Anwar, Sankara Nair memberitahu Malaysiakini, writ saman berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebelum itu pada 7 Dis Anwar mengeluarkan surat tuntutan yang memberi Muhyiddin tempoh tiga hari untuk membuat permohonan maaf tanpa syarat berhubung dakwaan di media sosial dan menarik balik video TikTok berkaitan.

Muhyiddin juga dituntut untuk membuat aku janji bertulis supaya tidak lagi mengulanginya.

Surat tuntutan Anwar itu adalah berkenaan kenyataan Muhyiddin semasa berucap dalam ceramah besar PN menjelang pilihan raya di Padang Serai pada 5 Dis.

Pejabat Menteri Besar Selangor sudah mengeluarkan kenyataan dengan memberitahu Anwar hanya dibayar - secara simbolik - sebanyak RM1 setahun atas peranannya menjadi penasihat ekonomi negeri.

Muhyiddin turut memberitahu, sebagai ahli politik dan pengerusi PN, dia mempunyai kewajiban yang sah untuk memberikan maklumat kepada ahli parti dan pengundi Padang Serai.

Dia juga, tambah Muhyiddin berhak menyatakan pendapatnya mengenai kelayakan seseorang yang memegang jawatan awam.

Melalui dokumen yang diserahkan kepada mahkamah itu, Muhyiddin berhujah ahli parti dan pengundi mempunyai kepentingan sosial dan moral yang sah semasa menerima maklumat dan pendapat tersebut.

Dalam keadaan tersebut, katanya, dia mempunyai kewajiban dan/atau kepentingan yang sah untuk menyampaikan kenyataan yang dipertikaikan itu kepada mereka.

Sekatan terhadap kenyataan berkenaan, kata Muhyiddin, bercanggah dengan hak kebebasan bersuaranya yang dinyatakan dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Kes Najib: ‘Kelakuan jengkel’ Shafee meletihkan mahkamah, kata Zaid

FMT Reporters

PETALING JAYA: Zaid Ibrahim menggesa Shafee Abdullah agar “menghormati kebenaran” dalam usahanya mendapatkan keadilan untuk Najib Razak.

“Amat menyedihkan saya jika tuduhan Shafee semalam disokong oleh Najib. (Najib) mesti setuju dengan naratif ini. Jika tidak, mengapa Shafee membangkitkan perkara itu di mahkamah terbuka?” soal Zaid.

Dalam komennya di Facebook, beliau berkata, Najib mungkin berdepan masalah dalam kes SRC International disebabkan “kelakuan Shafee yang agak menjengkelkan”.

“Saya rasa mahkamah sudah letih dengan Shafee, dan itulah sebabnya Najib perlu tukar peguam…supaya hakim sudi dengar dan ambil serius permohonannya,” kata Zaid.

Peguam kanan itu mengulas apa yang disifatkannya sebagai “serangan berat” dibuat Shafee pada pendengaran permohonan Najib, semalam, agar Mahkamah Persekutuan menyemak keputusannya mengekalkan sabitan dan hukuman ke atasnya dalam kes rasuah SRC International.

Shafee mendakwa firma Zaid, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, tidak mengamalkan undang-undang jenayah, dan tidak mampu mengendalikan kes rumit seperti dihadapi bekas perdana menteri itu.

Katanya lagi, firma Zaid telah memberi jaminan kepada Najib bahawa Mahkamah Persekutuan akan memberi mereka tempoh munasabah untuk membuat persediaan bagi rayuan wajar.

Bagaimanapun, Zaid menafikan perkara ini dengan berkata, kem Najib berasa “terdesak dan bimbang” selepas berulang kali kalah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Mereka minta pendapat saya, jadi saya kata, ketidakcekapan Shafee yang membawa kepada kesukaran ini,” katanya.

“Jika mahukan hasil yang berbeza pada peringkat akhir, iaitu di Mahkamah Persekutuan, kena singkirkan Shafee.

“Shafee ialah ‘showman’ yang bagus, bukan peguam yang bagus. Pendekatannya berterabur. Beliau bercakap tentang konspirasi politik tanpa keterangan.”

Menurut Zaid, pendekatan “berterabur” Shafee menjadi “titik tolak masalah (Najib)”, dan pendekatan itu perlu diubah.

“Saya beritahu pasukan bahawa untuk serang kredibiliti atau integriti Nazlan (suatu tindakan yang) bodoh, kerana Nazlan seorang yang mempunyai integriti. Tiada bukti beliau ambil wang atau apa-apa seumpama itu,” kata Zaid merujuk kepada hakim Mahkamah Rayuan itu.

Zaid, yang juga bekas menteri undang-undang berkata, isu dengan Nazlan adalah beliau terlibat dalam 1MDB ketika bekerja dengan Maybank.

“Itu boleh menjadi masalah dalam erti kata konflik kepentingan. Itu sahaja yang kita boleh sentuh tentangnya,” katanya.

Katanya, beliau kemudiannya membentuk pasukan yang disertai peguam bela India yang berpengalaman luas dalam Kanun Keseksaan India dan undang-undang pengubahan wang haramnya, yang serupa dengan Malaysia.

“Kami bawa peguam-peguam ini jumpa Najib, dan Najib pada masa itu yakin bahawa (satu-satunya) cara untuk meneruskan kes (adalah dengan) menyingkirkan Shafee.

“Sudah tentu Shafee marah. Malah, beliau enggan serahkan fail sehingga kami minta Najib tulis surat menamatkan perkhidmatannya. Kami bawa surat itu ke mahkamah,” katanya.

Zaid berkata, pasukannya melakukan yang terbaik dalam membentuk semula afidavit Najib untuk mengeluarkan dakwaan menuduh Nazlan terbabit dengan rasuah dan salah laku, serta dakwaan konspirasi politik.

“Kami memfokuskan kepada konflik kepentingan (dan) dengan menambah keterangan tambahan mengenai peranan Nazlan ketika berada di Maybank. Kami rasa itu isu yang sah untuk dibincangkan pada peringkat Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan pasukannya ditamatkan selepas “permintaan wajar” mereka untuk mendapatkan penangguhan ditolak.

“Tak boleh salahkan kami. Kami sudah lakukan yang terbaik dalam tempoh lima minggu itu,” katanya.

Najib, 69, memfailkan semakan pada September tahun lepas, sejurus selepas mahkamah tertinggi mengesahkan sabitan atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram dalam kes SRC.

Pada 23 Ogos, panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau, jika gagal dibayar, tambahan lima tahun penjara.

Najib meminta keputusan itu diketepikan dan satu lagi hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya tujuh hakim untuk mendengar semula rayuannya.

Pada 16 Ogos, sebelum pendengaran rayuan wajar, usul Najib untuk mendapatkan kebenaran memperkenalkan keterangan tambahan dan membatalkan kelayakan Nazlan sebagai hakim perbicaraan ditolak oleh panel.

Mahkamah kemudiannya menolak permintaannya untuk penangguhan bagi membolehkan pasukan guaman baharunya menyedia dan menghujahkan merit rayuannya.

Aduan lain Najib, bahawa Tengku Maimun tidak sepatutnya mempengerusikan rayuan atas alasan kononnya berat sebelah, ditolak pada 23 Ogos.

Ibu didakwa tekup anak sampai mati

Samadi Ahmad

am@hmetro.com.my
TERTUDUH (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang. FOTO Aizuddin Saad

TERTUDUH (kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang. FOTO Aizuddin Saad
Sepang: Seorang ibu muda didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan membunuh anak kandung berusia satu tahun enam bulan dengan menekup bantal di muka bayi berkenaan.

Tertuduh, Umishahirah khalid, 20, mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa membunuh dengan niat menyebabkan kematian ke atas anak lelakinya berusia satu tahun enam bulan antara 11 Januari kira-kira 5.25 petang hingga 12 Januari kira-kira 11.30 pagi di sebuah kondominium di Vertex Tower, Cybersquare, Cyberjaya.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan, Nur Sabrina Zubairi di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman, manakala tertuduh diwakili peguam, Johan Radzi.

Nur Sabrina membuat permohonan kepada mahkamah di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan dan pemantauan mental.

Beliau juga mencadangkan mahkamah menetapkan satu tarikh bagi sebutan serahan dokumen laporan forensik, kimia dan psikiatri hospital.

Mahkamah menetapkan 20 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes.

Semalam media melaporkan, seorang ibu muda tergamak menekup dan mencekik anak lelakinya berusia setahun enam bulan hingga mati.

Suspek berusia 20 tahun itu bagaimanapun ditahan bersama teman lelakinya di sebuah kondominium di Cyberjaya di sini, pada 12 Januari lalu.

Difahamkan, suspek bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta sedang dalam proses perceraian selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya seorang penganggur.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof dilapor berkata, dalam keterangan awal suspek mendakwa kononnya mangsa terjatuh dari sofa sebelum dihantar ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan.

Remaja perempuan 14 tahun maut dihempap pokok tumbang

N S Ramli

Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian kepala selepas dihempap dahan pokok dalam kejadian ribut di Kampung Balok Baru, dekat Kuantan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa dikatakan sedang bermain dengan adiknya di kawasan taman permainan ketika kejadian dan tidak sempat menyelamatkan diri apabila sebatang pokok tiba-tiba tumbang.

"Laporan mengenai insiden itu dibuat bapa mangsa, Mohamad Hasnizan Manan, 45, di Balai Polis Beserah kira-kira jam 9 malam tadi.

"Mangsa dikenali sebagai Aliya Zahra, berusia 14 tahun dan belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Pelabuhan, dekat Gebeng.

"Kejadian itu berlaku antara jam 5 hingga 6 petang ketika mangsa dan adiknya berusia sembilan tahun sedang bermain di taman permainan Taman Balok Baru 1, Beserah sebelum ribut melanda kawasan terbabit," katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, lewat malam tadi.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan awal di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Wan Mohd Zahari berkata, bapa mangsa adalah seorang peniaga burger dan berada di gerai miliknya kira-kira 90 meter dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 6.35 petang.

"Laporan itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng berkaitan kes pokok tumbang menghempap kanak-kanak perempuan, empat buah kenderaan awam dan kabel elektrik.

“Sebaik menerima laporan, seramai tujuh pegawai dan anggota dari BBP Gebeng dihantar ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.

“Pasukan bomba memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelum mangsa dihantar ke hospital dengan menggunakan kenderaan keluarga mangsa," katanya.

Mayat wanita separuh bogel ditemukan terapung berhampiran Pulau Perhentian pulau perhentian

TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
 
pulau perhentian
 
BESUT: Mayat seorang wanita dalam keadaan separuh bogel ditemukan di perairan berhampiran Pulau Perhentian di sini, kira-kira pukul 11.30 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, mayat itu dijumpai kira-kira 11 kilometer (km) dari pulau tersebut..

Menurut beliau, mayat wanita berkenaan dijumpai seorang pemancing yang kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak polis di Balai Polis Pulau Perhentian.

“Pemancing itu bertindak menarik dan mengikat mayat tersebut di sebuah unjang bagi mengelakkan daripada hanyut sebelum membuat laporan polis.

“Memandangkan cuaca buruk, pihak polis hanya dapat ke lokasi kejadian, hari ini dan menemukan mayat wanita itu masih terapung berdekatan kawasan unjang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, mangsa dijumpai dalam keadaan hanya berbaju dan bersarung tangan dan pihaknya belum dapat mengenal pasti warga negara atau identiti mayat wanita berkenaan.

Katanya, siasatan awal juga tidak menemukan sebarang kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN

Majlis ulama Umno: Siapa untung siapa tak?

Mohsin Abdullah

Diberitakan pembentukan majlis Ulama Umno pertama kali dicadangkan pada perhimpunan agung parti 12 tahun lalu. Ada yang kata 14 tahun lalu. Tak mengapa bila. Realitinya majlis itu sudah ditubuhkan oleh atau pada masa Zahid Hamidi memegang jawatan presiden Umno.

Oleh itu, Zahid “dapat nama” kerana waktu beliau presiden, Umno bergerak untuk “mengangkat Islam”. Ertinya bagus untuk Zahid. Untunglah beliau. Umno sendiri bagaimana? Ini kita bercakap pada segi politik kerana Umno parti politik. Lantas setiap langkahnya dikaitkan dengan untung rugi pada sisi politik.

Ada pihak melihat penubuhan majlis itu bertujuan menyekat kemaraan Gelombang Hijau yang berlaku pada PRU15 lalu. Ini mewujudkan saingan langsung dengan PAS. Penulis politik veteran, Mohd Sayuti Omar, menerusi blognya menyifatkan penubuhan majlis itu “tepat pada masanya”. Beliau percaya ia bakal mengubah landskap politik dalam Umno, secara tidak langsung ia meletakkan agama sebagai fungsi penting dalam parti.

Bak kata penganalisis politik, Oh Ei Sun, untuk sekian lama Umno dilihat parti ‘lebih Melayu daripada Islam’, mana kala PAS dilihat ‘lebih Islam daripada Melayu’. Setuju atau tidak terpulang tetapi begitu persepsinya. “Ramai yang anggap Umno 70% Melayu 30% Islam, dan PAS sebaliknya,” kata Oh.

Sekarang kata Sayuti, dengan penubuhan majlis Ulama Umno, ia meletakkan Umno satu “level” dengan PAS dari sudut organisasi. Majlis itu akan setanding dengan majlis syura PAS yang menjadi kuasa penentu dalam hal ehwal berkaitan agama, hukum, dan berijtihad tentang sesuatu yang diambil oleh PAS, katanya yang bertahun-tahun lamanya mengikuti perkembangan parti itu.

Justeru peranan majlis Ulama Umno menurutnya bukan sahaja untuk menghimpun agamawan menyertai parti, menjalin persaudaraan Islam dengan dunia luar, atau memperkasakan agenda dakwah dan tarbiah dalam Umno tetapi juga “mempertahankan Umno daripada diserang sebagai kafir atau dibobrokan sebagai parti yang ‘unislamic’.”

Berdasarkan itu untunglah Umno.

Saya setuju lalu teringat tahun 1980-an dengan ‘Amanat Hadi’ dan isu kafir-mengkafir antara PAS dengan Umno. Setuju juga saya dengan Oh yang mengatakan “religiosity” atau keagamaan aspek penting dalam politik Malaysia. “Umno sekarang sudah ‘upped the ante’ dan ia dengan PAS dalam pertandingan siapa parti Islam.”

Sebenarnya pada era 80-an Umno dan PAS berlumba-lumba cuba membuktikan siapa lebih Islam dengan pelbagai langkah dan tindakan seperti saya sebut pada artikel lalu.

Persoalan – dengan “berwajah Islam” melalui penubuhan majlis ulamnya, bolehkah Umno mengambil kembali sokongan Melayu yang beralih kepada PAS pada PRU15? Maksudnya menang semula kerusi yang hilang pada PRU 16 – jika pilihan raya di enam negeri di Semenanjung yang akan diadakan tahun ini terlalu awal untuk Umno lakukan sesuatu? Atau sekurang-kuranganya membantu Pakatan Harapan “make inroads” di Pantai Timur, kubu kuat PAS?

Jika ini terjadi untunglah PH.

Apa pun reaksi PAS terhadap penubuhan majlis ulama Umno pada hemat saya amat menarik. Parti itu mengalu-alukan adanya majlis berkenaan kerana ia mampu merapatkan hubungan kedua-dua parti. Begitu kata Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, seperti dilapor FMT semalam, Khamis 19 Jan 2023. Menurut beliau hubungan kedua-dua parti akan boleh dirapatkan melalui program berlandaskan Islam yang melangkaui perbezaan politik. Seterusnya Hashim berkata (ini cukup menarik perhatian saya), beliau langsung tidak menganggap majlis Ulama Umno sebagai pesaing kepada majlis Syura Ulama PAS.

Sememangnya kata-kata sedemikan boleh dilihat sebagai membawa erti PAS tidak gentar dengan adanya majlis Ulama Umno atau Umno bukan ancaman buat PAS dan sebagainya. Saya tidak mahu berkata itu semua kerana itu bagai menuduh PAS terlalu yakin, sombong, dan bongkak.

Yang bermain di minda tentulah implikasi politik kerana PAS seperti Umno sebuah parti politik.

Maka saya yang bertanya kepada diri sendiri – adakah itu bermaksud PAS akan cuba memikat atau menghidupkan semula Muafakat Nasional yang asal, bukan NGO pimpinan Annuar Musa sekarang. Atau ajak juga NGO itu? Atas nama ‘perpaduan’?

Ini saya tanya kerana Hashim turut berkata “kita terbuka dengan agenda perpaduan ummah sampai sekarang.” Lihat lagi apa kata beliau: “Kalau penubuhan dan matlamat dia sama tak jadi halangan bagi PAS untuk menyokong, untuk mencadangkan sesuatu aktiviti yang menguntungkan kedua-dua pihak.”

Matlamat penubuhan majlis Ulama Umno yang kita tahu ialah apa yang dijelaskan oleh Zahid ketika mengumumkannya pada Perhimpunan Agung Umno tempoh hari. Tidak perlulah saya ulangi.

Lalu tanya saya – apa agaknya “sesuatu aktiviti yang menguntungkan kedua-dua pihak” yang dikatakan Hashim? Kalau aktiviti politik selain aspek Muafakat Nasional yang disebut tadi ada mungkin ia membabitkan Umno tinggalkan rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan?

Jika begitu untunglah PAS, dan temannya Bersatu.

Apa akan jadi jika itu terjadi? Atau mungkinkah Umno setia kekal tetapi kerajaan perpaduan bertukar wajah condong ke kanan? “Rightist,” bak kata Inggeris. Namun ini pasti tidak disenangi penyokong serta pengundi yang berwajah kepelbagaian.

Perlu diingat kita bercakap mengenai politik yang membawa 1001 kemungkinan. Diulangi tajuk artikel ini siapa untung siapa tak.

Waullahualam. Kepada umat Islam selamat mendirikan solat Jumaat.

Pukul lelaki hingga mati, 2 pengawal keselamatan ditahan

Bernama

BANTING: Polis menahan dua pengawal keselamatan dipercayai memukul seorang lelaki hingga mati dalam pergaduhan berhampiran sebuah kedai runcit di sekitar Olak Lempit, di sini 11 Jan lalu.

Ketua Polis Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, hasil siasatan mendapati pergaduhan tercetus apabila mangsa yang juga kelindan lori disyaki sedang mengedar dadah di kawasan berkenaan kira-kira 10.45 malam.

Beliau berkata, beberapa individu yang melihat perbuatan tersebut kemudian bertindak memukul mangsa yang berusia 24 tahun dengan objek tumpul sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis oleh orang awam yang menyaksikan pergaduhan tersebut.

“Sampai di tempat kejadian, polis menemukan sebuah beg dibawa oleh mangsa yang berisi 10 peket dadah jenis syabu seberat 3.93 gram dianggar bernilai RM2,000.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang namun pada Isnin lalu, pihak hospital memaklumkan mangsa meninggal dunia 2.15 pagi akibat hentakan kuat pada bahagian kepala,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, susulan itu, polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat mencari suspek berkaitan kejadian dan berjaya menahan seorang lelaki di sekitar Banting pada kira-kira 2.15 pagi, 13 Jan diikuti seorang lagi lelaki di kawasan sama tiga hari kemudian.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Katanya, kedua-dua pengawal keselamatan berusia 41 dan 31 tahun itu direman hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

“Pihak polis masih mencari suspek lain untuk membantu siasatan,” katanya.

Bapa belajar hisap dadah dari anak

Izad Thaqif Hassan

am@hmetro.com.my
BAPA dan anak yang ditahan dalam Op Tapis Khas, semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.
BAPA dan anak yang ditahan dalam Op Tapis Khas, semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.

Gurun: Belajar hisap dadah daripada anak. Itu pengakuan seorang lelaki selepas dia ditahan polis bersama anak lelakinya dalam Ladang Kelapa Sawit ECPI, di sini semalam.

Lelaki berusia 53 tahun itu mendakwa dia menjadi penagih selepas belajar menghisap dadah daripada anak lelakinya yang berusia 26 tahun kerana tertekan selepas bercerai dengan isterinya.

Dia mendakwa selepas bercerai, dia tinggal bersama ibunya manakala anaknya pula menetap bersama bekas isteri dan mereka bertemu di ladang terbabit untuk melepaskan gian.

Dia juga memberitahu mereka berdua tidak bekerja dan dia akan meminta wang daripada ibunya manakala anaknya pula mendapatkan wang daripada bekas isterinya untuk membeli bekalan dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata dalam Op Tapis Khas, bermula jam 8 pagi itu, seramai 21 individu termasuk seorang wanita ditahan ketika masuk ke kawasan berkenaan untuk mendapatkan bekalan dadah.

Menurutnya, dalam operasi selama lapan jam itu polis berjaya merampas Heroin seberat 24.1 gram (g) bernilai RM843 dan Syabu seberat 1.2g yang bernilai RM 120

"Hasil siasatan mendapati ladang kelapa sawit terbabit sudah beberapa kali diserbu namun golongan penagih dadah masih menjadikannya sebagai lokasi untuk menghisap dan mendapatkan bekalan dadah.

"Kita juga mendapati lokasi ladang yang bersempadan dengan Yan serta Pendang itu menjadi tumpuan penagih yang datang dari daerah berkenaan kerana kawasannya yang luas," katanya.

Menurutnya, semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

"Kita akan menjalankan operasi seumpama ini secara berterusan bagi membendung aktiviti pengedaran dan penagihan dadah sekitar daerah ini daripada berlarutan.

"Kita juga berharap orang ramai atau masyarakat setempat dapat memaklumkan kepada polis jika mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan pengedaran atau penagihan dadah di tempat masing-masing," katanya.

Dua penulis didakwa cuba peras ugut Sultan Mohammed VI

KOSMO!
GAMBAR bertarikh 20 Ogos 2022 menunjukkan Sultan Mohammed VI (tengah) bersama saudara lelakinya, Putera Moulay Rachid (kanan) dan anak lelaki, Putera Mahkotan Moulay Hassan (kiri). -- AFP

PARIS – Dua wartawan tempatan dibicarakan di Perancis kelmarin kerana cuba memeras ugut Raja Maghribi dengan cara meminta wang untuk tidak menyiarkan pendedahan memalukan tentang baginda, lapor seorang pemberita AFP.

Eric Laurent, 75, dan Catherine Graciet, 48, dituduh meminta wang €2 juta (RM9.36 juta) dalam tahun 2015 sebagai pertukaran untuk menghentikan penerbitan sebuah buku mengenai keluarga diraja Maghribi.

Kedua-dua wartawan itu berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda €75,000 (RM350,884) jika didapati bersalah. Laurent dan Graciet menafikan sebarang salah laku dan sebaliknya berkata, mereka telah diperangkap.

Kedua-dua penulis itu pernah menerbitkan sebuah buku yang mengkritik Sultan Mohammed VI dalam tahun 2012 bertajuk The Predator King yang diharamkan di Maghribi.

Menjelang penerbitan edisi kedua, Laurent pada Ogos 2015 menemui seorang peguam mewakili monarki berkenaan di bar sebuah hotel di Paris dan memberi amaran kepadanya bahawa buku itu mengandungi pendedahan memalukan mengenai Sultan Mohammed VI.

Maghribi menuduh Laurent menawarkan untuk menghentikan penerbitan bukunya jika dia dibayar sebanyak €3 juta (RM14.04 juta). Dia kemudian mengurangkan jumlah tersebut kepada €2 juta selepas siri rundingan.

Laurent berkata, peguam mewakili keluarga diraja Maghribi adalah pihak yang mencadangkan penyelesaian sedemikian untuk mencegah maklumat itu daripada tersebar.

Selepas rundingan kali pertama, Maghribi memfailkan aduan dan kertas siasatan dibuka di Paris.

Kedua-dua pihak bertemu kali ketiga pada Ogos 2015 di hotel lain di mana mereka disertai penulis bersama, Graciet. Kedua-dua penulis itu menandatangani perjanjian untuk menerima €2 juta sebagai ganjaran tidak menerbitkan buku tersebut.

Mereka ditangkap selepas itu bersama dua sampul surat yang setiap satu berisi wang tunai €40,000. – AFP

Lelaki ditemui mati dalam kereta

Melvin Joni

am@hmetro.com.my

KERETA yang ditemui di Ladang Felcra Kampung Endap, Kota Samarahan. FOTO Melvin Joni.
KERETA yang ditemui di Ladang Felcra Kampung Endap, Kota Samarahan. FOTO Melvin Joni.
Kota Samarahan: Pekerja Ladang Felcra Kampung Endap di sini, terkejut selepas menemui mayat seorang lelaki di dalam sebuah kereta di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Brodie Brangka berkata kejadian disedari seorang pekerja ladang berkenaan sebelum memberitahu pengurus ladang yang kemudian melaporkan kepada polis pada jam 12.05 tengah hari tadi.

Susulan itu, katanya pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan segera dikerahkan ke lokasi kejadian dan mendapati satu mayat di dalam kereta iaitu seorang lelaki berusia 47 tahun.

"Kejadian disedari apabila salah seorang pekerja ladang yang bekerja di kawasan tersebut ternampak sebuah kereta Perodua Viva yang diletakkan di kawasan berkenaan.

"Semasa pekerja itu memeriksa kenderaan berkenaan, dia mendapati ada mayat di dalamnya," katanya yang dihubungi, hari ini.

Katanya si mati disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Kesihatan daripada Hospital Pusat Jantung Sarawak.

Brodie menambah hasil siasatan dan pemeriksaan ke atas mayat mendapati tiada kesan kecederaan pada badan si mati.

Katanya siasatan di tempat kejadian juga mendapati tiada kesan pergelutan.

Katanya kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat .

'Adakah siasatan terhadap Tommy Thomas tuntutan Umno?'

Malaysiakini

Bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan dan peguam Siti Kasim mempersoalkan sama ada terdapat motif politik di sebalik siasatan berhubung bekas peguam negara Tommy Thomas.

"Kami baru sahaja memberi kenyataan di Bukit Aman. Kami telah dipanggil untuk siasatan di bawah seksyen 505 Kanun Keseksaan (membuat kenyataan dengan niat untuk melakukan kerosakan) dan 233 Akta SKMM (perkongsian atau penyebaran berita palsu, kandungan menyinggung perasaan dan ugutan).

"Siasatan adalah berhubung kenyataan yang dibuat oleh bekas peguam negara Tommy Thomas. Polis sangat profesional (dalam menjalankan siasatan). Malah saya benar-benar malu dengan cara kami membuang masa polis dengan menjalankan siasatan seperti ini," kata Ambiga (gambar atas).

"Sangat jelas kepada saya bahawa siasatan ini adalah salah satu tuntutan Umno kepada Pakatan Harapan (PH)," dakwanya.

"Saya ingin bertanya kepada kerajaan reformis PH - adakah ini salah satu tuntutan Umno berhubung penyiasatan Tommy Thomas? Adakah ia mempunyai kaitan dengan dakwaan terhadap beberapa pemimpin Umno? Dan saya ingin tahu daripada PH, apa lagi yang anda sudah berikan (kepada Umno)?" tambah Ambiga.

Sementara itu, Siti berkata bahawa dia bersetuju dengan semua yang dikatakan oleh Ambiga.

"Kami membuang masa kami, masa polis. Apakah jenis kesalahan yang telah dilakukan? Ini cuba menyekat kebebasan bersuara kami.

"Kami tidak boleh berkata apa-apa jika kami tak puas hati? Ini adalah sesuatu yang perlu dilihat oleh kerajaan sekarang. Kami mesti bangkit menentang penyekatan hak ini," katanya.

Polis melancarkan siasatan terhadap Thomas atas dakwaan kenyataan perkauman yang dibuatnya terhadap kerajaan dalam forum bertajuk "Dark Forces Towards GE15" pada 17 September,

Setiausaha polis Noorsiah Mohd Saaduddin berkata polis juga telah melancarkan siasatan serupa terhadap Presiden Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj, yang juga ahli panel pada majlis itu.

Noorsiah juga berkata kedua-duanya akan disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam forum itu Thomas didakwa menggesa pembangkang bertanya kepada pengundi sama ada "kerajaan Melayu" akan menjadikan negara lebih baik dan lebih cekap.

3 majlis agama tarik diri dari mencelah dalam kes ‘Allah’

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan tiga majlis agama Islam negeri bertindak sebagai amicus curiae (rakan mahkamah) dalam rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak penggunaan kalimah “Allah” oleh wanita beragama Kristian dari Sarawak bagi tujuan pendidikan agamanya.

Tiga majlis itu ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).

Amicus curiae bukan pihak dalam saman undang-undang tetapi pihak yang dibenarkan untuk membantu mahkamah dengan memberi maklumat atau nasihat berkenaan beberapa perkara undang-undang yang secara langsung kepada kes itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk S.Nantha Balan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan ketiga-tiga majlis agama itu untuk bertindak sebagai amicus curiae dalam rayuan tersebut.

Yaacob, yang mengetuai panel itu bagaimanapun berkata ketiga-tiga majlis itu perlu memohon kepada panel hakim yang akan mendengar rayuan berkenaan sama ada mereka boleh berhujah di mahkamah semasa pendengaran rayuan.

Terdahulu, Yaacob membenarkan majlis agama itu menarik balik permohonan mereka untuk mencelah dalam rayuan tersebut dan membatalkan permohonan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula. Beliau juga tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

Pencelah ialah seseorang yang campur tangan sebagai pihak ketiga dalam prosiding undang-undang.

Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili majlis-majlis itu memberitahu mahkamah bahawa susulan perbincangan dengan pihak-pihak dalam rayuan itu, telah dipersetujui bahawa majlis-majlis itu menarik balik permohonan sebagai pencelah dan sebaliknya akan bertindak sebagai amicus curiae.

Peguam Lim Heng Seng yang mewakili Jill Ireland Lawrence Bill, wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, mengesahkan dan memohon mahkamah membatalkan permohonan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula. Beliau turut juga memohon kos.

Peguam Persekutuan Noor Atiqah Zainal Abidin yang mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tiada bantahan terhadap penarikan balik permohonan pencelah dan juga agar majlis agama itu tampil sebagai amicus curiae.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi di Putrajaya memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman Jill Ireland. 

Dalam permohonannya, wanita itu antara lain memohon perisytiharan bahawa adalah hak perlembagaannya untuk mengakses penerbitan Kristian dalam menjalankan haknya untuk mengamalkan agama dan hak untuk pendidikan, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan KDN pada 1986 yang melarang penggunaan perkataan “Allah, Baitullah, Kaabah dan solat” oleh orang bukan Islam adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

KDN dan kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 15 Mac tahun yang sama.

Pengurusan kes untuk rayuan kerajaan ditetapkan pada 26 Jan.

- Bernama

RM6 Bilion Dapat Diselamatkan Jika Perbaiki Teguran LKAN

MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin sebanyak RM5 hingga RM6 bilion dapat diselamatkan sekiranya kelemahan yang dikemukakan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) diperbaiki.

Berucap menyampaikan amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ di sini hari ini, beliau berkata barisan Jemaah Menteri telah meneliti LKAN 2021 semalam dan mendapati terdapat kelemahan yang dilakukan secara berulang kali.

“Kalau dapat diperbaiki kelemahan yang disebut berulang kali selama berpuluh tahun oleh Ketua Audit Negara oleh pimpinan politik dan penjawat awam, saya yakin RM5 hingga RM6 bilion boleh diselamatkan, itu dari LKAN,” katanya.

Semalam, Anwar mengarahkan Jemaah Menteri untuk mengambil serius dan meneliti setiap teguran LKAN 2021 tentang soal perbelanjaan, ketirisan yang tidak menepati syarat serta peraturan.

Sementara itu, beliau turut menyatakan keyakinan banyak lagi dana dapat diselamatkan khususnya melibatkan projek besar sekiranya pengurusan kerajaan dijalankan dengan teliti dan cekap. 

“Daripada kajian projek besar dan termasuk kekuatan badan penguatkuasaan, sekiranya dijalankan dengan teliti, telus dan bertanggungjawab saya yakin berbilion ringgit lagi boleh diselamatkan.


“Kalau kata dana kita kurang RM15 bilion, pengurusan yang cekap dan baik itu boleh menyelamatkan RM15 bilion tanpa projek, ikhtiar dan inisiatif baharu,” katanya.

— BERNAMA

Suami ‘kantoi’ bercinta dengan bini orang, isteri sendiri ditalak 3

KOSMO!
Cyisyilla berkongsi gambar bekas suaminya bersama seorang wanita yang didakwa ‘perampas’ dan menjadi punca kepada keruntuhan rumah tangganya.
PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsi kisah rumah tangganya apabila terpaksa memendam rasa dengan sikap suaminya yang curang dengan rakan sekerja di sebuah kilang.

Menerusi pendedahan isteri malang itu di Facebook, wanita yang didakwa kekasih suaminya itu berstatus bini orang dan mereka telah mempunyai hubungan istimewa selama hampir dua tahun secara diam-diam sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.

Lebih menyedihkan, suaminya itu sanggup menceraikannya dengan talak tiga ketika anak-anak mereka masih kecil selepas ‘hubungan haram’ lelaki itu diketahuinya.

Dalam pada itu, wanita itu turut berkongsi wajah wanita tersebut pada hantaran Facebooknya.

“Ini lah muka manusia yang merampas kebahagiaan anak-anak aku yang masih kecil.

“Aku diceraikan talak tiga disebabkan dia, dua tahun percintaan dia dengan suami aku satu kilang dengan suami aku.

“Memang aku rasa teranaiya, dia (suami) curang dalam diam-diam dari PKP aku tak tahu. Dia (wanita) ini isteri orang, umur 40-an,” jelasnya.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata orang ramai memberikan kata-kata semangat kepada wanita itu agar terus kuat membesarkan anak-anaknya.

“Tak perlu sedih, kuat demi anak- anak, jangan patah balik pada lelaki yang tak tahu hargai isteri dan keluarga, kalau dia mampu curang sekarang, nanti akan lagi teruk dia boleh buat,” pesan Nurul Alia.

“Kalau perampas memang selalu ‘standard’ jauh lebih teruk ya dari isteri sebenar? Moga puan dapat pengganti lebih baik,” kata Rossilyn. – KOSMO! ONLINE.

Dua Tahun Rahsiakan Kematian Ibu, Wanita Terima Lebih RM5 Juta Duit Pencen

SHAFIQAH MUKHSIN

Hanya kerana tidak mahu hilang punca pendapatan daripada pencen ibu, wanita dari Korea sanggup rahsiakan kematian orang tua selama dua tahun.

Bukan sekadar gagal mendaftarkan kematian, malah mayat ibu juga hanya ditutup dengan selimut dalam rumahnya di Incheon.

Sejak kematian ibunya pada Ogos 2020, wanita tersebut telah menerima duit pencen mencecah 17 juta won (RM5,9537.86).

Akibat takut jatuh miskin tanpa wang pencen tersebut, wanita itu enggan mendaftarkan kematian ibunya lapor The Korea Herald.

Suspek yang juga seorang penganggur itu difahamkan menggunakan wang tersebut untuk menampung kehidupannya sendiri dan enggan mendaftar kematian ibunya kerana risau sekiranya jatuh miskin.

Menurut pegawai kebajikan, ibu suspek adalah salah seorang daripada kira-kira 67,000 orang yang dikhuatiri tidak menerima pencen secara sah atau wang tidak sampai kepadanya.

Punca kematian wanita malang itu masih tidak dapat dikenal pasti.

Penggal, ‘tayang’ kepala isteri, lelaki Iran dipenjara

AFP

Tunjuk perasaan tercetus di Iran selepas kematian Mahsa Amini pada 16 September. (Gambar AP)
TEHRAN: Seorang lelaki Iran dipenjara lebih lapan tahun kerana memenggal kepala isterinya yang kemudian ditayangkan kepada orang ramai dalam kes yang mengejutkan negara itu.

Mona Heidari, 17, dibunuh pada Februari 2022 oleh suami dan abang iparnya di Ahwaz, Khuzestan.

Video yang tersebar menunjukkan suaminya tersengih berjalan sambil menayangkan kepala mangsa mencetuskan kemarahan di Republik Islam itu.

Sajjad Heidarnava dipenjara tujuh tahun setengah kerana bunuh dan lapan bulan kerana tuduhan serangan, kata jurucakap kehakiman Massoud Setayeshi kepada pemberita.

Keluarga Heidari memilih memaafkan tertuduh dan tidak menuntut qesas iaitu bayaran pampasan yang dibenarkan menurut undang-undang Iran.

“Tertuduh tiada hak memprotes keputusan muktamad ini,” kata jurucakap berkenaan.

“Defendan kedua, Heidar Heidarnava dipenjara 45 bulan kerana bersubahat dalam pembunuhan yang disengajakan,” katanya.

Ketika kejadian, portal berita Iran melaporkan Heidari berkahwin pada usia 12 tahun dan mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun ketika kematiannya.

Selepas kejadian itu, pejuang hak asasi manusia mendesak undang-undang dipinda bagi melindungi wanita daripada keganasan rumah tangga, selain menaikkan usia minimum perkahwinan dari 13 tahun.

Tunjuk perasaan tercetus di Iran susulan kematian Mahsa Amini, 22, pada 16 September lalu selepas ditahan kerana didakwa melanggar kod pakaian wanita Iran.
-fmt

PRN Selangor: Penganalisis ramal peluang PH cerahP

Dineskumar Ragu

PETALING JAYA: Penganalisis politik meramalkan Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang cerah dalam pilihan raya negeri (PRN) Selangor yang dijangka diadakan tahun ini.

Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Barisan Nasional (BN) berkemungkinan hilang beberapa kerusi kepada Perikatan Nasional (PN).

Beliau memberitahu FMT, parti utama BN iaitu Umno kini berkeadaan paling lemah dalam sejarahnya dengan pecah belah antara kelompok menyokong pemimpin tertinggi, Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan, dengan yang mendesak perubahan kepimpinan.

Katanya, dalam keadaan sekarang Umno akan hilang undi Melayu yang diraih dalam PRU15 kepada PAS serta Bersatu daripada PN.

“Susulan apa yang berlaku baru-baru ini dalam Perhimpunan Agung Umno, saya rasa Bersatu mampu memenangi beberapa kerusi di negeri itu, tetapi bukanlah sehingga menggulingkan kerajaan negeri PH kerana saya percaya PH dan BN akan bekerjasama dengan baik dari segi pembahagian kerusi,” katanya.

Beliau turut meramalkan BN akan mengekalkan empat kerusi dimenangi dalam PRU14 iaitu Hulu Bernam, Sungai Burong, Sungai Panjang dan Sungai Air Tawar.

Pada perhimpunan agung minggu lalu, Umno memutuskan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir pihak yang mahu melihat perubahan dilaksanakan susulan prestasi hambarnya dalam PRU15.

Bekas ketua Umno Selangor Noh Omar menyuarakan kebimbangan keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi itu akan menjejaskan peluang parti dalam PRN yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi menyuarakan keyakinan PN berpeluang cerah menang dalam PRN selepas merampas enam kerusi Parlimen daripada PH dan BN pada PRU15.

Azmi dan seorang lagi penganalisis, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berpendapat PKR mampu meraih lebih banyak kerusi dalam PRN di Selangor berbanding PRU15.

Awang Azman berkata, penerimaan positif umum terhadap presiden parti, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri akan memastikan PKR mampu menambat hati pengundi.

Pada PRU15, PN merampas beberapa kubu kuat PKR seperti Kapar, Kuala Langat dan Hulu Selangor, selain kerusi Parlimen Sabak Bernam, Sungai Besar serta Tanjong Karang.

Azmi dan Awang Azman bersetuju gandingan PH-BN mampu mengalahkan PN di negeri itu. Bagaimanapun, Awang Azman berpendapat perkara itu bergantung kepada sejauh mana dua gabungan berkenaan mampu bekerjasama.

Azmi meramalkan kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor (Hulu Bernam, Kuala Kubu Baru dan Batang Kali) serta Sungai Besar (Sungai Panjang dan Sekinchan) akan menyaksikan pertandingan sengit dalam PRN kelak.

Terkejut punya pasal, 10 MPV kejar pasangan kekasih sejauh 130km

Omar Ahmad

am@hmetro.com.my

TANGKAP layar video tular. FOTO tular

TANGKAP layar video tular. FOTO tular

Johor Bahru: Sepasang kekasih yang mengelak dari pemeriksaan polis dan melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta sejauh 130 kilometer (km) berjaya ditahan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pada jam 11.30 malam anggota Balai Polis Bandar Datuk Onn bersama rakan setugas membuat Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan terbabit.

Katanya, polis kemudian mengesan sebuah Proton Persona dalam keadaan mencurigakan dan semasa hendak membuat pemeriksaan, suspek tiba-tiba mengundurkan kereta dan melanggar kenderaan polis sebelum melarikan diri.

"Anggota kemudian meminta bantuan bilik gerakan IPD JBS. Enam kereta peronda MPV dari IPD JBS dan empat kereta peronda MPV dari JBU yang sedang bertugas turut membantu menahan suspek.

"Suspek berjaya ditahan di Kilometer 76.6 Lebuhraya Utara Selatan dekat Ayer Hitam.

"Pemandu ialah lelaki tempatan berusia 20 tahun manakala teman wanitanya berusia 18 tahun. Hasil soal siasat awal mendapati suspek melarikan diri kerana sedang berdua-duaan dalam kereta dan terkejut apabila melihat peronda MPV menghampiri kenderaannya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil semakan rekod lampau mendapati kedua suspek tiada kes jenayah atau kes berkaitan dadah.

Katanya, polis turut merampas Proton Persona, telefon bimbit dan wang tunai RM168.

"Kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 21 Januari depan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (memandu secara melulu).

Sebelum ini, dua video masing-masing berdurasi seminit 24 saat dan 10 saat yang memaparkan beberapa MPV polis mengejar sebuah kereta di Jalan Skudai di sini.

Pahang dedah 29 nama ‘Datuk’, ‘Datuk Seri’ palsu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Pahang menyenaraikan 29 nama Datuk dan Datuk Seri palsu menerusi notis awam yang dikeluarkan susulan pemalsuan senarai nama penerima pingat daripada Sultan Pahang.

Notis itu menyenaraikan nama individu terbabit yang tiada dalam senarai penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur.

Tindakan itu dibuat susulan kes pemalsuan senarai nama penerima pingat yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri, sebelum ini.

Setiausaha kerajaan negeri, Sallehuddin Ishak berkata, pihaknya setakat ini hanya mengeluarkan notis awam berkenaan dan tiada tindakan lain, lapor Berita Harian.

Dalam kes ini, dua bekas kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang telah dihadapkan ke mahkamah 28 Dis lalu, kerana didakwa mengubahsuai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri tanpa kebenaran, dua tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh lelaki berusia 30 tahun dan 36 tahun itu didakwa tanpa kuasa menggunakan nombor pengenalan mereka untuk memasukkan sejumlah nama individu ke dalam laman sesawang itu sebagai penerima pingat Datuk dan Datuk Seri daripada Sultan Pahang sedangkan individu terbabit tidak disenaraikan untuk menerima anugerah berkenaan.

Kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan kes terbabit akan disebut semula pada 13 Feb depan.

Amanat khas Anwar pagi esok: Membangun Malaysia Madani

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak orang ramai mengikuti dan memahami amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ yang akan disampaikan beliau esok secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Perdana Menteri berkata ia sebagai usaha dan upaya untuk mencipta lonjakan baru buat negara.

“Esok saya akan berada di PICC di Putrajaya bagi mencerakinkan mengenai bagaimana negara dan tatanan ini dapat menjunjung nilai dan etika pemerintahan yang baik buat rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Anwar dijadual menyampaikan amanat bertajuk ‘Membangun Malaysia Madani’ pada 11.30 pagi sebelum menyempurnakan montaj dan gimik pelancaran buku ‘Membangun Negara Madani’.

Buku yang diterbitkan Institut Darul Ehsan (IDE) itu antaranya menghimpunkan pengalaman politik serta hasil pembacaan Anwar selama empat dekad yang bermula dari zaman beliau bergelar mahasiswa hingga memimpin gerakan reformasi.

Amanat khas berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen media tempatan seperti Bernama TV dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selain menerusi Facebook Live Institut Darul Ehsan.

Program dijadual bermula 9 pagi dengan ucapan aluan Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) Datuk Ismail Yusop.

Ia disusuli slot ‘Wacana Membangun Negara Madani’ pada 9.15 pagi yang akan disertai empat panel jemputan antaranya Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Eksekutif IDE Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman,

Turut dijemput sebagai panel dalam wacana berkenaan ialah Presiden Kolej Dar al-Hikmah Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dan Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia Prof Dr Haslinda Abdullah.

Dif-dif kenamaan dijadual tiba pada 11 pagi dan majlis dijadual tamat pada 1 tengah hari.

- Bernama