Tandas pintar rakam 'cap dubur'

Agensi
PENYELIDIK Universiti Stanford, Seung-min Park terbabit dalam pasukan yang mencipta tandas pintar itu. FOTO Agensi
PENYELIDIK Universiti Stanford, Seung-min Park terbabit dalam pasukan yang mencipta tandas pintar itu. FOTO Agensi
Washington: Tandas pintar ciptaan penyelidik dari Universiti Stanford memenangi Hadiah Ig Nobel, iaitu hadiah satira yang dianugerahkan setiap tahun sejak 1991 untuk meraikan 10 pencapaian remeh yang luar biasa dalam penyelidikan saintifik.

Portal La Voce di New York melaporkan peranti itu menggunakan pelbagai peningkatan teknologi pada tandas standard.

Ia termasuk jalur ujian urinalisis, sistem komputer untuk analisis pembuangan air besar, sensor cetakan punggung yang dipasangkan dengan kamera pengenalan diri (ID) dan pautan telekomunikasi untuk memantau dan menganalisis najis.

"Idea untuk cap dubur mendapati bahawa dubur mempunyai 35 atau 37 lipatan, yang unik seperti cap jari," tulis penyelidik dari Universiti Stanford, Seung-min Park, menerusi catatan blog.

Peranti prototaip boleh dipasang menggunakan Raspberry Pi yang dipasangkan dengan kamera untuk menangkap cap dubur unik setiap orang semasa mereka duduk di mangkuk tandas.

Memandangkan tandas pintar adalah tambahan kepada tandas standard, teknologi itu boleh menelan kos antara AS$300 (kira-kira RM1,407) hingga AS$600 (kira-kira RM2,814) apabila ia akhirnya dihasilkan, menurut Park.

Ig Nobel adalah parodi bagi Hadiah Nobel bagi menghormati pencapaian yang pada mulanya membuat orang ketawa, namun kemudian membuat mereka berfikir.

Majlis anugerah itu menampilkan opera mini, demonstrasi saintifik, dan kuliah 24 jam di mana pakar mesti menerangkan kerja mereka menerusi dua sesi.

Acara itu yang diadakan secara talian, baru-baru ini, menampilkan 10 pencapaian remeh luar remeh dalam penyelidikan saintifik.

Uniknya, hadiah Ig Nobel itu pula dalam bentuk dokumen PDF yang boleh dicetak dan dipasang untuk mencipta trofi tiga dimensi.

Isu petik Al-Quran: Ulama Umno pertahan MP DAP

HarapanDaily.com

K PRAGALATH

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mempertahankan Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee dari DAP yang kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kerana dituduh memetik dan mentafsir ayat Al-Quran.

“Sesiapa pun termasuk bukan Muslim boleh mengambil pengajaran dan ilmu serta hikmah yang terkandung di dalam al-Quran sebagai hujah akademik atau panduan hidup sebagaimana dihuraikan oleh para alim ulama Islam,” katanya.

Lee telah memetik sebahagian ayat 59 surah an-Nisaa’ yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

Petikan itu disebut dalam sebuah klip video yang tular di media sosial.

Lee turut mengkritik presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan pimpinan Pas yang membawa fahaman Khawarij yang mentakfirikan umat Islam lain.

“Malah kewujudan kelompok Khawarij sebagaimana dihurai oleh alim ulama Islam dan dipetik juga oleh ahli parlimen berkenaan adalah tepat dan benar kerana Khawarij adalah golongan yang memberontak dan derhaka kepada pemerintah Islam khususnya Khalifah Uthman dan Khalifah Ali (r.a).”

Khairuddin yang merupakan bekas pemimpin Pas berkata bahawa pimpinan bukan Islam dalam Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) kerap menggunakan ayat al-Quran.

Begitu juga dengan DAP ketika bekerjasama dengan Pas di dalam Pakatan Rakyat.

“Malah, dulu ketika PAS bertahaluf dan bekerjasama politik dengan DAP, pemimpin DAP membaca ayat al-Quran di pentas-pentas ceramah PAS dan menjadi kebanggaan PAS pada ketika itu,” katanya.

Radzi nafi dakwaan lulus projek J-Qaf RM80 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin menafikan dakwaan beliau meluluskan secara runding terus projek percetakan buku J-Qaf bernilai RM80 juta ketika menjadi menteri kanan pendidikan.

Radzi menegaskan tuduhan yang tular mengaitkan beliau serta isterinya itu tidak benar sama sekali dan mendakwa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dibuat atas arahan pihak atasan susulan kenyataannya di Parlimen, Selasa lalu.

“Isteri saya juga bukan seorang kerabat diraja dan beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan mahupun kepentingan di dalam syarikat yang dinyatakan di dalam mesej tular tersebut.

“Jelas sekali SPRM sedang bertindak atas arahan pihak atasan kerana pernyataan-pernyataan saya di Parlimen, Selasa lalu,” katanya dalam kenyataan sambil menyifatkan dakwaan itu bertujuan menjejaskan imejnya dan menindas bekas pegawainya.

Terdahulu, media melaporkan SPRM menahan dua individu termasuk bekas setiausaha politik kepada bekas menteri kanan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi projek bernilai RM80 juta membabitkan sebuah kementerian.

Sumber SPRM memaklumkan suspek pertama berusia dalam lingkungan 20-an yang juga bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan manakala suspek kedua ialah pemilik syarikat berusia lewat 50-an.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Setiausaha politik bekas menteri kanan ditahan disyaki minta rasuah projek cetak buku RM80 juta

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
BEKAS setiausaha politik kepada bekas menteri kanan dan pemilik syarikat ditahan SPRM selepas disyaki terbabit rasuah bagi meluluskan projek bernilai RM80 juta. FOTO Ihsan SPRM
BEKAS setiausaha politik kepada bekas menteri kanan dan pemilik syarikat ditahan SPRM selepas disyaki terbabit rasuah bagi meluluskan projek bernilai RM80 juta. FOTO Ihsan SPRM
Kuala Lumpur: Bekas setiausaha politik bekas menteri kanan antara dua ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi projek bernilai RM80 juta.

Sumber berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 50-an yang juga pemilik sebuah syarikat ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, 11 malam tadi.

"Suspek disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan meluluskan projek percetakan buku bernilai RM80juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.

"Suspek kedua pula dipercayai bersubahat dengan bekas menteri kanan itu dengan meminta dan menerima rasuah melalui syarikatnya daripada kontraktor sebagai balasan meluluskan projek berkenaan," katanya.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang ditahan itu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini, untuk permohonan reman.

Pendaftar Mahkamah, Nur Adilah Halid membenarkan reman terhadap kedua-dua suspek itu selama empat hari bermula hari ini sehingga 26 September.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Tiga lelaki dibunuh, mayat ditemui bertindan

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
ALLAUDEEN menunjukkan gambar suspek warga Sri Lanka yang dikehendaki dalam kejadian kes bunuh dalam sebuah rumah di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
ALLAUDEEN menunjukkan gambar suspek warga Sri Lanka yang dikehendaki dalam kejadian kes bunuh dalam sebuah rumah di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
Kuala Lumpur: Bunyi jeritan dipercayai pergaduhan membawa kepada penemuan tiga mayat lelaki warga Sri Lanka yang diikat pada tangan dan kaki selain kepala disarung dengan plastik di sebuah rumah di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul, di sini, malam tadi.

Malah, ketiga-tiga mayat lelaki terbabit yang ditemui di dalam stor rumah didapati dalam keadaan bertindan dengan seorang daripadanya bogel.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat pergaduhan di sebuah kediaman di lot rumah kedai empat tingkat terbabit kira-kira jam 11 malam tadi.

"Susulan itu, pasukan kereta peronda polis (MPV) tiba di lokasi rumah terbabit yang terletak di tingkat dua dan melakukan pemeriksaan sebelum menemui tiga mayat lelaki berkenaan.

"Pemeriksaan di rumah menemui sepasang suami isteri warga Sri Lanka masing-masing berusia 40-an yang menyewa rumah berkenaan dan mereka ditahan bagi membantu siasatan.

"Seorang daripada tiga mangsa terbabit adalah anak kepada pasangan suami isteri berkenaan berusia 20-an," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Allaudeen berkata, siasatan awal dilakukan mendapati ketika pergaduhan itu, terdapat dua lelaki warga asing turut berada di rumah berkenaan, namun mereka sempat melarikan diri dari lokasi.

"Difahamkan rumah berkenaan memiliki lima bilik yang menempatkan pasangan suami isteri terbabit, anak mereka dan dua penyewa yang juga mangsa dibunuh dalam kejadian ini.

"Siasatan awal mendapati dua suspek warga Sri Lanka yang menetap di Klang, Selangor, datang ke rumah itu untuk melawat pasangan suami isteri yang dikenali mereka sejak enam bulan lalu.

"Mereka dikatakan tinggal di rumah itu sejak dua hari lalu. Berdasarkan maklumat awal ini, kita percaya jenayah ini dirancang," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan awal terhadap tiga mayat berkenaan mendapati terdapat kesan kelar pada salah satu mayat mangsa.

"Tiada kesan kecederaan ketara pada dua lagi mayat terbabit dan kami ada merampas pisau dipercayai sebagai senjata pembunuhan.

"Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat, hari ini.

"Pasangan suami isteri itu yang tidak bekerja pula direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 29 September nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, pihak polis masih di peringkat awal untuk merungkai motif kejadian terbabit.

"Siasatan lanjut mengenai kes ini sedang dijalankan dan kami sedang mengesan dua lelaki terbabit yang juga suspek utama.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan kedua-dua suspek berkenaan diminta menghubungi Bilik Gerakan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Ucapan yang sesuai untuk walaun

Semua dilihat untuk kepentingan politik, tak nampak langsung peluang dakwah

Bangkit isu MP DAP petik al-Quran, Sanusi gesa pengundi Pelangai tolak BN
Hariz Mohd & Seth Akmal

Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Md Nor menggesa pengundi di Pelangai untuk menolak BN dan PH, bagi menyuarakan penentangan terhadap apa yang didakwanya sebagai liberalisme oleh kerajaan persekutuan.

Bercakap dalam ceramah di Felda Kemasul malam tadi, Sanusi membangkitkan langkah Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee yang memetik terjemahan sepotong ayat al-Quran baru-baru ini.

Dia berkata perkara itu hanya boleh berlaku kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

"Dosa liberalisme yang berkembang dan mempengaruhi anak-anak kita ditanggung Zahid. Zahid dapat jadi presiden Umno kerana diangkat (perwakilan parti yang memilihnya).

"Jika tuan-tuan dan puan-puan nak hentikan dosa ini, naikkan PN. Hentikan kegilaan Zahid dan Anwar. Hentikan (mereka untuk) meliberalkan semua benda di dunia ini kerana gila kuasa mereka.

"Sekarang tak nampak (kesan) lagi, (tapi) sepuluh tahun akan datang, apek pakai seluar pendek yang mengajar al-Quran di masjid," dakwanya kepada beberapa ratus hadirin.

Sanusi merujuk insiden minggu lalu di mana Lee memetik terjemahan sebahagian daripada ayat 59 surah an-Nisaa' dan mengaitkannya dengan usaha PAS dalam melawan kerajaan.

Lee merujuk sebahagian ayat 59 surah an-Nisaa' yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu."

Beberapa laporan dibuat terhadap video itu dan polis memulakan siasatan terhadap ahli parlimen DAP itu.

Sanusi berkata tindakan Lee itu adalah satu penghinaan kerana dia bukan beragama Islam dan tiada kepakaran dalam menafsirkan al-Quran.

Dia membangkitkan tindakan ahli politik bukan Islam di Indonesia Basuki Tjahaja Purnama, atau lebih dikenali sebagai Ahok, yang turut memetik ayat al-Quran ketika kempen pilihan raya pada 2016.

Katanya lagi, tindakan itu telah mencetuskan bantahan di Indonesia dan bekas gabenor itu kemudian dijatuhkan hukuman penjara.

"Di Malaysia, zaman Anwar jadi perdana menteri (sebaliknya berlaku). Ada seorang ustaz tegur, dia kena panggil polis. Ini yang nak marah," katanya.

"Jangan beri BN menang. Jika tidak, ia beri isyarat kepada Anwar dan pengikutnya yang apa mereka buat ini betul," katanya lagi.

Lelaki buat perkara tak senonoh atas motosikal dicekup

ADNAN IBRAHIM
TANGKAP layar video seorang lelaki melakukan onani di atas motosikal di Taman Delima, Kluang yang tular sejak kelmarin.
KLUANG – Seorang lelaki yang melakukan perbuatan tidak senonoh dengan beronani di atas motosikal di Taman Delima di sini ditangkap semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pada pukul 1 pagi, 20 September lalu itu dikesan tular melalui Facebook menerusi video berdurasi 34 saat kelmarin.

Hasil siasatan mendapati lelaki tempatan berusia 21 tahun itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain saringan air kencingnya bebas pengaruh dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.

“Siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti tujuan lelaki itu melakukan perbuatan tidak senonoh tersebut di tempat terbuka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Bahrin lagi, perintah tahanan reman ke atas pemuda itu dibuat hari ini.-KOSMO! ONLINE

Pemandu teksi curi parkir, patahkan ‘wiper’ kereta OKU

KOSMO!
Tangkap layar video yang dimuat naik di aplikasi X.
PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu teksi yang sengaja mematahkan ‘wiper’ (pengelap cermin) sebuah kenderaan milik orang kelainan upaya (OKU) mengundang kecaman orang ramai.

Menerusi satu video yang dimuat naik oleh @MALAYSIAVIRALL di aplikasi X, pada mulanya kelihatan pemandu teksi itu dengan bersahajanya meletakkan kenderaannya di tempat letak kereta OKU.

Mungkin kerana terlalu geram dengan tindakan pemandu teksi yang seolah-olah tidak menghormati hak OKU, pemandu jenis Perodua Kancil telah meletakkan kenderaannya berdekatan belakang kereta pengangkutan awam tersebut.

Berang kerana sukar untuk keluar dari parkir kereta, pemandu teksi kemudiannya bertindak mematahkan pengelap cermin kereta Perodua Kancil itu sebelum meninggalkan kawasan terbabit.

Difahamkan, pemandu teksi itu tidak mempunyai pelekat OKU sama ada di cermin depan mahupun belakang.

Susulan itu, orang ramai menggesa agar pihak berkuasa bertindak segera ke atas pemandu teksi berkenaan yang tidak bertanggungjawab dan sengaja merosakkan kenderaan awam lain.

“Kalau hidup kau tertekan sekali pun, tiada hak untuk rosakkan harta orang lain. Apatah lagi golongan yang memerlukan,” ciap Ashraf.

“Kesiannya, dahlah hak parkir diambil. Naik kancil sahaja. Lepas tu kena keluar duit ganti ‘wiper’ yang dah patah, kesian sangat,” komen Nurul.

“Cari sampai dapat. Dua kesalahan iaitu menyalahgunakan parkir OKU dan merosakkan harta benda,” komen seorang pengguna.

Sehingga kini ciapan tersebut telah mendapat 244,000 tontonan, 1,318 perkongsian dan 1,151 tanda suka. – KOSMO! ONLINE


Hidayah: ‘Papa Blake’ sudah peluk Islam pagi tadi

KOSMO!
Salbuddin (dua dari kiri) selepas selesai mengucap dua kali syahadah di sebuah masjid di Shah Alam pagi tadi.
PETALING JAYA – Selepas tiga hari negara kehilangan anjing yang banyak berjasa dalam misi menyelamat dikenali sebagai Blake, penjaga haiwan tersebut, PB Salbuddin Salleh akhirnya memeluk Islam.

Salbuddin yang juga anggota bomba dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) melafazkan kalimah syahadah di sebuah masjid di Shah Alam pagi tadi bersaksikan bapa saudara dan sepupunya.

Ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi, Salbuddin,34, berkata, niatnya untuk memeluk agama Islam sudah lama dipendamkannya memandangkan dalam keluarganya, hanya dia seorang sahaja belum memeluk Islam.

Malah katanya, kehilangan Blake yang dijaganya sejak tahun 2018 menguatkan lagi nalurinya untuk memeluk Islam.

“Saya dah lama berniat peluk Islam, tetapi mungkin ketika itu belum ‘tiba masanya lagi’. Tetapi sejak kehilangan Blake tiga hari lalu, keinginan untuk peluk Islam semakin kuat.

“Jadi hari ini saya nekad bawa dua orang saksi (bapa saudara dan sepupu) untuk melafazkan kalimah syahadah di sebuah masjid di Shah Alam pagi tadi,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Gambar kenangan Salbuddin bersama Blake.
Menurut Salbuddin lagi, dia kini berasa tenang selepas melafazkan dua kalimah syahadah pagi tadi.

“Walaupun masih sedih dengan kehilangan Blake, tetapi dengan penghijrahan ini buat saya sedikit tenang.

“Saya juga kini sedang cuba menghafal beberapa surah termasuk al-Fatihah, doakan saya semoga sentiasa istiqamah,” kata anak jati Keningau, Sabah ini.

Terdahulu, tular di aplikasi TikTok klip video memaparkan Salbuddin melafazkan dua kalimah syahadah di sebuah masjid disaksikan beberapa orang individu dipercayai di sebuah masjid.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan, sekor anjing pengesan milik JBPM, Blake, terpaksa ditidurkan (euthanized) selepas dikesan menghidap barah limfoma.

Menerusi satu kenyataan dari JBPM, Blake dari disiplin Cadaver itu telah didiagnosis menghidap barah limfoma tahap empat pada 15 Ogos lalu dan terpaksa ditidurkan pada pukul 4.38 petang pada 18 September lalu. – KOSMO! ONLINE

PMX pimpin Andrew bersyahadah peluk Islam di New York

Ahmad Zaini Kamaruzzaman
madzaini@mediaprima.com.my
Anwar membantu Andrew Vinals melafazkan kalimah syahadah untuk memeluk agama Islam selepas menyampaikan Khutbah dan Bersolat Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York, hari ini. FOTO BERNAMA
Anwar membantu Andrew Vinals melafazkan kalimah syahadah untuk memeluk agama Islam selepas menyampaikan Khutbah dan Bersolat Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York, hari ini. FOTO BERNAMA
New York: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan memimpin syahadah seorang lelaki memeluk Islam selepas menunaikan solat dan menyampaikan khutbah Jumaat di masjid Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), tengah hari semalam.

Ketika Perdana Menteri beredar sambil bersalaman dengan jemaah selepas menyampaikan sumbangan al-Quran daripada kerajaan kepada masjid, pengacara majlis memaklumkan seorang lelaki dikenali sebagai Andrew mahu memeluk Islam dan memintanya tampil.

Kemudian seorang pegawai masjid dilihat menjemput Anwar sambil pengacara majlis mengumumkan Perdana Menteri akan menyempurnakan pengislaman lelaki berkenaan.

Menurut pegawai media daripada Pejabat Perdana Menteri, majlis itu adalah secara kebetulan dan tiada dalam atur cara rasmi.

Perdana Menteri adalah pemimpin negara luar pertama diberikan penghormatan menyampaikan khutbah di masjid ICCNY yang bersejarah, iaitu masjid pertama dibuka di kota New York pada 25 September 1995 yang turut menempatkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selepas selesai solat, pengacara mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana sudi menerima jemputan pihak masjid untuk berjemaah dan berkhutbah.

Menurutnya, jemaah masjid amat bertuah kerana Perdana Menteri yang menerima sanjungan di peringkat antarabangsa antarabangsa, terutama dunia Islam hadir berjemaah di masjid berkenaan.

"Kita bersyukur kerana Perdana Menteri Malaysia sudi menerima jemputan dan jemaah berpeluang menemui pemimpin seperti Anwar," katanya.

Sementara itu dalam khutbahnya, Anwar menyarankan umat Islam terus bersatu padu bagi menghadapi cabaran termasuk ancaman terhadap agama oleh golongan Islamofobia.

"Kita disarankan oleh Allah SWT menerusi al-Quran dan Nabi Muhammad SAW supaya berdakwah untuk memberi kefahaman kepada bukan Islam.

"Selain meningkatkan kesepaduan Islam, kita juga perlu memupuk hubungan dengan mereka bukan Islam supaya dapat membantu mereka lebih mengenali Islam " katanya.

Selain itu, beliau meminta umat Islam bukan sahaja mendalami ilmu agama, sebaliknya menimba sebanyak ilmu dan kemahiran bidang teknologi.

Perdana Menteri juga memberitahu mereka mengenai Malaysia Madani yang beliau bentuk selepas menjadi Perdana Menteri berasaskan kerajaan Islam Madinah oleh Nabi Muhammad SAW.

Jemputan menyampaikan khutbah itu dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika sidang media bersama wartawan Malaysia di Pejabat Wakil Tetap Malaysia di sini, petang semalam.

ICCNY adalah sebuah organisasi agama dan budaya Islam yang ditubuhkan pada awal tahun 1960-an. Rancangan asal pusat ini adalah menjadi institusi Muslim yang terdiri daripada sebuah masjid, sekolah, perpustakaan, dewan ceramah, muzium, dan rumah untuk Imam.

Objektifnya termasuk melayani komuniti Muslim di Manhattan khususnya dan keseluruhan komuniti Muslim Amerika secara umum.

Antaranya, untuk keperluan keagamaan mereka dan menyediakan tempat ibadah, kelas untuk membantu mereka dan anak-anak mempelajari pengetahuan terperinci tentang agama mereka, Islam dan mencerahkan pendapat awam Amerika Syarikat dengan pengetahuan sebenar mengenai Islam.

Hidayah: Atlet boling negara lafaz dua kalimah syahadah

Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
NEROSHA memeluk Islam di Ibu Pejabat Perkim semalam. FOTO Perkim
NEROSHA memeluk Islam di Ibu Pejabat Perkim semalam. FOTO Perkim
Kuala Lumpur: Tertarik dengan amalan yang dilakukan rakan Muslim lain mendorong atlet boling wanita negara Nerosha Keligit Thiagarajan terbuka hati untuk memeluk Islam semalam.

Atlet berusia 27 tahun itu melafazkan dua kalimah syahadah di Bilik Hidayah, Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan, petang semalam.

Perkara itu disahkan menerusi Facebook Perkim yang memaklumkan Nerosha memeluk Islam di hadapan Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) Perkim Kebangsaan Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
NEROSHA raih perak acara berpasukan di Sukan Sea 2021 di Hanoi.
NEROSHA raih perak acara berpasukan di Sukan Sea 2021 di Hanoi.
Nerosha berasal dari Sarawak berkata, dia tertarik juga dengan Islam kerana kehidupannya sebagai seorang atlet dikelilingi dengan rakan-rakan Muslim yang taat mengerjakan ibadah.

Katanya, dia sering bertanyakan kepada rakan-rakan Muslimnya kewajipan bersolat, berpuasa dan ibadah lain.

"Saya mempercayai dan meyakini dengan keesaan Allah SWT," katanya.

Mengikut rekod, Nerosha antara atlet yang menyinar dalam sukan boling apabila mengharumkan nama Malaysia dengan meraih emas Kejohanan Dunia pada edisi 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Selain itu, dia juga memenangi perak pada temasya Sukan Sea 2021 di Hanoi selepas menduduki tempat kedua dalam acara berpasukan wanita.

PH-BN berdepan kesukaran di Pelangai jika kekuatan PN dah ‘kemuncak’

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Gabungan kerajaan perpaduan dilihat akan berdepan kesukaran dalam PRK Pelangai sekiranya kekuatan Perikatan Nasional (PN) sudah mencapai ke kemuncaknya, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata penilaiannya mengenai peluang Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dalam PRK Pahang pada 7 Oktober ini berdasarkan keputusan PRK di Pulai dan Simpang Jeram baru-baru ini.

“Walaupun jumlah keluar mengundi rendah di Pulai, PN masih mampu mendapat 9,000 lebih undi berbanding PRU pada November.

“Jika PN dapat mengekalkan kedudukan terbaik mereka dalam mengumpulkan pengundi Melayu, maka ini sangat bahaya bagi kerajaan perpaduan, seperti yang terbukti di Pulai,” kata Azmi kepada FMT.

Dalam satu catatan di Facebook pada Selasa, Ketua DAP Johor Liew Chin Tong berkata kemenangan PH dalam PRK Johor pada 12 Ogos adalah bukti bahawa pengaruh PN semakin berkurangan.

Liew berkata kejayaan PN dalam pilihan raya di enam negeri pada bulan lalu mungkin kemuncak pencapaian gabungan pembangkang, tambahnya lagi pembangkang telah mencapai “kemuncak” menerusi penggunaan retorik perkauman dan agama.

Azmi berkata walaupun pemerhatian Liew mungkin betul, gabungan PH-BN akan menghadapi kesulitan dalam PRK Pelangai.

“Kerusi ini memiliki majoriti Melayu lebih dari 70%, yang akan meletakkan BN dan PH dalam bahaya. Jika kemuncak ini kekal, kerajaan perpaduan akan menghadapi kesulitan,” katanya.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia bersetuju dengan Liew, dan berkata kemenangan PN sebagian besar datang dari sumbangan PAS.

“Ini menerangkan pengaruh mereka terhadap pengundi Melayu tradisional dan Melayu yang cenderung kepada politik perkauman,” kata Mazlan.

“Ini sebabnya kekuatan mereka di Selangor hanya berada di kawasan Melayu tradisional seperti Tanjung Karang, Hulu Selangor, dan Sabak Bernam.”

Menurutnya, PN akan menghadapi kesulitan untuk mendominasi politik negara jika hanya memberi tumpuan kepada orang Melayu.

“Mereka perlu memberi tumpuan kepada golongan bukan Melayu, yang sekarang dikuasai terutamanya oleh PH,” kata Mazlan.

Bagaimanapun, bagi PH dan BN untuk terus mendominasi politik negara, Mazlan berkata gabungan perpaduan perlu “memenangi sekurang-kurangnya 30% undi Melayu dalam setiap kawasan majoriti Melayu”.

Rombakan kabinet seusai PRK Pelangai?

HarapanDaily.com

K PRAGALATH

Spekulasi rombakan kabinet akan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertiup kencang dan ia dijangka berlaku seusai pilihan raya kecil Pelangai pada 7 Oktober.

Menurut satu laporan media yang memetik kata – kata pemimpin DAP yang enggan dinamakan, Anwar akan menilai prestasi calon gabungan PH-BN sebelum membuat rombakan kecil di dalam kabinet.

Menurutnya, usaha rombakan ini tidak dapat dielakkan.

Sementara itu satu lagi laporan memetik sumber Jabatan Perdana Menteri berkata rombakan akan termasuk penukaran ketua-ketua setiausaha di beberapa kementerian.

“Dengan selesainya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kerajaan terus stabil berbanding propaganda dicanang Perikatan Nasional (PN). Ini termasuk dukungan Sabah dan Sarawak terus kukuh.

“Perdana menteri kini fokus kepada kerajaan untuk berfungsi melaksanakan dasar-dasar utama seperti RMK12 (Rancangan Malaysia Ke-12), Bajet 2024 pada Oktober, polisi tenaga dan kos sara hidup.

“Oleh demikian Anwar akan melakukan rombakan kabinet, KSU, anggota birokrasi, kakitangan awam, bahkan pejabat beliau sendiri,” kata sumber, lapor Malaysiakini.

Sumber tersebut menambah rombakan akan dilakukan Anwar bagi memperkemaskan penambahbaikan dalam usaha komunikasi kerajaan.

“Misalnya jentera hebahan atau penerangan dilihat tertinggal berbanding PN. Proses rombakan masih disusunkan. Akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Ucapan PM di ibu pejabat PBB, New York: Bakar al-Quran tindakan Islamofobia cetus kebencian

Bernama
Anwar Ibrahim menyampaikan kenyataan negara pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-78 di ibu pejabat PBB di New York. (Gambar Bernama) 
NEW YORK: Perbuatan membakar al-Quran di beberapa negara adalah tindakan Islamofobia jelas bertujuan mencetuskan kebencian, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tindakan tidak mengendahkan provokasi terang-terangan terhadap sesuatu agama tidak bertanggungjawab dan menghantar mesej berbahaya kepada kemanusiaan.

Anwar dalam kenyataan negara yang disampaikan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di ibu pejabat PBB, berkata Malaysia bimbang dengan kemunculan “bentuk perkauman baharu” yang dicirikan xenofobia, pemprofilan negatif dan stereotaip umat Islam.

“Ini dimanifestasikan dalam trend kebencian membimbangkan, sikap tidak bertoleransi dan tindakan keganasan terhadap umat Islam dan kesucian mereka.”

Malaysia, katanya terkejut dengan pengesahan perbuatan ini di bawah pembelaan hak asasi manusia lemah.

Berbaju Melayu biru muda dilengkapi samping bertenun benang emas, beliau berkata, dunia perlu menerapkan nilai penerimaan, toleransi dan saling menghormati serta menggalakkan persefahaman dan kerjasama antara budaya, peradaban dan agama.

Pada masa sama, Anwar berkata, setiap orang perlu menyatukan kepercayaan mereka bagi tujuan sama untuk menggalakkan persefahaman dalam kalangan rakyat dan mengukuhkan keamanan serta keharmonian dalam kalangan negara.

“Ini memang suatu yang sukar, namun itu sebabnya kita berada di sini. Apa yang kita perlukan ialah kepercayaan dan keyakinan untuk menjadikan dunia tempat lebih baik, kemahuan untuk bekerjasama di atas platform konsensus dan perpaduan.”

Selepas mesyuarat dua hala di sini pada Rabu, Anwar dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengutuk sekeras-kerasnya pembakaran al-Quran dan wacana populis baru-baru ini yang menghasut supaya membenci Islam.

Dua pemimpin itu dalam kenyataan bersama menyuarakan kebimbangan terhadap kemunculan “bentuk perkauman baharu” yang dicirikan xenofobia, pemprofilan negatif dan stereotaip terhadap umat Islam.

Siasat Mubin kerana qazaf, Jawi

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 
Satu laporan dibuat oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) hari ini kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terhadap individu yang menggunakan nama Mubin Salleh di Facebook.

Badan bukan kerajaan tersebut mahu Mubin disiasat kerana membuat tuduhan palsu iaitu qazaf.

Naib Presiden Abim Pusat, Zairudin Hashim menegaskan, qazaf bukan perkara yang kecil, malah dalam Islam ianya dianggap satu jenayah berat.

“Kalau kita tengok dalam Enakmen Syariah Wilayah Persekutuan Seksyen 41, menyatakan dengan jelas qazaf ini satu kesalahan yang ada hukumannya tersendiri.

“Justeru, kami ingin menekankan kepada masyarakat secara tegas bahawa kita boleh berbeza pandangan politik, masyarakat boleh mengkritik waima Perdana Menteri sekali pun, tetapi kita suburkan politik kematangan dan kesejahteraan.

“Elakkan sampai tahap memfitnah, apatah lagi membabitkan qazaf kerana qazaf bukan satu kesalahan yang biasa, ia melibatkan hukum syarak,” katanya ketika ditemui pemberita di Jawi, hari ini.

Menurut Zairudin lagi, umat Islam diingatkan agar mengelak daripada menormalisasikan perkara sedemikian.

“Elakkan daripada secara sengaja menulis di media sosial berkenaan dengan fitnah yang tidak sepatutnya ditulis oleh kita semua,” tegas beliau.

Terdahulu, Zairudin bersama empat lagi rakannya membuat aduan di Jawi.

Berdasarkan kertas aduan, Zairudin menyatakan bahawa beliau terlihat satu hantaran jelik di Facebook ketika melayari laman sosial itu kira-kira jam 8 malam semalam.

Beliau mendakwa, hantaran jelik itu daripada Mubin Salleh atau nama sebenarnya Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh yang merupakan bekas setiausaha politik kepada kepada Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Mubin menyatakan bahawa Ahli Parlimen Tambun yang juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peliwat.

“Kenyataan dan hantaran itu jelas berbentuk fitnah dan palsu. Saya percaya individu berkenaan telah mengemukakan satu tuduhan tanpa empat orang saksi atau iqrar orang yang dituduh,” katanya lagi.

Di dalam perkembangan berkaitan, pimpinan Abim Perak turut membuat laporan terhadap Mubin di Ipoh.

Rombakan kabinet 'besar-besaran' dalam masa terdekat - Sumber

B Nantha Kumar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikatakan bersedia membuat rombakan kabinet secara besar-besaran dalam masa terdekat ketika timbul desas desus mengenai kemungkinan perkara itu.

Menurut satu sumber terdekat Jabatan Perdana Menteri (JPM), Anwar sedang menyusun rombakan kabinet termasuk menukar ketua-ketua setiausaha (KSU) beberapa kementerian.

"Dengan selesainya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kerajaan terus stabil berbanding propaganda dicanang Perikatan Nasional (PN). Ini termasuk dukungan Sabah dan Sarawak terus kukuh.

"Perdana menteri kini fokus kepada kerajaan untuk berfungsi melaksanakan dasar-dasar utama seperti RMK12 (Rancangan Malaysia Ke-12), Bajet 2024 pada Oktober, polisi tenaga dan kos sara hidup.

"Oleh demikian Anwar akan melakukan rombakan kabinet, KSU, anggota birokrasi, kakitangan awam, bahkan pejabat beliau sendiri," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan spekulasi mengenai rombakan kabinet untuk menggantikan menteri yang tidak berprestasi.

Laporan itu juga mendakwa rombakan itu akan turut membabitkan ketua setiausaha dan ketua pengarah di beberapa kementerian.

Sementara itu, sumber itu berkata rombakan akan dilakukan Anwar bagi memperkemaskan penambahbaikan dalam usaha komunikasi kerajaan.

"Misalnya jentera hebahan atau penerangan dilihat tertinggal berbanding PN. Proses rombakan masih disusunkan. Akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya.

Penganggur menga

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
PENGANGGUR mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merogol adik iparnya yang berusia 11 tahun, minggu lalu. FOTO L Manimaran
PENGANGGUR mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan merogol adik iparnya yang berusia 11 tahun, minggu lalu. FOTO L Manimaran
Ipoh: Penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun juga adik iparnya, minggu lalu.

Tertuduh berusia 22 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di sini, kira-kira jam 11 malam, 16 September lalu.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan (ASP) Rhozariah Mohd manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tarikh 23 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Salleh Said Keruak:Muhyiddin semakin ‘hilang peranan tertinggi’ dalam PN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, kelihatan semakin “hilang peranan tertinggi” dalam gabungan pembangkang, selepas pertemuan antara Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS Hadi Awang baru-baru ini, kata seorang bekas menteri.

Salleh Said Keruak, yang sebelum ini berpandangan PN cuba menonjolkan bekas perdana menteri dua kali itu sebagai pemimpin de facto, berkata tiada siapa yang boleh menyalahkan PAS kerana memilih Mahathir berbanding Muhyiddin.

“Rekod Mahathir jauh lebih baik,” kata bekas menteri komunikasi dan digital di Facebook.

Beliau berkata Hadi berazam mempertahankan kejayaan PAS dalam PRU15 dan PRN, kerana beliau ingin meneruskan momentum “Gelombang Hijau”.

Namun Salleh percaya Muhyiddin yang bercita-cita politik tidak akan menerima perkembangan itu “tanpa melakukan apa-apa” dan mungkin akan meneroka pilihan lain.

“Saya percaya bahawa seperti Mahathir, Muhyiddin juga percaya bahawa dalam politik tiada musuh yang kekal. Dia perlu bergantung pada dirinya sendiri untuk menjaga kepentingan politik dan cita-citanya.”

Pada awal bulan ini, delegasi peringkat tertinggi PAS, termasuk menteri besar empat negeri yang dipimpin parti itu, bertemu Mahathir untuk membincangkan pembangunan ekonomi di negeri mereka.

Hadi dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengadakan pertemuan selama 90 minit dengan Mahathir. Turut hadir empat menteri besar – Shukri Ramli (Perlis), Sanusi Nor (Kedah), Nassuruddin Daud (Kelantan), dan Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu).

Pada 14 September, Samsuri mengumumkan kerjasama rasmi empat kerajaan negeri di bawah kawalan PN, yang dikenali sebagai “State-Government 4” atau SG4, dengan Mahathir sebagai penasihat tidak rasmi, akan diwujudkan.

Salleh, dalam satu hantaran berasingan, berkata Mahathir akan berusaha sebaik mungkin untuk menarik pelaburan asing besar-besaran ke empat negeri ini sebagai cara untuk mencapai matlamatnya – kembali ke gelanggang politik.

Kerana empat negeri ini dianggap “negeri Melayu”, menarik pelaburan asing akan membolehkannya mengukuhkan sokongan dalam kalangan masyarakat Melayu, katanya.

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, Mahathir ingin bekerja dengan PAS walaupun pernah berselisih dengan parti itu sebelum ini, kerana beliau sangat mahukan sokongan Melayu.

PAS, pula, ingin bekerja dengan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu untuk menarik sokongan orang Melayu dan bukan Melayu yang “moderate”.

Saya mahu jumpa dia saja, kata lelaki dituduh mengintai pembaca berita wanita

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my
MUHAMMAD Azhari @ Azari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. FOTO NSTP
MUHAMMAD Azhari @ Azari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. FOTO NSTP
Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, memerintahkan pekerja restoran yang berdepan tuduhan mengendap dan melakukan gangguan berulang terhadap pembaca berita wanita, mendapatkan status kesihatan mental terlebih dahulu.

Ia berikutan selepas pertuduhan dibacakan ke atas tertuduh, Muhammad Azhari @ Azari Abdul Rahman, 55, oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, lelaki itu dilihat berulang kali menyatakan dia hanya mahu berjumpa mangsa saja.

"Saya mahu jumpa dia saja," katanya.

Atiqah membuat keputusan itu selepas peguam, Mohamad Zaidi Othman yang mewakili tertuduh memohon lelaki itu dihantar ke hospital untuk mendapatkan status kesihatan mental terlebih dahulu.

Terdahulu, dalam prosiding hari ini, Muhammad Azhari mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Atiqah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan pengintaian terhadap Ainaa Kamalia Jamaludin, 31, dengan menghantar mesej di media sosial dan berulang kali pergi ke tempat kerja wanita itu di pejabat Awesome TV, Tingkat 18, Menara 2 Bank Rakyat, di sini pada 4 petang, 17 September lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Muhamad Sapri Yaakub menawarkan jaminan RM3,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Mohamad Zaidi dalam rayuannya menyatakan ahli keluarga tidak berhasrat untuk menjamin dan memohon supaya tertuduh dihantar ke hospital bagi mendapatkan status kesihatan mentalnya.

"Saya ingin membuat permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya anak guam di hantar ke hospital berkenaan bagi mendapatkan status kesihatan mentalnya.

"Sebelum ini dia pernah didaftarkan di Jabatan Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetapi dia tidak pergi untuk mendapatkan rawatan. Mohon satu tarikh singkat untuk saya dapatkan rekod daripada HKL," kata peguam itu.

Muhamad Sapri tidak membantah permohonan itu.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Atiqah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Oktober ini untuk mahkamah mendapatkan rekod mengenai kesihatan mental tertuduh.

Dendam main mercun dipercayai punca Darvnrajh ditikam 18 kali

Nuraliawati Sabri
am@hmetro.com.my
PASUKAN polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat lelaki hampir reput dan berulat di kebun kelapa sawit, di Kemuning, Sabtu lalu. FOTO ihsan pembaca
PASUKAN polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat lelaki hampir reput dan berulat di kebun kelapa sawit, di Kemuning, Sabtu lalu. FOTO ihsan pembaca
Melaka: Dendam dipercayai menjadi motif pemuda dibunuh kejam sebelum mayatnya ditemui dengan 18 kesan tikaman di dalam timbunan semak berhampiran kebun kelapa sawit di Kemuning, Alor Gajah, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, susulan daripada penemuan mayat mangsa iaitu R Darvnrajh, 24, satu operasi khas 'Op Kejam' dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah.

Beliau berkata, susulan itu enam lelaki berusia antara 18 hingga 26 tahun yang juga teman mangsa ditahan di sekitar Tampin, Negeri Sembilan minggu lalu.

"Siasatan dijalankan mendapati punca mangsa dibunuh adalah kerana rasa tidak puas hati membabitkan dendam lama iaitu kejadian ketika sambutan Deepavali tahun lalu.

"Suspek dikatakan membawa mercun dengan menggunakan motosikal ke taman perumahan berhampiran kediaman mangsa menyebabkan keluarga mangsa menegur dan membuat laporan polis mengakibatkan suspek ditangkap.

"Malah, suspek juga mendakwa susulan daripada kejadian itu mangsa dikatakan berlagak dan menyebabkan mereka marah," katanya.

Zainol berkata, pada jam 10.30 malam, 9 September lalu, semua suspek keluar dengan menaiki sebuah kereta untuk minum di Taman Indah dan membeli 24 tin arak.

"Ketika dalam perjalanan balik ke rumah jam 5.30 pagi selepas minum arak hingga mabuk suspek terserempak dengan mangsa di Taman Mutiara.

"Suspek kemudian mengajak mangsa minum dan membawanya masuk ke dalam kereta sebelum bertindak membelasah serta memukulnya dengan tangan," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Kemuning, dipaksa keluar dari kereta sebelum suspek bertindak menikam dan menetaknya menggunakan parang panjang.

"Mangsa kemudian ditinggalkan di lokasi kejadian sebelum suspek pulang ke rumah selain parang dikatakan disimpan di dalam bonet kereta dinaiki mereka.

"Kesemua suspek kini direman sehingga 24 September bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan," katanya.

Kenapa polis perlu rampas telefon semasa siasatan, soal bekas menteri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim, yang sedang disiasat bawah Akta Hasutan, mempertikaikan keperluan polis merampas telefonnya.

Zaid berkata, tindakan tersebut tidak perlu diambil apabila “orang yang disiasat mengaku menulis ciapan tersebut”.

Beliau mencadangkan Badan Peguam Malaysia dan kumpulan hak asasi manusia lain meneliti Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Sudah cukup teruk apabila mengekspresikan diri dijadikan suatu kesalahan, tetapi merampas telefon seseorang adalah kejam,” katanya menerusi ciapan hari ini.

Zaid disoal siasat oleh Bukit Aman semalam berhubung ciapannya di X (dahulunya Twitter) yang menyentuh mengenai institusi diraja.

Pada Januari, polis turut merampas telefon milik setiausaha akhbar Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan pembantu Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.

Farhan Iqbal dan Noor Suhana Ishak turut mempersoalkan keperluan telefon mereka dirampas.

Pada Jun, FMT melaporkan bahawa telefon milik pereka grafik dan aktivis Fahmi Reza dikembalikan setahun selepas ia dirampas apabila polis menyiasatnya berhubung sebuah poster berunsur satira.

Polis merampas telefon dan kad SIM untuk siasatan bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Isteri diculik, diseksa selama 10 hari angkara hutang

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
GAMBAR mangsa didera oleh suspek. FOTO Mikail Ong
GAMBAR mangsa didera oleh suspek. FOTO Mikail Ong
Georgetown: Angkara suami tidak bayar hutang, seorang wanita melalui detik mencemaskan apabila diculik, dikurung dan diseksa selama 10 hari di sebuah rumah.

Wanita malang itu kemudian berjaya diselamatkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, JSJ Pulau Pinang dan JSJ Selangor, Ahad lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, terdahulu seorang lelaki Indonesia membuat laporan di Balai Polis Kinrara, Selangor, mendakwa isterinya yang sedang bercuti di Georgetown, diculik sekumpulan individu tidak dikenali.

Katanya, lelaki berkenaan mendakwa isterinya dikurung dan dicederakan di lokasi yang tidak diketahui dan suspek meminta wang berjumlah RM540,000 bagi melepaskan mangsa.

"Bertindak atas maklumat, mangsa diselamatkan dalam Op Scorpion menerusi serbuan terhadap sebuah rumah di Shah Alam, Selangor, pada jam 5.10 pagi.

"Mereka menggunakan kenderaan berlainan untuk membawa mangsa ke Shah Alam supaya pergerakan sukar dikesan.

"Turut diselamatkan ialah seorang lagi lelaki yang mendakwa dikurung kerana gagal menjelaskan hutang dan kedua-dua mangsa masing-masing berusia 36 dan 27 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Kok Chin berkata, susulan itu pada hari yang sama antara jam 6 pagi hingga 10.30 malam, polis berjaya menahan 14 suspek yang disyaki terbabit dalam kes itu.

Katanya, mereka terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita warga tempatan serta dua lelaki warga asing yang berusia antara 23 hingga 70 tahun.

"Mereka ditahan di sekitar Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor dan ujian saringan air kencing terhadap semua suspek didapati negatif dadah manakala lima daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kesemua suspek termasuk dalang yang berusia 35 tahun direman selama tujuh hari sehingga 23 September bagi membantu siasatan," katanya lagi.

Antara yang dirampas ialah empat kereta, telefon bimbit, pengikat kabel (cable tie), jarum, batang besi, rantai besi, getah paip dan wang tunai berjumlah RM4,800.

Beliau berkata, siasatan mendapati pengadu yang bekerja sebagai kontraktor di Malaysia itu berhutang dengan suspek dan sudah menjelaskan sebanyak RM50,750 menerusi dua transaksi namun mangsa masih tidak dibebaskan.

Katanya, terdapat kesan cedera pada badan kedua-dua mangsa dipercayai akibat didera suspek semasa dikurung.

"Terdapat kesan luka pada tangan mangsa dipercayai dicucuh dengan puntung rokok manakala kuku pula diumpil menggunakan jarum selain kaki dan tangan turut diikat menggunakan pengikat kabel serta rantai besi.

"Polis masih menjalankan siasatan sama ada suspek mempunyai kaitan dengan sindiket along. Hutang perlu dijelaskan, tetapi cara yang dilakukan suspek tidak wajar," katanya.

Mangsa kini masih dirawat di hospital serta berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Semalam, Harian Metro Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan mendapati warga asing itu terbabit satu urus niaga namun ia terbengkalai di tengah jalan menyebabkan ahli keluarganya diculik.

Timbalan Menteri Lembik?: Jangan buang masa polis

Fokus kawal harga, jangan buang masa polis, Fuziah diberitahu
Seorang ahli akademik berkata tindakan timbalan menteri itu juga menyebabkan polis menyiasat kesalahan yang tidak wujud.

FMT Reporters
Satu video tular memaparkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berbelanja RM136.30 untuk membeli barangan keperluan harian di sebuah pasar raya.
PETALING JAYA: Seorang ahli akademik menggesa Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh memfokuskan strategi kawalan harga berbanding membuang masa polis menyiasat perkara yang remeh temeh.

Ramzah Dambul dari sebuah institusi pendidikan tempatan juga mengingatkan Fuziah bahawa polis mempunyai tugas yang lebih penting, selain tidak perlu melibatkan mereka dalam “mengurus emosi pemimpin politik yang koyak kerana umpat keji netizen”.

“(Polis juga) kena buka kertas siasatan untuk menyiasat kesalahan yang tidak wujud,” katanya di Facebook.

Ramzah berkata demikian mengulas laporan polis yang akan dibuat seorang pegawai Fuziah berhubung satu video yang disiarkan semula memaparkan beliau “membeli barangan keperluan harian”.

Video itu yang kali pertama dimuat naik pada Julai lalu, memaparkan Fuziah membeli beberapa barangan seperti minyak masak, beras, biskut, mi segera, sardin dalam tin dan bawang di sebuah pasar raya dengan harga RM136.30.

“Siapa kata RM200 tidak cukup dan kena RM500,” katanya dalam video tular itu.

Bagaimanapun, video itu mencetuskan kritikan pengguna media sosial terhadap beliau.

Fuziah menjelaskan, video tersebut telah diambil di luar konteks, termasuk rakaman lama, yang diambil pada Julai lalu ketika berkunjung ke sebuah pasar raya di Langkawi, Kedah.

Mengulas lanjut, Ramzah berkata kelakuan Fuziah di dalam video itu seolah-olah mengejek kesusahan rakyat, sebaliknya tugas menteri adalah menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat pada ketika ini.

“Yakinkan rakyat bahawa kerajaan serius dengan keluh-kesah akar umbi. Bukan cuba menguburkan sentimen dan naratif rakyat dengan acah-acah turun padang.

“Tolonglah jauhi kenyataan-kenyataan simplistik begitu. Keperluan harian manusia lebih kompleks dari sekadar dua pek mi atau sekampit beras,” katanya.

Sultan Johor sedia laksana tugas negara

Bernama

Sultan Johor menzahirkan kesediaan baginda melaksanakan tugas untuk negara dan rakyat.

Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, yang mendahului senarai penggiliran menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong, menzahirkan kesediaan memikul tanggungjawab itu.

“Ia bukan satu kenaikan pangkat. Ia adalah tanggungjawab yang saya sedia untuk laksanakan bagi pihak Raja-Raja Melayu," titah baginda semasa wawancara eksklusif bersama Bernama yang diketuai pengerusinya Wong Chun Wai di kediaman peribadi baginda, di Johor Bahru, baru-baru ini.

Sultan Ibrahim bertitah bahawa keutamaan baginda adalah menjaga kebajikan rakyat.

“Rakyat akan sentiasa didahulukan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim enggan mengulas lanjut dan bertitah adalah lebih baik menunggu mesyuarat Majlis Raja-Raja selesai.

Raja-Raja Melayu dijangka memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 27 Okt ini di bawah sistem pemilihan yang unik, namun berkemungkinan mengekalkan sistem penggiliran bagi memilih Yang di-Pertuan Agong baharu dalam kalangan sembilan Raja.

Pemerintahan lima tahun Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang, dijadualkan berakhir pada penghujung Januari depan.

Sultan Ibrahim telah dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010.

-Bernama

Bukan hisap vape, hisap pen? : Ahli Parlimen PN mahu saman jurugambar

FMT Reporters
Gambar tular menunjukkan Ikmal Hisham Abdul Aziz didakwa menghisap vape di Dewan Rakyat. (Gambar Twitter Sadiq Asyraf)
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang jurugambar yang menuduh dan memuat naik gambar beliau “menghisap vape” ketika di Dewan Rakyat Selasa lalu.

Katanya, pegawainya juga akan membuat satu laporan polis berhubung perkara itu di IPD Dang Wangi pada petang ini, lapor Sinar Harian.

“Kita akan buat (tindakan undang-undang). Satu kenyataan media juga akan dikeluarkan selepas laporan polis selesai dibuat,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Terdahulu, seorang jurugambar Perdana Menteri Anwar Ibrahim memuat naik gambar Ikmal dilihat seperti menghisap vape ketika keluar dari Dewan Rakyat. Gambar itu kemudiannya tular di media sosial.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Perikatan Nasional itu menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan apa yang dipegangnya ketika itu adalah pen.

“Semua orang tahu saya bukan kaki merokok, duduk sebelah orang merokok pun saya tak tahan, apatah lagi merokok, hisap vape jauh sekali,” katanya.

Bagaimanapun, Ikmal berkata beliau sedia memberikan penjelasan berhubung dakwaan itu.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata beliau akan menghantar surat kepada Ikmal bagi menuntut penjelasan.

Mansuh pencen ahli politik: Ada MP anggap pakar ekonomi hipokrit

Isabelle Leong & Yasmin Ramlan

Cadangan memansuhkan pencen untuk semua menteri dan ahli parlimen tidak disambut baik oleh sesetengah ahli parlimen dengan menganggap langkah tersebut tidak adil.

Malaysiakini cuba mendapatkan maklum balas dari 26 daripada 222 ahli parlimen dari blok pembangkang dan kerajaan, namun hanya dua daripada mereka - Teresa Kok (Seputeh) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) rela untuk mendedahkan identiti masing-masing.

Kok yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut berpendapat ahli parlimen juga berkhidmat sama seperti penjawat awam yang lain dan wajar mendapat pencen seperti mereka.

Dia memberi contoh pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang pernah berkhidmat sebagai ahli parlimen sejak 1969 - sebelum bersara pada 2022 - walaupun bukan secara berterusan.

Selain Lim, satu lagi contoh diberikan Kok ialah veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang memulakan khidmatnya sebagai wakil rakyat di Kelantan pada 1969.

“Kami (ahli parlimen) juga penjawat awam. Saya telah berkhidmat sebagai MP selama 23 tahun, sepenuh masa.

"Jika dibandingkan dengan kebanyakan penjawat awam, kami juga bekerja keras seperti mereka dan kebanyakan MP berkhidmat siang dan malam - termasuk pada hujung minggu.

"Ini semua adalah satu khidmat awam.

“Lainlah kalau kamu nak cadangkan supaya hapuskan skim pencen kepada semua (termasuk penjawat awam). Kalau tak kenapa nak sasarkan kepada ahli politik sahaja?” soalnya.

Bagaimanapun, bekas menteri itu memberi pengecualian buat ahli parlimen yang mempunyai lebih daripada satu skim pencen selepas menyandang beberapa jawatan.

“Saya tak setuju bagi mereka yang dapat banyak sangat pencen,” katanya.

Pada 20 Sept, bekas penasihat ekonomi perdana menteri, Muhammed Abdul Khalid menyarankan agar semua menteri dan ahli parlimen 'diajar' untuk merasai kesempitan hidup seperti dilalui orang kebanyakan dengan membatalkan pencen mereka.

Selepas pencen dimansuhkan, Muhammed berpendapat mereka wajar dimasukkan ke skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti orang lain.

Dia menjadikan langkah kerajaan sebelum ini membenarkan pencarum mengeluarkan wang masing-masing dari KWSP sebagai kesilapan terbesar dalam sejarah negara kerana menjerumuskan ramai orang ke kancah kemiskinan.

Anggap Muhammed tak adil

Pakar ekonomi itu berkata, walaupun begitu kesempitan hidup dihadapi rakyat tidak dirasai oleh menteri dan ahli parlimen kerana mereka mendapat banyak kelebihan.

Bahkan Muhammed menyarankan agar menteri kewangan ketika itu, Tengku Zafrul Abdul Aziz, dihukum kerana membenarkan pengeluaran tersebut.

Sementara itu seorang ahli parlimen yang enggan didedahkan identitinya berkata dia tidak menyokong idea Muhammed memandangkan jawatan ahli parlimen bukanlah pekerjaan tetap dan berterusan.

“Jawatan MP bukan kerja tetap, tanpa jaminan pekerjaan (akan berterusan). Dan pencen bukannya akan dapat selepas seseorang itu tidak lagi menjadi MP, tetapi dia perlu menunggu sehingga berusia 55 tahun.

“Saya rasa dia (Muhammed) seorang yang hipokrit apabila mencadangkan idea sebegitu.

"Tanya dia berapa banyak yang negara dapat jimat dengan menggantikan KWSP dengan skim pencen?” soal ahli parlimen yang kini berkhidmat untuk penggal kedua itu.

Menurutnya, beban terbesar ditanggung kerajaan adalah pencen untuk penjawat awam tetapi Muhammed enggan menyentuh manfaat yang dinikmati oleh mereka kerana mendakwa ia hanya akan memakan diri sendiri.

“Habis tu kenapa dia (Muhammed) tak berikan nasihat sedemikian kepada perdana menteri terdahulu (Dr Mahathir Mohamad) ketika dia jadi penasihat ekonomi perdana menteri?” katanya.

Seorang lagi ahli parlimen dari blok kerajaan yang meminta untuk tidak dinamakan berkata perkara yang dihadapi ketika ini adalah jauh lebih kompleks berbanding membangkitkan isu pencen ahli politik.

Ahli parlimen penggal pertama itu juga menekankan tentang kepentingan kajian mengenai selok-belok dan kerumitan jawatan awam yang akan dijalankan.

“Ia bukan satu isu yang boleh ditangani dengan penyelesaian yang sama untuk semua,” katanya kepada Malaysiakini.

Pencen bertingkat-tingkat

Wan Ahmad Fayhsal pula secara peribadi bersetuju dengan cadangan Muhammed dan berpendapat ia wajar dibahaskan di parlimen untuk mendapatkan persetujuan semua pihak.

“Sebabnya, saya tak nafikan Dr Muhammed tu bagus tapi bukan semua ahli parlimen kaya.

"Ramai antara mereka datang daripada golongan guru, jadi mereka tinggalkan banyak pekerjaan asal mereka.

“Saya bukan kata tak setuju, saya secara peribadi setuju, tapi saya tak pasti macam mana rakan-rakan yang lain.

"Ia (keputusan ni) perlukan (persetujuan) kolektif - persetujuan daripada ahli parlimen lain. Kalau perlu, bawak untuk dibincang dan dibahaskan,” kata ketua Pemuda Bersatu itu lagi.

Cadangan Muhammed bagaimanapun disambut baik oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang memberitahu jumlah pencen yang diperolehi ahli politik jauh lebih banyak daripada penjawat awam yang telah berkhidmat berpuluh-puluh tahun.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
“Saya setuju 100 peratus dengan cadangan tiada pencen untuk ahli politik... termasuk (ke atas) saya.

“Sekarang ini pencen ahli politik lagi berganda (lebih besar) daripada penjawat awam yang berkhidmat puluhan tahun. Ahli politik masuk pejabat, terus dapat pencen seumur hidup.

“Pencen yang (dapat) bertingkat-tingkat pula. Menteri, MP, Adun... macam-macam jawatan. Wajar cadangan letak (ahli politik) di bawah KWSP sama seperti rakyat biasa,” tulisnya di media sosial.

Lokman Adam: Reformasi tak berjaya kerana gagal heret Mahathir ke mahkamah

Alyaa Alhadjri

Walaupun dengan pelantikan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, salah seorang penyokong terawal parti itu berhujah bahawa gerakan Reformasi yang bermula 25 tahun lalu masih belum berjaya.

Bercakap sebagai ahli panel pada forum sempena ulang tahun ke-25 gerakan Reformasi malam tadi, Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam menceritakan bagaimana dia diperkenalkan dengan istilah reformasi sebagai ahli Pemuda Umno pada 1996 di bawah pimpinan Ketua Pemuda Umno ketika itu Ahmad Zahid Hamidi.

Lokman berkata Zahid pada masa itu memperkenalkan tema "Pemuda Pemangkin Gerakan Reformasi" untuk menyokong Anwar, yang ketika itu menteri kewangan, timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, dalam usaha mencabar dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Dr Mahathir Mohamad yang pada masa itu perdana menteri dan presiden Umno.

"Kelantangan Pemuda Umno ketika itu kita menentang korupsi, kronisme dan nepotisme [....] dan ini yang membawa kepada pemecatan Anwar," kata Lokman.

Anwar dipecat pada 2 Sept 1998, dan tahun-tahun berikutnya menyaksikan perbicaraan dan sabitan atas tuduhan rasuah dan pertuduhan liwat terhadapnya.

Lokman adalah antara pemimpin Pemuda Umno yang dipecat bersama Anwar dan mereka bersatu sebagai penyokong terawal yang akhirnya mengasaskan Parti Keadilan Nasional, pada 1999, yang seterusnya menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kalau tanya saya Reformasi berjaya tak? Tak berjaya. Sebab kita nak hapuskan korupsi, kronisme dan nepotisme...tapi sampai sekarang (Mahathir tak didakwa di mahkamah).

"Untuk mengukur kejayaan Reformasi sekurang-kurangnya kena heret Mahathir ke mahkamah,” kata Lokman.

Lokman berkata, tidak seperti Anwar, dia tidak pernah mempercayai Mahathir - dengan dua kali penahanan tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kini dimansuhkan - semasa dia keluar dari Umno.

Ketika kembali bersama Umno, Lokman adalah penyokong tegar presiden ketika itu Najib Razak termasuk pada kemuncak skandal 1MDB, menyerang pengkritiknya yang diketuai oleh Anwar sebagai ketua pembangkang.

Dia dipecat daripada Umno buat kali kedua pada 2020 dan Lokman malam tadi menegaskan ia disebabkan pendiriannya sebelum ini menentang rancangan Zahid sebagai presiden Umno untuk parti itu bekerjasama dengan Mahathir, yang ketika itu presiden Bersatu dan perdana menteri yang menerajui Pakatan Harapan (PH).

Dia kemudian diterima semula ke dalam Umno awal tahun ini dan dilantik semula sebagai ahli majlis tertinggi, kini dengan parti itu dan BN sebagai sebahagian daripada kerajaan Anwar.

Forum yang diadakan di Kuala Lumpur dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor itu dianjurkan oleh NGO Perahu Hamzah, dengan sokongan daripada pejabat exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Najwan Halimi.

Panelis lain termasuk kartunis politik Zulkiflee SM Anwar Haque, pengarang Hasmi Hashim, bekas ketua pengarang The Rocket dan wartawan veteran Wan Hamidi Hamid serta bekas senator Yusmadi Yusoff.

'Anwar dalam mod pembersihan rumah'

Zulkiflee, lebih dikenali sebagai Zunar, berkata pentadbiran sekarang yang dipilih November lalu perlu diberikan sekurang-kurangnya setahun sebelum dinilai berdasarkan janji reformasinya.

Dalam pada itu, Zunar, yang merakam gerakan Reformasi awal sebagai penerbit eksekutif "Anwar: The Untold Story", berkata perdana menteri harus disokong dalam usaha pembaharuannya yang berterusan.

"Sekarang Anwar dalam mod 'cuci rumah'. Sama seperti masuk ke rumah baru dengan perabot yang tidak tersusun, sampah merata-rata.

"Beri dia peluang tahun ini untuk membersihkan rumah baru. Tahun depan kita akan menilai sama ada Anwar boleh komited dengan reformasinya atau tidak," katanya.

Zunar berkata tumpuannya sekarang kekal pada penghasilan kartun untuk membantu mendidik generasi muda mengenai dasar kerajaan, menegaskan ia adalah caranya membantu menyokong pentadbiran sambil kekal kritikal.

Pakatan baru yang terjalin untuk membentuk pentadbiran persekutuan sekarang selepas pilihan raya umum ke-15 telah menyaksikan pengkritik Anwar yang diketuai oleh Perikatan Nasional mendakwa Reformasi sudah mati, yang membawa kepada dakwaan terbaru campur tangan kehakiman untuk membebaskan pemimpin BN daripada tuduhan rasuah.

Salah menjaringkan gol ketiga untuk mengalahkan kelab LASK dari Austria

Mujur Liverpool menang

AFP
JARINGAN ketiga The Reds menerusi Mohamed Salah. FOTO FB Liverpool FC
JARINGAN ketiga The Reds menerusi Mohamed Salah. FOTO FB Liverpool FC
Paris: Liverpool bangkit daripada ketinggalan untuk mengenepikan tentangan kelab Austria, LASK dengan 3-1 dalam aksi Kumpulan E Liga Europa awal pagi tadi.

Skuad The Reds yang kembali beraksi di pentas kedua tertinggi kelab-kelab Eropah selepas muncul naib juara pada 2016 lalu itu, begitupun membuat 11 pertukaran dalam kesebelasan utama dengan merehatkan kebanyakan tonggak bintang.

Percaturan Jurgen Klopp itu hampir memakan diri apabila LASK yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri di Raiffeisen Arena terlebih dulu di depan menerusi Florian Flecker di minit ke-14 menerusi satu sepakan kencang tepat ke gawang pelawat.

Bersambung babak kedua menyaksikan Klopp tiada pilihan lain apabila mula memasukkan beberapa pemain utama antaranya Luis Diaz dan Mohamed Salah.

Pertukaran itu membuahkan hasil bermula dengan sepakan penalti apabila Diaz dijatuhkan oleh pertahanan tuan rumah, dan Darwin Nunez yang ditugaskan mengambil sepakan itu berjaya mengikat kembali kedudukan 1-1 di minit 56.

Impak kemasukan Diaz nyata berbaloi apabila kali ini dia pula mencetak nama selaku penjaring di minit 63 selepas menerima hantaran silang Ryan Gravenberch.

Salah juga tidak mahu terlepas meletakkan namanya dalam senarai penjaring dua minit sebelum tamat masa sebenar sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat Liverpool pada aksi pertama kempen Liga Europa itu.

Hasil kemenangan itu, anak buah Klopp kini memimpin carta Kumpulan E selepas dalam satu lagi pertemuan antara Toulouse dan Union Saint-Gilloise terikat 1-1 yang berlangsung di Stadium Lotto Park.

ANWAR LETAK PENANDA ARAS YANG TINGGI UNTUK SESIAPA YANG ADA ANGAN-ANGAN NAK JADI PERDANA MENTERI

Shahbudin Husin

Menyaksikan ucapan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen semalam, paling ketara ialah beliau telah meletakkan tanda aras yang tinggi bagi sesiapa yang memegang jawatan tersebut.

Ertinya, pemegang jawatan Perdana Menteri mestilah seorang yang bertanggungjawab, tidak lari dari medan perjuangan, berani berdepan soalan lawan dan pantas melibas balik jika diserang atau dipertikaikan.

Berpuluh tahun lamanya kita tidak ada Perdana Menteri yang memiliki ciri-ciri sedemikian rupa.

Dulu, ketika era BN, hanya Tun Mahathir Mohamad yang ada kualiti seperti itu, cuma cara penyampaian beliau berucap terlalu biasa dan bersahaja.

Selepas Tun Mahathir – Tun Abdullah Badawi, Najib Razak, Mahiaddin Md Yasin dan Ismail Sabri Yaakob yang pernah menjadi Perdana Menteri kemudiannya, kita langsung tidak melihat terserlah kehebatan seorang Perdana Menteri dalam berhujah dan berdepan lawan, khususnya di Parlimen.

Najib sama sekali tidak berani membenarkan isu 1MDB dibahas di Parlimen, Mahiaddin pula menutup dan mendaruratkan Parlimen manakala Ismail Sabri, selain tiada kontroversi di era pentadbirannya, wataknya juga terlalu biasa seperti orang kebanyakan saja.

Selain itu, kita tentu faham sejauh mana kemampuan dan kewibawaan Ismail Sabri sendiri sebagai Perdana Menteri.

Berbeza dengan Anwar semalam, beliau telah menampilkan gaya berpidato seorang Perdana Menteri yang hampir sempurna.

Dari segi pidato, memang Anwar lebih hebat jika dibandingkan dengan Tun Mahathir.

Dalam keseluruhan ucapannya semalam juga, Anwar jelas tidak lari daripada semua isu semasa dan memberi jawapan yang penuh berfakta terhadap segala persoalan yang timbul dalam negara ketika itu.

Termasuk dijelaskannya ialah isu DNAA Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang jika ikut logiknya, tidak perlu lagi diberi penjelasan lanjut kerana ia adalah kuasa Peguam Negara menutusnya.

Bahkan, jika Anwar mahu memilih jalan selamat, isu DNAA itu lebih baik diserahkan saja kepada Azalina Othman Said, menteri yang bertanggungjawab dalam hal undang-undang saja untuk menjawabnya.

Namun, tidak demikian dengan Anwar kerana beliau terbukti seorang yang bertanggungjawab atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri, lalu memilih untuk tidak lari daripada memberi penjelasan berkaitan isu tersebut.

Agaknya kerana panas telinga dengan jawapan Anwar, lalu membuatkan seorang Ahli Parlimen blok pembangkang tiba-tiba “koyak” setelah kena libas, seterusnya terjerit-jerit perkataan “tarik balik”, “tarik balik” persis seorang budak sekolah rendah saja lagaknya.

Kemudian, seluruh blok pembangkang PN turut “terkoyak” dengan mereka keluar secara beramai-ramai meninggalkan Dewan Rakyat.

Kenapa mudah sangat mereka koyak?

Patutlah ketika jadi menteri semasa era PN sebelum itu, kerajaan ketika itu ditakrif sebagai gagal secara total.

Ketika ada kuasa dan berjawatan menteri, mereka tak berfungsi dan entah apa-apa yang dilakukan di kementerian yang diketuai, bila jadi pembangkang pula terlalu mudah koyak dan seolah-olah hanya memiliki hati selembut tisu.

Mudah kata, mereka ini tidak layak langsung jadi kerajaan, jadi menteri, jauh sekali untuk mengidam jawatan Perdana Menteri.

Kalau jenis ini jadi kerajaan, bakal kembali macam dululah perangai mereka.

Ketika Putrajaya (masa itu masih bertaraf senator lagi) jadi menteri, apa rekod pencapaian dan pernahkah kita dengar suaranya di Parlimen?

Kenapa setelah tiada kuasa baru nak bersuara dan tunjuk hero?

Yang nyata, dengan penampilan Anwar di Parlimen semalam, tidak mudah lagi bagi sesiapa berangan-angan untuk jadi Perdana Menteri selepas ini.

Sesiapa yang ingin jadi Perdana Menteri mesti ada keberanian, punya rasa tanggungjawab yang jitu, sedia berdepan lawan dan tidak lari daripada medan perjuangan.

Kalau rasa-rasa tiada ciri-ciri itu, lebih baiklah berhenti segera daripada berangan-angan nak jadi Perdana Menteri.

Jika tidak mampu menandingi Anwar, sekurang-kurangnya biarlah setara dan tidak lebih bawah daripadanya.

Perdana Menteri yang sekadar membaca perutusan khas, menghantar kenyataan media dalam bentuk pdf, tiada keberanian berhujah dan berdepan lawan, lebih-lebih lagi yang penakut dengan gelanggang Parlimen sehingga memilih jalan darurat, sudah tiada tempat lagi untuk masa depan Malaysia. – ShahbudinHusin 20/09/2023.

“Pengarah suruh saya masuk bilik untuk pakai baju seksi…” – Sarimah dedah jadi mangsa gangguan seksual masa aktif jadi pengacara

Malaysia Dateline

MAISARAH AISYA

Gangguan seksual secara mental atau fizikal memberi kesan yang amat besar kepada mangsa, apatah lagi ia akan menyebabkan rasa takut melampau.

Bukan hanya orang biasa, mereka yang berstatus selebriti juga boleh menjadi mangsa gangguan seksual.

Pengacara , Che Puan Sarimah Ibrahim, mendedahkan pernah berkali-kali menjadi mangsa gangguan seksual semasa aktif sebagai pengacara.

Tanpa mendedahkan siapa pelakunya, Sarimah mendakwa pernah dipegang di bahagian dada, malah tubuhnya diraba ketika mikrofonnya dibaiki sebelum rancangan bermula.

Lebih jijik, individu tersebut adalah salah seorang kru rancangan dan berstatus suami orang ketika insiden berlaku lapor Kosmo.

“Saya pernah terkena gangguan seksual semasa berkerja di sebuah set rancangan terkenal.

“Individu tersebut datang menghampiri wajah saya dengan alasan untuk membaiki mikrofon, namun sebaliknya memegang dada saya.

“Dia sempat puji saya cantik ketika itu dan kata kami sangat sepadan jika bersama padahal dia ketika itu adalah suami orang,” katanya seperti dipetik Kosmo.

Bukan setakat itu, individu itu turut mengugut untuk menamatkan kontrak jika Sarimah enggan bercuti bersamanya.

“Selepas itu dia kata saya tak boleh dapat sambung musim yang seterusnya sekiranya saya tidak pergi bercuti bersamanya.

“Saya menolak dan saya kata tidak mengapa, saya akan bayar percutian saya sendiri, saya bukan tiada duit,” tuturnya tegas.

Pengalaman gangguan lain melibatkan seorang pengarah yang mengarahkannya untuk memakai baju seksi dalam ruangan tertutup tanpa kehadiran orang lain.

“Pengarah suruh saya masuk bilik untuk pakai baju seksi yang telah disediakan untuk saya pamerkan depan dia dalam bilik itu.

“Saya tanya kenapa saya kena pamerkan di dalam bilik ini bersama pengarah tersebut secara seorang diri, macam pelik saja.

“Saya menolak dan seperti dijangka, saya tak dapat tawaran seterusnya tapi tidak mengapa ada rezeki lain selepas itu,” tambahnya.

Tidak semua akan merendahkan moral mereka demi pekerjaan, jadi hormatilah mereka yang bekerja dalam industri, bukan mengambil kesempatan atas kesempitan.

Khairuddin dakwa Radzi laku jenayah qazaf, nasihat bertaubat

BERNAMA

Kuala Lumpur: ,Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin dinasihat bertaubat kerana didakwa telah menyebut beberapa perkataan jelik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang termasuk dalam kesalahan jenayah qazaf.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata qazaf juga termasuk dalam kategori jenayah hudud serta antara dosa besar dalam Islam.

"Ia menjadi satu kesalahan jenayah syariah dalam Akta dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri-negeri dalam Malaysia.

"Bagaimana perkara itu dibiarkan berlaku dalam Parlimen tanpa sebarang teguran sedangkan dalam Parlimen terdapat ustaz-ustaz yang mendalami pengajian Islam dan memperjuangkan pula pelaksanaan hudud dalam negara," kata Mohd Khairuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus menerusi hantaran di akaun Facebook beliau.

Radzi mengeluarkan perkataan berkenaan ketika bertikam lidah dengan Anwar semasa Menteri Kewangan itu menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Siasat Radzi, SPRM digesa

AKMAL MANAF 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk menyiasat dakwaan rasuah melibatkan Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Dr Radzi Jidin yang pernah menjawat jawatan Menteri Kanan Pendidikan di dalam pentadbiran terdahulu.

Gesaan itu dilakukan UMNO Wilayah Persekutuan hari ini susulan ada dakwaan bahawa Ahli Parlimen Putrajaya itu terlibat dalam pemberian kontrak penyelenggaran sekolah dan pencetakan buku J-Qaf.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Ghulam Muzaffar Ghulam Mustakim mendedahkan, beliau menerima dua mesej tular di aplikasi WhatsApp dua hari lalu, mengaitkan Radzi dengan beberapa individu dalam pemberian kontrak berkenaan.

“Mesej yang kita terima ini melibatkan dua isu yang besar di mana mesej ini perlu disiasat tentang isi kandungan dan juga kebenarannya.

“Mesej yang kita terima ini sebenarnya mempunyai mesej yang melibatkan kepentingan awam, dana dan juga wang negara.

“Mesej yang dihantar kepada kita itu berbentuk terlalu am. Jadi kita nak minta SPRM untuk siasat lebih dalam dan teliti tentang isi kandungannya,” katanya di hadapan Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya, hari ini.

Berdasarkan kertas diperolehi, nama Radzi dikaitkan dengan pemberian kontrak kepada seorang kontraktor utama dikenali sebagai Dato Chia yang didakwa membolot semua projek selenggara sekolah.

Modus operandinya dengan pergi ke sekolah berstatus Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan menawarkan peruntukan ke sekolah secara terus daripada Kementerian Pendidikan (KPM) tanpa melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa satu lagi mesej tular di WhatsApp, dikatakan mengaitkan Radzi dengan pemberian kontrak secara terus bagi percetakan buku J-Qaf untuk pra sekolah kepada individu bergelar Tengku.

Radzi menjadi Menteri Kanan Pendidikan pada Mac 2020 dalam kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Kes Ebit Lew: Polis siasat dakwaan Mondy kena rogol

Malaysiakini 

Pendakwah terkenal, Ebit Lew, dilaporkan turut disiasat atas dakwaan merogol berdasarkan aduan yang dibuat pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain yang mengesahkan perkara itu berkata, ketika ini Mondy masih berada di Malaysia.

Katanya kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu kerana kesalahan merogol.

"Sebaik sahaja tiba di Malaysia (dari luar negar), Ebit Lew membuat laporan polis berkaitan dakwaan fitnah terhadapnya, dan satu lagi laporan polis bagi menafikan kes rogol," katanya yang dipetik portal Sinar Harian hari ini.

Pada masa sama, Mohd Shuhaily menjelaskan polis merampas telefon bimbit Mondy seperti yang didakwa sebelum ini adalah untuk memastikan semua maklumat yang diperoleh sepadan dengan apa yang dilaporkan dalam dakwaannya.

Langkah itu,katanya, dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

"Kita (polis) ambil telefon Mondy untuk siasatan kerana memang ada peruntukan undang-undang bagi tindakan tersebut," katanya.

Wanita gagal keluar Islam sele

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkamah sivil menolak permohonan seorang wanita di Sarawak untuk kembali menganuti agama Kristian, selepas memeluk Islam untuk berkahwin dengan seorang lelaki Islam tetapi perkahwinan mereka tidak menjadi.

Peguam Iqbal Harith yang mewakili wanita berusia 26 tahun itu mengesahkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.

Peguam itu berkata, hakim Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan antara lain bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar isu yang melibatkan kes untuk murtad, dan hanya Mahkamah Syariah mempunyai kuasa mengenai perkara seumpama ini.

Ketika dihubungi hari ini, peguam persekutuan Sallehudin Md Ali - yang mewakili kerajaan mengesahkan keputusan prosiding dalam talian itu.

Kerajaan menjadi salah satu pihak daripada tiga responden dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) itu menambah bahawa mahkamah sivil turut memerintahkan wanita berkenaan membayar RM3,000 kepada responden.

Pada 26 April lalu, pemohon memfailkan tindakan undang-undang, yang turut menamakan Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp), sebagai responden.

Dia memohon perisytiharan bahawa pendaftar muallaf diberi kuasa oleh Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 untuk mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi Islam.

Dia juga memohon agar namanya dikeluarkan serta-merta daripada daftar muallaf.

Dalam afidavit menyokong permohonan kebenaran semakan kehakiman itu, dia berkata pada 18 Ogos 2017, dia memeluk Islam untuk berkahwin dengan seorang lelaki Melayu-Islam, tetapi hubungan mereka berakhir tanpa perkahwinan.

Menurut kertas kausa, dia berhujah bahawa Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan kerana menyatakan bahawa mereka yang memeluk Islam akan kekal Islam sepanjang hayat.

Dia mendakwa peruntukan peringkat negeri ini bercanggah dengan undang-undang peringkat kebangsaan, antra lain, Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa seseorang mempunyai hak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya.

Dia seterusnya berhujah bahawa Seksyen 85(1) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) tidak mengikut perlembagaan kerana ia menyebut bahawa mereka yang mengucap kalimah syahadah secara automatik menjadi Islam, tetapi pada masa yang sama, tidak menyatakan bahawa mereka yang berbuat demikian mesti percaya dengan agama itu.