Bersatu akui dah 'pinang' KJ namun status Shahidan masih 'kabur'

Haspaizi Zain

Bersatu mengesahkan mereka sudah 'melamar' bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) atas tiket PN.

Bagaimana status bekas Pengerusi Umno Perlis, Shahidan Kassim, yang dikatakan akan bertanding di Selangor pada PRN akan datang masih menimbulkan tanda tanya.

Menurut sumber Bersatu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sememangnya mempelawa Khairy - yang juga bekas menteri kesihatan - untuk bertanding dalam PRN mewakili PN.

Bagaimanapun belum ada keputusan muktamad dicapai mereka.

"Spekulasi Khairy akan bertanding dalam PRN di Selangor mewakili PN belum muktamad lagi. Khairy tidak memberikan sebarang komitmen.

"Muhyiddin memang ada mengemukakan pelawaan kepada Khairy, tapi ahli Parlimen Rembau itu mengambil pendekatan tunggu dan lihat dulu.

"Begitu juga dengan khabar angin Shahidan akan bertanding PRN di Selangor juga masih di peringkat awal, belum ada kata putus dan masih kabur," katanya kepada Malaysiakini.

Asalkan boleh beri kemenangan

Terdahulu media semalam melaporkan Khairy disebut-sebut bakal diletakkan bertanding di salah satu kerusi DUN dalam kawasan parlimen Sungai Buloh sekiranya dia menerima tawaran Bersatu untuk menyertai parti itu menjelang PRN akan datang.

Untuk rekod dalam PRU ke-15 lalu Khairy diketepikan dari kerusi selamat buat Umno di Rembau dan bertanding di Sungai Buloh yang dianggap kubu kuat PKR-PH.

Walaupun gagal merampas kerusi parlimen Sungai Buloh, Khairy berjaya mengurangkan - dengan ketara - jumlah majoriti yang diperolehi calon PH di situ, R Ramanan.

Seorang pemimpin kanan PAS Selangor dilaporkan berkata nama Khairy tidak termasuk dalam senarai parti berkenaan untuk dicalonkan apabila tiba masanya.

Justeru dia menganggap tidak ada masalah jika Khairy memilih untuk bertanding sebagai calon Bersatu.

Pada masa sama pemimpin PAS terbabit tetap bersikap terbuka jika ada arahan daripada pimpinan atasan untuk mengambil mana-mana tokoh untuk dijadikan calon.

"Lagipun kami memang menerima baik mana-mana pihak luar yang ingin bertanding mewakili PN dan boleh memberi kemenangan kepada kami.

"Malah, jika ada arahan daripada pimpinan pusat untuk 'menarik' pihak luar untuk bertanding dan memberi kemenangan, PAS juga tidak ada masalah untuk itu,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman mengesahkan bahawa terdapat pelawaan daripada partinya kepada Khairy untuk bertanding dalam PRN.

Bagaimana dia tidak pasti sama ada pelawaan itu dibuat secara rasmi ataupun sebaliknya.

"Saya pun agak kabur dalam hal ini kerana tiada kenyataan rasmi daripada kedua-dua belah pihak, tapi yang pasti Bersatu terbuka untuk Khairy menyertai kami atau parti komponen PN," katanya.

Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kedah redakan suhu politik

BERNAMA
SULTAN Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani, hari ini. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan.
SULTAN Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani, hari ini. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan.
Kuala Lumpur: Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Kedah bukan kempen politik malah berjaya meredakan suhu kebencian politik dalam kalangan rakyat, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Beliau yang hadir pada program berkenaan yang diadakan di Hotel Raia, Alor Setar berkata rakyat yang hadir juga bersalaman dan berswafoto tanpa mengira darjat dan bergaul mesra tanpa mengira parti dan kecenderungan politik, agama dan kaum, serta kaya atau miskin.

Mohammad Agus menegaskan tidak ada pun pengunjung yang kisah tentang dakwaan rumah terbuka itu membazir, menggunakan duit rakyat dan sebagai kempen pilihan raya.

"Majlis ini bukan program VVIP, bukan program kempen politik, tetapi majlis meraikan rakyat, dari rakyat dan untuk rakyat.

"Melihat kemeriahan majlis ini, saya tegaskan majlis tadi bukan pembaziran. Mana mungkin amalan mulia memberi makan dan menyantuni rakyat marhaen satu pembaziran. Lagi mulia kerana ia menyambung silaturahim sesama insan, hanya setahun sekali," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata rumah terbuka berkenaan yang menyaksikan kehadiran ribuan pengunjung adalah bukti kejayaan penganjuran program terbabit oleh Kerajaan Perpaduan sekali gus promosi terbaik bagi negeri Kedah.

"Justeru hebat dan meriahnya majlis tadi, selepas ini, saya berhasrat untuk turut meraikan majlis selanjutnya yang akan diadakan di UiTM Permatang Pauh pada 6 Mei, Seremban pada 7 Mei, Kota Bharu pada 12 Mei, Kuala Terengganu pada 13 Mei, dan kemuncaknya di Batu Caves pada 14 Mei.

"Setelah acara selesai, saya pulang dengan satu ungkapan: Happy dapat berjumpa dan beramah mesra dengan rakan seagama setelah sebulan berpuasa. Happy dapat bergaul dengan rakyat dari pelbagai bangsa yang hadir. Hebatnya Malaysia Madani," katanya.

TAG: Rumah Terbuka, Malaysia MADANI, sambutan, politik, J-KOM

Khalid Samad jawab Umno Kelantan

Yasmin Abd Latif dan Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Amanah berharap hubungan parti itu di Kelantan dengan Umno tidak terputus susulan isu pengampunan diraja terhadap Najib Razak, kata Pengarah Komunikasi Khalid Samad.

Beliau berkata, Umno Kelantan perlu menghormati pendirian berbeza Amanah membantah pengampunan diraja diberikan kepada bekas perdana menteri itu.ll

Katanya, penentangan terhadap ekstrimisme agama dan kaum perlu dijadikan keutamaan.

“Harap-harap tak begitu (putus hubungan) dan mereka hormati hak kita untuk berpendirian berbeza. Kita hormati hak mereka untuk memohon pengampunan dan tidak membantah tindakan mereka memohon (pengampunan).

“Begitu juga kita yakin mereka akan utamakan perjuangan kita bersama untuk menentang ekstremisme agama dan kaum,” katanya kepada FMT.

Semalam, Khalid berkata, pihaknya merayu supaya permohonan pengampunan terhadap bekas presiden Umno itu ditolak.

Khalid yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan berpandangan, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Hari ini, membalas kenyataan Khalid, Umno Kelantan pertimbang memutuskan kerjasama dengan Amanah negeri itu jika Khalid tidak menarik balik kenyataannya berhubung bantahan terhadap permohonan pengampunan Najib.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Zawawi Othman, berkata rayuan pengampunan dibuat terhadap Najib adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Khalid ketika mengulas lanjut berkata, tiada keperluan bagi Amanah menarik balik kenyataan mahupun mengemukakan permohonan maaf.

“Tak perlu (mohon maaf dan tarik balik kenyataan). Itu adalah pendirian Amanah (tidak setuju pengampunan kepada Najib) dan bukan pendirian peribadi saya,” katanya.

Umno Kelantan ugut Amanah

Tarik kenyataan atau kami putus kerjasama dengan Amanah, Umno Kelantan beritahu Khalid
Ia susulan kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad yang parti itu merayu kepada Agong supaya menolak permohonan pengampunan Najib Razak.

FMT Reporters
PETALING JAYA: Umno Kelantan pertimbang memutuskan kerjasama dengan Amanah negeri itu sekiranya Khalid Samad tidak menarik balik kenyataannya berhubung bantahan terhadap permohonan pengampunan kepada Najib Razak.

Semalam, Khalid yang juga pengarah komunikasi Amanah berkata pihaknya merayu agar permohonan pengampunan terhadap bekas presiden Umno itu ditolak.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Zawawi Othman, berkata rayuan pengampunan dibuat terhadap Najib adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

“Umno Kelantan mendesak Khalid, merangkap pengerusi Amanah Kelantan memohon maaf secara terbuka kepada Umno lanjutan kenyataan beliau bahawa Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya menolak permohonan pengampunan terhadap bekas perdana menteri Najib.

“Sehubungan itu Umno Kelantan akan mempertimbangkan untuk memutuskan kerjasama dengan Amanah di Kelantan sekiranya Khalid tidak menarik balik pernyataan tersebut yang ternyata amat menyinggung perasaan ahli Umno keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan.

Amanah merupakan komponen Pakatan Harapan (PH) yang mana gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno.

Khalid yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan berpandangan, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Najib dipenjarakan tahun lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dalam kes SRC International.

Beliau didapati bersalah pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang, dan pecah amanah berkait dana SRC berjumlah RM42 juta. Mahkamah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Lebai-lebai: Apa kata ampunkan semua banduan

Pengampunan Najib jalan terbaik menurut Islam, kata menantu Hadi
Malaysiakini 

Memberi pengampunan kepada bekas perdana menteri, Najib Razak adalah jalan terbaik menurut perspektif Islam, kata Zaharuddin Muhammad yang juga menantu kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Maka sewajarnya bekas presiden Umno itu dibebaskan melalui pengampunan diraja yang dikemukakan Najib, kata Zaharuddin.

"Tersalah melepaskan orang yang bersalah adalah lebih baik daripada tersalah menghukum orang yang tidak bersalah.

"Jadi, antara mengekalkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam penjara dan juga membebaskan dengan pengampunan, maka membebaskan dengan pengampunan adalah lebih dekat dengan kaedah Islam," katanya pada satu hantaran video di media sosialnya hari ini.

Zaharuddin berkata demikian sebagai mengulas polemik mengenai permohonan pengampunan diraja yang dikemukakan bekas ahli Parlimen Pekan itu.

Semalam, Lembaga Pengampunan yang bersidang tidak membincangkan permohonan difailkan bekas perdana menteri untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.

Semasa persidangan semalam, dilaporkan petisyen pengampunan terhadap Najib tidak dibentangkan oleh bahagian hal ehwal undang-undang Jabatan Perdana Menteri, serta sekretariat lembaga itu.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu bermula jam 11 pagi dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Sidang hari ini tidak membincangkan petisyen Najib kerana kes sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya kerana menyeleweng dana SRC International, baharu sahaja difailkan.

"Petisyen yang difailkan beliau perlu mengikut giliran. Persidangan yang berlangsung hari ini hanya membincangkan kes-kes terdahulu yang diterima lebih awal oleh urus setia Lembaga Pengampunan," kata sumber seperti dipetik BH Online.

Pada 31 Mac, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 4-1, menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan terhadap kes rasuah SRC International.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli mempengerusikan panel lima hakim yang turut dianggotai hakim Mahkamah Persekutuan Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Vernon Ong Lam Kiat serta Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan terhad kepada kesalahan yang dibicarakan atau dilakukan di Wilayah Persekutuan - Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan atau dibicarakan di negeri-negeri lain berada di tangan Raja-Raja Melayu di setiap negeri, masing-masing.

Yang di-Pertuan Agong akan memberikan pengampunan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Pada 17 April lalu, Majlis Tertinggi Umno sebulat suara memutuskan untuk memohon pengampunan penuh terhadap kesalahan bekas perdana menteri itu.

Kemudian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata Umno tidak lagi terlibat selepas menghantar memorandum pengampunan Najib itu, dan keputusan itu kini terserah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dua wanita adik-beradik bunuh diri akibat malu diisytihar muflis

BATAM: Polis menemukan mayat dua adik beradik di sebuah hotel di Kepulauan Riau yang dipercayai membunuh diri akibat malu selepas diisytiharkan muflis.

Lapor Kompas.com, mayat dua wanita itu ditemukan di dalam bilik hotel di Batam Ahad lalu oleh seorang tukang cuci yang masuk untuk membersihkan bilik tersebut.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Lubuk Baja, Yudi Arvian berdasarkan siasatan awal dan keterangan beberapa saksi termasuk ahli keluarga mangsa.

“Tukang cuci itu menemui mayat si adik dalam keadaan tergantung di dalam tandas hotel sementara mayat kakaknya berada di atas katil dengan luka di bahagian leher dan pergelangan tangan,” jelasnya.

Menurut Yudi, sebelum merantau ke Batam, dua wanita berusia 47 dan 49 tahun itu diberi modal berupa emas ibu bapa mereka untuk memulakan perniagaan di bandar berkenaan.

Namun, perniagaan itu tidak lama kemudian diisytihar muflis dan modal yang disediakan orang tua mereka turut lesap.

Yudi berkata, masalah itu dipercayai menyebabkan kedua-duanya berasa malu untuk pulang ke kampung halaman di Jambi, sebaliknya memilih menamatkan nyawa mereka.

“Mereka lima beradik, ibu bapa mereka juga terkejut dan sedih kenapa harus membunuh diri.

Walau malu sekali pun, tidak perlu membunuh diri. Apa pun terjadi setiap ibu bapa pasti akan terima dan tetap sayangkan mereka,” kata Yudi.

Mayat kedua-dua mangsa sudah dituntut oleh keluarga mereka dan disemadikan di rumah pengebumian Sambau di Nongsa.
-utusanonline 

Isteri maut dilanggar suami ketika undur kereta

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
KERETA Proton Saga yang dipandu lelaki terlanggar isterinya yang sedang berjalan kaki ketika pemandu berkenaan mengundur kenderaan di Taman Selasih. FOTO Ihsan Pembaca
KERETA Proton Saga yang dipandu lelaki terlanggar isterinya yang sedang berjalan kaki ketika pemandu berkenaan mengundur kenderaan di Taman Selasih. FOTO Ihsan Pembaca
Kulim: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandu suaminya terlanggar mangsa di Taman Selasih, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7 petang hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 60-an dipercayai terlanggar isterinya sebelum melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang sedang parkir di hadapan rumah.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku sewaktu mangsa yang sebelum itu berada dalam kereta Proton Saga itu dan keluar kerana tertinggal barang di dalam rumah.

"Suami mangsa yang ketika itu sedang mengundur kereta berkenaan tertekan pedal minyak lalu terlanggar isterinya yang berada di tepi sebelah kiri dan terlanggar kereta yang sedang parkir di hadapan rumah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Redzuan berkata, pemandu kereta Proton Saga itu tidak mengalami kecederaan manakala isterinya yang mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk tujuan bedah siasat.

"Pemandu kereta itu mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah tempoh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Peluk Islam selepas mengadu solat Aidilfitri terlalu bising

KOSMO!
Seorang lelaki warga Australia dikenali sebagai Brian (kanan) memeluk Islam selepas dia pergi ke masjid untuk mengadu tentang bunyi bising solat sunat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Gold Coast pada Sabtu lalu. - Foto Doha News
MELBOURNE – Seorang warga emas Australia yang pergi ke masjid untuk mengadu tentang solat sunat Hari Raya Aidilfitri terlalu bising akhirnya memeluk Islam di masjid sama Sabtu lalu, lapor portal berita Doha News hari ini.

Insiden menyentuh hati dirakam menerusi video itu menunjukkan lelaki tersebut mengisytiharkan agama baharunya dalam bahasa Inggeris dan Arab sebelum menangis.

Haj Hussin Goss iaitu seorang pendakwah aktif di Australia, berkongsi klip video itu dalam akaun Facebooknya dan menulis: “Selamat datang saudara kita yang masuk Islam pada hari raya ini. Saudara ini datang mengadu bunyi bising pagi ini (Sabtu) pada hari raya dan pulang sebagai seorang muslim. Allah Maha Besar.”

Hussin berkata, lelaki bernama Brian yang tinggal di rumah penjagaan warga emas dekat Masjid Gold Coast datang mengadu kepadanya tentang bunyi kuat solat sunat hari raya yang kedengaran menerusi pembesar suara. 

Beliau kemudian duduk bersama Brian selama 10 hingga 15 minit dan bercakap dengannya.

Selepas pertemuannya dengan pendakwah itu, warga emas tersebut kemudian membuat keputusan sukarela untuk menganut agama Islam.

Klip itu kemudiannya menunjukkan Hussin mengucapkan dua kalimah Syahadah dan Brian mengulanginya. – Agensi

Kanak-kanak maut terkena tembakan senapang ‘pump gun’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri jenis “pump gun” ketika bermain dengan rakannya di Kampung Sosogoh Salong Pagalungan, Keningau, pada Isnin.

Ketua Polis Keningau, Rafidah Kasim, berkata mangsa berusia tujuh tahun itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Nabawan.

“Kes dikesan ketika polis menerima maklumat daripada Klinik Kesihatan Nabawan memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa terkena tembakan senapang buatan sendiri jenis ‘pump gun’ oleh rakan yang bermain bersamanya,” katanya menurut Berita Harian.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, susulan itu, polis menahan tujuh individu dan merampas selaras senjata api buatan sendiri jenis pump gun untuk siasatan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Buruh binaan mengaku ceroboh, rogol penjawat awam

Zahratulhayat Mat Arif
am@hmetro.com.my

Ipoh: Buruh binaan mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menceroboh rumah penjawat awam dan rogol pada minggu lalu selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Hassan Ahmad, 43, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh itu didakwa merogol mangsa berusia 38 tahun dan meletakkannya pada ketakutan kepada kematian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kuarters Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang terletak di Jalan Kamarudin Isa, Fair Park di sini, antara 10 malam 17 April hingga 1.47 pagi 18 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa merogol mangsa pada 18 April lalu antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi di tempat yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dihukum dengan sebatan.

HASSAN (tengah) mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menceroboh rumah penjawat awam dan rogol pada minggu lalu selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO L.Manimaran
HASSAN (tengah) mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menceroboh rumah penjawat awam dan rogol pada minggu lalu selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO L.Manimaran
Bagi pertuduhan menceroboh, tertuduh yang juga seorang duda dan mempunyai seorang anak perempuan itu didakwa menceroboh masuk dengan niat melakukan perbuatan menyalahi undang-undang di rumah mangsa pada 10 malam 17 April hingga 9 pagi 18 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Evangelin memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh tidak mempunyai alamat tetap serta mengetahui tempat tinggal mangsa.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Mei untuk keputusan.

Sebelum ini, media melaporkan wanita itu sempat melarikan diri dari tempat kejadian dan mengalami kecederaan di kaki akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Polis kemudian menahan lelaki itu di rumah mangsa dan merampas beberapa senjata termasuk gunting, pisau dan kuku keluli.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh mempunyai rekod dadah lampau dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

BERSATU ambil tindakan undang-undang terhadap 4 Ahli Parlimennya lompat parti

Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Parti BERSATU memohon kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perisytiharan bahawa kerusi Parlimen Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang sudah dikosongkan.

Permohonan kebenaran itu difailkan Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya selaku pegawai awam parti berkenaan.

Ia menamakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan empat Ahli Parlimen kawasan terbabit Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) serta Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.

Dalam permohonan kebenaran itu, BERSATU memohon perisytiharan untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lalu yang menyatakan responden kedua hingga kelima sudah memberikan penjelasan dan mengesahkan bahawa tiada berlakunya kekosongan berdasarkan tafsiran Perlembagaan GRS dan Perlembagaan BERSATU.

BERSATU juga memohon perisytiharan bahawa empat ahli Parlimen terbabit sudah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan memohon perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi parlimen berkenaan.

Parti itu turut memohon perintah supaya Johari memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan itu dalam tempoh 21 hari dari perintah terbabit

Sekiranya kebenaran diberikan dan sementara menunggu pendengaran semakan kehakiman, BERSATU memohon perintah penzahiran supaya responden mengemukakan kesemua surat-menyurat dan rekod kepada dan daripada Johari berhubung maklumat dan penjelasan mengenai pemberhentian semua ahli parlimen terbabit pengesahan bahawa tiada berlakunya kekosongan luar jangka.

Lari daripada pemeriksaan polis, 4 cedera kereta terbabas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki antara empat yang cedera selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan ketika cuba melarikan diri daripada polis di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Putra Heights awal pagi tadi.

Kejadian pada 1.05 pagi itu menyebabkan dua lelaki dan seorang wanita dalam lingkungan 20-an hingga 30-an parah serta tidak sedarkan diri, manakala seorang kanak-kanak berusia empat tahun cedera ringan.

Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat berkata sebelum kejadian, kereta peronda polis terserempak Proton Satria dinaiki empat individu dalam keadaan mencurigakan di USJ, Subang.

“Anggota mengekori kereta itu sambil membunyikan siren dan menyalakan lampu biru untuk mengarahkan mereka berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

“Namun, pemandu enggan berhenti dan melarikan diri sehingga melanggar palang di Plaza Tol Seafield.

“Semasa di persimpangan keluar Putra Heights, kereta suspek membelok secara agresif dan hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, empat individu itu dibawa ke Hospital Putrajaya dengan ambulans untuk rawatan lanjut.

“Siasatan mendapati suspek melarikan diri kerana kereta digunakan dilaporkan hilang di kawasan Shah Alam,” katanya sambil menambah tiga suspek dewasa mempunyai rekod jenayah lampau, dengan seorang daripadanya dikehendaki bersabit kes dadah di Hulu Selangor.

Buat masa ini, katanya, semua individu itu belum ditahan kerana masih tidak sedarkan diri dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang 03-78627100.

“Kota Bharu dan sampah berpisah tiada” – Netizen kecam bandar Kelantan kotor

MALAYSIA DATELINE

Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) melalui laman TikTok berkongsi kekecewaan terhadap vendor dan pengunjung yang meninggalkan lokasi tersebut dipenuhi dengan sampah walaupun pihaknya sudah menyediakan tempat membuang sampah.

Nampaknya kempen bagi memberi kesedaran dalam tabiat membuang sampah kurang berkesan bagi penduduk di negeri ini selepas tular sebuah gambar dengan jalanan yang penuh sampah.

Mereka menulis, “Walaupun kempen Kelantanku Bersih (Kelantanku Bersih) telah dilaksanakan sejak sekian lama, kemudahan pembuangan sampah telah disediakan cukup banyak, peringatan daripada penguatkuasa dan pegawai kesihatan awam supaya menjaga kebersihan kawasan bazar telah disampaikan berkali-kali. Tetapi masyarakat, peniaga dan pengunjung masih mengabaikannya.

“Ini adalah contoh sikap tidak bertanggungjawab segelintir peniaga dan pengunjung Pasar Parit Dalam yang tidak mengutamakan kebersihan.”

Apa yang lebih menyedihkan ialah, seperti yang dikongsikan, pihak yang luar masih akan menuding jari kepada majlis tempatan untuk kejadian ini walaupun segala usaha telah dilakukan untuk mendidik masyarakat di negeri ini.

“Apabila perkara seperti ini berlaku, majlis tempatan juga akan dipersalahkan.

Memandangkan kemudahan pelupusan sampah telah disediakan dan banyak peringatan daripada pihak berkuasa, sebenarnya tidak ada pihak lain yang perlu dipersalahkan selain penjual dan pengunjung.

4 remaja parah, kereta putus dua

Faizul Azlan Razak
am@hmetro.com.my
KEADAAN kereta yang terputus dua dalam kemalangan di Kilometer 72, Jalan Kampung Saujana ke Kampung Fikri (Kampung Saujana). FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN kereta yang terputus dua dalam kemalangan di Kilometer 72, Jalan Kampung Saujana ke Kampung Fikri (Kampung Saujana). FOTO Ihsan PDRM
Setiu: Empat remaja parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 72, Jalan Kampung Saujana ke Kampung Fikri (Kampung Saujana) di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu turut mengakibatkan kereta jenis Honda Civic dinaiki empat remaja masing-masing berusia 20 tahun terbabit terputus dua.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan iaitu kereta Proton Persona dinaiki tiga beranak dengan Honda Civic dinaiki empat remaja.

Beliau berkata, siasatan mendapati kereta Proton Persona dalam perjalanan dari Besut menghala ke Merang, Setiu manakala Honda Civic dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Besut.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Honda Civic hilang kawalan memasuki laluan bertentangan dengan Proton Persona yang tidak sempat mengelak dan bertembung.

"Kemalangan terbabit menyebabkan semua pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan mengalami kecederaan.

"Kesemua pemandu dan penumpang dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Setiu untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Afandi berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti kecederaan dialami pemandu Proton Persona berusia 47 tahun bersama penumpang berusia 39 tahun dan kanak-kanak berusia enam tahun.

Menurutnya, pemandu kereta Honda Civic, Muhammad Syamil Khairul Ihsam yang beralamat 1A Bukit Guntong Manir, Kuala Terengganu mengalami patah peha sebelah kiri.

"Tiga lagi penumpang kereta Honda Civic, Syed Muhammad Fitri Syed Ahmad Yani; Muhammad Izzat Abdul Rohim dan Hafiz Azizi Harun mengalami cedera di bahagian kepala.

"Kes di siasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Minta dijauhi PAS memerintah Selangor

Dahlan Maamor

PAS memang handal dalam mencari salah orang tapi tidak cermin diri bila berkata-kata. Hanya untuk memenangi hati rakyat menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang, parti itu sanggup menggunakan apa saja isu walaupun menyimpang dari fakta sebenar. 

Rakyat bahagia di Selangor dengan kemudahan dan keprihatinan kerajaan negeri kecuali orang PAS saja yang merasa sangat bahagia di Kelantan walaupun terpaksa bermandi dan meminum air keruh.

Terima kasih PAS kerana mengiktiraf Selangor sebuah negeri kaya. Namun lain pula keadaannya di Kelantan yang terus mundur dengan rakyatnya dibelenggu hingga hari ini dengan masalah  bekalan air bersih dan kemiskinan tegar.

Biar saya kongsikan pengalaman saya yang pernah bermastautin di Kelantan. Derita air memang tidak tertahan dan ia berlaku sekitar 90an namun hingga ke hari ini masalah itu gagal di atasi namun PAS terus diberi kepercayaan menjadi kerajaan negeri hanya kerana laungan “negeri serambi Mekah”.

Justeru, bukan Selangor, tetapi sepatutnya pentadbiran Kelantan yang perlu diubah. PAS mesti disingkirkan untuk memberi ruang perubahan lebih baik. Saya yakin selagi PAS bertapak di bumi Kelantan maka rakyat akan terus minum “teh tarik” percuma yang keluar melalui kepala paip di setiap rumah.

Saya pernah merasai kesusahan bekan air ini dan pernah menggunakan air bukit dan air sungai di perkampungan Rancangan Pemulihan Tanah RPT Chenulang, Sungai Durian Kuala Krai sebelum ini. Bukan setakat susah untuk dapatkan bekalan air minum, membasuh pakaian malah untuk mandi wajib pun sukar kerana air sering tiada.

Orang kampung RPT Chenulang berkongsi belanja untuk menyiapkan saluran air dari bukit berdekatan untuk mendapat punca air. Itu dulu tapi rasanya tidak jauh beza juga dengan keadaan hari ini. Kenapa mereka diam setiap kali rakyat memberontak dan membangkitkan tentang isu air?

Jawapan yang selalu diberi,”air belanar di sungai belake rumah, gi minum sampai kembong perut” maksudnya air banyak di dalam sungai belakang rumah, pergilah minum sampai kenyang. Itu jawapan yang pernah kita dengar dan ia melambangkan tahap pemikiran pemimpin PAS.

Pada perkiraan saya, PAS tak perlu sibuk dengan Selangor kononnya rakyat negeri itu susah walaupun negeri kaya seperti yang ditulis oleh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir dalam Harakahdaily kerana dia sepatutnya perlu sibuk dengan Kelantan dan Terengganu dan kini melarat ke Kedah kerana masalah air.

Rakyat menjadi susah kerana pulang kampung berhari raya namun untuk mandi pun terpaksa ke sungai. 

Tentu sedihkan bila kita tidak menggunakan cermin untuk melihat muka sendiri dan tulisan Roslan ini seperti menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.

Jangan biarkan diri anda “buta” kerana semua rakyat Selangor mengiktiraf perkara baik yang dilakukan oleh Menteri Besar, Amirudin Shari. Rakyat Selangor celik tak seperti Pas Selangor yang dijangka tersungkur teruk di PRN Selangor Jun ini.

PAS Selangor menyebut tentang jalan, perparitan yang daif, pengurusan sisa pepejal cukup lemah di kawasan menteri besar, rasa seperti mahu tergelak besar mendengar hujah ini. Kata dulang paku serpih. Cakap tidak serupa bikin atau bikin tak serupa cakap.

Sekolah agama terperosok, tak terurus kata PAS Selangor. Seronoknya bila menulis tanpa melihat negeri yang kamu perintah. Tanya orang Kedah di luar bandar dan tanya orang Kelantan yang terpaksa menanggung kesusahan kerana terperangkap dengan ceramah dan tulisan yang bertujuan untuk menang pilihan raya.

Saya yakin semakin PAS Selangor bersuara semakin terbuka niat mereka semata-mata mahu dapatkan kuasa. Minta dijauhi PAS memerintah Selangor kerana bimbang Selangor akan kembali mundur dan masalah air akan terus menghantui seperti apa yang berlaku di Kelantan.

Minta dijauhi.

Isu SJKC dibangkitkan dengan niat membakar isu keserasian dan semangat setiakawan di Selangor untuk meraih laba politik.

Bukan rasis katanya tapi itulah PAS yang sikap mereka semua rakyat maklum. Lempar batu sembunyi tangan.

Bila habis modal PAS akan main isu anak tempatan, anak Selangor perlu urus kesusahan rakyat Selangor tapi PAS lupa bahawa setiausaha agung parti itu, Takiyuddin Hassan - orang mana dan menjadi wakil rakyat di mana? Tidakkah ada orang Kota Baharu yang boleh memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Cukup satu contoh banyak lagi kita simpan dulu.

PAS sekali lagi cakap tak serupa bikin.

Kepada rakyat Selangor buatlah penilaian bijak dan jangan termakan dengan propaganda murahan yang akhirnya kita akan mundur dan dirundung kesusahan seperti negeri di bawah pemerintahan PAS.

Kepada PAS Selangor teruskan berkarya kerana rakyat akan menilai dengan bijak dan siapa PAS selama ini

Tak serik-serik belasah isteri

Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Kuala Pilah: Pernah dihukum penjara dan denda kerana mencederakan isteri namun seorang lelaki tidak serik mengulangi kesalahan itu apabila dia sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas kesalahan sama.

Tertuduh, S Ragubalan, 46, mengaku bersalah sebaik pertuduhan di bacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Berdasarkan pertuduhan, dia dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya dengan cara menumbuk pada bahagian muka dan menghantuk kepalanya ke lantai sehingga menyebabkan kecederaan di muka dan dahi, bengkak pada belakang kepala dan sakit pada tengkuk.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Gemas, Tampin pada 24 April lalu, jam 9.15 pagi.

Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng memberitahu mahkamah, tertuduh pernah dituduh atas kesalahan sama pada 3 November 2022 dan mengaku bersalah.

Tertuduh kemudian dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,500 tetapi tidak serik melakukan kesalahan sama.

Kesalahan mengikut seksyen itu juga tidak menawarkan sebarang jaminan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan jaminan kerana mempunyai penyakit kencing manis dan baru bekerja hampir dua bulan.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 8 Mei ini bagi sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Tampin.

Keputusan PRN akan jadi penentu sokongan kepada kerajaan perpaduan

Azril Annuar

PETALING JAYA: Pilihan raya negeri akan datang akan menentukan sama ada dua pakatan pemerintah di Malaysia Timur akan terus menyokong kerajaan perpaduan atau membentuk pakatan dengan Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.

Zaini Othman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu FMT, berdasarkan strategi Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini, ia mungkin akan mengambil pendekatan “tunggu dan lihat”.

Pendekatan sedemikian adalah praktikal dan pragmatik, katanya.

“GPS hanya akan bertindak balas, memberi respon dan mengambil langkah yang akan menguntungkan Sarawak.

“Jadi, keputusan GPS untuk ‘kekal atau lompat’ bergantung kepada kepentingan Sarawak dahulu,” katanya.

Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) turut senada dengan pandangan itu, sambil berkata sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam PRN, kedua-dua GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkemungkinan akan menilai semula kedudukan mereka.

Bagaimanapun katanya, tidak mungkin berlaku lompat parti secara en bloc kerana PN tidak mempunyai jumlah diperlukan buat masa ini.

Sukar untuk pembangkang berkuasa tanpa pilihan raya, kata Azizuddin.

“Saya tidak rasa mereka (GPS dan GRS) mahu menjadi sebahagian daripada pentadbiran majoriti yang lebih kecil,” katanya merujuk kepada 148 Ahli Parlimen kerajaan perpaduan di Dewan Rakyat.

“Dan saya meragui jika Umno akan berpaling tadah secara en bloc, kerana mereka akan menjadi minoriti dalam gabungan itu. Mereka mungkin tidak diberikan jawatan timbalan perdana menteri.”

Jika 10 Ahli Parlimen BN serta GRS dan GPS menyertai PN, pentadbiran persekutuan baharu hanya akan mempunyai 113 Ahli Parlimen.

Awal minggu ini, Ketua Whip Parlimen GPS Fadillah Yusof menafikan dakwaan gabungan itu bercadang untuk menjatuhkan pentadbiran Anwar Ibrahim, sambil berkata ia memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan ekonomi dan kesejahteraan awam dan bukannya berpolitik.

Ketua MCA Wee Ka Siong juga menafikan khabar angin bahawa beliau dan Wee Jeck Seng merancang untuk menggulingkan kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata jika 10 Ahli Parlimen BN memutuskan untuk berpaling tadah, ia boleh mempengaruhi GRS dan GPS untuk melompat secara en bloc.

Katanya, Ahli Parlimen terbabit hanya perlu mengisytiharkan bahawa mereka tidak lagi menyokong Anwar tanpa meninggalkan parti masing-masing.

Bagaimanapun, Azizuddin dan Zaini tidak bersetuju, berkata pembelotan hanya boleh dilakukan secara en bloc jika parti memutuskan untuk berbuat demikian.

Azizuddin berkata tidak mungkin Ahli Parlimen BN mahu berpaling tadah.

“Mereka secara automatik akan kehilangan kerusi dan pilihan raya kecil akan diadakan. Mereka mungkin tidak memenangi pilihan raya kecil itu, memandangkan pengundi secara umumnya mengundi parti itu,” katanya.

Perkelahan keluarga bertukar tragedi, gadis lemas di Lata Changkah

Bernama
Mangsa Nor Alia Farhana Mat Zaid lemas selepas tergelincir ketika mandi bersama lima sepupu perempuan di Lata Changkah, Kampung Hulu Seladang, Setiu. (Gambar Facebook)
BANDAR PERMAISURI: Seorang remaja perempuan ditemukan lemas selepas mandi-manda bersama keluarganya di Lata Changkah, Kampung Hulu Seladang, tengah hari tadi.

Nor Alia Farhana Mat Zaid, 19, lemas selepas tergelincir dan tenggelam ketika mandi bersama lima sepupu perempuan dengan ditemani bapa saudara mereka.

Ketua Polis Setiu, Affandi Hussin, berkata mangsa yang berasal dari Seri Bandi, Kemaman berjaya dibawa naik ke darat oleh bapa saudaranya dengan bantuan ahli keluarga lain.

Beliau berkata, ahli keluarga mangsa kemudian menghubungi polis untuk bantuan dan Nor Alia Farhana disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian pada 1.55 tengah hari.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Setiu untuk tindakan selanjutnya. Polis ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan ketika melakukan aktiviti rekreasi di kawasan air atau di mana sahaja,” katanya.

Cerita oghe Kelate

Mohsin Abdullah

Sebenarnya Ahmad Yakob, menteri besar Kelantan, tidak perlu seru anak Kelantan di perantauan pulang mempertahankan kemenangan PAS dan Perikatan Nasional pada PRN tidak lama lagi. Sebab itulah yang mereka lakukan selama ini. Kepulangan anak perantauan Kelantan beramai-ramai membolehkan PAS kekal memerintah Kelantan sejak PRU8 pada 1990.

Anak Kelantan di luar Kelantan akan pasti pulang lagi apabila PRN diadakan kali ini. Persoalannya adakah mereka akan mempertahankan kerajaan PAS sekali lagi? Bagi saya, jawapannya ‘ya’.

Penganalisis politik Sivamurugan Pandian juga dipetik Berita Harian semalam 25 april 2023 bahawa beliau menjangka PAS mengekalkan kuasa di Kelantan, juga di Terengganu dan Kedah. Sivamurugan menghuraikan kenapa tetapi tidak perlu saya ulangi. Tidak juga akan saya cakap mengenai Terengganu dan Kedah kerana seperti tertera di tajuk artikel, ini mengenai Kelantan.

PAS akan kekal memerintah Kelantan walaupun berdepan masalah. Masalah utama bekalan air bersih. Yang ada air berkarat. Sebelum saya tulis artikel ini saya terima hantaran TikTok mengenai air warna merah siap dengan komentar loghat Kelantan. Pendekkan cerita. Masalah air di Kelantan berlarutan. Penyelesaian belum kelihatan.

“Balik Kelantan sambut raya. Tiga perkara yang merimaskan. Airnya perlahan dan kualitinya teruk. Jalannya sempit dan berlubang. Sampah berlonggok di merata tempat dan kotor,” kata anak kelahiran Kelantan, Agus Yusoff, di Facebook menjelang 1 Syawal.

Beliau ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti atau J-KOM, maksudnya ‘orang kerajaan perpaduan’ yang mungkin menyindir kerajaan PAS masih gagal menyelesaikan masalah kemudahan asas rakyat. Tetapi adakah apa yang beliau kata itu betul? Hanya rakyat Kelantan atau orang yang pernah ke negeri itu yang boleh jawab.

Untuk sekian lama kerajaan PAS merungut mereka tidak dapat membawa pembangunan kerana Kelantan dinafikan hak royalti minyak oleh kerajaan persekutuan sejak dahulu lagi. Alasan itu masih digunakan. Sedikit sebanyak ada logiknya. Bagaimanapun, kata Zaid Ibrahim, juga anak Kelantan yang terkenal sebagai ahli politik dan peguam: “Royalti ini berasas kepada perjanjian antara pusat dan Kelantan pada 1975 yang sahih. Sebab itu kita tidak faham mengapa PAS menarik balik tuntutan ini daripada dibicarakan di mahkamah hanya kerana kerajaan pusat memberi RM400 juta sedangkan hak kita lebih daripada itu.” Kata-kata beliau disuarakan menerusi kenyataan pada 3 Feb 2022. Jelas isu royalti minyak akan terus dibincangkan.

Selain minyak, ada lagi masalah yang dihadapi Kelantan. Kes jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah mencatat jumlah tinggi, seperti yang didaftarkan di Kelantan tahun lalu. Ini butiran yang diberi Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berdasar fakta dan jumlah kes di mahkamah. Beliau juga pada 14 Mac lalu meluahkan kebimbangan kes melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang didaftarkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu. Menurut Tengku Maimun, sepanjang tahun lalu 59 kes membabitkan kesalahan seksual kanak kanak dilaporkan. Beliau juga orang Kelantan. Dilahirkan di Kota Bharu.

Satu lagi isu yang kerap timbul penghijrahan anak muda dari Kelantan ke negeri lain kerana tiada peluang pekerjaan di negeri sendiri. Diakui ini benar tetapi perlu diakui juga ini sudah berlaku sejak lama dahulu yakni waktu Kelantan diperintah Perikatan dan kemudian BN.

Bagi saya orang Kelantan “are a very enterprising lot”. Lihat sahaja Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu. Wanita berniaga dengan cekap malah anak Kelantan ramai yang berjaya dalam pelbagai bidang. Banyak nama terkenal asal Kelantan. Maka masalah yang menimpa seperti disebut tadi sememangnya menyedihkan. Kelantan bagi saya tidak dapat “fulfill its true potential”. Pada 1990-an ada sekumpulan cendiakawan anak Kelantan yang menubuhkan kumpulan untuk melakukan sesuatu malangnya tidak berhasil dan kumpulan itu bubar dengan sendirinya.

Selain soal pembangunan, gejala sosial yang dihuraikan ketua hakim negara amat membingungkan. Mengapa ia boleh terjadi sedangkan Kelantan ditadbir mengikut cara Islam, kalau ikut kata pemerintahnya sejak 33 tahun lalu.

Semasa meminta anak Kelantan di perantauan pulang menyokong kerajaan pada PRN akan datang, menteri besar berkata “Kita mahu terus menjadikan Islam sebagai asas pentadbiran di bumi serambi Mekah ini.” Kerana Islam lah anak Kelantan di luar Kelantan pulang setiap pilihan raya sejak 1990 untuk memastikan Islam berkuasa. Saya sendiri ada seorang kawan pakar IT di Cyberjaya yang mengambil cuti panjang untuk membantu PAS berkempen secara sukarela walaupun tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. Kata beliau, ini dilakukan kerana Islam.

Yang membingungkan saya ialah di mana silapnya ada banyak kes dadah dan seksual kanak-kanak ketika Islam didakwa dijadikan asas pentadbiran? Kita tidak mahu kegagalan manusia dikaitkan dengan Islam, pada hal yang gagal bukan Islam tetapi pemerintah yang mendakwa memerintah cara Islam.

Menurut seorang rakan, undi untuk PAS daripada pengundi tradisi yakni golongan dewasa dan warga emas berkurangan pada PRU15 namun maklumat ini tidak dapat disahkan. Oleh itu tidak pasti sama ada golongan lama sudah meragui kerajaan PAS pada waktu pengundi muda menyokong.

Pada suatu majlis moreh Ramadan lalu, saya kesempatan berbual dengan seorang pengusaha yang berjaya. Beliau anak jati Kelantan tetapi bermastautin di Shah Alam. Saya memberitahu beliau saya berpendapat anak muda Kelantan di perantauan mengundi PAS kerana mereka mahu Islam.

“Ya, mereka mahu Islam tetapi duduk di luar Kelantan. Mereka dapat bermacam nikmat di negeri mereka duduk tetapi tidak mahu Kelantan berubah. Selepas pilihan raya mereka tinggalkan ibu bapa, adik beradik mereka terus hidup dengan air kotor, sampah, dan macam-macam lagi masalah.”

Saya cuma capai kuih akok yang dihidang tanpa kata apa-apa. Saya bukan orang Kelantan.

Meninggal dunia selepas sertai Maraton London

Reuters

London: Seorang lelaki berusia 45 tahun meninggal dunia ketika pulang ke rumahnya selepas mengambil bahagian di Maraton London Ahad lalu, jelas penganjur kejohanan dalam satu kenyataan.

Steve Shanks, dari Nottingham, adalah pelari berpengalaman yang menamatkan perlumbaan dalam masa dua jam, 53 minit, 26 saat, kata penganjur sambil menambah bahawa punca kematiannya akan diketahui kemudian melalui pemeriksaan perubatan.

"Semua orang di Maraton London sangat sedih mendengar mengenai kematian mengejut Steve Shanks," kata penganjur.

Kelvin Kiptum dari Kenya memenangi perlumbaan lelaki dalam dengan mencatat masa dua jam, satu minit, 25 saat, dengan atlet jarak pertengahan Belanda, Sifan Hassan memenangi perlumbaan wanita.

Lebih 48,000 orang menamatkan perlumbaan berkenaan.

Rempit: Merusuh, pukul polis, 4 lelaki ditahan

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my

Kulai: Seorang anggota polis dipukul oleh sekumpulan Mat Rempit ketika menjalankan tugasan Op Selamat ke 20 di Kilometer 7 Jalan Kulai - Kota Tinggi di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, laporan polis dibuat mangsa pada jam 3.04 petang pada hari kejadian.

Katanya bertindak atas maklumat, empat suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kulai dan Johor Bahru, semalam.

"Sepasukan Pegawai dan Anggota dari Bahagian Siasatan jenayah IPD Kulai membuat serbuan di dua lokasi berasingan dan menahan empat suspek warga tempatan berusia 23 hingga 39 tahun.

"Hasil siasatan awal keempat-empat suspek mengaku terbabit dalam kejadian merusuh dan perlumbaan haram.

"Tiga daripada suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah dan jenayah," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Beng Yeow, kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga 28 April ini.

Kes disiasat dibawah seksyen 186 dan 146 kanun keseksaan.

'Buka pam, bukan air tetapi angin yang keluar'

NURUL HIDAYAH HAMID

Suri rumah, Fatimah Yahya menadah air dalam tong air untuk digunakan bagi urusan seharian di rumahnya di Kampung Pulau Pisang.

Suri rumah, Fatimah Yahya menadah air dalam tong air untuk digunakan bagi urusan seharian di rumahnya di Kampung Pulau Pisang.

JITRA - Beberapa keluarga di Kampung Pulau Pisang, mukim Jeram, di sini, resah memikirkan masalah gangguan bekalan air yang didakwa makin kritikal terutamanya ketika musim perayaan Aidilfitri ini.

Suri rumah, Fatimah Yahya, 80, berkata, masalah bekalan air yang dialami telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu namun makin serius sejak beberapa hari lepas.

Fatimah berkata, bekalan air hanya diterima pada waktu malam bermula lebih kurang jam 12 tengah malam hingga jam 6 pagi hingga menjejaskan sambutan Aidilfitri.

"Bayangkan, saya buka pam seharian namun bukan air tetapi angin yang keluar. Jadi, saya terpaksa berjaga malam untuk menadah air dari paip rumah ke tong tadahan air.

"Ketika orang lain nyenyak lena, saya telah bangun untuk menadah air hingga ke pagi, itupun belum tentu penuh disebabkan air keluar sedikit sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Fatimah memberitahu, dia dan anak perempuannya, Fazidah Ramli, 52, terpaksa bergilir-gilir menadah air untuk kegunaan harian mereka terutamanya memasak.

Sementara itu, Fazidah menambah, mereka telah memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli pam air untuk menyelesaikan masalah itu.

Bagaimanapun, Fazidah memaklumkan, masalah gangguan bekalan air dialami masih juga tidak selesai meskipun pelbagai cara termasuklah memasang paip telah dilakukan.

Fazidah mengakui, masalah bekalan air dialami menyukarkan urusan seharian, sekali gus menyebabkan sambutan raya kali ini dirasakan agak suram.

"Hendak sambut raya pun rasa tidak seronok kerana apa sahaja ingin dilakukan terganggu dengan ketiadaan air itu," katanya.

Sehubungan itu, katanya, mereka merayu agar masalah bekalan air dialami di kawasan itu dapat diselesaikan segera bagi memudahkan urusan mereka dan beberapa keluarga lain.

Sebelum ini, Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dalam satu kenyataan memaklumkan akan melaksanakan pelan kontingensi selama lima hari bermula Khamis hingga Isnin sebagai persediaan awal berdepan kemungkinan berlaku gangguan bekalan air di negeri ini sempena Hari Raya Aidilfitri

SADA memaklumkan, pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan permintaan air melebihi 30 peratus oleh pengguna sepanjang musim perayaan disebabkan kepulangan anak perantau ke kampung halaman selain faktor cuaca kemarau.

Panggilan video selamatkan kru dirompak di pelantar minyak

FMT Reporters

EMPAT  suspek warga tempatan yang ditahan ketika melakukan rompakan dalam Ops Pagar Laut. FOTO Omar Ahmad
Suspek 

PETALING JAYA: Panggilan video isteri berjaya menyelamatkan suami dan rakannya dalam rompakan di sebuah pelantar minyak di Pelabuhan Tanjung Langsat, Kota Tinggi, semalam.

Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Saiful Lizan Ibrahim, berkata empat warga tempatan berusia 27 hingga 47 tahun, termasuk dua beradik ditahan dan dipercayai menggunakan parang sebagai senjata dalam rompakan itu.

“Pada 10.30 malam 24 April lalu, Maritim Malaysia Johor menerima aduan mengenai rompakan di atas pelantar Aurora Producer 1 di kedudukan 0.7 batu nautika timur laut jeti Pelabuhan Tanjung Langsat.

“Ekoran itu, bot Perkasa 30 diarahkan ke lokasi serta tiba pada 12.30 tengah malam dan menemui sebuah bot gentian kaca bersama empat suspek di bawah pelantar terbabit dalam keadaan mencurigakan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata, semua suspek itu pada mulanya berpura-pura menarik kabel logam, kemudian menenggelamkan bot dan berpaut pada tiang pelantar, sebelum terjun ke laut akibat keletihan.

Katanya, hasil pemeriksaan awal di pelantar itu menemui dua kru berusia 24 dan 32 tahun yang disyaki menjadi mangsa rompakan.

Beliau berkata, mangsa mendakwa pelantar yang sedang diselenggara itu dinaiki tiga lelaki bertopeng, bersenjata tajam yang menyerang, mengikat kaki, tangan dan mulut mereka sebelum dikurung dalam sebuah kabin.

Katanya, mangsa terkurung selama dua jam, sebelum berjaya meleraikan ikatan dan bersembunyi menunggu ketibaan pihak berkuasa.

“Ketika kejadian, salah seorang mangsa kebetulan sedang membuat panggilan video dengan isterinya sebelum isterinya menyedari sesuatu, selepas telefon bimbit suaminya itu dirampas secara tiba-tiba dan terus senyap.

“Bimbang keadaan suaminya, wanita itu terus menghubungi talian kecemasan 999 dan pihak kami terus membuat pengesahan dengan Lembaga Pelabuhan Johor dan mendapati memang terdapat pekerja di pelantar tersebut.

“Jumlah dan barang perkakasan pelantar yang disyaki dicuri masih dalam siasatan, termasuk nilai kerugian. Pihak kami juga menghantar penyelam untuk mendapatkan bukti di lokasi kejadian.”

Katanya, tiga daripada empat suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk memiliki senjata berbahaya dan dadah, dengan semuanya direman lima hari sehingga 29 April ini untuk disiasat mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan.

Ibu bapa enggan ujian DNA, anak tak dapat IC

V Anbalagan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mengeluarkan kad pengenalan kepada seorang remaja berusia 13 tahun kerana ibu bapanya yang berlainan bangsa tidak menjalani ujian DNA.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Ruslin Jusoh dalam afidavit jawapan berkata, ibu bapa remaja itu diminta melakukan ujian DNA untuk mengesahkan kebapaannya.

“Kami meminta pasangan itu melakukan ujian DNA kerana ciri-ciri wajah dan warna kulitnya tidak sama dengan ibu bapanya,” kata Ruslin dalam afidavit bertarikh 26 Feb yang dilihat FMT.

Ruslin adalah ketua pengarah JPN dari April 2019 hingga Mac tahun ini, dan kini ketua pengarah Jabatan Imigresen.

Pasangan itu membawa remaja berkenaan ke cawangan JPN di Jalan Duta di sini pada 24 Mac tahun lalu, tetapi pegawai mendapati ciri-ciri wajah serta warna kulitnya tidak sama dengan mereka.

Ruslin berkata, tiga bulan kemudian, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN merekodkan kenyataan pasangan itu, dan menasihatkan mereka mendapatkan ujian berkenaan. Mereka bagaimanapun tidak bersetuju berbuat demikian ketika kembali ke JPN untuk menjawab soalan lanjut pada Oktober tahun lalu.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengesahkan kebapaan kanak-kanak itu, dan sementara itu saman dikemukakan ibu remaja berkenaan wajar diketepikan,” katanya.

Sementara itu, ibu remaja berkenaan dalam afidavitnya berkata wajah dan warna kulit kanak-kanak itu berlainan kerana beliau dan suami berasal dari negara malah bangsa berbeza.

Dalam afidavitnya yang disahkan bulan lalu, plaintif yang berkerakyatan Indonesia itu berkata, dia dinasihatkan peguamnya bahawa JPN tiada hak untuk mencampuri hal peribadi sesebuah keluarga.

“Tiada keperluan untuk kami menjalani sebarang ujian DNA memandangkan defendan (JPN dan kerajaan) tidak mempertikaikan anak itu dilahirkan semasa perkahwinan kami.

“Oleh itu, anak ini adalah anak sah bersama suami, dan berdasarkan itu, dia adalah warganegara Malaysia,” katanya.

Wanita itu juga mendakwa mereka enggan mengambil ujian DNA kerana telah diberikan nasihat salah oleh JPN.

Pada Januari lalu, wanita itu memfailkan saman memohon deklarasi bahawa anak lelakinya, yang telah dikeluarkan sijil beranak, adalah rakyat Malaysia.

Dalam saman pemula difailkan di Mahkamah Tinggi, wanita itu menuntut supaya ketua pengarah JPN mengeluarkan kad pengenalan untuk anaknya itu. Beliau juga mahukan sijil beranak anaknya yang kini dalam simpanan JPN, dipulangkan kepada mereka. Wanita itu yang telah mengahwini rakyat tempatan, turut menamakan kerajaan sebagai defendan.

Dalam afidavit sokongannya, wanita itu berkata dia mengahwini suaminya pada 2000 dan mereka mempunyai dua anak, yang kedua-duanya dikeluarkan sijil beranak memandangkan bapa mereka warga Malaysia.

Bagaimanapun, dia mendakwa pegawai JPN tahun lalu enggan mengeluarkan kad pengenalan untuk anaknya itu, sebaliknya merampas sijil beranaknya. Dia turut mengesahkan anaknya bukan rakyat negara lain, dan tidak membuat permohonan untuk kewarganegaraan lain.

Peguamnya A Srimurugan berkata Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh menetapkan 16 Ogos untuk mendengar permohonan itu.

Seleweng dana 1MDB - Switzerland dakwa dua pengurus Petrosaudi

Malaysiakini 

Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) telah memfailkan dakwaan terhadap dua pengurus Petrosaudi atas dakwaan bahawa mereka membantu menyeleweng AS$1.8 bilion daripada 1MDB untuk memperkayakan diri dan orang lain.

Ini berkaitan pemindahan AS$1 bilion pada 2009, dan AS$830 juta lagi antara 2010 dan 2011.

Dakwaan di Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland nampaknya merujuk kepada episod fasa Good Star dalam skandal 1MDB.

Siaran akhbar oleh OAG menyatakan bahawa kedua-dua tertuduh telah merancang bersama ahli perniagaan Low Taek Jho - yang kini dalam buruan - untuk menubuhkan syarikat usaha sama bagi projek palsu di Turkmenistan yang akhirnya akan menipu 1MDB.

Ini menyebabkan lembaga pengarah 1MDB bersetuju untuk memindahkan AS$1 bilion untuk projek usaha sama itu, yang mana AS$700 juta telah dialihkan ke dalam akaun Switzerland yang dimiliki oleh Low.

Daripada AS$700 juta itu, OAG berkata Low memindahkan AS$85 juta kepada salah seorang tertuduh, dan dia kemudian memindahkan AS$33 juta kepada tertuduh lain.

Walaupun OAG tidak menamakan tertuduh, ini nampaknya merujuk kepada Tarek Obaid dan Patrick Mahoney (gambar, bawah).

Peguam Shafee Abdullah semasa perbicaraan 1MDB mengemukakan dokumen yang menunjukkan Tarek dan Mahoney masing-masing menerima AS$85 juta dan AS$33 juta daripada dana yang melalui firma Good Star.

Sementara itu, OAG berkata baki AS$300 juta daripada pemindahan 1MDB Sept 2009 telah disalurkan kepada Petrosaudi untuk manfaat syarikat terbabit.

Selanjutnya, pendakwaan Switzerland juga berkata kedua-dua tertuduh turut bersubahat membantu Low menipu 1MDB sebanyak AS$830 juta lagi antara Sept 2010 dan Okt 2011 daripada sumber nota Murabahah pinjaman Islam susulan usaha sama palsu itu.

Menurut OAG, dana yang diterima kedua-duanya digunakan untuk memperoleh hartanah di Switzerland dan London, barang kemas, ekuiti persendirian, untuk membangunkan aktiviti Petrosaudi yang menjana pendapatan besar, serta mengekalkan gaya hidup mewah.

Sementara itu, dalam rujukan jelas kepada aduan oleh pemberi maklumat Xavier Justo (gambar, bawah) terhadap bos Petrosaudi mengenai ugutan, pemerasan, pemenjaraan palsu dan lain-lain, OAG berkata ia memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan.

Ia antara lain memetik bahawa unsur-unsur kesalahan yang dilaporkan tidak dipenuhi, hak untuk memfailkan aduan terbatas pada tempoh masa tertentu, atau perkara yang dilaporkan tidak menimbulkan syak wasangka yang munasabah di bawah undang-undang.

Bagaimanapun, OAG menyatakan bahawa keputusan ini boleh dirayu kepada Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland.

Bakal pengantin berbogel di tengah jalan raya

KOSMO!
Seorang wanita (kiri) berbogel selepas mendapati kekasihnya menipu dirinya di Jiangsu pada 17 April lalu. - Foto Sanook
BEIJING  – Seorang bakal pengantin di China berbogel di tengah jalan raya yang sibuk selepas mendapati tunangnya berlaku curang, lapor portal berita Thaiger semalam.

Insiden yang menarik perhatian itu berlaku pada 17 April lalu di wilayah Jiangsu.

Orang ramai yang lalu lalang terkejut, cemas dan bingung melihat wanita muda itu berdiri di tengah jalan raya tanpa seurat benang. 

Dia kelihatan sangat tertekan, bingung dan tidak dapat mengawal tindakan serta kata-katanya.

Kisah di sebalik tindakan melampau wanita itu sangat menyayat hati. 

Dia  menjalin hubungan cinta dengan tunangnya selama bertahun-tahun tanpa menyedari kecurangan lelaki itu. Mereka merancang untuk berkahwin pada 1 Mei ini. 

Sebelum acara besar itu berlaku, wanita muda itu secara tidak sengaja mendapati tunangnya telah menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain sejak sekian lama. 

Lelaki itu juga menggunakan wang mangsa untuk menyokong kehidupan perempuan simpanannya dan juga memandu kereta yang dibelinya baru-baru ini. 

Akhirnya, dengan bantuan polis tempatan, wanita muda itu bersetuju untuk beredar  dan pulang ke rumahnya.  – Agensi

KM Melaka: Isu skandal seks exco Melaka: Betul atau tidak, saya anggap fitnah

Malaysiakini 

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menganggap kontroversi seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang didakwa terbabit dalam skandal seks dengan seorang wanita sebagai fitnah dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Beliau berkata dalam dunia siber dan serba moden ini, pelbagai bentuk fitnah mudah disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.

"Saya anggap itu sebagai fitnah walaupun saya tak nak menafikan benda itu betul atau tidak.

"Sebab pengalaman ini, ramai sudah dapat tahu dan rasanya sama sahaja.

Mainan musuh politik

"Jadi saya pun tahu dan lihat ini adalah permainan musuh-musuh politik," katanya pada sidang media selepas membuat lawatan ke lokasi kematian ribuan ikan di Sungai Melaka, di Melaka hari ini.

Ab Rauf, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bahawa seorang exco negeri itu terbabit skandal seks dengan seorang wanita seperti mana tular di Facebook sejak semalam.

Menurutnya, beliau tahu asal usul kontroversi berkenaan selepas melihat dan meneliti perkara yang ditularkan itu, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

Beliau turut menyerahkan kepada anggota Exco terbabit sama ada mahu membuat laporan polis atau tindakan yang difikirkan wajar.

- Bernama

Pelajar mati letup mercun dalam mulut

KOSMO!
Brajesh meletupkan mercun bom 'sutli' dalam mulutnya ketika berada di dalam tandas. - Shutterstock
NEW DELHI  – Seorang  pelajar ijazah sarjana muda sains berusia 24 tahun di India  meninggal dunia kelmarin selepas meletupkan mercun di dalam mulutnya,  lapor portal berita Wion News.

Mendiang dikenali sebagai Brajesh Prajapati dari Sheopur, negeri Madhya Pradesh. Sebelum kejadian, keluarganya memaklumkan bahawa mereka tidak mampu menghantar Brajesh ke bandar besar  bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana masalah kewangan.

“Mendiang mengalami tekanan akibat beberapa isu,” seorang pegawai polis dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Press Trust of India (PTI).

“Brajesh  meletupkan mercun bom ‘sutli’ dalam mulutnya ketika berada di dalam tandas kira-kira pukul 9 pagi (waktu tempatan). Selepas mendengar bunyi letupan, keluarganya bergegas masuk. Mereka menghantarnya ke hospital, namun doktor mengisytiharkan mangsa telah meninggal dunia,” tambah jurucakap sama.

Polis mendaftarkan kes itu sebagai bunuh diri dan siasatan lanjut sedang dijalankan. 

Abang pelajar itu, Hridyesh berkata, adiknya itu mendapat markah yang baik dalam peperiksaan dan sedang menamatkan kursus ijazah sarjana muda sains di sebuah kolej tempatan. – Agensi 

Ada penduduk negeri Kedah terpaksa mengemis minta air dari jiran

Sambutan Aidilfitri suram, penduduk dakwa lori tangki tak hantar air

Adie Sufian Zulkefli

Sambutan Aidilfitri suram, penduduk dakwa lori tangki tak hantar air

Penduduk mendakwa, masalah itu menyebabkan sambutan Hari Raya kurang meriah berikutan kesukaran untuk melakukan persiapan termasuk menerima tetamu dan berkunjung ke rumah jiran. - Gambar/ Astro AWANI

ALOR SETAR: Sambutan Aidilfitri bagi lebih 100 keluarga di Kampung Tepi Laut, Tebengau di sini agak suram tanpa bekalan air mencukupi, yang didakwa sudah berlarutan sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Penduduk mendakwa, masalah berkenaan semakin serius menjelang Aidilfitri dan ketika sambutan perayaan itu, apabila lori tangki yang sepatutnya menghantar bekalan air tidak masuk ke kawasan itu.

Penduduk mendakwa, masalah itu menyebabkan sambutan Hari Raya kurang meriah berikutan kesukaran untuk melakukan persiapan termasuk menerima tetamu dan berkunjung ke rumah jiran.

Pekerja swasta, Amran Ibrahim, 53, berkata mereka bergantung sepenuhnya kepada penghantaran bekalan air melalui lori tangki ke rumah yang sebelum ini dijanjikan dua hari sekali.

Namun, dakwanya penghantaran air berkenaan tidak konsisten, malah tiada penghantaran dibuat ke kawasan mereka sejak beberapa hari sebelum Aidilfitri.

"Sudah lama masalah ini berlarutan. (Semasa bekalan diterima melalui lori tangki) macam ini angkut hari-hari laratkah? Setiap hari macam ini... masalah air tak selesai.

"Tengoklah, orang anak ramai (kehidupan lagi sukar sebab keperluan air lagi banyak... (terpaksa) pergi macam minta sedekah dengan jiran-jiran... umpama mengemis minta air," dakwanya ketika ditemui Astro AWANI.

Pekerja swasta, Norfatihah Abdul Talib, 25, pula berkata ketiadaan air ini menyusahkan penduduk melakukan kerja mencuci pakaian dan membersihkan diri.

Katanya, paling teruk dia serta penduduk lain terpaksa meminta air dari rumah jiran yang menerima bekalan air daripada lori tangki Syarikat Air Darul Aman (SADA), atau penduduk kampung lain untuk meneruskan aktiviti harian.

"Setiap kali raya, air memang tak ada... tapi selalunya mereka (SADA) akan hantar dengan lori, tapi sekarang mereka hantar tak cukup.

"(Ibarat) sebuah rumah dapat sebuah lagi tak dapat. Kena angkut (air) letak dalam besen... (kena) pergi basuh dekat rumah mak saudara hujung (kampung) sana," dakwanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Norhabibah Bakar, mendakwa pinggan di rumahnya sudah beberapa hari tidak bercuci malah bekalan air yang ada hanya cukup untuk anak-anaknya sahaja mandi.

"Pinggan di rumah dari sebelum raya tak cuci lagi. Angkut air kadang-kadang tak cukup untuk nak cuci... habuan anak-anak nak mandi sahaja... (saya) tak mandi (di rumah) sebab air tak ada...

"Terpaksa pergi ke rumah adik (untuk mandi)... kalau adik tak ada, maka tak mandilah," katanya.

Sementara itu, jurucakap SADA, ketika dihubungi berkata, masalah air di kampung itu yang berlarutan berpunca daripada projek penambahbaikan Loji Tadahan Air Pelubang yang mengambil masa untuk siap kira-kira lima bulan lagi.

Mengenai dakwaan penduduk lori tangki tidak membuat penghantaran air kebelakangan ini, katanya penghantaran dibuat di kawasan hadapan kampung dan pihaknya mengakui bekalan itu mungkin tidak mencukupi.

Justeru katanya, SADA berjanji akan menghantar bekalan air ke kampung berkenaan secara berperingkat.

Katanya, SADA turut meminta penduduk supaya membuat laporan ketiadaan air kepada Bahagian Aduan Bekalan SADA dan tindakan akan diambil dengan segera.

Katanya, sepanjang perayaan Aidilfitri, SADA telah membuka Pusat Khidmat Setempat (PKS) bermula 21 hingga 23 April 2023 bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

PKS ini bagi memudahkan penduduk di sekitar Kuala Kedah membuat aduan, mendapatkan maklumat terkini dan memperoleh bekalan air melalui tangki-tangki air yang ada disediakan sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bekas Adun PH tak gentar tindak balas pengundi

Dineskumar Ragu
Khaliq Mehtad Ishaq, Zulkifli Ibrahim dan Dr Afif Bahardin dilucutkan daripada DUN Pulau Pinang pada Mac di bawah undang-undang anti-lompat parti Pulau Pinang.
BUKIT MERTAJAM: Bekas Adun Pakatan Harapan tidak gentar dengan dakwaan akan berlaku tindak balas terhadap mereka jika bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN akan datang.

Khaliq Mehtab Ishaq, Zulkifli Ibrahim dan Dr Afif Bahardin dipilih sebagai Adun Pulau Pinang atas tiket PH pada 2018. Mereka telah dilucutkan daripada DUN pada Mac lalu.

Khaliq, yang juga bekas Adun Bertam, berkata beliau tidak kisah dengan tindak balas pengundi kerana telah melakukan yang terbaik dalam memberikan perkhidmatan kepada pengundinya.

“Ya, saya menang menggunakan logo PKR dan seterusnya menyertai PN. Tetapi yang paling penting ialah komitmen saya terhadap kerja yang dilakukan di kawasan saya,” katanya kepada FMT.

Di bawah undang-undang anti-lompat negeri, ketiga-tiga mereka dianggap “hilang” kerusi selepas Bersatu meninggalkan PH.

Zulkifli, bekas Adun Sungai Acheh, juga berkata pengundi boleh menilai beliau berdasarkan prestasi lepas.

Katanya, beliau antara Adun pertama yang menggerakkan penghantaran bakul makanan kepada isi rumah yang terjejas semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama Covid-19 pada 2020.

Walaupun ketiga-tiganya telah menyatakan hasrat untuk bertanding dalam PRN kali ini, namun mereka berkata keputusan itu terletak pada pucuk pimpinan PN.

Afif yang merupakan bekas Adun Seberang Jaya berkata, beliau telah terlibat dalam beberapa perbincangan dengan Bersatu.

“Saya percaya PN akan meletakkan calon terbaik dan boleh menang untuk semua kerusi yang akan ditandingi pada PRN akan datang,” katanya.

Beliau juga yakin PN akan mampu memenangi Seberang Jaya, dan kerusi DUN lain dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh seperti Penanti dan Permatang Pasir.

Khaliq berkata PN berkemungkinan menang DUN Bertam, memandangkan kawasan itu majoritinya Melayu.

Bagaimanapun, bekas Adun Teluk Bahang Zolkifly Md Lazim yang turut disingkirkan bersama ketiga-tiga mereka belum memberikan maklum balas sama ada beliau akan bertanding atau sebaliknya.

Malang si pencuri

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
Sungai Besar: Berpura-pura sebagai pelanggan yang mahu membeli iPhone 14 Pro Max sebelum cuba melarikan telefon pintar itu.

Itu tindakan dua lelaki lingkungan 20-an yang menyamun sebuah kedai telefon bimbit di Sungai Besar Business Centre (SBBC), di sini, dan mencederakan pekerja premis itu kelmarin.

Mereka bagaimanapun gagal memperoleh apa-apa selepas iPhone yang dirampas tercicir di lokasi kejadian dan kedua-duanya penjenayah melarikan diri dengan dua motosikal.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kejadian yang tular di media sosial itu berlaku jam 7.30 malam.

Beliau berkata, perkara itu dikesan menerusi satu video memaparkan tiga lelaki bergelut di hadapan premis itu semalam.

"Semakan lanjut mengesahkan satu laporan berkaitan kes samun dibuat seorang wanita yang juga penyelia premis.

"Siasatan mendapati pekerja wanita dan lelaki yang berada di kedai itu didatangi seorang suspek yang kononnya mahu membeli telefon jenis Iphone 14.

"Namun, suspek itu menyerang salah pekerja dan merampas telefon di atas meja kaunter jualan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Agus Salim berkata, pekerja itu kemudian mengejar suspek hingga ke luar premis dan berlaku pergelutan.

"Pada masa sama, seorang lagi rakan suspek turut bergelut dengan pekerja itu.

"Ekoran pergelutan itu, kedua-dua suspek melarikan diri dengan menaiki dua motosikal manakala pekerja berkenaan mengalami kecederaan di bahu kanan," katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Menurutnya, polis kini giat memburu dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, Asisten Superintendan Khairul Azman Mohd Zain di talian 03-32242222," katanya.

Laku kelucahan melampau terhadap bayi, polis cari Nenobota Marisa

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Polis sedang mengesan wanita warga Indonesia yang melakukan kelucahan melampau terhadap bayi sehingga video berkenaan tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, video tindakan wanita terbabit tular sebelum pihaknya menerima laporan polis dari bekas majikannya pada Khamis lalu.

"Siasatan mendapati video berkenaan dirakam tahun lalu dan mula tular di media sosial pada April tahun ini.

"Hasil siasatan juga mendapati wanita dalam video berkenaan adalah bekas pembantu rumah dan sudah pulang ke negara asal tahun lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek pernah bekerja dengan majikannya itu selama setahun setengah dan tidak dilanjutkan kontrak kerana mempunyai masalah disiplin.

"Polis kini sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas pasport milik suspek mendapati rekod menunjukkan wanita itu sudah keluar dari negara ini sejak 27 September 2020.

"Suspek dikenali sebagai Nenobota Marisa dan berasal dari Indonesia. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor M Megenderan di talian 03-79662222 atau 017-3356810," katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

4 maut kemalangan di Kemaman

Rosli Ilham
am@hmetro.com.my
KEADAAN kedua-dua kereta jenis Proton Persona yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabur yang mengorbankan empat nyawa. FOTO BOMBA
KEADAAN kedua-dua kereta jenis Proton Persona yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabur yang mengorbankan empat nyawa. FOTO BOMBA
Kemaman: Empat termasuk seorang bayi maut selepas dua kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Cheneh, petang tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu, kira-kira jam 4.47 petang.

Menurutnya, sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Cheneh serta anggota bersedia di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Perasing bergegas ke lokasi kejadian.

"Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 4.45 petang membabitkan dua kereta Persona.

"Persona pertama dinaiki tujuh mangsa dan tiga yang maut itu ialah dua wanita, Tuan Yah Dollah, 61, Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 22, dan Nor Syafinaz Naura Saiful Azwan, berusia dua tahun.

"Tiga lagi mangsa dalam kereta itu iaitu seorang lelaki, seorang wanita dan dua kanak-kanak cedera," katanya.

Azman berkata, sebuah lagi kereta dinaiki lima mangsa dan seorang daripadanya maut ialah Abdul Halim Ismail 51, yang duduk di bahagian penumpang depan.

"Empat lagi penumpang kereta itu, seorang lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak cedera," katanya.

Menurutnya, tiga yang maut itu berasal dari Bandar Cheneh Baru Kemaman manakala Abdul Halim beralamat di Batu Rakit Kuala Terengganu.

"Kesemua mangsa disahkan meninggal oleh pegawai perubatan yang dipanggil ke tempat kejadian dan kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kemaman dengan ambulans dari Hospital Kemaman dan ambulans Bomba.

"Mayat kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Agus: Aduh negeriku, kualiti air teruk dan sampah kotor berlonggok

Malaysiakini 

Kualiti air yang teruk, jalan sempit dan berlubang serta sampah berlonggok di merata tempat antara tiga masalah yang didakwa berlanjutan di Kelantan pada setiap sambutan lebaran, menurut Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohammad Agus Yusoff.

"Balik Kelantan sambut raya. Tiga perkara yang merimaskan.

"Airnya perlahan dan kualitinya teruk. Jalannya sempit dan berlubang.

“Sampah berlonggok di merata tempat dan kotor.

"Aduhhhh, negeriku. Masalah ini berulang setiap raya. Semoga boleh berubah," katanya pada hantaran di Facebook hari ini.

Bekas pensyarah sains politik itu juga menulis bahawa dia akan bertolak ke Pulau Pinang untuk menikmati 'kelainan' suasana.

Ini seolah-olah menyindir kerajaan Kelantan yang didakwanya masih gagal menyelesaikan masalah kemudahan asas rakyat.

"Sekejap lagi bertolak ke Pulau Pinang. Nikmati kelainan," katanya lagi.

Untuk rekod, PAS memerintah negeri Kelantan sejak 1990.

Amaran: Suhu maksimum 9 kawasan diramal cecah tahap berjaga-jaga

Bernama

KUALA LUMPUR: Tujuh kawasan di Semenanjung dan dua di Sabah diramal mengalami cuaca panas Tahap 1 (Berjaga-jaga) sekurang-kurangnya untuk tiga hari berturut-turut dengan suhu maksimum boleh mencecah antara 35 dan 37 darjah Celsius.

Menurut hantaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di Facebook, kawasan yang terlibat di Semenanjung ialah Jempol (Negeri Sembilan); Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas, dan Tanah Merah (Kelantan); Kuala Terengganu (Terengganu); dan Rompin (Pahang).

Di Sabah, kawasan yang terlibat ialah Beaufort dan Nabawan.

Orang ramai diminta merujuk https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ untuk maklumat terkini cuaca panas harian.

Warga emas samun guna pistol mainan diberkas

Bernama

IPOH: Taktik seorang warga emas bersenjatakan pistol mainan untuk menyamun akhirnya gagal apabila lelaki berusia 66 tahun itu diberkas ketika melakukan perbuatan itu di sebuah kedai menjual telefon bimbit, di Jalan Onn Jaafar, semalam.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada kira-kira 4 petang.

“Sepasukan anggota dari balai polis Pekan Baru bergegas ke tempat kejadian dan menangkap lelaki warga tempatan itu dan antara barang kes dirampas ialah sebuah beg galas, sepucuk pistol mainan dan dua bilah pisau,” katanya dalam kenyataan.

Tangkapan itu juga menyelesaikan dua lagi kes mengunakan modus operandi sama iaitu samun dengan bersenjata menyerupai pistol di sebuah kedai emas pada 25 Mac lalu dan kedai serbaneka pada 5 April lalu.

Katanya, suspek memiliki beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan narkotik manakala ujian saringan air kencing ke atasnya mendapati dia positif dadah jenis morfin.

Yahaya berkata ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu samun dengan bersenjata dan suspek direman selama tujuh hari sehingga Sabtu depan untuk siasatan lanjut.

Terlupa takbir: Solat sunat Aidilfitri tak perlu diulang

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK

SHAH ALAM - Solat sunat Aidilfitri tidak perlu diulangi sekiranya terlupa takbir kerana ia bukan menjadi satu rukun dalam ibadah berkenaan.

Menurut Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, takbir bukanlah rukun wajib seperti takbiratul ihramdan perkara lain seperti rukuk dan sujud.

"Tidak perlu ulang kerana ia tidak wajib dan menjadi rukun. Yang kena buat ini rukun tiga belas seperti takbiratulihram dan perkara lain seperti rukuk dan sujud.

"Jadi, tidak seharusnya perbuatan solat itu diulang kembali kerana ia menyebabkan kesusahan kepada para jemaah pula," kata beliau kepada Sinar Harian.

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seramai 3,000 jemaah di Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) terpaksa mengulangi solat berkenaan selepas imamnya tidak melakukan lima kali takbir di rakaat kedua.

Sejurus memberi salam, imam tersebut terus mengakui kekhilafannya dan mahu mengulangi solat sunat itu kali kedua kira-kira jam 8.55 pagi.

Gaduh gara-gara lemang mentah, polis tahan peniaga

Malaysiakini 

Seorang peniaga lemang ditahan bagi membantu siasatan memukul seorang lelaki warga emas yang mendakwa lemang dibelinya mentah dalam kejadian di sebuah gerai di Jalan Bukit Beruang Utama, di Melakai Jumaat lepas. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kejadian kira-kira 8 malam itu menyebabkan mangsa iaitu pesara tentera berusia 61 tahun luka di bahagian telinga kiri dan tangan kanan kerana terkena serpihan buluh lemang yang dibelah dan dirawat di Hospital Melaka.

Beliau berkata sebelum kejadian, warga emas itu datang ke gerai berkenaan untuk menukar lemang yang dibeli pada sebelah pagi kerana didapati masih mentah.

"Sebaik tiba di gerai berkenaan, mangsa mendakwa telah menunjukkan lemang yang beli di dalam bekas plastik kepada peniaga lemang iaitu seorang lelaki berusia 40 tahun tetapi peniaga itu tidak mahu melihatnya.

"Peniaga tersebut kemudian membelah satu daripada lemang yang dibeli mangsa dan menunjukkan lemang tersebut masak sepenuhnya sebelum berlaku pergaduhan mulut antara mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata peniaga berkenaan dikatakan bertindak memukul mangsa dengan buluh lemang di bahagian telinga kiri dan terkena pada tangan kanan sebelum mangsa beredar meninggalkan gerai.

Katanya siasatan awal mendapati kejadian berlaku kerana peniaga itu mendakwa mangsa mencampak lemang yang dikatakan tidak masak dalam bekas plastik kepadanya dan mahu menularkan video kejadian yang dirakam agar orang ramai tidak datang ke gerai tersebut.

Christopher berkata selain itu, peniaga berkenaan juga mendakwa mangsa telah membalingnya dengan plastik berisi lemang yang dibeli sehingga menyebabkannya berang.

Beliau berkata peniaga itu ditahan di tepi Jalan Kota, di Melaka kira-kira 12.15 tengah malam pada Sabtu dan kemudian dilepas dengan jaminan polis selepas keterangannya direkodkan.

"Kes masih disiasat lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.

Semalam tular menerusi media sosial video berdurasi 29 saat yang memaparkan tindakan seorang peniaga lemang memukul lelaki warga emas dengan buluh lemang selain mengeluarkan kata-kata kesat.

- Bernama

Lapar, rindu juadah raya, mat rempit serah diri selepas 6 jam

FMT Reporters
Sebahagian mat rempit yang menyerah diri selepas bersembunyi dalam kebun kelapa sawit kira-kira enam jam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Sekumpulan mat rempit menyerah diri selepas bersembunyi enam jam dalam kebun kelapa sawit untuk mengelak ditahan polis dalam Op Selamat di Kulai, Johor semalam.

Ketua Polis Kulai, Tok Beng Yeow berkata, operasi khas bermula 11 malam Jumaat hingga 5 petang Sabtu itu diadakan di KM7 Jalan Kulai-Kota Tinggi.

Katanya, operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kulai yang dibantu unit kereta peronda (MPV) dan Cawangan Pengangkutan bertujuan mengekang kegiatan mat rempit di sekitar Kulai.

“Dalam operasi itu, 57 lelaki berusia 17 hingga 42 tahun dikesan bersembunyi dalam kebun kelapa sawit berhampiran. Kebanyakan mereka masuk ke kawasan kebun itu kira-kira 3 pagi dan cuba keluar melalui jalan tikus yang dikepung polis.

“Akhirnya, pada 9 pagi semalam, seorang demi seorang penunggang motosikal ini menyerah diri disebabkan menemui jalan buntu,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, ada di antara mat rempit itu tidak tahan dengan keadaan panas dalam kebun sawit, selain lapar dan rindu dengan juadah raya.

Katanya, 140 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk tiada lesen memandu, perlindungan insurans, LKM tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, mengubah suai ekzos dan tidak bertopi keledar.

Menurutnya, 39 motosikal turut disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.