Ekonomi Mahathir Firaunik, kata Pas sebelum ini

HarapanDaily.com

Seorang bekas pemimpin kanan Pas mengingatkan parti itu pernah menggelarkan model ekonomi Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai firaunik.

Datuk Mohd Nakhaie Ahmad yang kini Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkata, adalah suatu yang ganjil apabila Pas melantik Tun Mahathir sebagai penasihat ekonomi bagi empat negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN).

Beliau berpendapat tidak wajar Pas memilih bekas Perdana Menteri dua kali berkenaan sebagai penasihat ekonomi bagi negeri-negeri yang diperintah oleh Pas iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

“Ini kerana Pas sepatutnya membangun ekonomi Islam. Tun Mahathir bukan ahlinya.

“Haji Hadi (Presiden Pas) lebih layak kerana kepakarannya dalam pengetahuan mengenai ekonomi Nabi Yusuf yang boleh diubah suai dengan kondisi ekonomi Malaysia,” kata Nakhaie menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Terdahulu, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dilapor dalam proses membentuk satu kumpulan negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) dengan Tun Mahathir sebagai ‘penasihatnya tidak rasminya.’

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dipetik berkata menteri besar empat negeri terbabit akan mengadakan perbincangan untuk pembentukan kumpulan yang berfokus kepada pembangunan ekonomi.

Menurutnya, kesemua menteri besar berkenaan secara prinsipnya bersetuju untuk mewujudkan kerjasama dan beliau sendiri sudah mengarahkan ahli Exco berkaitan untuk berbincang dengan rakan mereka di tiga negeri lain di bawah PN.

Beliau memberitahu peranan Tun Mahathir secara spesifiknya memberikan nasihat mengenai tatakelola berkesan untuk memastikan kumpulan itu diuruskan dengan efektif.

Jelasnya, Tun Mahathir juga berperanan untuk menghubungkan empat negeri itu dengan pelabur seperti Jepun dan Korea Selatan yang beliau ada hubungan yang baik.

Mengulas lanjut, Nakhaie berpendapat Pas lebih wajar Pas memanfaatkan pakar-pakar ekonomi Islam di Malaysia dan dunia untuk merancang pembangunan ekonomi Islam di negeri-negeri Pas sebagai model pembangunan ekonomi Islam.

“Jika benar Pas melantik Tun Mahathir, saya kira sesuatu yang ganjil kerana model ekonomi Tun Mahathir sebenarnya tidak Islamik.

“Meminjam kata-kata Pas sendiri model ekonomi beliau adalah firaunik,” kata Nakhaie lagi.

Wakil rakyat PH persoal demo PN laung 'reformati'

Martin Vengadesan

Wakil rakyat PH menyokong hak PN untuk mengadakan berdemonstrasi hari ini namun mereka juga menyoal kewibawaan pembangkang dalam menegakkan kebebasan dan melaksanakan pembaharuan.

"Kami menghormati hak mereka berhimpun. Namun, mereka yang melaungkan 'reformati' itu malangnya juga kurang wibawa untuk pembaharuan.

"Untuk mengatasi kami dalam reformasi, sila tunjukkan kepada kami agenda reformasi anda di (negeri yang ditadbir PN) Perlis, Terengganu, Kedah dan Kelantan.

“Selain melantik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat (di negeri-negeri ini), kongsikan apa yang telah anda lakukan dalam tempoh 10 hingga 30 tahun mentadbir negeri anda,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung.

Sementara itu, Adun Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari berkata PN bersikap oportunis dalam mengadakan demonstrasi itu.

“Mereka ini jelas perkauman dan berfahaman haluan kanan dan kami telah melihat warna sebenar mereka apabila mereka membentuk kerajaan selepas Langkah Sheraton.

"Walaupun mereka mungkin menuntut hak di bawah perlembagaan, mereka tidak mempunyai hala tuju yang jelas untuk reformasi sistem.

"PN tidak melakukan apa-apa semasa mereka memegang jawatan, dan ini mempertikaikan kesahihan tunjuk perasaan mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Perhimpunan Hari Malaysia yang diketuai PN hari ini menyaksikan lebih 1,000 penyokong berdemonstrasi lebih sejam di jalan-jalan berhampiran kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur.

Polis menganggarkan jumlah orang ramai sekitar 850 orang manakala penganjur mendakwa seramai 10,000 orang ramai hadir perhimpunan PN itu.

Tiada kehadiran polis pencegah rusuhan di jalan raya tetapi anggota beruniform berdiri dalam dua barisan dan menghalang orang ramai daripada membelok ke jalan menuju ke balai polis Dang Wangi.

Perhimpunan sebelum itu dimulakan dengan solat Zuhur yang diadakan di Masjid Jamek Kampung Baru.

Walaupun penganjur menyifatkan perhimpunan itu sebagai sambutan Hari Malaysia, fokus utamanya membantah keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan di mahkamah.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim (gambar, atas) berkata pihak berkuasa melakukan tindakan yang betul apabila membenarkan demonstrasi PN itu berlangsung.

"Perhimpunan PN petang ini sah mengikut undang-undang mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

"Akta Perhimpunan Aman 2012 digubal untuk memudahkan rakyat berhimpun di mana-mana, pada bila-bila masa.

“Malaysia sebuah negara demokrasi dan kita harus meluaskan ruang untuk rakyatnya menyatakan pendapat dan hak mereka untuk berkumpul dan mengadakan perhimpunan aman,” katanya kepada Malaysiakini.

70 peratus penjawat awam di Terengganu tidak sokong Kerajaan Perpaduan

HarapanDaily.com

Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu, Azan Ismail, mendakwa kira-kira 70 peratus penjawat awam kerajaan Persekutuan di Terengganu tidak menyokong Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Beliau berpendapat tiada program mendekati golongan itu merupakan punca utama penjawat awam tidak menyokong calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya yang juga bertanding di Parlimen Kuala Terengganu pada PRN Ogos lalu, tiada kerjasama antara pengurusan jawatankuasa PKR termasuk Angkatan Muda dan Wanita turun menjadi punca PH-BN di negeri itu kalah di semua kerusi ditandingi.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pimpinan parti termasuk daripada PH dan BN perlu bertanggungjawab dengan kekalahan memalukan itu.

“Kegagalan memenangi 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRN lalu adalah kekalahan bersama dan bukannya BN, AMANAH serta Keadilan,” katanya.

Azan berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agong Keadilan peringkat Cabang Kuala Terengganu, hari ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Terengganu itu berkata, kerjasama dengan BN juga tidak berlaku dan kelewatan perbincangan pengagihan kerusi, selain perebutan kerusi turut menjadi antara punca kegagalan.

Justeru, ujarnya dipetik BH, semua pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu mendedahkan hasil bedah siasat punca kekalahan pada PRN lalu.

“Setakat ini, kita dimaklumkan semua parti Kerajaan Perpaduan belum melakukan bedah siasat untuk menentukan punca kekalahan.

“Kita tidak menolak punca utama menyebabkan bedah siasat punca kekalahan belum dilakukan kerana pimpinan parti masih berada dalam kekecewaan disebabkan gagal memenangi kerusi pada PRN lalu,” katanya lagi.

Salleh ingatkan PH tentang Dr M

FMT Reporters

Bekas ketua menteri Salleh Said Keruak percaya langkah menjadikan Mahathir Mohamed penasihat tidak rasmi bagi negeri yang ditadbir PN “langkah pertama” beliau.
PETALING JAYA: Pakatan Harapan perlu berfikir jauh ke depan bagi mencegah sesuatu yang berpotensi menjadi krisis politik, daripada Perikatan Nasional “bawah pemimpin ‘de facto’ Dr Mahathir Mohamad”, menurut Salleh Said Keruak.

Bekas ketua menteri Sabah itu mengingatkan bahawa bekas perdana menteri itu tidak akan membuat sebarang langkah tanpa matlamat dan tujuan.

“Beliau juga dikenali sebagai seseorang yang hanya mengorak langkah apabila beliau boleh nampak dan merebut peluang meraih manfaat politik yang besar,” katanya di Facebook.

Salleh percaya langkah menjadikan Mahathir penasihat tidak rasmi bagi negeri-negeri yang ditadbir PN “langkah pertama” beliau, dengan “banyak lagi akan menyusul”.

“Mahathir tiada masa dan kesabaran untuk tunggu PRU16. Oleh itu, dia perlu merangka pergerakannya secara teratur dan memanfaatkan peluang-peluang yang ada dengan pantas,” dakwanya.

Salleh berkata PH perlu mendahului Mahathir sekiranya ia mahu mencegah sebarang potensi krisis.

“Saya percaya pimpinan PH sedar apa yang boleh dijangkakan daripada Mahathir jika beliau membuat sebarang langkah pada masa depan,” katanya.

Baru-baru ini, empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang diperintah PN bersetuju mewujudkan kerjasama “State-Government 4”, yang akan mendapatkan nasihat daripada Mahathir secara tidak rasmi.

Salleh dalam kenyataan sebelum ini percaya langkah menjadikan Mahathir penasihat tidak rasmi itu bertujuan menonjolkan beliau sebagai pemimpin “de facto” bagi gabungan itu.

Himpunan Selamatkan Malaysia yang bukan ‘perhimpunan’

Faiz Zainudin
Penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia mengumumkan tiada perhimpunan..
KUALA LUMPUR: Himpunan Selamatkan Malaysia berlangsung dengan peserta berkumpul di sekitar Masjid Jamek Kampung Baru dan bergerak beramai-ramai ke IPD Dang Wangi.

Di sebalik semua aktiviti itu, penganjur mengumumkan bahawa tiada perhimpunan diadakan dan pergerakan ke IPD Dang Wangi itu bukan perarakan.

Sebelum bergerak ke balai polis, peserta ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ diilihat berada di kiri kanan jalan sekitar masjid sambil memegang kad ‘Dakwa Zahid’, manakala penganjur memberikan ucapan.

Penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia menyifatkan pergerakan ke IPD Dang Wangi bukan perarakan.
“Pimpinan di sini akan menuju ke IPD Dang Wangi. Kami akan berjalan kaki melalui hadapan Sogo. Siapa nak ikut, siapa tak nak ikut terserah tapi kita akan berjalan menuju ke IPD Dang Wangi untuk buat laporan,” kata wakil sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Nazir Helmi yang juga ketua penerangan Pemuda PAS.

Nazir menyifatkan perjalanan sejauh 2km ke IPD Dang Wangi itu sebagai ‘mengiring’ pemimpin.

“Ini bukan perarakan tapi nak iringi pimpinan. Jangan lakukan provokasi. Pastikan tak ganggu orang ramai,” katanya sebelum perjalanan bermula.

Peserta berhenti di Sogo di mana mereka mendengar ucapan sambil menunggu wakil selesai membuat laporan polis.
Laporan polis akan dibuat oleh ahli jawatankuasa penganjur, Tun Faisal Ismail Aziz.

“Saya akan membuat laporan dan mendesak untuk dakwa semula Zahid Hamidi,” katanya.

Pergerakan manusia itu terhenti di hadapan Sogo, yang merupakan lokasi asal ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ sebelum bertukar ke Kampung Baru.

Di situ, peserta mendengar ucapan sambil menunggu wakil selesai membuat laporan polis.

Antara watak yang kelihatan di IPD Dang Wangi adalah Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional Tun Faisal Ismail Aziz, dan Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali.

Mereka memasuki balai polis kira-kira 2.30 petang tadi.

Siapa kata tak meriah?

Mohsin Abdullah

Berkata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, si ketua Pemuda Bersatu, himpunan Pemuda Perikatan Nasional dan sekutunya yang dijadualkan hari ini 16 Sept bagi membantah keputusan lepas tanpa bebas Zahid Hamidi “ditukar” kepada sambutan Hari Malaysia.

Tetapi kata sekretariat penganjur, perhimpunan tetap meletakkan isu Zahid sebagai agenda utama. Dua lagi perkara yang mereka tuntut membabitkan peguam negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Ertinya ada protes walaupun kata mereka secara aman. Lain macam meriahnya sambutan Hari Malaysia. Tafsiran tersendiri gamaknya. Penganjur turut memberitahu himpunan bertema “Selamatkan Malaysia”. Untungnya Malaysia kerana ramai yang mahu menyelamatkannya. Selamat daripada siapa dan daripada apa?

Dulu (tepatnya 1990) masa Tengku Razaleigh Hamzah mengetuai dua gabungan politik pembangkang (Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah) menentang Barisan Nasional pimpinan Dr Mahathir Mohamad, slogan “Selamatkan Malaysia” digunakan. Jelas Ku Li mahu selamatkan Malaysia daripada cengkaman (dakwa beliau salah guna kuasa) Mahathir. Hasrat itu tidak tercapai kerana gabungan Tengku Razaleigh tewas di peti undi.

Musuh ketatnya Mahathir semasa memimpin Pakatan Harapan juga menggunakan slogan “Selamatkan Malaysia”. Waktu itu Mahathir mahu Malaysia diselamatkan daripada BN khususnya Najib Razak yang terpalit pelbagai skandal kewangan. PH berjaya pada PRU14 2018. Jika ikut tafsiran Malaysia berjaya diselamatkan.

Selepas kerajaan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, PH tanpa Mahathir sekarang mentadbir Malaysia bersama BN. Sekali lagi ikut logik Malaysia sudah selamat. Oleh itu himpunan PN dan sekutu untuk selamatkan Malaysia boleh dilihat sebagai usaha selamatkan Malaysia yang sudah selamat. Setuju atau tidak terpulang tetapi demikian congaknya. Namun sejak bila logik diambil kira dalam hal poltik? Jangan nafi himpunan hari ini ialah mengenai politik.

Tetapi berkata pula Anwar Ibrahim, kerajaan perpaduan pimpinannya berdepan cabaran lebih rumit untuk menyelamatkan Malaysia berikutan sikap pembangkang yang ekstremis dengan memainkan isu agama dan kaum untuk mendapatkan sokongan. Ertinya Malaysia masih perlu diselamatkan jika mengambil kira hujah perdana menteri. Hakikatnya PH-BN mahu Malaysia diselamatkan daripada PN sementara PN pula mahu Malaysia diselamatkan daripada PH-BN.

Di celah itu timbul sambutan Hari Malaysia ala PN yang disebut tadi yakni diisi dengan bantahan, tuntutan, dan desakan. Aneh dan pelik cara menyambut hari kelahiran Persekutuan Malaysia yang ke-60.

Sebenarnya apa yang mahu saya utarakan menerusi artikel ini ialah Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Bermula dengan Hari Kebangsaan. Menjelang 31 Ogos tempoh hari Rina Harun sang pemimpin Bersatu menulis di Malaysiakini bahawa beliau “secara jujur tidak pasti sama ada kita benar-benar merasa teruja untuk menyambut hari yang penuh bersejarah itu atau sebenarnya langsung tak bersedia”.

Beliau mengambil contoh tidak banyak kenderaan dan premis perniagaan yang memasang Jalur Gemilang. “Kalau dulu seawal bulan Ogos lagi kita dapat lihat rakyat berlumba-lumba mengibar Jalur Gemilang”. Bagi saya beliau menyindir kerajaan perpaduan. Rina tidak menjelaskan “dulu” itu bila. Zaman PN memerintah? Waktu itu pun rakyat tidak ambil pot.

Namun ada satu tahun pada 1990-an waktu Mahathir memerintah bersama BN tercetus keghairahan luar biasa. Rakyat ketika itu cukup patriotik. Jalur gemilang ada di merata-rata. Bagaimanapun tahun-tahun berikutnya semangat itu kendur meskipun Mahathir kekal perdana menteri.

Dua hari lalu Rina menulis lagi di portal berita yang sama, kali ini mengenai “Hari Malaysia bukan sekadar sambutan”. Kata beliau hakikatnya masih ramai yang “tak tahu perbezaan antara Har Merdeka (yang kini dinamakan Hari Kebangsaan) dan Hari Malaysia bahkan ada yang menganggap Hari Merdeka dan Hari Malaysia itu sama”.

Menurut beliau situasi ini bukan sesuatu yang memeranjatkan “memandangkan kita akur rakyat negara ini semakin luntur semangat patriotiknya sekali gus memberi kesan terhadap pengetahuan mereka tentang negara”.

Adakah dengan berkata rakyat “semakin luntur semangat patroktiknya” beliau maksudkan sejak diperintah kerajaan sekarang? Saya rasa itu yang Rina maksudkan. Sekadar pendapat peribadi.

Apa pun mengapa beliau tidak perbetulkan kesilapan dan kesalahan yang beliau huraikan semasa duduk sebagai menteri dalam kerajaan PH pimpinan Mahathir, Muhyiddin, dan Ismail? Mengapa tidak melakukan sesuatu di kementerian yang diterajui beliau atau membawa hal ini ke Jemaah Menteri?

Antaranya mengambil langkah agar setiap rakyat faham yang Merdeka pada 31 Ogos 1957 ialah Tanah Melayu bukan Malaysia. Malaysia hanya wujud pada 16 Sepetember 1963. Bermula itu Tanah Melayu dilihat sudah tidak ada lagi. Maka Hari Merdeka dikenali sebagai Hari Kebangsaan. Juga mengambil langkah untuk memastikan rakyat bersemangat menyambut kedua-dua hari itu.

Sehingga kini Hari Kebangsaan disambut lebih meriah oleh orang Semenanjung berbanding Hari Malaysia kerana mengaitkan hari itu dengan kemerdekaan negara. Kawan-kawan kita di Sabah dan Sarawak kurang minat menyambut 31 Ogos kerana kata mereka tidak ada kena mengena dengan mereka. Mereka bangga dengan 16 Sept Hari Malaysia. Orang Semenanjung sebaliknya. Itu realiti yang menyedihkan.

Orang kita sering merujuk keadaan di Indonesia apabila republik itu menyambut hari kemerdekaannya pada 17 Ogos. Sememangnya semangat patrotik boleh dirasa awal-awal lagi. Bendera merah putih dikibar dengna bangga di merata tempat. Dibeli sendiri oleh rakyat. Tidak perlu tunggu handout daripada kerajaan. Sambutan diadakan sepanjang Ogos pada peringkat rakyat, bukan sahaja peringkat nasional anjuran pemerintah. Acara rakyat dibiayai dan disertai rakyat. Kesimpulannya rakyat Indonesia cukup bangga dengan kemerdekaan mereka. Apatah lagi, kata mereka, dicapai dengan pertumpahan darah para pejuang melawan Belanda.

Itu semua kita tahu. Mungkin yang kita tidak tahu ialah Pancasila, falsafah utama di sebalik ketatanegaraan Indonesia diajar sebagai mata pelajaran bermula di tadika, ke sekolah rendah, dan langsung ke sekolah menengah. Ertinya ada peperiksaan. Bukan mengajar secara suka-suka. Ertinya rakyat dipupuk pada usia amat muda lagi.

Kita ada Rukun Negara yang boleh dianggap Pancasila versi kita. Mungkin ada eloknya kerajaan sekarang mengkaji bagaimana ia boleh diserap ke dalam setiap rakyat bermula daripada si kecil. Lakukan apa yang kerajaan sebelum ini tidak lakukan. Demi negara.

Selamat Hari Malaysia.

Setahun selepas kafirkan Pas, Mahathir kini penasihat empat negeri PN

HarapanDaily.com
Setahun selepas kafirkan Pas, Mahathir kini penasihat empat negeri PN
AHMAD MURSI

Hanya setahun (16 September 2022) selepas Tun Dr Mahathir amalkan takfiri belajar daripada Pas yang dulu kafirkan UMNO, kini Pas lantik Mahathir jadi Penasihat (14 September 2023).

Tersenyum saya sambil menghirup Nescafe. Lucunya politik takfiri Pas-Tun M.

Banyak peringatan Nabi Muhammad SAW bahawa siapa yang mengkafirkan saudaranya yang Muslim maka dialah menjadi kafir.

Kini, pemikir-pemikir takfiri bergabung membentuk pasukan ‘Ahzab’ Ghuluw untuk melawan MADANI. Ibarat Ahzab kepung kerajaan Madinah. Itu jika pinjam cara Pas.

Dalil terkini Pas: Abu Sufian yang jahat pun akhirnya masuk Islam. Di mata saya, ini pakatan Khawarij menentang Saidina Ali.
Mahathir muncul buat pertama kali di atas pentas PN pada Program Munajat Rakyat Kelantan Pakat Pertahan dan Amanah Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 21 Julai lalu.

Dalil sentiasa menyebelahi mereka dan lawan politik sentiasa bersalahan dengan dalil Pas.

Apabila perdebatan politik berkisar hal kafir, munafik, lawan Islam, musuh Islam, musuh al-Quran, mereka perlu guna dalil juga untuk halalkan apa yang mereka haramkan sebelumnya.

Aktiviti menjual agama untuk kepentingan dunia berleluasa. Inilah maksud ‘Penunggang Agama’.

Jika debat idea ekonomi dan polisi untuk bersaing, maka berlawan dan berkawan dianggap bukanlah hal akidah tapi maslahah.

Mesej Pas: Negeri Pas tidak perlukan PMX nak bangunkan negeri, yang diperlukan lawan-PMX iaitu Tun M.

Warga emas rentung dalam kereta

FMT Reporters
Seorang warga emas lelaki berusia 67 tahun ditemukan rentung, awal pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Warga emas rentung dalam kebakaran melibatkan empat kenderaan di sini, awal pagi tadi.

Bomba Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.45 pagi.

Katanya, menurut laporan awal kebakaran membabitkan kenderaan diparkir.

Kebakaran melibatkan empat kenderaan diparkir iaitu jenis Ford Telstar, Naza Citra, Proton Wira, dan lori satu tan jenis Daihatsu.

“Bomba mendapati terdapat seorang mangsa lelaki berusia 67 tahun yang berada dalam kereta Naza Citra tersebut telah rentung akibat kebakaran,” katanya menurut Astro Awani.

Dalam laporan ringkas itu, bomba berkata kebakaran berjaya dipadamkan dan siasatan lanjut diserahkan kepada polis.

’33 bulan dia memerintah, semua tak jalan, sekarang salahkan kerengga pula’

HarapanDaily.com

Tindakan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyalahkan ‘kerengga’ dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin dilihat terus menjadi bahan sindiran.

Antaranya, tersebar di media sosial humor berupa gambar atau ‘meme’ kerengga dengan kapsyen, “Aik, aku pulak yang kena!”.

Tambah melucukan tertera ‘tajuk berita’, “Kerengga nafi punca isu royalti minyak tidak selesai zaman 33 bulan PN.”

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menerusi akaun X beliau turut berkongsikan ‘meme’ kreatif yang mencuit hari itu.

Menteri Ekonomi berkenaan menempelak Perikatan Nasional (PN) yang terbukti tidak buat apa sepanjang 33 bulan berkuasa di Putrajaya termasuklah semasa harga barangan naik mendadak.

“Zaman 33 bulan dia memerintah, semua tak jalan. Ada saja alasan.

“Harga barang naik – bukan masalah besar. RUU355 – hilang terus

“Debat di Parlimen – semua Kerajaan Perpaduan buat tak kena tapi diri sendiri tak bagi idea baru.

“Alih-alih bila dah tak jadi kerajaan, salahkan kerengga pula,” kata Rafizi diikuti emoji ketawa.

PH Sabah tidak bincang lantik Musa Aman

ARIF ATAN

Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini menafikan laporan yang mendakwa bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman bakal mengetuai gabungan terbabit.

Blok Kerajaan Perpaduan itu menegaskan hal tersebut tidak sesekali dibincang dan diputuskan dalam mana-mana mesyuarat PH negeri.

Reaksi tersebut susulan laporan berita yang tular di media sosial bertajuk “Musa Aman akan ketuai PH Sabah?” yang disifatkan PH Sabah sebagai menimbulkan kekeliruan rakyat.

Penegasan menerusi kenyataan media bersama itu membabitkan Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick; Pengerusi PKR negeri, Datuk Sangkar Rasam; Pengerusi DAP negeri, Datuk Frankie Poon dan Pengerusi AMANAH negeri, Lahirul Latigu.

“PH Sabah amat terkejut dengan laporan berita itu yang telah tular dalam media sosial dan menimbulkan kekeliruan serta kerisauan rakyat.

“Kami secara sebulat suara menafikan perkara ini dan ia tidak sesekali dibincang dan diputuskan dalam mana-mana mesyuarat PH Sabah,” menurut kenyataan itu.

PH Sabah berpendirian bahawa mana-mana keputusan penting yang berhubung kait dengan mandat dan keyakinan rakyat harus dipertimbangkan, diteliti dan diperhalusi sebulat suara pada peringkat pimpinan tertinggi.

Dalam masa sama, PH Sabah memaklumkan akan bertemu dan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara terbabit termasuk hala tuju menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan.

Sudah tiga hari tidak pulang, di mana Nur Shafina Maisarah?

HarapanDaily.com

Hilang sejak kelmarin, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Hulu Langat, Selangor masih belum pulang dari sekolah.

Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan pelajar Tingkatan Tiga terbabit dengan alamat terakhirnya di Batu 20 1/4, Kampung Padang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata Nur Shafina Maisarah Abdullah kali terakhir dilihat pada jam 6.15 pagi, 13 September lalu ketika keluar rumah menaiki bas Rapid untuk ke sekolah dengan berpakaian sukan sekolah.

“Semalam, polis menerima satu laporan berkaitan orang hilang daripada seorang suri rumah iaitu wanita berusia 34 tahun yang mengatakan anaknya masih belum pulang dari sekolah selepas dikatakan pergi ke sekolah dengan menaiki bas,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, saksi yang juga rakan sekolahnya ada melihat remaja terbabit turun dari bas tetapi tidak masuk ke kawasan sekolah.

Beliau berkata, wanita berkenaan menghubungi guru kelas anaknya, namun remaja terbabit didapati tidak hadir ke sekolah.

Sehubungan itu, Mohd Zaid meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Mohamad Najib Mohd di talian 012-3429 297 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, laman Facebook Info Warga Hulu Langat turut berkongsikan gambar remaja perempuan berkenaan yang dikatakan kerap diserang kebimbangan melampau dan pengsan.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lokasi individu tersebut boleh terus menghubungi ibu bapa remaja berkenaan di talian +60 17-363 8144 atau mana-mana balai polis berhampiran,” menurut hantaran di laman itu.

PAS mahu angkat Mahathir jadi ketua de facto PN - Salleh Said Keruak

Malaysiakini

Seorang ahli politik kanan dari Sabah mendakwa PAS kini dalam usaha menjadikan Dr Mahathir Mohamad menjadi ketua sebenar PN ekoran langkah terbaru empat menteri besar dari parti berkenaan.

Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak, malah melihat PAS mengambil tindakan tersebut tanpa melibatkan Bersatu walaupun kedua-dua parti berkenaan menganggotai PN.

"Saya mellihat langkah terbaru melantik Mahathir sebagai penasihat kepada empat kerajaan negeri sebenarnya suatu langkah menjadikan Mahathir pemimpin de facto PN.

"Memang jelas empat negeri terbabit - Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu - semuanya dikawal PAS.

"Ini (langkah pelantikan tersebut) menjelaskan mengapa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dijemput apabila pemimpin PAS menemui Mahathir awal bulan ini," dakwanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Semalam media melaporkan empat negeri yang dikuasai PN melantik Mahathir sebagai penasihat kerajaan.

Memetik kenyataan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, BH Online melaporkan bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu akan dijadikan penasihat tidak rasmi buat negeri yang diketuai PAS.

Samsuri yang juga naib presiden PAS berkata menteri besar dari Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah akan mengadakan perbincangan untuk pembentukan kumpulan tersebut.

Secara prinsip, katanya, empat menteri besar terbabit sudah bersetuju untuk mewujudkan kerjasama dan dia sendiri sudah mengarahkan exco berkaitan untuk berbincang.

Mahathir, 98, merupakan bekas presiden Umno namun meninggalkan parti itu ekoran pertembungannya dengan Najib Razak. Dia kemudian menubuhkan Bersatu dan dilantik sebagai pengerusi.

Anggap langkah bijak

Krisis dalam kerajaan pada 2020 menyaksikan dia meninggalkan Bersatu dan membentuk kumpulan baru, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Dalam PRU ke-15 lalu Pejuang menyertai persaingan sengit dan menyaksikan semua calonnya kalah serta hilang deposit, termasuk Mahathir yang cuba mempertahankan kerusinya di Langkawi.

Awal Sept lalu Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersama empat menteri besar negeri terbabit menemui Mahathir namun tidak banyak butiran yang didedahkan.

Salleh yang pernah menjadi pengerusi Umno Sabah berkata dia melihat perkembangan berkenaan sebagai "langkah bijak" diambil Mahathir dan pada masa sama mengehadkan kuasa Muhyiddin.

"Saya perlu akui ia adalah langkah bijak oleh Mahathir jika tujuan sebenarnya ialah mahu menjadi pemain utama politik sekali lagi walaupun mengalami kekalahan teruk di Langkawi semasa PRU ke-15.

"Saya percaya Muhyiddin berdepan dengan pilihan terhad kecuali mengikut apa saja keputusan dibuat PN pimpinan PAS mengenai pelantikan Mahathir," katanya yang kini menjadi Adun Usukan.

Pengganti Salahuddin: Amanah serah kepada Mat Sabu bincang dengan PM

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Amanah menyerahkan kepada presidennya Mohamad Sabu untuk berbincang dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai pengganti menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, yang kosong susulan kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub pada 23 Jul.

Setiausaha Agungnya Hatta Ramli berkata parti itu percaya perkara berkenaan dapat diselesaikan segera memandangkan Mohamad juga berada dalam Jemaah Menteri.

Presiden Amanah itu menyandang jawatan menteri pertanian dan keterjaminan makanan dalam kerajaan perpaduan.

“Kita ada presiden dalam Kabinet, dia boleh bincang (selesaikan),” katanya kepada FMT, mengulas kenyataan Anwar yang memaklumkan jawatan itu masih kosong dan meminta sebarang cadangan pengganti jawatan itu diserahkan kepada beliau.

Hatta menambah parti itu hanya boleh memberi cadangan namun perdana menteri mempunyai kuasa mutlak untuk melantik ahli Jemaah Menterinya.

Beliau juga mengakui pengganti Salahuddin tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Tiada… tiada (tiada perbincangan). Pertama kali saya dengar (beri surat kepada PM) tetapi ia berbalik kepada kuasa PM, kita serah pada dia sebenarnya,” katanya.

Terdahulu, Anwar meminta sebarang cadangan diserahkan kepada beliau bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan yang kini dipangku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali.

Musa Aman akan ketuai PH Sabah?

Hariz Mohd

Spekulasi bertiup kencang bahawa bekas ketua menteri Sabah Musa Aman akan kembali aktif dalam politik negeri itu.

Sumber-sumber mendakwa pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sedang mencari jalan untuk meletakkan ahli politik veteran itu sebagai peneraju gabungan itu di Sabah.

Perkara itu, bagaimanapun, menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan PH Sabah.

Mereka dikatakan bimbang sosok kontroversi itu, walaupun berpengaruh, dalam masa yang sama mungkin menjadi beban.

Sumber-sumber berkata, Anwar percaya bahawa Musa, yang masih menjadi anggota Umno, dengan pengalamnya dapat memperkukuh PH untuk berdepan pilihan raya negeri.

Malaysiakini difahamkan bahawa setiausaha politik kanan perdana menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin telah bertemu dengan Musa dalam lawatannya ke Sabah minggu lepas.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Beberapa pemimpin PH negeri juga mendedahkan bahawa nama Musa juga dipetik semasa majlis makan malam antara mereka dan Shamsul.

Bagaimanapun, dakwanya, tiada makluman dibuat bahawa Musa akan mengetuai PH di Sabah.

Shamsul ketika dihubungi Malaysiakini menutup rapat mulutnya.

“Komen saya no comment (tiada komen),” katanya ketika ditanya sama ada Musa akan menyertai PKR.

‘Rancangan boleh makan diri’

Sementara itu, Naib Presiden PKR Awang Husaini Sahari berkata dia juga ada mendengar “khabar angin” itu tetapi tidak pasti berkaitan kesahihannya.

“Dengar-dengar khabar angin saja. Tapi saya tak pasti kesahihannya.

”Mungkin waktu terdekat ini saya akan dipanggil pucuk pimpinan kalau benda ini jadi kenyataan,” kata kata ketua PKR Putatan.

Sementara itu, Malaysiakini difahamkan beberapa pihak dalam PH Sabah tidak menunjukkan minat terhadap rancangan itu dan bimbang ia boleh memakan diri.

Satu sumber mendakwa Musa “terdesak” setelah gagal memenangi kerusi untuk BN dalam pilihan raya negeri 2020. 

Dikatakan juga usahanya untuk menjadi yang dipertua negeri juga tidak berjaya.

“Dia tiada apa-apa lagi kecuali wang,” kata sumber yang enggan namanya disebut.

PH Sabah kini dipimpin oleh menteri pelancongan negeri  Christina Liew.

PKR negeri pula dipimpin oleh Sangkar Rasam, yang menggantikan Liew pada Ogos 2022.

Musa memimpin kerajaan Negeri di Bawah Bayu dari 2003 ke 2018. 

Dia pernah dituduh dengan 51 kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram pada 2018 dan 2019.

Pihak pendakwaan pada Oktober 2019 menarik balik lima pertuduhan terhadapnya sementara 46 lagi ditarik balik pada Jun 2020, menyebabkan dia mendapat pembebasan penuh.

Jangan ‘mengagungkan’ pesalah jalan raya

Sinar Harian

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
PADA Rabu, tular video di media sosial menunjukkan seorang penunggang p-hailing berjalan kaki sambil menggalas beg makanan selepas motosikalnya disita oleh penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Persiaran Negeri, Nilai, Negeri Sembilan, sekali gus mengundang kecaman netizen.

Kisah Muhammad Shahrul Shah, 26, mendapat perhatian. Ramai yang menyalahkan tindakan pihak JPJ. Ada yang mengatakan pihak berkuasa tidak berhati perut, tiada perikemanusiaan dan langsung tidak mahu menggunakan budi bicara ketika mengambil tindakan.

Bagaimanapun, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf dalam satu kenyataan menjelaskan cukai jalan motosikal ditunggang lelaki tersebut didapati telah tamat tempoh sejak Februari lalu, selain tiada insurans.

Menurutnya, tindakan menyita motosikal dilakukan atas tujuan menjaga keselamatan penunggang itu sendiri dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans.

Dalam hal ini, orang ramai tidak sepatutnya menyalahkan pihak JPJ yang menguatkuasakan undang-undang jalan raya kerana ia bertujuan mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

Masyarakat jangan menormalisasikan sesuatu yang sudah terang lagi bersuluh adalah satu kesalahan.

Malaysia mempunyai undang-undang yang perlu dihormati. Jangan mengagung-agungkan individu yang jelas melanggar peraturan jalan raya.

Bayangkan, sudah berbulan-bulan cukai jalan dan insurans tamat tempoh, adakah JPJ perlu kompromi lagi dan mengambil sikap ‘berlembut hati’?

Penguat kuasa JPJ menjalankan tugas dan penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggar undang-undang jalan raya.

Di satu pihak lagi, tugas penghantar makanan itu memang terpuji kerana mencari rezeki yang halal, namun hal berkaitan pelanggaran undang-undang adalah serius dan tidak boleh ‘dihalalkan’.

Justeru, ambillah iktibar dan pengajaran daripada kejadian ini. Pengguna jalan raya perlu sentiasa beringat bahawa cukai jalan dan insurans penting kerana apabila berlaku kemalangan, diri sendiri serta kenderaan termasuk individu lain akan dilindungi.

Sebaliknya jika gagal berbuat demikian dan ditakdirkan pula berlaku kemalangan serta melibatkan kematian, orang lain tidak boleh membuat tuntutan insurans. Jadi, janganlah merisikokan diri dan patuhilah undang-undang jalan raya.

Chegu Bard ditangkap akui dipanggil polis tapi tak hadir

Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Aktivis Bersatu Badrul Hisham Shaharin mengakui dipanggil polis tetapi tidak hadir untuk diambil keterangan “dalam beberapa isu”, sebelum ditahan semalam.

Meskipun polis menjelaskan penahanan Badrul tiada kaitan dengan Perhimpunan Selamatkan Malaysia esok, aktivis Bersatu ini mendakwa sebaliknya.

“Mereka boleh tangkap saya di mana-mana sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas dibebaskan awal pagi tadi dengan jaminan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Shuhaily Mohd Zain semalam berkata penahanan Badrul berhubung beberapa laporan dibuat terhadapnya, antaranya ulasan mengenai isu rundingan konflik Malaysia-Indonesia membabitkan blok lautan Ambalat.

Polis menjelaskan Badrul beberapa kali dipanggil untuk rakaman percakapan tetapi gagal hadir membantu siasatan. Menurut Shuhaily, Badrul terima notis tetapi menyatakan beliau enggan hadir, maka polis memohon waran tangkap daripada mahkamah.

“Saya tidak hadir ke panggilan Bukit Aman dalam beberapa isu kerana saya tegaskan laporan polis saya ke atas Hannah Yeoh tidak disiasat,” kata Badrul, merujuk kepada laporan terhadap menteri belia dan sukan berkait acara ‘Jom Ziarah Gereja’ anjuran sebuah NGO yang bernaung bawah kementeriannya.

Bagaimanapun, Badrul kali ini memberi kerjasama kerana tidak mahu ditahan lebih lama. “Saya perlu keluar dan hadir pada 16 Sept maka saya jawab semua soalan.”

Badrul ditahan di luar ibu pejabat PAS di ibu negara pada 8 malam tadi, ketika mesyuarat berkait perhimpunan tersebut diadakan.

Pada Mac, Badrul dilapor membuat laporan polis terhadap Hannah, mendakwanya menyebarkan agama Kristian kepada belia Islam melalui program yang dikaitkan dengan kementerian.

Hannah memberitahu Dewan Rakyat bahawa pendaftaran Jom Ziarah Gereja tidak membabitkan belia beragama Islam dan tidak ada belia muslim yang akan memasuki gereja itu.

Pada Mac, Badrul dilapor hadir ke IPD Sentul untuk memberi keterangan dalam siasatan polis terhadap acara yang telah dibatalkan itu.

PN sengaja buat kecoh, nak ulang kerajaan tebuk atap

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi mendakwa Perikatan Nasional (PN) sengaja menimbulkan kekecohan kerana mahu mengulangi “kerajaan tebuk atap”.

Beliau berkata, himpunan yang dilaporkan akan digerakkan esok dibuat kerana pemimpin Pas mahu konflik terus berlaku dan tidak mahu menunggu pilihan raya empat tahun lagi.

“PN sebenarnya mahu konflik terus berlaku. Mereka tidak mahu kerajaan stabil agar kerajaan tebuk atap akan berulang.

“Menunggu PRU 4 tahun lagi terlalu lama. Pemimpin Pas seronok duduk dalam kerajaan pusat dan jadi menteri. Sebab itu demo ini inisiatif Pas,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata, Pas melihat kes Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seperti bola tanggung yang “rugi jika tidak dimainkan”.

Kerana itu katanya, Pas memilih Kampung Baru, Kuala Lumpur sebagai lokasi himpunan mereka kerana mahu buat “panas dan kecoh”.

“Elok PDRM benarkan sahaja. Bagi mereka berhimpun di Padang Merbok atau Stadium Titiwangsa. Biar PN buat di tempat yang tidak ganggu lalu lintas dan orang awam.

Tetapi PN mahu demo yang panas dan kecoh. Sebab itu mesti buat di Kampung Baru. PN tidak mahu demonstrasi syok sendiri,” ujarnya.

Selepas gagal mainkan isu azan, penyokong Pas cuba ‘serang’ guna isu LRT

HarapanDaily.com

Selepas gagal mainkan isu azan, penyokong Pas cuba ‘serang’ guna isu LRT
Selepas pernah gagal memainkan isu azan di Pulau Pinang, penyokong Pas dilihat cuba menyerang Kerajaan Perpaduan menggunakan isu bahasa Mandarin pada peta laluan perkhidmatan tren.

“Terasa macam di Hong Kong pulak. Geng-geng PH (Pakatan Harapan) cakap bahasa Melayu tak tergugat.

“Ni bahasa Melayu pun tak dijaga. Lama-lama orang tak rasa Pulau Pinang ni Malaysia. Habis nama kiasu, baik letak nama Melayu atau bahasa Inggeris saja,” kata seorang pengguna Facebook.

Walau bagaimanapun, hantarannya itu dikecam kerana ketara peta laluan yang dikongsikan itu merupakan versi untuk penutur bahasa Cina.

Rata-rata menyelar sikapnya yang dilihat sengaja mengadu domba dengan membangkitkan sentimen perkauman memandangkan peta laluan perkhidmatan rel di Pulau Pinang itu jelas ada dalam versi bahasa Melayu.

“Dia triggered sungguh dengan bahasa Cina sampai tak tengok dah siapa yang post. Yang post tu bukan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang tapi page yang memang berbahasa Cina.

“Dia ambil yang versi bahasa Cina kemudian hasut orang Melayu. Itu saja modus operandi puak ni.

“LRT pula nak dijadikan bahan oleh walaun selepas gagal memainkan isu azan,” demikian antara komentar warganet.

Untuk rekod, pelaksanaan fasa pertama projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang dijangka akan dimulakan penghujung tahun ini.

Pembinaan LRT bagi fasa pertama yang akan mengambil tempoh lima tahun untuk disiapkan itu merangkumi 27 stesen dengan jajaran laluan sepanjang 29 kilometer.

Pada 6 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan menambah dana kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan segera projek LRT.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang merancang untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion melibatkan projek LRT, monorel dan tiga buah lebuh raya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.

Bagi merealisasikan PTMP, kerajaan Pulau Pinang melaksanakan PSR yang kini dikenali sebagai Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).

Projek tersebut melibatkan tambakan kira-kira 1,821 hektar tanah yang merupakan sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan PTMP bernilai RM46 bilion.

Faktor kesihatan juruterbang bukan punca nahas Elmina, bukan juga kerosakan enjin

FMT Reporters

PETALING JAYA: Punca nahas pesawat Beechcraft Premier 1 terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos hanya akan didedahkan dalam laporan akhir.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Pengangkutan menerusi laporan awal berhubung nahas itu yang dimuat naik di laman web kementerian pagi ini.

Laporan itu turut menyatakan faktor kesihatan diketepikan memandangkan kedua-dua juruterbang mendapat rehat yang cukup sebelum penerbangan dan tidak mempunyai masalah perubatan serius, berdasarkan sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal.

Kementerian berkata, transkripsi awal fail audio perakam suara kokpit itu telah selesai dan analisis sedang dijalankan, dengan transkrip hanya akan dimasukkan dalam laporan akhir jika perlu.

------

Laporan awal tolak kerosakan enjin punca nahas Elmina

Hariz Mohd

Siasatan ke atas nahas pesawat berhampiran Bandar Elmina di Shah Alam pada 17 Ogos lalu telah menolak kemungkinan kerosakan kepada enjin sebagai punca kemalangan tersebut.

Menurut laporan awal yang diterbitkan oleh Kementerian Pengangkutan pagi ini, tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa enjin pesawat Beechcraft 390 Premier 1 telah dimasuki benda asing sebelum kemalangan berlaku.

"Kedua-dua enjin tidak mempunyai bukti pelepasan bilah seperti bekas lekuk atau tebuk di bahagian pemampat. Pelindung kipas juga tidak menunjukkan bukti pelepasan bilah seperti kemek atau tebuk.

"Tidak terdapat bukti dimasuki objek asing, bulu burung atau bahan lain ke bahagian-bahagian enjin," katanya.

Penyiasat juga berjaya mendapatkan gambaran mengenai apa yang mungkin berlaku terhadap pesawat itu berdasarkan rakaman audio yang diekstrak dari Perakam Suara Kokpit (CVR) pesawat tersebut.

Bagaimanapun, penemuan itu hanya akan dikeluarkan dalam laporan siasatan penuh sementara menunggu pemeriksaan semua bukti fizikal.

"Analisis awal rakaman CVR yang dipulihkan telah memberikan petunjuk kritikal untuk mendedahkan punca kemalangan, dengan tumpuan kepada sistem kawalan penerbangan pesawat.

"Hasil pemeriksaan dan penelitian yang belum selesai pada bahagian dan komponen pesawat berkaitan di makmal NTSB dan OEM adalah perlu untuk menyediakan bukti koloboratif dan/atau konklusif dalam menentukan punca kemalangan itu," kata laporan tersebut.

Bicara kes RM6.6 bilion IPIC Najib, Irwan Serigar mula tahun depan

Ho Kit Yen
Najib Razak (kiri) dan Irwan Serigar Abdullah didakwa bersama dengan enam pertuduhan salahguna RM6.6 bilion dana awam melibatkan pembayaran kepada IPIC.
KUALA LUMPUR: Kes pecah amanah jenayah (CBT) Najib Razak dan Irwan Serigar Abdullah berhubung pembayaran RM6.6 bilion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) ditetapkan untuk bicara selama 30 hari bermula 4 Jun hingga 31 Julai 2024.

Ia susulan Timbalan Pendakwa Raya Saifuddin Hashim Musaimi membuat permohonan itu kepada Mahkamah Tinggi hari ini bagi kes didengar tahun depan.

Peguam Shafee Abdullah dan K Kumaraendran, yang masing-masing mewakili Najib dan Irwan, bersetuju dengan cadangan itu.

Terdahulu, Kumaraendran mencadangkan kes didengar pada Januari mengambil kira pertuduhan CBT dikenakan terhadap bekas ketua setiausaha perbendaharaan itu sudah berlarutan hampir lima tahun.

“Beliau tidak boleh keluar negara dan tidak dapat meneruskan apa jua perkembangan kerjaya (kerana berdepan tuduhan),” katanya.

Shafee juga menuntut pihak pendakwaan membuat pendirian berkait dakwaan memo bocor berhubung kes terbabit.

Katanya, timbalan pendakwa raya dan pegawai penyiasat mendakwa dalam memo 2019 bahawa tuduhan CBT dikenakan terhadap Najib dan Irwan dikatakan “tidak layak dibawa ke mahkamah” dan “tidak cukup bukti”.

Bagaimanapun, Kumaraendran tidak bersetuju sambil menyatakan mahkamah itu bukan forum wajar untuk perkara berkenaan dibangkitkan.

Saifuddin berkata, beliau enggan mengulas.

Shafee memberi isyarat bahawa pasukan pembelaan Najib akan memanggil Tommy Thomas untuk memberi keterangan, sambil mendakwa bekas peguam negara itu terlibat dalam “penyalahgunaan proses”.

Pada 2018, bekas perdana menteri itu dan Irwan secara bersama didakwa dengan enam pertuduhan menyalahgunakan RM6.6 bilion dana awam membabitkan pembayaran kepada syarikat IPIC milik Abu Dhabi.

Peguam masing-masing sebelum ini cuba memohon agar anak guam mereka dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh mahkamah atas alasan perbicaraan tidak pernah berlangsung.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan itu dengan menyatakan pihak pendakwaan telah bersedia bagi perbicaraan.

Bayi masih hidup ditanam, menangis di dalam tanah

KOSMO!
Rajesh dan Neelam melihat tangan kecil menjulur keluar dari tanah sebelum mereka menggali kawasan tersebut dan menarik keluar bayi berkenaan. – Jam Press Vid
NEW DELHI, India  – Sepasang suami isteri di negeri Uttar Pradesh, India terkejut apabila menemui seorang bayi yang baru lahir  ditanam dengan keadaan tali pusat dan uri melekat pada badannya, lapor akhbar Daily Star semalam.

Dalam kejadian pada 8 September lalu,  Rajesh Kumar dan isterinya, Neelam, sedang bersiar-siar di sebuah kawasan di Kampung  Pulandar apabila mereka terdengar bunyi tangisan datang dari dalam tanah.

Mereka terkejut melihat tangan kecil terjulur keluar dan menggali tanah tersebut.

Selepas menggali dengan penuh berhati-hati, mereka menemui seorang bayi yang masih bernafas dalam  keadaan tali pusat dan uri yang masih melekat . 

Sejurus polis tiba, bayi tersebut dikejarkan ke hospital dan menurut pakar, dia menghadapi masalah pernafasan.

Namun,  setelah diberi rawatan, bayi berkenaan kini berada dalam keadaan sihat,  manakala polis masih memburu ibu dan bapa kanak-kanak itu.

Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak mengesahkan pihaknya akan menjaga bayi tersebut sehingga polis menyelesaikan siasatan, manakala Rajesh dan Neelam yang memiliki dua anak menyatakan hasrat untuk memeliharanya. – AGENSI

YDP Pas Kangar dihadap ke mahkamah anjur ceramah tanpa tauliah, jemput Ustaz Wadi

HARAPAN DAILY 
 
Menghina kuasa raja pemerintah dan badan agama Islam negeri menerusi penganjuran ceramah agama tanpa tauliah di Kangar pada 30 Mac lalu.

Itu pertuduhan ke atas Yang Dipertua Pas Kangar, Yussaine Yahya yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Perlis, hari ini.

Bagaimanapun, Yussaine, 43, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Syariah, Mohamad Zaidi Abdullah.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Ketua Pendakwa Syarie, Siti Fatimah Ahmad Maulana manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Hajar Ahmad dan Nur Iman Nor Azmi.

Siti Fatimah memohon mahkamah supaya memberi jaminan sebanyak RM2,500 dengan dua penjamin di mana salah seorang daripadanya adalah penjawat awam.

Namun, permohonan itu dibantah oleh peguam tertuduh dengan alasan tidak relevan selain turut memohon agar jaminan tertuduh dapat dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pasukan peguam tertuduh untuk tertuduh dijamin sebanyak RM2,000 dengan dua orang penjamin.

Tertuduh kemudian membayar jaminan dan mahkamah menetapkan 18 Januari tahun hadapan untuk perbicaraan semula kes.

Mengikut pertuduhan, Yussaine didakwa menganjurkan satu ceramah agama dengan menjemput pendakwah bebas, Mohamad Wadi Anuar Ayub melalui program ‘Solat Tarawih dan Sembang Santai’ tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis berdasarkan Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006.

Perbuatan yang dilakukan mudir sebuah maahad tahfiz al-Quran di Kangar itu turut bercanggah dengan Titah Kenyataan Rasmi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengenai Pematuhan Terhadap Dasar dan Peraturan Berkaitan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis.

Yussaine didapati melakukan perbuatan berkenaan antara jam 8.30 malam hingga 10.30 malam di Maahad Tahfiz al-Quran Al Imam An Nawawi (MATIN) di Kampung Abi Padang Machang, Jalan Abi Batas Paip, Kangar pada 30 Mac lalu.

Sebelum ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) memanggil Mohamad Wadi Annuar atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi serta penganjur, Lajnah Dakwah dan Perkaderan Pas Kangar.

Mereka dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penyertaan pendakwah itu pada program berkenaan yang diadakan tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Perlis.

Ini berikutan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kangar oleh JAIPs selepas anggota penguat kuasa mereka dihalang oleh penganjur daripada bertemu dengan Ustaz Wadi yang mahu mengambil keterangan berhubung tindakan memberi ceramah di negeri terbabit.

Guru disyaki lakukan kesalahan seksual terhadap murid

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang guru disyaki mengumpan anak murid lelakinya dengan membawa bermalam di hotel sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh kepada kanak-kanak terbabit.

Difahamkan mangsa berusia 12 tahun itu sudah beberapa kali diperlakukan sedemikian rupa dan hanya diketahui keluarganya sekitar Julai lalu.

Menurutnya, ibu mangsa berusia 40-an terkejut apabila melihat video perbuatan guru lelaki terbabit yang dihantar ke anaknya.

"Anaknya kemudian menceritakan apa yang berlaku di mana dia dipaksa guru terbabit.

"Terbaru suspek sekali lagi membawa anaknya ke sebuah hotel lain di Genting Higlands pada 8 September lalu selepas habis waktu sekolah," katanya.

Sumber berkata, ibu mangsa menghubungi guru terbabit selepas menyedari anaknya tidak pulang ke rumah namun suspek memberitahu dalam perjalanan ke sana bersama anaknya.

"Malah ibunya turut meminta guru terbabit menghantar anaknya pulang semula namun tidak diendahkan.

"Susulan itu, dia melaporkan perkara itu kepada pihak sekolah sebelum pengurusan sekolah menasihatkannya membuat laporan polis," katanya,

Bimbang dengan keselamatan anaknya mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Petaling, kelmarin untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) akta kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 (pindaan 2023)," katanya.

Minta Dipecat Tapi Tak Berani Hadir Mesyuarat, Isham Jalil Berjiwa Kecil

Shahbudin Husin

Di sebalik ura-ura akan dipecat daripada UMNO dalam mesyuarat MT malam semalam, tetapi akhirnya tiada apa-apa berlaku kepada Isham Jalil.

Ahli MT UMNO itu bukan saja tidak dipecat, bahkan tiada perbincangan mengenai dirinya dibawa dalam mesyuarat yang diadakan di Menara Dato’ Onn, WTCKL itu

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan tiada perbincangan mengenai pemecatan Isham pada mesyuarat malam semalam itu.

Dengan ini, nasib Isham masih dikira selamat lagi dalam UMNO.

Begitu pun, sementara isu berkenaan dirinya tidak dibincangkan, Isham turut tidak menghadirkan diri pada mesyuarat malam semalam yang dipengerusikan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi itu.

Sebelum ini, Isham berkata dia mungkin antara yang akan dipecat sebagai ahli MT UMNO kerana tidak sehaluan dengan pendirian UMNO untuk bekerjasama dengan PH yang ada DAP di dalam ketika pilihan raya.

Selain isu pemecatan beliau menjadi bualan menjelang mesyuarat MT diadakan, Isham sendiri beberapa jam sebelum mesyuarat malam semalam turut menulis warkah terbuka kepada Presiden UMNO di laman sosialnya dengan menyatakan kesediaannya untuk dipecat.

“Dato’ Sri boleh pecat saya jika itu kemahuan Dato’ Sri, tapi Dato’ Sri tidak boleh pecat roh dan semangat perjuangan saya,” demikian kata akhir beliau di hujung warkah terbukanya itu.

Ternampak macam beliau ini berani sangat dan seperti mencabar Zahid Hamidi agar memecatnya, rupa-rupanya keberaniannya tidaklah setara mana.

Kalau betul-betul berjiwa kental dan terlanjur sudah berani menyanggah Presiden UMNO, kemudian seolah-olah mencabar pula untuk dipecat, sepatutnya beliau mesti beranilah juga menghadiri mesyuarat MT.

Dengan tidak hadir, walaupun isu berkenaan diri beliau akhirnya tidak dibincangkan, apa yang ternampak ialah Isham hanya berjiwa kecil.

Ketiadaan kelibatnya hadir itu tentunya membuatkan Zahid Hamidi tersenyum kecil meraikan kemenangan awalnya.

Agaknya dalam hati Zahid Hamidi berkata, “takut rupanya dia nak berdepan dengan saya.”

Cuba beliau hadir mesyuarat MT malam semalam dan dengan tiada tindakan diambil terhadapnya, bukankah beliau sudah dikira menang pertarungan pusingan pertama?

Andai kata jika dipecat pula malam semalam itu, dengan hadir itulah peluang terbuka untuk Isham meluahkan sesuatu sebagai kata-kata akhir sebelum meninggalkan bilik mesyuarat.

Setidak-tidaknya beliau dilihat hero yang sebenar yang berani di belakang dan berani juga untuk bersemuka.

Ini tidak, hanya berani menulis di FB tetapi tidak berani pula untuk bersemuka.

Tetapi, tidak dipecat pada mesyuarat MT malam semalam, tidak bermakna Isham tidak akan dipecat pada mesyuarat selepas ini atau bila-bila masa kemudiannya.

Sementara jika hadir pada mesyuarat MT selepas ini, Isham sudah jadi seperti “kera sumbang”, apakah beliau akan terus memilih tidak hadir sehingga namanya disingkir? – ShahbudinHusin 14/09/2023.

Penahanan Chegu Bard tiada kaitan Himpunan Selamatkan Malaysia

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ditahan hari ini, susulan keengganannya hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan enam kes membabitkan dirinya.

Difahamkan, beliau ditahan di hadapan Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut, di sini pada 8 malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penahanan itu tiada kena mengena dengan Himpunan Selamatkan Malaysia, dijangka Sabtu ini.

"Berdasarkan apa yang diberitahu oleh pegawai penyiasat, beliau (Chegu Bard) memberitahu tidak akan hadir (memberi keterangan).

"Sedangkan kalau kita lihat mantan Perdana Menteri sekali pun memberi kerjasama, kita beri tarikh dan mereka hadir rakam percakapan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Menurutnya, Chegu Bard disiasat berhubung beberapa laporan yang dibuat terhadapnya, antaranya berkaitan ulasan mengenai isu rundingan konflik Malaysia-Indonesia membabitkan blok lautan Ambalat.

Selain itu katanya, siasatan turut berkaitan pendedahannya di media sosial berhubung dokumen sebuah jabatan kerajaan yang mengandungi maklumat sulit.

Mohd Shuhaily berkata, Chegu Bard sudah beberapa kali diminta hadir untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan, namun ia tidak diendahkan sehingga memaksa polis memohon waran tangkap daripada mahkamah.

"Kita (polis) dah cuba panggil beliau (dengan baik), malah kita dah kemukakan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah yang mana beliau terima notis itu dan tandatangan.

"Dia (Chegu Bard) enggan hadir ke mana-mana balai polis untuk dirakam percakapan justeru kami tidak mempunyai pilihan lain," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi liar berhubung tangkapan itu.

"Penangkapan ini tiada kena mengena dengan Himpunan Selamatkan Malaysia, Sabtu ini kerana beliau (Chegu Bard) bukan salah seorang pemohon untuk perhimpunan itu.

"Warganet boleh tafsir sendiri isu ini dari mana-mana sudut tetapi tugas saya adalah untuk menerangkan fakta tangkapan malam ini dan memberi maklumat secara terus," katanya.

Bunuh 3 kanak-kanak: Hukuman mati terhadap buruh kekal

BERNAMA
SHAHRUL Pitri dihukum mati selepas didapati bersalah membunuh tiga beradik lima tahun lalu. FOTO  Arkib NSTP.
SHAHRUL Pitri dihukum mati selepas didapati bersalah membunuh tiga beradik lima tahun lalu. FOTO Arkib NSTP.
Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang buruh kerana membunuh tiga kanak-kanak yang juga adik-beradik, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara menolak rayuan Shahrul Pitri Jusoh terhadap sabitan dan hukuman mati.

Dalam keputusan mahkamah, Hakim Vazeer berkata, pembelaan Shahrul Pitri terhadap kehilangan akal dari segi undang-undang telah disangkal oleh pakar perunding psikiatri forensik yang memberi keterangan bahawa tertuduh waras semasa melakukan perbuatan tersebut.

Mengenai hukuman mati, Hakim Vazeer menolak permintaan Shahrul Pitri supaya hukuman mati terhadapnya digantikan dengan hukuman penjara.

Menurutnya, Mahkamah Rayuan mempunyai budi bicara untuk mengetepikan hukuman mati terhadap Shahrul Pitri, 40, dan menggantikan dengan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun berdasarkan pindaan terbaharu Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, katanya, tiada asas munasabah untuk mahkamah menggunakan budi bicaranya berbuat demikian.

Melihat kepada keseluruhan keterangan dan mitigasi yang dikemukakan oleh perayu, beliau berkata, adalah menjadi pandangan mahkamah bahawa ia perlu memberi keutamaan kepada kepentingan awam serta kepentingan mangsa dan keluarga mangsa.

Hakim Vazeer berkata, tiga kanak-kanak itu terbunuh akibat perbuatan kejam perayu.

Justeru, hukuman mati dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap perayu dikekalkan.

Pada 6 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Shahrul Pitri bersalah membunuh Muhammad Faqih Zahirulhag Mohd Fadzil, 5, Muhammad Firash Zafrill, 3, serta Nur Zia Fasihah, 2.

Dia melakukan perbuatan itu di rumah projek bantuan bina rumah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Bagan Datuk antara jam 2.30 hingga 2.40 petang pada 17 Mei 2018.

Shahrul Pitri juga dijatuhkan hukuman penjara enam tahun selepas didapati bersalah kerana cubaan membunuh dengan menggunakan parang terhadap ibu mangsa, Zuraidah Mat Ali, 37, di tempat dan masa yang sama.

Dia juga dikenakan tambahan enam tahun penjara kerana didapati bersalah sengaja mendatangkan kecederaan terhadap kakak mangsa, Nur Zuryn Faziera Mohd Fadzil, 10, rakannya, Nur Aina Umaira Subri, 11, dan guru Redhuan Embi, 37.

Bagi kesemua pertuduhan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama 12 tahun bermula dari tarikh dia ditangkap.

Terdahulu, peguam yang dilantik mahkamah, Rajit Singh memaklumkan bahawa Shahrul Pitri hanya merayu berkenaan dengan keputusan Mahkamah Tinggi bagi pertuduhan membunuh.

Beliau berkata Shahrul Pitri menarik balik rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan cubaan membunuh dan menyebabkan kecederaan.

Mahkamah kemudiannya membatalkan rayuannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Fauziah Daud berhujah bahawa keterangan perunding psikiatri forensik, Dr Ian Lloyd Anthony tidak menyokong pembelaan Shahrul Pitri terhadap alasan kehilangan akal.

Beliau juga meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati dengan mengatakan bahawa ia melibatkan tiga kanak-kanak kecil yang tidak bersalah.

Shahrul Pitri mempunyai satu lagi hak rayuan iaitu di Mahkamah Persekutuan.

Chegubard diberkas polis malam ini

Malaysiakini

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan aktivis Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, di tengah Kuala Lumpur pada malam ini.

Penahanan Badrul Hisham - yang lebih dikenali dengan panggilan Chegubard - disahkah Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari kepada Malaysiakini.

Difahamkan penahanan itu dibuat di luar bangunan Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Penangkapan Badrul Hisham itu dibuat menjelang himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.

Bagaimanapun Ahmad Fadhli mendakwa ia tiada kaitan dengan rancangan kumpulan pembangkang berhimpun pada Sabtu ini yang juga merupakan sambutan Hari Malaysia.

"Tak ada kaitan dengan himpunan," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu PDRM dijangka mengadakan sidang media berhubung perkara itu pada malam ini.

3 wanita maut, 11 orang selamat nahas di Segamat

Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my
ANGGOTA polis mengangkat mayat tiga mangsa yang maut dalam nahas tiga kenderaan di KM 167 Jalan Johor Bahru- Seremban dekat Segamat petang tadi. FOTO Ahmad Ismail.
ANGGOTA polis mengangkat mayat tiga mangsa yang maut dalam nahas tiga kenderaan di KM 167 Jalan Johor Bahru- Seremban dekat Segamat petang tadi. FOTO Ahmad Ismail.
Segamat: Tiga wanita maut, manakala 11 individu terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan pacuan empat roda di Kilometer 167 Jalan Johor Bahru-Seremban dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti punca kemalangan dan identiti mangsa.

"Siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ringkas.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Bandar Labis, Pegawai Bomba Kanan 11 Zakaria Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 5.55 petang membabitkan Perodua Alza, Honda Jazz dan Toyota Hilux.

Menurutnya, 16 anggota BBP Bandar Labis dan Bandar Baru Segamat dikerah ke lokasi bersama jentera sejurus maklumat.

"Kesemua mangsa yang maut dikeluarkan orang awam dan anggota BBP Bandar Baru Segamat yang tiba dahulu di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, mangsa yang maut menaiki Perodua Alza dipercayai berusia 89, 66 dan 62 tahun dan beralamat di Simpang Renggam dan Benut, Johor.

Mayat mangsa dihantar ke ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS).

Sasar cari isteri tempatan, sindiket seludup warga Pakistan tumpas

FMT Reporters
Imigresen menahan lapan warga Pakistan dalam serbuan Ops Gelombang IV di beberapa lokasi sekitar Kelantan, Isnin lalu.
PETALING JAYA: Seorang lelaki Pakistan ditahan kerana dipercayai menjadi dalang utama penyeludupan rakan senegaranya dalam serbuan Ops Gelombang IV di beberapa lokasi sekitar Kelantan, Isnin lalu.

Suspek yang berkahwin dengan wanita warga tempatan itu didakwa mengetuai kumpulan dipercayai aktif membawa masuk warga Pakistan sejak Mei 2022 untuk bekerja secara haram dan menyasarkan wanita warga tempatan sebagai isteri.

Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh berkata dalam serbuan itu pihaknya menahan tujuh lagi warga Pakistan dan merampas wang tunai RM2,000, pasport Pakistan tidak mempunyai cap masuk dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) serta sedan disyaki digunakan untuk menyeludup.

Menurutnya, berdasarkan maklumat risikan dua pasukan digerakkan ke dua lokasi bagi memintas kenderaan dinaiki suspek dan PATI yang dipercayai baru diseludup.

“Pasukan operasi berjaya memintas kenderaan yang dinaiki oleh sindiket ini di Pasir Mas, Kelantan dan menahan tiga orang lelaki Pakistan yang yang terdiri daripada transporter dan PATI yang diseludup masuk.

“Pasukan kedua pula menahan lima lelaki Pakistan termasuk dalang utama dalam serbuan di sebuah kediaman di Pasir Tumboh, Kota Bharu di Kelantan disyaki dijadikan sebagai transit,” katanya dalam kenyataan.

Ruslin berkata, berdasarkan siasatan sindiket menyeludup pendatang asing tanpa izin dari Pakistan yang menaiki pesawat dan mendarat di Thailand.

“Mereka kemudiannya dibawa ke pengkalan haram melintasi sempadan Malaysia -Thailand dan dikenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi seorang,” katanya.

Beliau berkata suspek kini ditahan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 manakala enam PATI ditahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Al-Quran bersepah atas lantai dalam madrasah terbiar

NOR FARHANA YAACOB
Keadaan surau di madrasah berkenaan namun beberapa naskah al-Quran masih dalam keadaan tersusun.
Keadaan surau di madrasah berkenaan namun beberapa naskah al-Quran masih dalam keadaan tersusun.
JASIN - Sebuah madrasah swasta yang dahulunya meriah dengan alunan ayat suci Al Quran kini sepi dan terbiar hingga keadaan bersemak samun.
Tinjauan mendapati madrasah yang terletak di tepi Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Batu Gajah dipercayai telah lama tidak berpenghuni.

Malah bangunan utama yang terletak di depan pintu masuk dan dipercayai ruang solat juga didapat tidak terurus hinggakan beberapa siling telah runtuh.

Selain itu terdapat juga bilik-bilik yang yang diletakkan al Quran dan buku agama dalam keadaan bersepah hingga ke lantai.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengambil tindakan pantas ke lokasi selepas menerima maklumat berhubung madrasah berkenaan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai isu madrasah berkenaan.

"Saya tidak mahu ulas dahulu, bagaimanapun JAIM sentiasa memantau rapat isu ini dan telah ke lokasi," katanya.
Kakitangan JAIM mengutip beberapa naskah AL Quran yang di letakkan di bawah.
Kakitangan JAIM mengutip beberapa naskah AL Quran yang di letakkan di bawah.
Terdahulu tular beberapa klip video beberapa individu yang menjalankan aktiviti paranormal ke lokasi tersebut dan memaparkan keadaan beberapa bangunan madrasah yang terbiar selain al Quran berada di atas lantai.

Terdapat juga sebuah bas yang dipercayai pernah digunakan oleh pelajar madrasah ditinggalkan di pintu masuk tempat pengajian itu.

Difahamkan madrasah yang menempatkan pelajar lelaki dan wanita termasuk pengajian dewasa dibuka sejak tahun 2008 namun selepas 10 tahun didakwa berdepan masalah pengurusan sebelum dihentikan operasinya.

Dipenjara 12 bulan tunjuk kemaluan ketika panggilan video

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
TAWAU 14 SEPTEMBER 2023. Penganggur dipenjara 12 bulan atas kesalahan menunjukkan kemaluan kepada kenalan wanita melalui panggilan video, Ogos lalu. Nstp / Abdul Rahemang Taiming.
TAWAU 14 SEPTEMBER 2023. Penganggur dipenjara 12 bulan atas kesalahan menunjukkan kemaluan kepada kenalan wanita melalui panggilan video, Ogos lalu. Nstp / Abdul Rahemang Taiming.
Tawau: Penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan menunjukkan kemaluannya kepada kenalan wanita melalui panggilan video di Facebook.

Majistret Don Stiwin Malanjun membuat keputusan itu selepas mendengar pengakuan bersalah tertuduh, Raziman Ibrahim, 35, yang dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa kerap kali menunjukkan kemaluannya kepada wanita berumur 38 tahun melalui panggilan video menggunakan telefon bimbit dengan niat melakukan perbuatan lucah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Tanjung Batu Keramat, di sini, kira-kira 3 petang, 19 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin memohon hukuman setimpal dikenakan keatas tertuduhsebagai pengajaran dan faktor kepentingan awam.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkapan.

Dicekup imigresen, gadis kalung bunga tak sempat cabut lari

Bernama
Imigresen menahan 45 individu termasuk wanita terbabit dalam serbuan Op Gegar di sebuah kelab malam di Taman Melaka Raya, malam tadi. (Gambar Imigresen)
MELAKA: Sebanyak 45 individu termasuk 15 wanita warga Thailand yang bekerja sebagai “gadis kalung bunga”, ditahan dalam serbuan Op Gegar di sebuah kelab malam di Taman Melaka Raya di sini malam tadi.

Pengarah Imigresen Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata dalam serbuan pada 10.30 malam semalam, kesemua wanita yang turut bekerja sebagai penari dan pelayan pelanggan (GRO) kelab itu ditahan, kerana disyaki telah melanggar syarat pas atau permit, selain tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Wanita warga asing berkenaan dilaporkan menjadi ‘gadis kalung bunga’ untuk menarik pelanggan ke kelab malam tersebut dan bayaran antara RM200 hingga RM1,000 satu malam, dikenakan bagi melanggan GRO berkenaan.

“Semasa serbuan dijalankan, beberapa warga asing termasuk GRO berkenaan, bertindak cuba melarikan diri mengikut pintu belakang dan ada yang sedang leka berhibur sebelum kesemua mereka berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anirwan Fauzee berkata pihaknya turut menahan lima lelaki warga Bangladesh yang merupakan pekerja kelab berkenaan atas kesalahan sama, selain dua lelaki warga tempatan yang merupakan penjaga dan pengurus kelab malam tersebut.

Beliau berkata kesemua mereka, ditahan di bawah Seksyen 55B dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Anirwan Fauzee berkata sebanyak 12 Borang 29 (saman saksi), juga telah dikeluarkan ke atas pelanggan bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Anirwan Fauzee berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap pemilik premis dan majikan, yang menggajikan warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah, serta dengan sengaja memberi perlindungan pada warga asing.

Wanita maut lepas makan sardin

AFP

Bordeaux: Wanita meninggal dunia selepas makan hidangan ikan sardin di restoran di Bordeaux, bersama 12 orang lain yang kebanyakannya adalah warga asing.

Pegawai kesihatan Perancis pada Rabu masih mengesahkan mangsa lain masih dirawat untuk Botulisme.

Botulisme ialah penyakit saraf serius yang biasanya disebabkan oleh makan makanan yang tidak diawet dengan sempurna.

Restoran di pusat bandar itu mengawet sardin itu sendiri, kata Direktorat Kesihatan Perancis (DGS) pada Selasa.

Di hospital Pellegrin, Bordeaux, Dr Benjamin Clouzeau berkata, wanita itu mendaftar masuk ke hospital berhampiran Paris selepas pulang dari restoran itu bersama pasangannya.

Mangsa meninggal dunia sejurus pulang ke rumah.

Pasangannya pula masih di rawat dalam unit rawatan rapi.

Seramai 12 orang masih menerima rawatan kecemasan pada Rabu, kata perkhidmatan kesihatan.

Lima daripada mereka terpaksa diberikan bantuan sokongan pernafasan.

Mangsa terdiri daripada warga Amerika Syarikat, Ireland, Jerman dan Kanada.

Seorang warga Jerman sudah pulang ke negaranya untuk mendapat rawatan, begitu juga seorang penduduk Barcelona, Sepanyol, kata doktor itu.

Mereka makan di restoran Tchin Tchin Wine Bar antara 4 dan 10 September yang terkenal dengan wain dan makanan dalam kalangan pelancong di bandar barat daya Perancis,

Mereka memesan ikan sardin yang diawet sendiri oleh pemilik restoran itu, kata DGS.
-hmetro

Kalau tak salah apa yang Muhyiddin takut?

Hishamuddin Aun

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa siasatan yang sedang berjalan ke atasnya satu lagi contoh siasatan terpilih untuk ‘memangsakan’ seorang pemimpin pembangkang.

Menggunakan peluang ketika membahaskan pembentangan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat semalam, beliau gesa kerajaan agar menghentikan siasatan ke atas pemimpin pembangkang atas alasan isu kaum, agama, dan raja (3R) yang didakwanya cuba menutup mulut rakyat.

Ringkas cerita, presiden Bersatu itu mahu memberi gambaran seolah-olah dirinya sering dianiayai.

Muhyiddin ulangi yang beliau hanya berkias menyebut “saya bagi hukum haram” mengundi calon Pakatan Harapan (PH) ketika ceramah perdana di Dataran Utama Kempas, Johor Bahru, 2 September lalu.

Dalam bahasa mudah, beliau mengakui menuturkan perkataan berkenaan tapi ia didakwanya telah disalahtafsirkan. Maknanya orang ramai tidak sepatutnya hanya mendengar tapi hendaklah juga membaca isi hati dan mindanya ketika itu, sama ada beliau bermaksud demikian, berseloroh atau seperti katanya sekadar berkias.

Cuba menjelaskan maksud sebenar beliau dalam satu ceramah lain pada 8 September, Muhyiddin kata kenyataan “haram” dikeluarkannya itu hanya bahasa santai dan tidak berdasarkan al-Quran atau fatwa.

“Kita orang Melayu cakap bahasa santai. Saya cakap pun orang ketawa. Dalam hati dia haram tak haram, kalau nak sokong, sokong juga.

“Haram Muhyiddin tak sama haram al-Quran dan fatwa. Itu bukan hukum, itu kenyataan yang ditekan jangan sokong. Bukan haram berdosa, itu pilihan maknanya jangan pilih,” katanya dalam ceramah grand finale kempen PRK Parlimen Pulai di Kempas.

Muhyiddin juga kata kenyataannya itu dipetik di luar konteks dan dimanipulasi untuk mengelirukan orang ramai. Cuma, beliau tidak pula kata siapa yang petik demikian atau siapa yang memanipulasi dengan niat untuk mengenakannya.

Kalau dapat diagak maksudnya itu, Muhyiddin seakan-akan menyalahkan media sebagai memanipulasi kenyataannya itu kerana beliau tidak pula mengaitkannya sebagai perbuatan sesiapa daripada Pakatan Harapan (PH) terhadap satu ceramahnya itu.

Bukanlah nak mempertahankan media dalam isu ini tapi alasan menyalahkan media sebagai memanipulasi, memutar belit atau memetik di luar konteks sesuatu ucapan sebenarnya sudah kerap didengar oleh mereka yang hendak melepaskan diri daripada bertanggungjawab.

Dalilnya sudah banyak kali media disaman kerana salah lapor, itupun sesudah enggan memohon maaf dan membetulkannya selepas diajukan surat tuntutan peguam. Tapi tidak ada pula tindakan seperti itu dalam isu Muhyiddin ini.

Yang tak pernah kita dengar ialah perakuan seorang ahli politik terhadap peranan berkesan yang dimainkan media. Selama ini pun, media tidak pernah menagih pengiktirafan seperti itu terhadap tanggungjawabnya.

Cuma, perlu juga ditanya ‘fatwa’ yang dibuat Muhyiddin itu disalah lapor atau disalah tafsir atau ditularkan menerusi video yang tidak pun disunting melainkan keseluruhan bahagian yang dimaksudkan?

Lagipun, siasatan ke atas Muhyiddin diumumkan sendiri Ketua Polis Negara Razarudin Husain. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.

Ini berikutan polis menerima satu laporan di sebuah balai polis di ibu negara mengenai kenyataan Muhyiddin itu dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Maknanya polis memandang serius isu berkenaan dan mudarat yang boleh disebabkannya kepada ketenteraman awam, apatah lagi soal halal haram ini bukan perkara main-main di sebalik ia mungkin dianggap lumrah oleh mereka yang menunggang agama untuk laba politik.

Polis sudah mengambil kenyataan Muhyiddin pada Selasa dan Razarudin menjangkakan untuk melengkapkan kertas siasatan dan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara pada Khamis.

Sehari sebelum PRN enam negeri 12 Ogos lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran terakhir kepada mana-mana pihak yang menyentuh isu 3R ini. Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mana-mana individu tanpa mengira pangkat, kaum, atau agama yang sengaja mencetuskan isu itu hingga membawa suasana tidak harmoni.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan polis dimaklumkannya akan memantau semua, dengan Malaysia diingatkannya akan terus terumbang-ambing kalau perkara berkenaan dibiarkan berlarutan.

Muhyiddin, yang pernah duduk di kerusi perdana menteri (Mac 2020-Ogos 2021) pun harus tahu. Tidak salah untuknya menyuarakan keresahan orang Melayu dan masyarakat Islam dan pastinya tidak akan dianggap sebagai penjenayah, asalkan tahu had dan batasannya.

Lebih-lebih lagi jika tidak berbuat salah, beliau tidak harus takut menghadap pengadilan.