Pencuri ‘sakti’ dicekup polis semasa tidur

KOSMO!
KRITSADA (duduk) ditangkap oleh polis di Nakhon Si Thammarat baru-baru ini. - Foto SiamRath
BANGKOK – Seorang pemuda Thailand berusia 22 tahun yang mempercayai dirinya sakti dan mampu menjadi halimunan ketika melakukan rompakan akhirnya ditangkap polis di wilayah Nakhon Si Thammarat, lapor portal berita Thaiger semalam.

Pemuda itu, Kritsada Tapi sebenarnya bukan halimunan apabila rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia membaca mantera di setiap lokasi rompakannya.

Polis dan mangsa percaya bahawa pemuda itu yakin dia mempunyai kuasa ghaib dan menggunakan ‘kesaktian’ tersebut untuk  menghilangkan diri ketika melakukan rompakan bagi mengelak ditangkap.

Bagaimanapun, polis berjaya mengesan Kritsada kelmarin. Dia ditemui bersembunyi di sebuah pondok kecil di ladang getah di daerah Tham Phannara, wilayah Nakhon Si Thammarat.

Anggota-anggota pihak berkuasa menyerbu pondok itu ketika dia sedang tidur dan memberkasnya. Semasa  soal siasat, Kritsada mengaku dia menyembunyikan harta curi di sebuah pondok lain yang terletak sejauh 3 kilometer. 

Anggota-anggota polis kemudian menggeledah pondok itu dan menemui banyak barang curi termasuk 200 azimat, wang tunai dalam mata wang Thai dan asing, dua jam tangan, telefon bimbit, serta beberapa beg wanita.

Kritsada mengaku dia berulang kali mencuri dari rumah-rumah di daerah Phra Saeng dan Tham Phannara di Nakhon Si Thammarat serta melakukan jenayah itu seorang diri.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara 20,000 baht (RM2,665) hingga 100,000 baht (RM13,326) kerana melakukan kecurian pada waktu malam mengikut Seksyen 335 Undang-Undang Jenayah Thailand. –  AGENSI

Hanya kerana tak lulus ujian lesen memandu, remaja 17 tahun terjun jambatan Pulau Pinang

Zuhainy Zulkiffli
bhnews@bh.com.my
Remaja berusia 17 tahun yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang, tiga hari lalu ditemukan selamat berhampiran kawasan pelabuhan (Penang Port Sdn Bhd). - NSTP/FOTO IHSAN JBPM
Remaja berusia 17 tahun yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang, tiga hari lalu ditemukan selamat berhampiran kawasan pelabuhan (Penang Port Sdn Bhd). - NSTP/FOTO IHSAN JBPM
BUTTERWORTH: Seorang remaja berusia 17 tahun yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang, tiga hari lalu, ditemukan selamat berhampiran kawasan pelabuhan, Penang Port Sdn Bhd di sini, hari ini.

Mangsa ditemukan dalam keadaan lemah oleh pegawai operasi bomba pelabuhan di kawasan berhampiran.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Faris Izwan Ahmad Fadzilah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada jam 10.25 pagi.

Beliau berkata, mangsa yang tidak mengalami kecederaan serius diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi tindakan lanjut.

"Mangsa dalam keadaan lemah dan kini sedang menerima rawatan di HSJ.

"Kes diserah kepada pihak polis dan operasi tamat pada jam 10.51 pagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat remaja terbabit dilakukan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Butterworth selepas menerima panggilan pada jam 11.23 pagi, Khamis lalu.

Mangsa dikatakan meninggalkan motosikalnya di Kilometer 2.2 menghala ke pulau sebelum bertindak terjun dari jambatan berkenaan.

Faris Izwan berkata, sejurus terjun dari jambatan, mangsa dikatakan berenang sebelum tersangkut pada pokok bakau dan berlumpur di berhampiran pelabuhan berkenaan.

Sepanjang tempoh dua hari, mangsa dikatakan beberapa kali melambai ke arah orang awam yang beriadah di kawasan itu namun tidak ada yang perasan.

"Sekitar jam 9 pagi tadi, dia cuba melambai ke arah pegawai operasi bomba pelabuhan itu, sebelum diselamatkan lelaki terbabit.

"Mangsa dikatakan tertekan kerana tidak lulus ujian memandu sebanyak dua kali dan bimbang dimarahi ibu saudara yang menjaganya.

"Dia kemudian menunggang motosikal ibu saudaranya sebelum berhenti di atas jambatan lalu terjun ke laut," katanya.

Lima syarikat pengeluar makanan ayam pengkhianat negara peringkat tertinggi

HARAPAN DAILY

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, menyifatkan pakatan yang dilakukan lima syarikat pengeluar makanan ayam sebagai pengkhianatan kepada negara di peringkat paling tinggi.

Tegasnya, tindakan mereka menetap dan menyeragamkan secara bersama harga produk mereka adalah kesalahan paling besar sehingga menyukarkan kerajaan untuk mengawal harga ayam di pasaran.

“Apabila berlaku kartel atau pakatan untuk mengawal harga makanan ayam, maka harga ayam itu susah untuk dikawal.

“Bagi saya, ini pengkhianatan kepada negara peringkat paling tinggi dari segi undang-undang.

“Lima syarikat terbabit menguasai 40 peratus pasaran makanan ternakan ayam di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau harga barang keperluan melalui pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas di sebuah pasar raya di Kuantan, hari ini.

Semalam, lima syarikat terbabit dikenakan penalti bernilai RM415.5 juta selepas didapati bersalah menetap dan menyeragamkan secara bersama harga produk mereka, bagi ayam untuk pasaran tempatan.

Syarikat itu ialah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dindings), FFM Berhad (FFM), Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin), Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).

Lima daripada 29 syarikat pengeluar makanan haiwan ternakan di seluruh negara itu dianggarkan menguasai sehingga 40 peratus pasaran makanan ternakan ayam di negara ini.

Remaja disambar buaya ketika memancing

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my

Kuching: Remaja lelaki dilaporkan hilang selepas disambar buaya ketika memancing di sungai di Samariang, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 4.27 petang.

Menurutnya, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Petra Jaya) dikejarkan ke lokasi di Bandar Baru Samariang.

"Menurut komander operasi, ketika kejadian, mangsa bersama rakannya sedang memancing di sungai berdekatan Samariang Aman sebelum disambar buaya.

"Kejadian itu disaksikan oleh rakan mangsa yang bersamanya memancing," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, menurut laporan rakannya, selepas disambar, reptilia itu mengheret mangsa berusia 15 tahun itu ke hulu sungai.

"Operasi mencari mangsa sedang dijalankan oleh pasukan penyelamat," katanya sambil memaklumkan identiti sebenar mangsaasih belum diperolehi.

3 penjenayah Rohingya ditembak mati terlibat lebih 50 kes pecah rumah, samun

Faisal Asyraf
Keadaan cermin kereta yang dipandu oleh suspek yang ditembak mati.
GOMBAK: Tiga lelaki Rohingya yang ditembak mati oleh polis di Selayang Jaya awal pagi tadi dipercayai terlibat dengan lebih 50 kes pecah rumah dan samun sejak 2011.

Anggota polis yang sedang membuat rondaan terserempak dengan sebuah kereta dinaiki tiga lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 12.30 pagi.

Apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, suspek enggan memberi kerjasama dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis. Sebagai tindak balas, polis membalas tembakan, yang membawa kepada kematian ketiga-tiga mereka di tempat kejadian.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata suspek disyaki sedang bersiap sedia untuk melakukan kegiatan pecah rumah ketika dihalang oleh polis.

“Siasatan menunjukkan suspek berusia 30-an dan dua daripadanya adalah pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Salah seorang daripada mereka, yang dipercayai sebagai dalang, mempunyai 12 sabitan jenayah sebelum ini dan pernah dipenjarakan dua kali, pada 2016 dan 2017 kerana pecah rumah,” katanya pada sidang media di IPD Gombak, di sini.

Hussein berkata, di Selangor sahaja, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam 27 kes pecah rumah dan samun membabitkan kerugian RM1.3 juta.

Mereka juga terlibat dalam jenayah sama di negeri lain iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Pulau Pinang.

Mengenai kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Damansara Damai, Hussein mengakui polis berdepan cabaran dalam menyelesaikannya kerana lokasi budak lelaki itu ditemui adalah tempat kejadian jenayah sekunder.

“Kita masih belum mengesan lokasi jenayah utama tetapi kita tidak berputus asa. Kita percaya akan menemui suspek,” katanya.

Setakat ini, polis telah merekodkan keterangan daripada 225 orang dan mengambil sampel DNA daripada 248 individu.

Hussein juga berkata rakaman daripada kamera papan pemuka kereta dan kamera litar tertutup telah memberikan sedikit maklumat untuk pihak polis.

Beliau berkata polis juga telah meminta bantuan Interpol untuk menjalankan pemeriksaan ke atas pangkalan datanya pada sekurang-kurangnya satu profil DNA yang dikumpulkan semasa siasatan.

“Walaupun ia tidak konklusif, sebarang maklumat yang ada akan membantu,” katanya.

Meninggal dunia selepas makan sandwic dibeli di R&R, jabatan kesihatan tunggu analisis sampel

FMT Reporters

PETALING JAYA: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sedang menunggu keputusan analisis sampel makanan, berkait dakwaan tular punca wanita berusia 54 tahun keracunan hingga meninggal dunia, pada Selasa.

Pengarah JKNT Kasemani Embong, berkata pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman telah menerima notifikasi kes keracunan makanan itu pada Khamis dan terus bertindak menjalankan siasatan dengan mengambil beberapa sampel makanan daripada peniaga terlibat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman, pada hari sama.

“PKD Kemaman telah menerima notifikasi kes keracunan makanan seorang wanita yang mengalami gejala keracunan makanan akibat memakan makanan yang dibeli di R&R Perasing. Mangsa mula mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, dan muntah selepas makan makanan dipercayai telah basi.

“Susulan pemakluman itu, beberapa sampel makanan serta swab peralatan dan pengendali makanan telah diambil untuk membantu siasatan. Pihak JKNT masih menunggu keputusan sampel-sampel ini,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, keputusan analisis berkenaan akan diperoleh sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Kasemani berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan arahan pembetulan telah dikeluarkan kepada pemilik serta pengendali makanan di premis berkenaan.

Beliau berkata, JKNT memandang serius berkaitan kes keracunan makanan dan mengarahkan pengendali makanan supaya sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan serta keselamatan makanan atau minuman yang dijual kepada orang ramai.

“Selain itu orang ramai juga dinasihatkan supaya mengamalkan konsep lihat, hidu, dan rasa sebelum makan untuk mengelak makan makanan yang telah basi,” katanya.

Semalam, tular menerusi media sosial berkaitan seorang wanita didakwa meninggal dunia selepas makan roti sandwic yang dibeli di R&R Perasing.

Dua hari melambai minta tolong lepas tersangkut di pokok bakau

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
REMAJA berusia 17 tahun yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang ditemukan selamat berhampiran kawasan pelabuhan (Penang Port Sdn Bhd), di sini. FOTO ihsan bomba
REMAJA berusia 17 tahun yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang ditemukan selamat berhampiran kawasan pelabuhan (Penang Port Sdn Bhd), di sini. FOTO ihsan bomba
Butterworth: Remaja berusia 17 tahun yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang, tiga hari lalu ditemukan selamat berhampiran kawasan pelabuhan (Penang Port Sdn Bhd), di sini, hari ini.

Mangsa ditemukan dalam keadaan lemah oleh Pegawai Operasi Bomba pelabuhan di kawasan berhampiran.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Faris Izwan Ahmad Fadzilah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada jam 10.25 pagi.

Katanya, mangsa yang tidak mengalami kecederaan serius diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi tindakan lanjut.

"Mangsa dalam keadaan lemah dan kini sedang menerima rawatan di HSJ.

"Kes diserah kepada polis dan operasi tamat pada jam 10.51 pagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat remaja terbabit dilakukan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Butterworth selepas menerima panggilan pada jam 11.23 pagi, Khamis lalu.

Mangsa dikatakan meninggalkan motosikalnya di Kilometer 2.2 menghala ke pulau sebelum bertindak terjun dari jambatan berkenaan.

Faris Izwan berkata, sejurus terjun dari jambatan, mangsa dikatakan berenang sebelum tersangkut pada pokok bakau dan kawasan berlumpur berhampiran pelabuhan.

Sepanjang tempoh dua hari, mangsa dikatakan beberapa kali melambai ke arah orang awam yang beriadah di kawasan itu namun tidak ada yang perasan.

"Sekitar jam 9 pagi tadi, dia cuba melambai ke arah Pegawai Operasi Bomba di pelabuhan sebelum diselamatkan lelaki terbabit.

"Mangsa dikatakan tertekan kerana tidak lulus ujian memandu sebanyak dua kali dan bimbang dimarahi ibu saudara yang menjaganya.

"Dia kemudian menaiki motosikal ibu saudaranya sebelum berhenti di atas jambatan lalu terjun ke laut," katanya.

Dua kesilapan Ustaz Azhar Idrus mengenai isu Al-Kahfi

HarapanDaily.com

USTAZ DR ABDUL HALIM EL-MUHAMMADY

Masalah penjelasan yang diberikan oleh Ustaz Azhar Idrus tentang pertanyaan seorang yang memahami ucapan PM 10 menyebut ashab Al Kahf adalah mengenai orang Kristian.

Soalan dikemukakan kepada Ustaz Azhar Idrus untuk mendapat pandangannya tentang kenyataan PM yang difahami oleh yang bertanya.

Ustaz Azhar Idrus memberi jawapan spontan TANPA memperhalusi apa ucapan sebenar PM dengan mengatakan PM menyebut ashab Al kahf adalah orang Kristian dan ditambah lagi dengan kenyataan bahawa pandangan sebegini adalah daripada orang jahil perkara agama yang boleh menyesatkan orang lain .

Ustaz Azhar Idrus juga mengatakan agama Kristian ini agama baru yang percaya kepada konsep triniti sedangkan ashab Al kahfi beriman kepada Allah Tuhan yang Maha ESA.

Kesilapan yang nyata jawapan yang diberikan kerana;

PM tidak menyebut ashab alkahfi beragama Kristian tetapi beliau menyebut pemuda itu menyelamatkan diri ke dalam gua untuk menyelamatkan prinsip hidup mereka mempertahankan akidahnya dan agamanya.

Hal ini disebabkan kerana ketika pemerintahan kerajaan Roman ketika itu akan membunuh sesiapa sahaja yang percaya kepada agama Masihi atau Yahudi yang menjadi pegangan manusia pada masa pemerintahan Decius 250 AD.

PM menyebut tentang pemuda ini tentang ketegasan pegangannya أنهم آمنوا بربهم و دناهم هدى

Mereka itu beriman dengan Tuhan mereka dan Allah menambah lagi hidayah kepada mereka.

PM menyebut Kristian itu islah zaman peristiwa ashab Al Kahf berlaku bukannya menyebut ashab al Kahf Kristian atau Masihi.

Kalaupun mereka itu menganut Kristian atau Yahudi masih dalam pengajaran kitabnya yang asal iaitu Taurat atau Injil.

Dari sudut fakta ilmiah dan sejarah tentang agama Kristian dikatakan Baru.

Ia bukan Baru, perubahan konsep triniti telah lama berlaku selepas Nabi Isa diangkat oleh Allah SWT dan keputusan tentang kepercayaan Tuhan Tiga uknum itu dilakukan oleh Paderi pada zaman pemerintahan kerajaan Roman.

Konsep triniti ini dicatatkan dalam al-Qur’an sebagai konsep ketuhanan yang salah. Begitu juga, kepercayaan orang Kristian Nabi Isa dibunuh sebagai menebus dosa kesalahan manusia yang Isa menebusnya.

Penyelewengan agama Kristian dan Yahudi ini bukan Baru. Al-Qur’an mendedahkan penyelewengan ini untuk memberitahu kepada generasi kemudian supaya tidak ada kesedaran bahawa mereka MENGIKUTI autoriti agama dari keputusan paderi-paderi atau hukamak mereka bukannya daripada Allah.

Ustaz Azhar Idrus nampaknya melakukan dua kesilapan dalam penjelasanya.

Pertama, jawapan yang diberikan terhadap pertanyaan yang dimulakan oleh yang bertanya menunjukkan DIA tidak memahami apa ucapan sebenar PM atau sengaja dikemukakan soalan begitu untuk melahirkan persepsi negatif terhadap PM.

Ia bertepatan pula dengan sifat gopoh Ustaz Azhar Idrus untuk respon soalan tersebut dengan SEGERA dan ditambah lagi dengan kata-kata yang merendahkan keupayaan pengetahuan dan ilmu PM sedangkan dia tidak memperhalusi sendiri ucapan PM.

Sebagai seorang ulama dihormati untuk memberi pandangan terhadap seorang pemimpin negara sepatutnya dia berpegang kepada ayat tabayyun bukannya terus menerima dan respon kepada apa sahaja soalan yang dikemukakan.

Selain itu, fakta ilmiah tentang ulasannya berkenaan Kristianiti juga tidak memberi penjelasan yang baik dan meyakinkan terutamanya kaitan dengan ashab al kahf kerana dalam perbincangan ulama ada menyebut tentang pegangan agama ashab al kahfi yang mereka pertahankan.

Ulama sepatutnya lebih berhati-hati dalam memahami isu dan memberi pandangan terhadapn ya berdasarkan fakta ilmu bukannya secara sebrono SAHAJA kerana pandangannya menjadi ikutan masyarakat.

Semoga golongan ulama menjadi obor menyuluh masyarakat untuk hidup aman dan bahagia dan memandu pemimpin negara ke arah kesejahteraan hidup rakyat dan negara bukannya merendah dan menghina kedudukannya.

*USTAZ DR ABDUL HALIM EL-MUHAMMADY merupakan Pengerusi Persatuan Majlis Murabbi Madani dan Ahli Majlis Istisyari WADAH. Beliau juga mantan pensyarah UKM.

Kes bunuh Genting Highlands, lelaki warga asing ditahan

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang warga asing selepas disyaki terlibat kes pembunuhan seorang lelaki warga tempatan, di sebuah hotel di Genting Highlands semalam.

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar, berkata suspek lelaki berumur 45 tahun itu ditahan di kawasan berdekatan hotel terbabit, pada hari sama.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang untuk proses bedah siasat dan siasatan awal mendapati terdapat kesan pergelutan pada tubuh mangsa.

“Mangsa berumur 51 tahun merupakan seorang ahli perniagaan dan mempunyai 23 rekod kes jenayah lampau termasuk dadah. Keputusan bedah siasat dijangka diperoleh lewat petang ini,” katanya dalam kenyataan.

Zaiham berkata, suspek direman tujuh hari bermula hari ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

3 penjenayah ditembak mati di Selayang

Bernama
Beberapa anggota polis menjalankan siasatan di lokasi tiga penjenayah yang ditembak mati di Selayang awal pagi tadi. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR: Polis menembak mati tiga penjenayah dipercayai warga asing di Selayang awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Gombak, Ariffin Mohamad Nasir ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu yang dipercayai berlaku kira-kira 1 pagi.

Beliau berkata satu sidang media berhubung kes berkenaan akan diadakan oleh Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan di IPD Gombak pada 2 petang ini.

“Memandangkan Ketua Polis Selangor akan mengadakan sidang media petang ini, jadi segala maklumat lanjut berkaitan kejadian terbabit akan diberikan oleh beliau,” katanya ringkas.

Pemuda Ashab Al-Kahfi: Muslim atau Nasrani?

HarapanDaily.com

ABU AMRU

Ibnu Kathir dalam Al-Bidayah Wa An-Nihayah (2/114) menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud selepas kedatangan Nabi Isa A.S, dan mereka beriman kepada Allah dan ajaran Nabi Isa serta dipanggil sebagai Nasara/Nasrani.

Berkenaan status ‘nasara/nasrani’, Dr. Solah Abd Al-Fattah Al-Khalidi dalam Al-Qasas Al-Qur`ani (4/388) menjelaskan:

– Ajaran An-Nasraniyyah pada awalnya adalah mentauhidkan Allah s.w.t, tiada anak dan pasangan, mengimani Nabi Isa sebagai seorang rasul.

– Setelah beberapa ketika, berlaku perubahan cara anutan nasrani dari tauhid kepada trinity. Dikatakan yang merubah itu seorang Yahudi yang memasukkan unsur mempertuhankan Nabi Isa, bernama Saul Paulus.

– Dan Ashab Al-Kahfi adalah kelompok Nasara muwahhidun yang larikan diri demi memelihara iman dari kerajaan yang menyembah berhala.

Ibn Abbas telah membahagikan Nasara kepada kepada 3 kategori:
a. Nasara Ya`qubiah (Jacobite)
b. Nasara Nasturiyyah (Nestorianism)
c. Nasara Muslim (Muwahhid)

(Lihat Tafsir Ibn Kathir: 2/450)

Kesimpulan:

Tujuh orang pemuda Al-Kahfi adalah muslim dan mukmin kepada Allah yang juga dipanggil Nasara merujuk kepada makna pembantu menyebarkan ajar Nabi Isa a.s.

Sifat Dajjal ulama politik, penganut assabiyyah sedang rosakkan ummah

HarapanDaily.com
Sifat Dajjal ulama politik, penganut assabiyyah sedang rosakkan ummah
AHMAD SAYUTI BASHIRON

Fitnah ustaz-ustaz politik yang tertanam hasad dan tidak jujur penuh kebencian sebenarnya adalah manifestasi perangai Dajjal dalam kalangan manusia yang terpaling wajib kita hindari.

Perasan apa berlaku sejak sehari dua ini?

Penganut Haji Hadi bukan sahaja bodoh sejarah (walau ada juga cerdik) tetapi kerja hakiki pentaksub Haji Hadi adalah bina persepsi jahat, sebarkan, pada setiap isu politik yang mahu diserang.

Bercakap dan menulis langsung di luar konteks kejahilan ilmu sejarah mereka. Tanpa langsung takutkan dosa itu berjariah.

Matlamat kuasa segalanya. Jadilah fitnah dan pembohongan diolah sebagai modal politik harian.

Sudah lebih seminggu Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap depan penjawat awam memberi pesanan, dengan penuh waspada dan meletakkan beberapa disclaimer. Ucapan panjang sangat jelas berkaitan polisi dan halatuju kerajaan.

Tapi kerja penganut Haji Hadi adalah potong dan cipta fitnah – Anwar sebut 7 pemuda Kahfi beragama Kristian, Anwar dah samakan Islam dan Kristian.

Semudah, sejahat, dan selaknat itu kerja penganut Haji Hadi ini. Dosa kering bertebaran. Fitnah dibangkitkan sesuka hati.

Mereka langsung buta fakta sejarah yang Anwar sebutkan – 7 pemuda yang amal ajaran Islam, lari dari kezaliman Raja jahat, dan akhirnya 309 tahun selepas itu bangkit pada zaman Raja Nasrani (Kristian) yang adil.

Sampai pula pada si Azhar Idrus terus lambung penuh seronok layan tanpa rujuk konteks ucapan sebenar.

Ulama-ulama politik dan penganut assabiyyah inilah yang perlu kita waspada kerana sifat Dajjal mereka itu sedang merosakkan ummah.

Baca surah al-Kahfi, sepatutnya Allah akan pelihara kita dari Dajjal yang celaka itu.

Restoran tular ini sah tiada sijil halal

HarapanDaily.com
‘Tengok ada logo halal atau tidak’ – Restoran tular ini sah tiada sijil halal
Orang ramai khususnya masyarakat Muslim dinasihatkan agar tidak cepat terpengaruh dengan kehadiran ramai orang Islam ke sesebuah tempat makan.

Pengarah JAIPk Harith Fadzilah Abdul Halim amengingatkan bahawa orang Islam wajib memastikan semua makanan dan minuman bersih, suci dan halal kerana ia menjadi darah daging kita.

Nasihat itu susulan pengesahan bahawa Restoran Hawayi di Teluk Intan yang tular dikunjungi ramai orang Islam sebenarnya tidak mempunyai sijil halal.

Menurutnya, hasil semakan oleh Bahagian Pengurusan Halal JAIPk mendapati restoran tersebut bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

Jelasnya, JAIPk tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis berkenaan sepanjang operasinya dan perkara itu perlu diambil berat oleh masyarakat Islam.

“Saya menasihati seluruh masyarakat Islam agar berhati-hati apabila kita ke restoran dan tempat makan.

“Sebagai orang Islam kita digalakkan tengok ada logo halal atau tidak,” dipetik Harian Metro.

Sebelum ini, status halal restoran tersebut menimbulkan keraguan sehingga menimbulkan kebimbangan pengguna Muslim lain.

Seorang pengguna Facebook, Abang Ameen memberitahu hasil semakan di portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tiada menemukan rekod restoran tular itu mempunyai sijil halal.

Sehubungan itu, Harith Fadzilah berkata, sebagai pengguna, orang ramai boleh membuat semakan melalui aplikasi telefon pintar.

“Paling penting pastikan setiap restoran atau tempat makan itu mempunyai SPHM kerana tanda halal itu adalah jika operasi dan bahan makanan di sesebuah premis itu menepati syarat,” katanya.

Tambahnya, sikap berhati-hati dalam memilih premis makanan amat wajar dilakukan kerana masyarakat Islam perlu berhati-hati dalam hal ehwal berkaitan makan serta minum selain berdasarkan hukum syarak.

“Itu sebab kita galakkan kepada mana-mana pemilik restoran dan individu untuk memohon sijil halal kerana ia lebih meyakinkan masyarakat,” katanya lagi.

Lelaki ditahan jual isteri RM239 di media sosial

KOSMO!
Munif mengaku bersalah menjual isterinya untuk mendapatkan wang. - TribunJatim.com/Ipunk Purwanto
JAKARTA – Seorang lelaki di Malang, Indonesia ditahan selepas menjual isterinya untuk melakukan hubungan intim dengan tiga lelaki melalui media sosial, lapor laman berita Tribunnews.

Kejadian itu terbongkar apabila polis menerima maklumat mengenai perbuatan suspek daripada sebuah kumpulan sembang di media sosial.

Unit Siasatan Jenayah Polis Malang kemudian berpura-pura membuat perjanjian dengan suspek, Munif Efendi, 43, pada 14 Disember lalu.

Mereka kemudian bertemu di sebuah penginapan di daerah Kepanjen dengan kadar bayaran dipersetujui sebanyak 800,000 rupiah (RM239). 

“Suspek datang membawa isterinya ke penginapan itu dan meminta bayaran terlebih dahulu,” kata Polis Malang, Ahmad Taufik. 

Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke balai Polis Malang. Siasatan mendapati suspek mengaku sudah empat kali menjual isterinya.

Menurut Taufik, wang yang diperoleh melalui kegiatan itu akan digunakan untuk membeli keperluan harian. Suspek kini berdepan hukuman penjara 15 tahun. – AGENSI 

Persiapan menghadapi Dajal

Musytaq al-Sha’ari

Nabi Muhammad SAW telah memberi peringatan kepada kita tentang kemunculan al Masih ad Dajal pada akhir zaman di dalam hadis Baginda SAW. Begitu juga Baginda SAW tidak pernah lupa untuk memberi nasihat kepada umatnya agar berhati-hati apabila berada pada zaman kemunculan al Masih ad Dajal.

Nabi-nabi terdahulu juga sering memberi peringatan tentang kemunculan al Masih ad Dajal ini. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidak ada seorang Nabi yang Allah utuskan melainkan akan memberi peringatan kepada kaumnya tentang Dajal yang buta sebelah matanya dan seorang pendusta. Sesungguhnya matanya buta sebelah. Dan sesungguhnya Tuhan kamu tidak buta, tertulis antara dua matanya perkataan kafir." (Riwayat al Bukhari)

Nabi Muhammad SAW juga telah memberi peringatan tentang dahsyatnya fitnah al Masih ad Dajal sebagaimana disebutkan dalam hadis Imran bin Husain RA, dia berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tiada antara ciptaan Adam sehingga hari kiamat suatu ciptaan yang lebih besar fitnahnya daripada Dajal." (Riwayat Muslim)

Antara fitnah dan tipu daya yang dibawa oleh al Masih ad Dajal adalah mengaku sebagai Tuhan iaitu dia mampu untuk memerintahkan hujan untuk menurunkan air, memerintahkan bumi untuk menumbuhkan tanam-tanaman, menghidupkan orang mati dan sebagainya. Perkara tersebut telah disebut di dalam sebuah hadis Nabi SAW, riwayat Huzaifah bin Yaman dan daripada Abu Umamah al Bahili, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Dan di antara fitnahnya juga, Dajal akan berkata kepada orang arab badwi: "Apa pendapatmu jika aku hidupkan bapamu dan ibumu, adakah engkau akan bersaksi bahawa aku ini adalah Tuhanmu? Lalu arab badwi tersebut menjawab: "Ya". Lalu dua syaitan datang menyerupai bapanya dan ibunya dan kedua-duanya berkata: "Wahai anakku, ikutilah dia (Dajal) kerana dia adalah Tuhanmu." (Riwayat Ibn Majah)

Maka orang yang mempunyai keimanan dan kefahaman tentang ketuhanan yang jitu akan dapat membezakan yang mana satu Dajal yang mengaku Tuhan dengan Tuhan yang sebenar kerana padanya terdapat perbezaan yang sangat jelas. Sepertimana kita pelajari di dalam silibus pengajian akidah sifat dua puluh bahawa Allah itu tidak menyerupai makhluk-Nya. Tidak mempunyai jisim dan tidak beranggota badan serta tidak mempunyai cacat cela pada zat-Nya yang Maha Suci lagi Maha Agung sepertimana yang dinyatakan di dalam perbahasan sifat Mukhalafatuhu lil Hawadis.

Selain itu, Dajal akan membawa kekeliruan yang besar sehingga dapat mempengaruhi orang lain dan orang lain percaya terhadap fitnah dan tipu dayanya. Hadis diriwayatkan oleh Imran Bin Husain RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mendengar akan kemunculan Dajal, maka jauhilah dia. Demi Allah, sesungguhnya seorang lelaki akan mendatanginya (Dajal) dengan sangkaan Dajal orang yang beriman. Lalu dia akan mengikuti Dajal tersebut bersama syubhat yang dibawa." (Riwayat Abu Daud)

Oleh kerana itu, Nabi Muhammad SAW telah mengajar kita bagaimana untuk menghadapi fitnah dan tipu daya Dajal ketika kemunculnya. Antaranya adalah memohon perlindungan dari fitnah Dajal. Terdapat banyak hadis Nabi SAW yang sahih menyebutkan tentang perkara ini. Antaranya adalah daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Jika salah seorang dari kamu berada di tahiyat akhir, maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada empat perkara dengan mengucapkan: "Ya Allah, aku berlindung denganMu dari seksa neraka, seksa kubur, fitnah kehidupan dan mati serta daripada kejahatan fitnah Dajal." (Riwayat Muslim)

Kemudian, Nabi Muhammad SAW juga memberi saranan kepada kita untuk menghafal sepuluh ayat dari surah al Kahfi kerana ia dapat menyelamatkan kita daripada fitnah serta tipu daya Dajal. Hadis daripada Abu Darda', bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang menghafal sepuluh ayat dari permulaan surah al Kahfi, maka dia akan diselamatkan daripada Dajjal." (Riwayat Muslim)

Selain itu juga, Nabi SAW memberitahu kepada kita agar menjauhi Dajal saat dia keluar agar kita tidak tertipu dan terpengaruh dengan fitnah yang dibawa oleh dia. Hadis riwayat dari Imran Bin Husain, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mendengar kedatangan Dajal, maka hendaklah dia menjauhi darinya. Demi Allah, sesungguhnya seseorang mendatanginya padahal dia menganggap bahawa dirinya seorang Mukmin, lalu dia mengikutinya kerana banyaknya syubhat yang menyertainya,atau ketika syubhat menyertainya." (Riwayat Abu Daud)

Begitulah kasihnya Nabi Muhammad SAW kepada kita, sentiasa memikir akan keselamatan umat Baginda SAW. Maka kita sebagai umat Baginda SAW, berusahalah untuk beramal dengan apa yang telah Nabi SAW sarankan kepada kita. Semoga kita semua terselamat daripada fitnah dan tipu daya al Masih ad Dajal. Wallahu'alam.

Maut dihempap pokok Krismas

BRUSSELS - Seorang wanita maut selepas pokok Krismas setinggi 20 meter tumbang menimpanya di pasar Krismas di Belgium pada Khamis, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik media tempatan.

Konifer besar di pasar Krismas di bandar Oudenaarde, kira-kira 50 kilometer ke barat Brussels, ditumbangkan tiupan angin kencang pada petang Khamis, lapor agensi berita Belgium Belga.

Pokok itu menimpa tiga orang, menyebabkan seorang daripada mereka meninggal dunia di hospital tidak lama kemudian akibat kecederaan serius.

Setakat ini belum jelas sama ada pokok Krismas yang besar dan dihiasi itu ditambat dengan baik supaya tidak jatuh.

Video menunjukkan pokok itu bergerak secara mendadak ditiup angin sebelum tumbang.

Media tempatan memetik Datuk Bandar Oudenaarde Marnic De Meulemeester sebagai berkata bahawa hujan lebat dan angin kencang pada tahap 6 menyebabkan pokok itu tumbang.

Tempat kejadian ditutup oleh pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.

Penyiar VRT yang memetik saksi kejadian berkata kira-kira 20 orang mengangkat pokok itu selepas insiden dan mengeluarkan dua mangsa, manakala mangsa ketiga diselamatkan oleh pekerja kecemasan. - Bernama/dpa

Gempar!! Jumpa 83 rangka manusia dalam longkang

Melvin Joni
am@hmetro.com.my
RANGKA manusia yang ditemukan dalam longkang di kawasan perumahan Jalan Bukit Assek.
RANGKA manusia yang ditemukan dalam longkang di kawasan perumahan Jalan Bukit Assek.
Sibu: Sebanyak 83 rangka manusia ditemukan di dalam sebuah longkang di kawasan perumahan Jalan Bukit Assek, di sini.

Ia susulan penemuan satu tengkorak manusia oleh pekerja kontraktor Majlis Perbandaran Sibu (MPS) semasa menjalankan kerja pembersihan di longkang berkenaan pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, penemuan 83 rangka manusia itu dibuat pasukan polis bersama-sama doktor pakar forensik Hospital Sibu semasa menjalankan pencarian semula bermula jam 8.30 pagi hingga 4 petang semalam.

"Pasukan pencarian menjumpai sebanyak 83 serpihan tulang dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkipli berkata, sampel DNA daripada tulang akan dihantar ke Unit Forensik Jabatan Kimia untuk mengenal pasti identitinya.

"Setakat ini, identiti belum lagi dapat dikenal pasti.

"Kita akan membuat permohonan ujian DNA di Jabatan Kimia dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata, proses mengenal pasti identiti rangka itu mengambil masa kerana sampel DNA perlu diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

Justeru, beliau menggesa orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung perkara itu agar tampil ke Balai Polis Sentral Sibu bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, rangka itu terdiri daripada tulang kaki, tangan, kepala dan badan.

Aiman Athirah kekal terajui Wanita Amanah

Nora Mahpar

KLANG: Aiman Athirah Sabu mengekalkan jawatan ketua Wanita Amanah bagi sesi 2023-2026 pada pemilihan sayap parti itu.

Timbalan menteri pembangunan dan kerajaan tempatan itu memimpin Wanita Amanah bagi penggal kedua, selepas peroleh sokongan majoriti dalam perbincangan sesama 27 ahli jawatankuasa pimpinan Wanita yang terpilih.

Adun Taman Templer Anfaal Saari pula dipilih sebagai timbalan ketua Wanita menggantikan Nor Hayati Bachok.

Turut dipilih tiga naib ketua Wanita iaitu Hafidzah Mustakim; Salmee Said, dan Kamaliah Noordin.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Amanah Dr Zulqarnain Lukman selepas 498 perwakilan menjalankan tanggungjawab memilih 27 daripada 56 calon ahli jawatankuasa pimpinan Wanita.

Berdasarkan perlembagaan parti, 27 calon yang mendapat undian tertinggi akan berbincang secara konsensus memilih lima jawatan tertinggi sayap.

Proses undian secara dalam talian itu turut menyaksikan Zarina Dzulkupli dipilih sebagai speaker Wanita Amanah dan Rosmayana Abu Rahim sebagai timbalannya, manakala Norlia Salleh dan dan Suriati Sukardi sebagai juruaudit.

Aiman dalam ucapan penangguhannya menuntut komitmen daripada barisan kepimpinan baharu.

“Harap barisan kepimpinan yang baharu boleh cepat adaptasi diri kerana tugas dan tanggungjawab di peringkat nasional amat berat, perlu betul-betul menjiwai.

“Bukan hanya mahu isi tempat kosong tapi bila mesyuarat tak hadir, pengalaman saya empat tahun lalu ini merumitkan keadaan,” katanya.

Lelaki maut, motosikal terbabas masuk ruang solat Masjid Guar Lobak

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam Masjid Guar Lobak. FOTO ihsan pembaca
LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas ke dalam Masjid Guar Lobak. FOTO ihsan pembaca
Kulim: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sehingga memasuki ruang solat di Masjid Guar Lobak, Padang Serai, di sini awal pagi tadi.

Mangsa berusia 20-an itu dipercayai menunggang motosikal seorang diri ketika kejadian jam 5.45 pagi.

Menurut bilal masjid itu, Shukri Mohamad berkata, kejadian berlaku selepas sebuah van kilang yang berhenti di hadapan masjid itu beredar dan secara tiba-tiba motosikal itu meluru masuk dengan laju dan melanggar tiang dalam masjid.

Katanya, ketika kejadian, dia baru saja sampai di masjid untuk melakukan persiapan melaungkan azan Subuh.

"Kejadian itu berlaku di depan mata saya dan ketika itu ada van kilang berhenti di hadapan pintu pagar masjid kerana pemandu van itu hendak menggunakan tandas.

"Selepas itu, dia hendak tutup pintu pagar masjid kerana hendak beredar. Dari itu tapi saya beritahu dia supaya membiarkan saja pintu itu terbuka kerana ketika itu sudah hampir waktu Subuh dan jemaah akan datang menunaikan solat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Shukri, sebaik van itu beredar dari situ, tiba-tiba sebuah motosikal dengan laju datang dari arah Jalan Sidam Kanan dan terus memasuki ke dalam kawasan masjid.

Katanya, motosikal yang ditunggangi lelaki itu kemudian merempuh tembok kolah masjid itu sebelum terbabas ke ruang solat.

"Mangsa terjatuh pada dua tiang di hadapan manakala motosikalnya pula terpelanting kira-kira tiga meter daripada mangsa.

"Saya terus meluru ke arah mangsa dan ketika itu ternampak mangsa berlumuran darah malah saya sempat mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah dan turut dibantu jemaah lain tiba tidak lama kemudian.

"Mereka kemudian membantu menghubungi ambulans serta polis," katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Remaja dakwa dirogol bapa tiri selama enam tahun

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Seorang remaja perempuan akhirnya memberanikan diri membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa rogol bapa tirinya selama enam tahun.

Remaja berusia 18 tahun itu hanya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 24 November lalu selepas mendakwa mula dirogol sejak berusia 12 tahun.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, susulan laporan dibuat mangsa, polis menahan bapa tiri mangsa berusia 54 tahun.

"Mangsa mendakwa kali terakhir kejadian rogol berlaku pada Ogos lalu di rumah mangsa bersama suspek di Horizon Hills.

"Mangsa mendakwa dia dirogol suspek sejak berusia 12 tahun di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru dan Horizon Hills.

"Mangsa hanya membuat laporan polis di IPD Iskandar Puteri pada 24 November lalu dan suspek ditahan ketika menyerah diri di IPD Iskandar Puteri," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek sudah dituduh di mahkamah, semalam, atas tuduhan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Lelaki itu tidak mengaku bersalah dan ditawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

"Kes akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 23 Januari depan," katanya.

Batal, gantung lesen peniaga Jalan Silang sewa premis kepada warga asing

BERNAMA
ANGGOTA PGA bersama pihak berkuasa yang melakukan operasi di Jalan Silang, semalam yang digelar ‘mini Dhaka’. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
ANGGOTA PGA bersama pihak berkuasa yang melakukan operasi di Jalan Silang, semalam yang digelar ‘mini Dhaka’. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor.
Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membatalkan atau menggantung sementara lesen peniaga di Jalan Silang di sini, yang didapati melanggar peraturan perniagaan dengan menyewakan premis mereka kepada warga asing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, lesen yang diberikan kepada pemilik haruslah digunakan sebaik mungkin, bukannya diberikan kepada warga asing untuk berniaga.

"Jadi, saya sedang mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenainya... ia juga adalah antara tumpuan utama DBKL dalam membanteras lambakan peniaga warga asing yang terus menguasai lokasi perniagaan utama di ibu kota," katanya.

Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kasih Harapan Kak Wan Siri 3, yang disempurnakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di sini hari ini.
WAN Azizah menyerahkan replika kunci rumah kepada Rosli Hamidon pada penyerahan kunci Program Rumah Kasih Harapan 2023 di Perumahan Awam Seri Johor, Cheras hari ini. FOTO Bernama.
WAN Azizah menyerahkan replika kunci rumah kepada Rosli Hamidon pada penyerahan kunci Program Rumah Kasih Harapan 2023 di Perumahan Awam Seri Johor, Cheras hari ini. FOTO Bernama.
Beliau berkata, pihaknya kini menunggu maklumat menyeluruh daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah melaksanakan operasi bersepadu itu di Jalan Silang semalam.

Semalam, seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin ditahan hasil serbuan terhadap 60 premis di sekitar Jalan Silang, hasil daripada operasi bersepadu yang dijalankan PGA PDRM bagi membanteras jenayah yang berlaku sekitar kawasan itu.

Sementara itu, Dr Zaliha dalam ucapannya berkata, program Rumah Harapan Kasih Kak Wan merupakan penghubung antara masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan dengan pelbagai agensi kerajaan, korporat dan pertubuhan bukan kerajaan yang sedia menghulurkan bantuan dan perkhidmatan bagi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, program itu yang menyediakan kemudahan pengubahsuaian tanpa kos kepada penduduk terpilih bagi mengubahsuai satu unit rumah, menunjukkan kerajaan komited untuk meningkatkan lagi taraf hidup rakyat khususnya rakyat miskin bandar supaya dapat memperbaiki persekitaran rumah.

"Saya yakin program ini akan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat menerusi perkongsian perkhidmatan, maklumat dan kepakaran daripada semua pihak yang memerlukan," katanya.

Pasangan kekasih ditahan, beri bayi 16 bulan dadah

LIzz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Sepasang kekasih ditahan polis selepas disyaki memberikan dadah kepada bayi lelaki berusia 16 bulan yang dipercayai anak mereka.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pasangan itu ditahan pada 12 Disember lalu, selepas Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru membuat laporan mengenai bayi malang itu yang didapati positif dadah.

"Selepas mendapat aduan, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Jalan Salleh, Johor Bahru dan seorang wanita berusia 31 tahun di HSA, Johor Bahru.

"Wanita yang juga ibu kandung bayi berkenaan ditahan ketika menghantar mangsa yang mengalami sawan ke hospital," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian awal saringan air kencing mendapati pasangan kekasih itu positif dadah.

Katanya, hasil pemeriksaan, bayi itu pula didapati positif dadah methamphetamine atau amphetamine.

Menurutnya, pasangan kekasih itu sudah dituduh di mahkamah semalam, mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyebabkan seorang bayi positif dadah.

"OKT (orang kena tuduh) ditawarkan jaminan RM6,000 setiap seorang, namun mereka tidak dapat membayar jamin ditetapkan, maka masing-masing kini ditahan di Penjara Koreksional Ledang dan Penjara Kluang.

"Kes akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 23 Januari depan," katanya.

Restoran berputar Menara KL diarah tutup susulan perintah mahkamah

Rex Tan dan Ho Kit Yen
Atmosphere 360 telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk mengosongkan unit disewa mereka di Menara KL sebelum 4 Jan 2024.
PETALING JAYA: Sebuah restoran berputar terkenal di Menara KL diarahkan tutup berdasarkan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam notis yang dilihat FMT, Atmosphere 360 telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk mengosongkan unit sewa mereka di Menara KL sebelum 4 Jan 2024.

Perintah pengosongan itu dimohon oleh Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd dan pemiliknya ketika ini Hydroshoppe Sdn Bhd terhadap pemilik restoran, Asian Kitchen (M) Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Asian Kitchen Ringo Kaw ketika dihubungi FMT mengesahkan penutupan itu dan memberitahu mereka terkejut sebaik menerima notis berkenaan.

“Notis Mahkamah Tinggi diterima semalam dan mengarahkan kami tutup, ada ramai pelanggan pada masa itu.

“Sambutan Krismas dan Tahun Baru hampir tiba dan tempahan kami telah dilanjutkan ke tahun depan.

“Jadi kami tiada pilihan selain menawarkan bayaran balik kepada pelanggan, diharap pihak berkuasa dapat melayan kami dengan adil,” katanya.

Kaw berkata sebelum Hydropshoppe mengambil alih pengurusan Menara KL, pihak pengurusan terdahulu secara lisan menjanjikan restoran itu dilanjutkan tempoh penyewaan selama tiga tahun.

Bagaimanapun, katanya, Hydropshoppe hanya membenarkan restoran itu kekal sehingga akhir tahun.

“Kami juga telah membawa perkara itu ke mahkamah kerana pengambilalihan (Menara KL oleh Hydropshoppe) sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Pada April, Pengarah Hydroshoppe Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh didakwa menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah kepada bekas menteri komunikasi dan multimedia Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.

Asian Kitchen kemudiannya memfailkan saman terhadap Menara KL dan Hydroshoppe memohon pengisytiharan perpindahan saham daripada pengurusan terdahulu iaitu Telekom Malaysia (TM) adalah terbatal dan tidak sah.

Asian Kitchen mendakwa pemindahan saham itu “dicemari dengan isu-isu haram”, memetik tuduhan rasuah Hamid.

Hydroshoppe kemudiannya memfailkan permohonan memasukkan penghakiman ringkas terhadap restoran itu, bagi pengisytiharan bahawa perjanjian penyewaan antara Asian Kitchen dan Menara KL telah tamat pada 30 Jun.

Mereka juga mahu Atmosphere 360 mengosongkan unit restoran.

Mahkamah kemudiannya membuat keputusan memihak kepada Menara KL dan Hydroshoppe, menyebabkan Atmosphere 360 perlu mengosongkan unit itu.

Warga asing kini pasang pengintip di Jalan Silang

Ada warga Bangladesh mengawasi pergerakan di Jalan Silang

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
KEADAAN di Jalan Silang sehari selepas serbuan besar-besaran oleh PGA semalam. FOTO Asyraf Hamzah
KEADAAN di Jalan Silang sehari selepas serbuan besar-besaran oleh PGA semalam. FOTO Asyraf Hamzah
Kuala Lumpur: Beberapa warga asing di Jalan Silang, di sini, dipercayai 'jaga air' didapati mengawasi beberapa premis di kawasan berkenaan selepas digempur pihak berkuasa semalam.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati individu dipercayai warga Bangladesh itu memerhatikan kehadiran dan pergerakan pelanggan yang mencurigakan di luar premis.

Malah kumpulan individu itu juga dilihat sering menghubungi seseorang dan mengambil gambar kawasan sekitar.

Mengakui perkara itu, peniaga tempatan yang enggan dikenali berkata, kebanyakan individu berkenaan berkeliaran di luar premis sejak pagi tadi.

"Kita berniaga hari-hari di sini, tak pernah nampak mereka ini, hari ini baru nampak selain kehadiran wartawan yang ramai.

"Mula-mula ingat wartawan tapi mereka bercakap dalam bahasa asing dan sering ambil gambar kawasan sekitar," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, peniaga tempatan, Anuar Shari, 69, berkata, kebanyakan warga asing yang berkunjung dan berniaga di kawasan itu didakwa bersikap kurang ajar.

"Bila ramai sangat warga asing di sini, orang tempatan pun tidak mahu datang sini. Boleh dikira orang tempatan yang datang, saya jual air pun memang jarang orang tempatan beli.

"Saya sangat-sangat sokong tindakan pihak berkuasa (polis) serbu di sini. Harap kalau boleh ada tindakan seterusnya, setiap bulan pun tidak apa," katanya.

Bagi peniaga air balang, Md Khairul Othman, 40, berkata, terdapat beberapa warga asing bertindak kurang ajar.

"Mereka ini (warga asing) ada juga yang berniaga, datang jalan-jalan dan beli barang. Sini ramai Bangladesh, Myanmar. Pernah ada nampak mereka ini bergaduh, biadap," katanya.

Tinjauan di sekitar kawasan berkenaan juga mendapati suasana sedikit lengang dengan kurangnya lambakan warga asing selepas serbuan pihak polis.

Beberapa peniaga di kaki lima sekitar lokasi terbabit yang ditemui turut mengakui keadaan selepas tindakan pihak polis memberi impak yang baik.

Semalam, seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk dua kanak-kanak ditahan selepas lokasi tumpuan warga asing dikenali 'Mini Dhaka' di Jalan Silang, di sini, dikepung dan digempur Pasukan Gerakan Am (PGA).

Operasi yang bermula jam 11 pagi itu memeriksa sebanyak 60 premis di lokasi berkenaan serta di sekitar Kompleks Kota Raya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majeed dilaporkan berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima banyak aduan mengenai kebanjiran warga asing serta masalah jenayah di lokasi itu yang rata-ratanya didalangi warga asing.

Operasi bertujuan membanteras pelbagai jenayah terutama membabitkan warga asing selain turut memfokuskan kepada membanteras sebarang aktiviti tidak sihat di kawasan ini.

Adly: PAS bukan seteru Amanah, terbuka ‘bersama’ dalam kerajaan perpaduan

Nora Mahpar

KLANG: PAS bukan seteru atau ancaman kepada Amanah, malah sedia bekerjasama dengan parti Islam itu dalam kerajaan perpaduan, kata Naib Presiden Adly Zahari.

Bagaimanapun, beliau yang juga timbalan menteri pertahanan berkata PAS perlu mengikis naratif 3R (kaum, agama, raja) yang dibawanya agar kestabilan politik dan masa depan negara tidak tergugat.

“Dia memang lawan politik kita tetapi kadang-kala bila memikirkan rakyat, kita tahu lawan itu kadang-kala jadi kawan kita kerana prinsip menjaga rakyat itu mengatasi kepentingan politik dan kepentingan individu.

“Semua yang pernah berlawan pernah jadi kawan. Ia bukanlah sesuatu yang asing bagi kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Wanita Amanah 2023.

“Sebab itu daripada awal lagi kita sebenarnya bersedia untuk bekerjasama dengan (mana-mana) parti-politik dalam (membentuk) kerajaan perpaduan.”

Oktober lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau pernah menjemput PAS menyertai kerajaan perpaduan pada tahun lalu namun tawaran itu ditolak parti berkenaan.

Dalam temu bual bersama Time Magazine pada 11 Okt, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menyatakan pintu untuk PAS menyertai kerajaan perpaduan masih terbuka dengan syarat parti itu perlu menerima Malaysia sebagai negara berbilang agama, meskipun Islam sebagai agama persekutuan.

Bagaimanapun, Presiden Hadi Awang pada Muktamar PAS di Shah Alam pada 20 Okt menegaskan PAS tidak akan menyertai kerajaan perpaduan.

Sindiket jual gelaran Tan Sri, SPRM giat kesan mangsa sindiket

Bernama

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) giat mengesan mangsa penipuan sindiket penjualan Darjah Kebesaran Pingat Persekutuan palsu yang ditumpaskan, awal bulan ini.

Menurut sumber, difahamkan mangsa berkenaan telah diperdaya oleh seorang lelaki yang memegang jawatan utama dalam sebuah NGO.

“Lelaki terbabit telah disiasat oleh SPRM baru-baru ini, namun agensi penguat kuasa memerlukan mangsa lain untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim, ketika berkata setakat ini, pihaknya telah mengenal pasti tujuh mangsa sindiket itu dengan lima daripadanya telah tampil memberi keterangan.

“Pihak kami percaya masih ada beberapa mangsa yang perlu tampil untuk membantu melengkapkan siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Muhammad Aiman Jamil menerusi talian 03-88700473 atau 017-2820484.

Pada awal bulan ini, SPRM menahan reman enam individu termasuk dua wanita dan presiden sebuah NGO berumur antara 30 hingga 50an.

Kesemuanya disyaki terbabit dengan sindiket penjualan Darjah Kebesaran Pingat Persekutuan palsu yang membawa gelaran Tan Sri dengan bayaran kira-kira RM2 juta.

Pemilihan Pemuda Amanah: Sumber dakwa kertas undi cacat, perwakilan tak sah

Malaysiakini 

Kertas undi cacat dan perwakilan mendaftar selepas tarikh tutup antara bantahan diterima Jawatankuasa Pemilihan bagi Konvensyen Pemuda Amanah Nasional yang berlangsung minggu lalu.

Menurut sumber dalaman pemuda Amanah, kesilapan teknikal paling ketara melibatkan kesalahan nama calon pada kertas undi e-voting.

Katanya, nama calon bagi jawatan speaker, timbalan speaker dan dua juruaudit telah disenaraikan bersama senarai calon bagi ahli Jawatankuasa Pimpinan dan ia mengakibatkan kekeliruan kepada perwakilan ketika mengundi.

"Kejadian ini sangat 'fatal' kerana menafikan hak calon untuk dipilih dan hak perwakilan yang mencalonkan mereka," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Selain itu, dia mendakwa terdapat kawasan yang mendaftarkan nama perwakilan selepas tarikh pendaftaran yang dinyatakan pada notis mesyuarat.

Jika terbukti benar, dia berkata undian oleh perwakilan tersebut boleh dikira tidak sah dan secara tidak langsung mempengaruhi jumlah undian yang diraih semua calon pada pemilihan tersebut.

Dalam sistem pemilihan Amanah, perwakilan boleh mengundi calon bagi jawatan speaker, timbalan speaker, juruaudit serta 27 ahli jawatankuasa. Kemudian 27 ahli jawatankuasa akan membuat pilihan untuk lima jawatan tertinggi.

Pada pemilihan 16 Dis lalu, senator Hasbie Muda mempertahankan jawatan ketua pemuda bagi sesi 2023-2026 setelah meraih undi tertinggi dengan 387 undi, manakala Adun Batu Tiga Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid dilantik selaku timbalan ketua pemuda.

Tiga naib ketua pemuda adalah masing-masing Faris Arriffin, Ammar Atan dan Hazmi Hassan.

Mengulas lanjut, sumber itu mendakwa masalah teknikal seperti paparan skrin yang terpadam selama enam minit ketika pengumuman keputusan serta keputusan undian tidak diumum secara masa nyata (real time).

"Tragedi penangguhan ini menimbulkan pelbagai keraguan, reaksi negatif dan spekulasi terhadap kecekapan dan ketelusan Jawatankuasa Pemilihan Nasional," katanya lagi.

Dia juga membangkitkan keraguan ekoran proses pengundian yang didakwa tertangguh lebih satu jam.

"Saya yakin dalam tempoh penangguhan yang tidak dikawal, risiko berlakunya jual beli dan lelong-melelong access key (untuk akses kepada sistem e-voting) antara perwakilan dengan pihak tertentu tidak boleh diambil ringan Jawatankuasa Aduan.

"Mungkin berlakunya pengundian pihak ketiga kerana access key merupakan 'barang panas' pada malam pemilihan," dakwanya lagi.

'Tunggu keputusan setiausaha agung'

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Dr Zulqarnain Lukman ketika dihubungi berkata setakat ini pihaknya belum membuat keputusan berkenaan aduan yang diterima memandangkan tempoh bantahan masih berjalan sehingga 25 Disember ini.

"Semalam, kita baru mesyuarat jawatankuasa aduan, malam ini baru mesyuarat jawatankuasa kerja untuk bentang aduan kepada jawatankuasa nasional untuk sebarang keputusan.

"Setakat ini, hampir separuh siasatan sudah berjalan tapi belum ada apa-apa keputusan...tunggu keputusan diumumkan setiausaha agung," katanya kepada Malaysiakini.

Zulqarnain berkata pihaknya menerima banyak bantahan berhubung pemilihan sayap pemuda, selain 12 bantahan berkenaan pemilihan Wanita Muda Amanah (Warda).

Ketika ditanya berkenaan kemungkinan pemilihan diadakan semula, Zulqarnain tidak menolak perkara itu namun tidak mahu memberikan sebarang ulasan lanjut.

Usah berlembut lagi hapus koloni warga asing di lokasi strategik

Bhonline 

PENAHANAN sekurang-kurangnya 1,100 warga asing dalam operasi khas membabitkan lebih 1,000 anggota dan pegawai polis daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) di lokasi diberi jolokan 'mini Dhaka' di Jalan Silang di ibu negara, semalam, mendedahkan kewujudan koloni warga asing di kawasan tumpuan utama negara.

Operasi berkenaan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima laporan dan aduan rakyat tempatan yang berasa rimas serta tidak selesa apabila berkunjung ke destinasi tumpuan negara kerana kawasan itu dikuasai warga asing sehingga ada yang semakin 'besar kepala' terhadap rakyat tempatan.

Hakikatnya, kewujudan koloni khas warga asing ini sudah tidak asing lagi kerana media pernah beberapa kali mendedahkan dan melaporkannya seperti di Selayang yang dikuasai warga Rohingya, warga China dan Korea turut didapati semakin bercambah di sekitar Ampang, Cheras dan Kuchai Lama, Puchong (Indonesia dan Bangladesh), selain Nilai 3 (Pakistan).

Ia termasuk kewujudan koloni warga India, Nepal, Arab dan Afrika di sekitar Lembah Klang. Di setiap koloni ini, warga asing terbabit membina kemudahan awam sendiri seperti surau, kedai runcit, restoran dan sekolah sekali gus membuktikan mereka sudah bertapak lama di Malaysia.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid memeriksa warga asing yang berjaya ditahan pada sidang media mengenai Ops Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur semalam. Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam telah melaksanakan satu serbuan dan pemeriksaan sekitar Jalan Tun Siew Sin bertujuan membanteras pelbagai jenayah yang melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). - Foto BERNAMA
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid memeriksa warga asing yang berjaya ditahan pada sidang media mengenai Ops Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur semalam. Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam telah melaksanakan satu serbuan dan pemeriksaan sekitar Jalan Tun Siew Sin bertujuan membanteras pelbagai jenayah yang melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). - Foto BERNAMA
Dalam isu ini, apa yang ingin dibangkitkan adalah bagaimana warga asing terbabit mampu membentuk satu koloni dikuasai mereka dan boleh pula terbabit dalam pelbagai aktiviti ekonomi seperti perniagaan kedai runcit, kedai telekomunikasi, restoran, pembinaan dan perkhidmatan lain.

Anehnya kebanjiran warga asing ini seperti dipandang sebelah mata pihak berkuasa sedangkan kewujudan koloni mereka amat meresahkan orang tempatan. Memang benar negara turut memerlukan tenaga kerja asing bagi memenuhi keperluan pekerja, namun mereka sepatutnya tidak dibenarkan aktif dalam aktiviti ekonomi domestik.

Kewujudan koloni warga asing di bandar atau kawasan strategik ini sudah tentu mewujudkan kesan rantaian negatif seperti meningkatnya masalah atau gejala sosial, kes jenayah dan lebih parah lagi mampu mencetuskan pergaduhan antara warga asing dan tempatan atau sesama warga asing.

Warga asing yang sudah menjadi 'otai' di sini turut tidak menghormati orang tempatan sehingga berani menimbulkan masalah seperti gemar bergaduh, mabuk dan berkumpul beramai-ramai membuat bising mengganggu ketenteraman warga tempatan.

Dalam hal ini, pihak berkuasa khasnya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia dan Imigresen perlu meningkatkan operasi pemutihan koloni warga asing di lokasi dikenal pasti setiap masa, bukan bermusim bagi mengelak negara terus dibanjiri golongan itu dan akhirnya menguasai bandar atau tertentu sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada orang tempatan.

Kerajaan tidak wajar berlembut lagi dalam mengambil tindakan terhadap warga asing yang semakin berani mengambil kesempatan dan peluang menguasai lokasi strategik tertentu di seluruh negara sehingga mengganggu kehidupan warga tempatan.

Merengkok dalam penjara selama 48 tahun atas kesalahan yang tidak dilakukan

AFP
GLYNN Simmons. FOTO gofundme.
GLYNN Simmons. FOTO gofundme.
Washington: Warga emas di Oklahoma Amerika Syarikat (AS) diisytiharkan tidak bersalah selepas 48 tahun menjalani hukuman penjara kerana pembunuhan yang tidak dilakukannya.

Glynn Simmons, 71, adalah banduan yang menjalani tempoh paling lama untuk hukuman penjara sebelum dibebaskan dalam sejarah AS, menurut The National Registry of Exonerations.

Simmons dibebaskan Julai lalu selepas menjalani hukuman penjara selama 48 tahun, sebulan dan 18 hari.

Simmons dan seorang lagi lelaki, Don Roberts, sebelum ini dijatuhi hukuman mati pada tahun 1975 kerana pembunuhan ke atas seorang kerani kedai arak berusia 30 tahun semasa rompakan di Edmond, Oklahoma, setahun sebelum itu.

Hukuman mereka kemudiannya ditukar kepada penjara seumur hidup.

Simmons dan Roberts disabitkan kesalahan semata-mata berdasarkan keterangan seorang saksi terselamat yang juga pelanggan remaja yang ditembak di kepala, semasa rompakan.

Namun, siasatan lanjut polis menimbulkan keraguan ketara terhadap kebolehpercayaan pengecamannya.

Semasa perbicaraan, kedua-dua tertudduh mendakwa mereka tidak berada di Oklahoma pada masa pembunuhan itu.

Hakim Mahkamah Daerah AS, Amy Palumbo menolak sabitan kesalahan Simmons pada Julai dan mengisytiharkan dia tidak bersalah pada perbicaraan di Mahkamah Daerah Oklahoma, Selasa lalu.

"Ini adalah hari yang kami tunggu untuk masa yang lama.

"Kita boleh katakan keadilan dilakukan hari ini, akhirnya," kata Simmons kepada pemberita.

Menurut Simmons, dia mungkin layak mendapat pampasan untuk sabitan yang tidak pernah dilakukannya.

Roberts pula, dibebaskan dari penjara pada 2008, menurut The National Registry of Exonerations.

Kartel ayam’, 5 syarikat kena denda RM415 juta

Amirul Aiman

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan saman berjumlah RM415 juta terhadap lima syarikat kerana membentuk “kartel ayam” untuk menetapkan harga.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail, berkata firma tersebut didakwa bersetuju menaikkan harga makanan ayam, membawa kepada peningkatan harga ayam lebih tinggi.

Siasatan terhadap lima syarikat itu yang mewakili pengeluar terbesar ayam negara, mendapati firma berkenaan melanggar larangan akta kerana membuat perjanjian mendatar atau menegak antara perusahaan dengan matlamat atau kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam apa-apa pasaran barang atau perkhidmatan.

Lima syarikat berkenaan adalah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd, FFM Bhd, Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn Bhd, Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd, dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd.

“Kami telah mengeluarkan keputusan akhir kepada lima syarikat itu kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 kerana membentuk kartel harga bagi makanan ayam.

“Kartel adalah kejahatan tertinggi di dalam undang-undang persaingan dan satu bentuk sabotaj ekonomi di peringkat tertinggi, terutamanya di dalam kes berkepentingan awam,” katanya pada sidang media.

26,700 mangsa maut dan hilang di Gaza

Agensi
PENDUDUK Palestin di lokasi serangan Israel di Rafah, sekatan Gaza. FOTO Reuters
PENDUDUK Palestin di lokasi serangan Israel di Rafah, sekatan Gaza. FOTO Reuters
Gaza: Serangan Israel di Semenanjung Gaza menyebabkan 26,700 orang terbunuh dan hilang sejak 7 Oktober, kata pejabat media kerajaan Palestin di kawasan itu pada Rabu.

"Kira-kira 20,000 orang maut, termasuk 8,000 kanak-kanak dan 6,200 wanita," kata pejabat media dalam satu kenyataan, lapor Agensi Anadolu.

Mangsa termasuk 310 pegawai perubatan, 35 anggota pertahanan awam dan 97 wartawan, kata kenyataan itu.

Serangan tanpa henti Israel juga memusnahkan dan merosakkan sekitar 308,000 unit rumah di seluruh Semenanjung Gaza, kata pejabat media itu dalam kenyataannya.

Menurut kenyataan itu juga, sekurang-kurangnya 114 masjid musnah dan 200 sebahagiannya rosak, manakala empat gereja menjadi sasaran.

"Pendudukan Israel turut memusnahkan 126 bangunan kerajaan dan sebahagiannya merosakkan 283 yang lain, manakala 90 sekolah dan universiti terpaksa menghentikan operasi," tambahnya.

Israel menggempur Semenanjung Gaza sejak serangan 7 Oktober oleh Hamas, menyebabkan wilayah Gaza musnah dengan hampir dua juta orang kehilangan tempat tinggal dalam enklaf yang padat dengan penduduk.

Ia seterusnya mengakibatkan krisis kemanusiaan memburuk apabila terjadi situasi kekurangan makanan dan air bersih.

Hampir 1,200 warga Israel dipercayai terbunuh dalam serangan Hamas, manakala lebih 130 tebusan Israel masih dalam tahanan pihak Hamas.

Mayat tergantung dekat stesen LRT cetus kegusaran penduduk

MOHAMAD ATHIR BIN ISMAIL
Mayat tergantung
KLANG: Penduduk di Taman Sri Andalas di sini, hari ini gempar apabila terdapat mayat ditemukan dalam keadaan tergantung pada struktur binaan dipecayai sebuah stesen aliran transit ringan (LRT) yang masih belum beroperasi, awal pagi tadi.

Insiden tersebut menarik perhatian penduduk setempat yang keluar bekerja kira-kira pukul 7.30 pagi apabila mendakwa terdapat ambulans dan kawalan polis dekat jalan utama berhampiran stesen berkenaan.

Sekeping gambar memaparkan keadaan mayat dipercayai wanita yang lengkap berpenutup kepala dipercayai telekung tular dalam media sosial kumpulan komuniti perumahan berkenaan dan menerima reaksi lebih 100 penggunanya.

“Betul Saya nampak pagi td nk pergi kerja,” kata Ezrine Dalila Harun.

“Allahu Akbar LRT pun belum operasi, sudah ada kes pula dekat situ,” komen Nor Idayu.

Bagaimanapun, terdapat pengguna mendakwa mangsa adalah wanita kurang siuman yang dikatakan kerap berada di lokasi berkenaan, namun dinafikan pengguna lain yang menyatakan wajahnya tidak seperti dimaksudkan.

“Perempuan kurang siuman itu semalam dia basuh baju dekat tepi jalan LRT.  Hari-hari dia dekat kawasan situ siap jemur baju. Kesian tengok kadang-kadang dia datang minta duit cakap lapar tak ada keluarga. Tengok gaya bukan orang sini,  orang Sabah rasanya,” kata Adinda Qaseh.

“Bukan perempuan itu sebab nampak dekat bawah ada video muka macam Rohingya sahaja,” jawab Lola Kimy.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia sedang mendapatkan maklumat lanjut dan pengesahan daripada polis berhubung kejadian tersebut. – UTUSAN

Tipu bida: Kementah serah dokumen tender 7 syarikat kepada MyCC

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (Kementah) menyerahkan dokumen berkaitan empat tender perolehan membabitkan tujuh syarikat yang terlibat dalam kegiatan menipu bida kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk tindakan lanjut.

Kementah dalam kenyataan memaklumkan semua perolehan itu membabitkan empat tender pembekalan barangan dan perkhidmatan yang dianggarkan bernilai RM20.8 juta pada 2016 dan 2020.

“Semua perolehan terlibat dalam siasatan ini dilaksanakan secara tender terbuka dan sebut harga mengikut tatacara perolehan ditetapkan Kementerian Kewangan dan semua dokumen berkenaan dikemukakan kepada MyCC setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada Bahagian Undang-undang Kementah,” menurut laporan Bernama.

Kenyataan itu menyebut berdasarkan rekod, empat syarikat disenaraikan terlibat dalam perolehan pembekalan barangan runcit dan perkhidmatan penyelenggaraan yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka.

“Tiga lagi syarikat terlibat dalam perolehan yang dilaksanakan melalui sebut harga dibuat oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah Kementah,” katanya.

Kementah memaklumkan ia komited dalam memastikan semua proses perolehan dilaksanakan secara telus dan mematuhi ketetapan pekeliling perbendaharaan yang berkuat kuasa dalam mencegah elemen ketirisan serta akan memberikan kerjasama dalam membantu proses siasatan lanjut oleh MyCC.

SPRM sita Menara Ilham yang dimiliki oleh Tun Daim Zainuddin

Malaysiakini 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita Menara Ilham, sebuah bangunan komersial bernilai tinggi yang terletak di ibu negara menurut laporan media.

Bangunan pencakar langit itu dimiliki bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, yang juga teman rapat bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Channel News Asia (CNA) memetik sumber yang rapat dengan Daim sebagai berkata tindakan menyita itu dilakukan hari ini.

Sumber berkata tindakan itu dibuat selepas tokoh korporat itu enggan mematuhi arahan SPRM untuk mengiytiharkan pegangan kewangan miliknya dan keluarganya.

Menurut CNA, tindakan itu sebahagian daripada siasatan antipengubahan wang haram yang bermula pada Mei lalu berkaitan transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997.

Urusniaga itu melibatkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM).

Bagaimanapun, CNA melaporkan Daim enggan mengulas mengenai perkara itu.

Rakan rapat Daim juga dilaporkan berkata hartawan itu menerima arahan daripada SPRM pada penghujung Mei untuk mengisytiharkan pegangan kewangannya dan aset ahli keluarganya.

Namun Daim menolak permintaan tersebut dan sebaliknya menegaskan semasa disoal oleh pegawai SPRM bahawa dia tidak ada kena mengena dengan perjanjian Renong-UEM.

Daim menegaskan perjanjian korporat yang menyaksikan UEM memperoleh 33 peratus kepentingan dalam Renong, adalah semata-mata transaksi korporat antara syarikat yang ditadbir oleh pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham masing-masing.

Daim, 81 juga dipercayai meminta lanjutan tempoh untuk memberikan butiran mengenai pegangan kewangannya.

Dia juga meminta SPRM mendedahkan sebab di sebalik petisyen pengisytiharan harta berkenaan, termasuk dakwaan dia disiasat kerana melakukan kesalahan.

Bagaimanapun, pada awal Disember, sumber dilaporkan berkata Daim dimaklumkan oleh SPRM bahawa tiada lagi lanjutan masa akan diberikan.

Berikutan siasatan pada Mei itu, SPRM memaklumkan suruhanjaya itu sedang menyiasat dakwaan penyelewengan dana awam bernilai lebih RM2.3 bilion.

Pada Jun lalu, agensi antirasuah itu memaklumkan telah membekukan lebih RM39 juta dalam akaun bank, termasuk milik bekas menteri kanan yang tidak didedahkan, dua ahli perniagaan bergelar 'Tan Sri' dan ahli keluarga mereka.

Daim pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan sebanyak dua kali semasa kali pertama Mahathir memegang jawatan sebagai perdana menteri dari 1981-2003.

Dia juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi majlis penasihat kerajaan ketika Mahathir menjadi perdana menteri sekali lagi pada 2018.

4,000 kontena terkandas selepas kapal syarikat Israel dilarang berlabuh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sebanyak 4,000 kontena terkandas di Pelabuhan Klang selepas Putrajaya melarang kapal syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel berlabuh.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata syarikat terbabit, ZIM, perlu menghubungi syarikat perkapalan lain untuk mengatur pengeluaran kontena tersebut.

“Ini merupakan tanggungjawab mereka kerana tidak boleh masuk,” katanya pada suatu sidang akhbar, lapor Sinar Harian.

Loke berkata kontena berkenaan dikenal pasti sebagai kargo transit yang diuruskan oleh Zim, dan menambah satu syarikat perkapalan tidak boleh menyelesaikan 4,000 kontena itu sekali gus.

Pentadbiran Anwar Ibrahim semalam tidak membenarkan kapal milik ZIM berlabuh di negara ini berkuat kuasa serta-merta.

Sekatan itu tindak balas terhadap tindakan Israel mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

Malaysia juga memutuskan tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel, dan melarang kapal dalam perjalanan menuju ke Israel memuatkan kargo di pelabuhan.

Namun pentadbiran Anwar Ibrahim yakin keputusan itu tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan.

Amanah memilih: Raikan demokrasi

Zulkifli Mohamed

Hari pengundian bagi memilih 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) semakin tiba. Pemilihan ini akan dilangsungkan hujung minggu ini, serentak dengan Konvensyen Nasional Amanah 2023 pada 23 dan 24 Disember ini di Klang, Selangor.

Kempen dan strategi untuk memikat hati para perwakilan masih dijalankan hingga saat-saat hari akhir pengundian. Saya secara peribadi melihat budaya demokrasi semakin meriah serta menjadi teras kekuatan Parti Amanah pada pemilihan kali ini.

Amanah mempunyai 1,900 cawangan dengan lebih daripada 200,000 ahli dan kira-kira 1,100 perwakilan akan memilih 27 calon daripada 124 nama dalam senarai calon yang akan merebut tempat Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah sesi 2023-2026.

Mengikut perlembagaan parti, kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk presiden akan ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang akan dipilih perwakilan dan tiga ketua sayap parti itu.

Saya secara peribadi berpandangan inilah adalah masa dan peluang untuk ahli-ahli Amanah melakukan perubahan demi kelangsungan parti untuk tiga tahun ke hadapan. Pemilihan kali ini harus dilihat secara holistik dan objektif bukan secara emosi atau kesinambungan legasi. Parti Amanah memerlukan nafas baharu, strategi yang komprehensif serta barisan kepimpinan yang dapat menyampai wacana intelektual dengan lebih berkesan dan praktikal.

Tanpa melupakan jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh utama pembentukan parti Amanah, kita juga tidak harus mengabaikan jasa bakti ahli-ahli parti akar umbi yang sangat banyak membantu dan bekerja keras selama ini demi parti. Ketua-ketua kawasan yang bekerja kuat dan berkorban harus diangkat dan suara mereka harus diberi perhatian.

Perubahan sememangnya sukar untuk dilakukan tanpa azam dan kefahaman yang jitu. Mereka yang bimbang kepada perubahan adalah golongan yang selesa dengan keadaan semasa tanpa menyedari cabaran besar sedang melanda parti dan jika gagal ditangani dengan segera, parti Amanah tidak lagi releven untuk selama-lamanya.

Hujah yang mendakwa perubahan kepimpinan hanya mewujudkan perpecahan sudah tidak dapat diterima. Ahli-ahli parti semakin bijak dan matang dalam membuat penilaian pucuk pimpinan parti berdasarkan kompetensi, bakat, idealisme dan karisma kepimpinan.

Sebahagian besar ahli parti tidak lagi terpengaruh dengan budaya wa’la atau doktrin tradisional dengan cara mengekalkan kepimpinan sedia ada atas nama ‘sebuah kestabilan’.

Kestabilan dan kelangsungan sesebuah parti hanya dapat dicapai melalui perubahan yang dilakukan dengan tersusun dan terancang. Perubahan terancang merupakan budaya yang positif dan mesti dilihat sebagai ekosistem kesinambungan perjuangan serta hayat parti.

Terdapat salah faham atas dakwaan budaya 'chai' atau ‘senarai pilihan tersedia’ yang diamalkan secara meluas dan terbuka dalam pemilihan parti yang dianggap sebagai budaya negatif. Jika dilihat pemilihan jawatan khalifah selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW juga berbeza-beza. Mengikut sirah Sayyidina Umar R.A sendiri pernah menyenaraikan beberapa nama sahabat sebagai calon khalifah seperti Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Zubair Al Awwam dan Saad bin Abu Waqas.

Tidak tepat jika mekanisme ‘chai’ dianggap sebagai ‘dosa’ dalam strategi menyusun barisan kepimpinan yang berkualiti, bahkan ia merupakan satu bentuk tawaran kepada ahli-ahli parti untuk memilih barisan kepimpinan yang terbaik. Dengan adanya ‘chai’ ia bukan sekadar pilihan secara pakej, bahkan menterjemahkan barisan kepimpinan yang menyeluruh demi kestabilan dan keutuhan parti.

Tanpa kita sedar mekanisme inilah juga yang kita amalkan dalam pemilihan di peringkat akar umbi, malah senarai nama-nama calon yang dihantar melalui kawasan, cawangan dan negeri juga merupakan mekanisme ‘chai’ yang telah lama kita amalkan sebagai sebahagian daripada strategi penawaran kepimpinan terbaik melalui dasar tasamuh, gandingan muka lama dan baharu, gabungan akar umbi dan tokoh terkenal, konsesus untuk mengelak perpecahan dan plan pengantian kepimpinan.

Semua ini dilakukan demi kelangsungan dan daya tahan parti. Saya berdoa dan berharap agar pemilihan kali ini ahli-ahli parti akan terus memberi peluang dalam kalangan G18 yang masih releven, diterima oleh ahli parti, yang terkenal dengan dedikasi dan yang banyak berkorban memajukan parti.

Tidak lupa ketua-ketua kawasan dan cawangan yang setia dan ikhlas bekerja untuk parti, tidak merungut, sabar dan kuat bekerja – golongan inilah yang harus diangkat dalam pemilihan kali ini.

Pada masa yang sama, jangan kita alpa, terdapat golongan yang muncul secara tiba-tiba, yang dikenali tidak setia kepada parti saat kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada tahun 2020, golongan ini bukan sahaja menjadi racun perosak dalam parti, bahkan sangat terkenal dengan sifat tamak, pentingkan diri sendiri, malas bekerja, mengadu domba dan menjadi duri dalam daging yang menyakitkan. Awas dan berhati-hati saat memilih. Pilihan yang tepat untuk keutuhan parti.

Harapan saya adalah sangat jelas untuk melihat Parti Amanah tidak lagi dilabel sebagai kuda tunggangan DAP, memiliki kekuatan dan identiti tersendiri, dilihat parti yang dekat dengan hati Melayu-Islam, memperkasa dan menekankan nilai Rahmah dalam perjuangan politiknya di samping terbuka dengan pendekatan politik baharu dan mengangkat ahli-ahli parti yang ikhlas berjuang untuk bersama mengukuhkan parti. Ayuh semua lakukan perubahan. Selamat bersidang dan memilih!