Zulkifli Mohamed
Hari pengundian bagi memilih 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) semakin tiba. Pemilihan ini akan dilangsungkan hujung minggu ini, serentak dengan Konvensyen Nasional Amanah 2023 pada 23 dan 24 Disember ini di Klang, Selangor.
Kempen dan strategi untuk memikat hati para perwakilan masih dijalankan hingga saat-saat hari akhir pengundian. Saya secara peribadi melihat budaya demokrasi semakin meriah serta menjadi teras kekuatan Parti Amanah pada pemilihan kali ini.
Amanah mempunyai 1,900 cawangan dengan lebih daripada 200,000 ahli dan kira-kira 1,100 perwakilan akan memilih 27 calon daripada 124 nama dalam senarai calon yang akan merebut tempat Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah sesi 2023-2026.
Mengikut perlembagaan parti, kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk presiden akan ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang akan dipilih perwakilan dan tiga ketua sayap parti itu.
Saya secara peribadi berpandangan inilah adalah masa dan peluang untuk ahli-ahli Amanah melakukan perubahan demi kelangsungan parti untuk tiga tahun ke hadapan. Pemilihan kali ini harus dilihat secara holistik dan objektif bukan secara emosi atau kesinambungan legasi. Parti Amanah memerlukan nafas baharu, strategi yang komprehensif serta barisan kepimpinan yang dapat menyampai wacana intelektual dengan lebih berkesan dan praktikal.
Tanpa melupakan jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh utama pembentukan parti Amanah, kita juga tidak harus mengabaikan jasa bakti ahli-ahli parti akar umbi yang sangat banyak membantu dan bekerja keras selama ini demi parti. Ketua-ketua kawasan yang bekerja kuat dan berkorban harus diangkat dan suara mereka harus diberi perhatian.
Perubahan sememangnya sukar untuk dilakukan tanpa azam dan kefahaman yang jitu. Mereka yang bimbang kepada perubahan adalah golongan yang selesa dengan keadaan semasa tanpa menyedari cabaran besar sedang melanda parti dan jika gagal ditangani dengan segera, parti Amanah tidak lagi releven untuk selama-lamanya.
Hujah yang mendakwa perubahan kepimpinan hanya mewujudkan perpecahan sudah tidak dapat diterima. Ahli-ahli parti semakin bijak dan matang dalam membuat penilaian pucuk pimpinan parti berdasarkan kompetensi, bakat, idealisme dan karisma kepimpinan.
Sebahagian besar ahli parti tidak lagi terpengaruh dengan budaya wa’la atau doktrin tradisional dengan cara mengekalkan kepimpinan sedia ada atas nama ‘sebuah kestabilan’.
Kestabilan dan kelangsungan sesebuah parti hanya dapat dicapai melalui perubahan yang dilakukan dengan tersusun dan terancang. Perubahan terancang merupakan budaya yang positif dan mesti dilihat sebagai ekosistem kesinambungan perjuangan serta hayat parti.
Terdapat salah faham atas dakwaan budaya 'chai' atau ‘senarai pilihan tersedia’ yang diamalkan secara meluas dan terbuka dalam pemilihan parti yang dianggap sebagai budaya negatif. Jika dilihat pemilihan jawatan khalifah selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW juga berbeza-beza. Mengikut sirah Sayyidina Umar R.A sendiri pernah menyenaraikan beberapa nama sahabat sebagai calon khalifah seperti Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Zubair Al Awwam dan Saad bin Abu Waqas.
Tidak tepat jika mekanisme ‘chai’ dianggap sebagai ‘dosa’ dalam strategi menyusun barisan kepimpinan yang berkualiti, bahkan ia merupakan satu bentuk tawaran kepada ahli-ahli parti untuk memilih barisan kepimpinan yang terbaik. Dengan adanya ‘chai’ ia bukan sekadar pilihan secara pakej, bahkan menterjemahkan barisan kepimpinan yang menyeluruh demi kestabilan dan keutuhan parti.
Tanpa kita sedar mekanisme inilah juga yang kita amalkan dalam pemilihan di peringkat akar umbi, malah senarai nama-nama calon yang dihantar melalui kawasan, cawangan dan negeri juga merupakan mekanisme ‘chai’ yang telah lama kita amalkan sebagai sebahagian daripada strategi penawaran kepimpinan terbaik melalui dasar tasamuh, gandingan muka lama dan baharu, gabungan akar umbi dan tokoh terkenal, konsesus untuk mengelak perpecahan dan plan pengantian kepimpinan.
Semua ini dilakukan demi kelangsungan dan daya tahan parti. Saya berdoa dan berharap agar pemilihan kali ini ahli-ahli parti akan terus memberi peluang dalam kalangan G18 yang masih releven, diterima oleh ahli parti, yang terkenal dengan dedikasi dan yang banyak berkorban memajukan parti.
Tidak lupa ketua-ketua kawasan dan cawangan yang setia dan ikhlas bekerja untuk parti, tidak merungut, sabar dan kuat bekerja – golongan inilah yang harus diangkat dalam pemilihan kali ini.
Pada masa yang sama, jangan kita alpa, terdapat golongan yang muncul secara tiba-tiba, yang dikenali tidak setia kepada parti saat kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada tahun 2020, golongan ini bukan sahaja menjadi racun perosak dalam parti, bahkan sangat terkenal dengan sifat tamak, pentingkan diri sendiri, malas bekerja, mengadu domba dan menjadi duri dalam daging yang menyakitkan. Awas dan berhati-hati saat memilih. Pilihan yang tepat untuk keutuhan parti.
Harapan saya adalah sangat jelas untuk melihat Parti Amanah tidak lagi dilabel sebagai kuda tunggangan DAP, memiliki kekuatan dan identiti tersendiri, dilihat parti yang dekat dengan hati Melayu-Islam, memperkasa dan menekankan nilai Rahmah dalam perjuangan politiknya di samping terbuka dengan pendekatan politik baharu dan mengangkat ahli-ahli parti yang ikhlas berjuang untuk bersama mengukuhkan parti. Ayuh semua lakukan perubahan. Selamat bersidang dan memilih!