4 anggota polis ditahan ambil ketum

Kalbana Perimbanayagam
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Empat anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini ditahan kerana mengambil ketum di sebuah rumah di Taman Tan Yew Lai.

Pasukan daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman (JIPS) menyerbu sebuah rumah di Jalan 9B, Off Batu 6 Jalan Puchong pada jam 2.15 pagi Khamis, sebelum menahan mereka.

Siasatan menunjukkan tiga daripada mereka yang ditahan bertugas di Balai Polis Petaling manakala seorang lagi di Unit Siasatan Jenayah Berat D9 IPD Brickfields.

Anggota polis berusia antara 25 hingga 50 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan penahanan keempat-empat suspek.

"Mereka telah ditahan untuk membantu siasatan polis," katanya tanpa mengulas lanjut.

Difahamkan, keempat-empat individu terbabit mungkin menghadapi tindakan disiplin daripada JIPS atau penggantungan tugas jika terbukti bersalah.

'PN jumpa Agong dengan 118 SD', Berita Palsu - Pejabat ketua pembangkang

Malaysiakini 

Pejabat ketua pembangkang Hamzah Zainudin menafikan kenyataan tular yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima menghadap 118 ahli parlimen yang menyokong PN bersama-sama dengan akuan berkanun (SD) mereka.

"Ini berita palsu," kata pejabat Hamzah secara ringkas hari ini.

Kenyataan yang kini disangkal itu, yang didakwa beredar di kumpulan Whatsapp hari ini juga menyebut PN menjunjung kasih kepada Agong dalam usaha pembangkang menyelamatkan negara.

Ia juga berkata PN yakin perkara berkaitan pembentukan pentadbiran baru akan dimuktamadkan selepas menghadap Agong.

Awal hari ini, ahli majlis tertinggi Umno Lokman Adam juga menafikan dakwaan penulis blog kontroversi Raja Petra Kamarudin bahawa pembangkang telah memperoleh 120 akuan berkanun (SD) melalui Langkah Dubai untuk menggulingkan kerajaan perpaduan.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah baginda tidak akan menerima menghadap mulai hari ini sehingga baginda mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari depan.

Baginda bertitah ini melainkan majlis yang telah ditetapkan serta sesi mingguan bersama menteri besar Johor serta kerajaan negeri.

“Bermula sekarang sehingga saya mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong, saya tidak akan menerima apa-apa permohonan untuk mengadap.

“Dalam tempoh berkenaan, saya ingin meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sebelum menjalankan amanah dan tanggungjawab yang cukup besar,” titah DYMM Sultan Johor seperti yang dihebahkan Royal Press Office (RPO).

Siapa lantik ustaz-ustaz Pas jadi ulama?

Harapandaily

AHMAD MURSI

Ulama diangkat kerana tahap ilmu yang sangat tinggi bukan sebab popular.

Sekadar mengajar fardu ain (tidak dinafikan penting) atau motivasi agama serta mempunyai pengikut dan pendengar ramai belum boleh jadi ulama mengikut standard sebenar tradisi keilmuan Islam.

Yang lebih bahaya, kini trend ustaz selebriti makin meluas. Penceramah yang pandai buat lawak dan tarik perhatian atau mampu kutip banyak derma cepat diangkat sebagai ulama.

Orang awam atau netizen yang punyai tahap ilmu cetek atau pentaksub parti politik bukan pihak yang layak untuk endorse seseorang sebagai ulama.

Pengiktirafan itu diberi oleh ulama dan sarjana lain yang pakar dalam bidang dan diiktiraf sumbangan keilmuan bukan kerana popular sebab selebriti atau ahli politik.

Sebahagian ilmuan buat kajian dan menulis tesis dan karya-karya penting dan dicabar tulisan dan kajian mereka oleh pakar-pakar lain tetapi mereka tidak pula gelojoh memakai status ulama.

Punca lambakan ‘ulama jadian’ hari ini kerana Pas menjadikannya alat untuk menarik sokongan orang awam yang beragama maka ditubuh Dewan Ulama dan dikumpul individu yang tidak ulama untuk dijenamakan sebagai ulama.

Mereka hebat dan gelojoh apabila petik nas untuk serang lawan politik, tetapi apabila diteliti hasil tulisan atau perbahasan mengikut disiplin ilmu, kualitinya sangat teruk dan bias.

Bacalah tulisan ‘Tuan Guru’ Ahli Parlimen Jasin kamu akan geleng kepala. Tapi itulah Naib Ketua Dewan Ulama Pas. Ketuanya? Apa karya yang dibuat?

Tidak layak dianggap karya ulama walaupun dibaca oleh graduan universiti biasa bidang agama yang biasa teliti tesis dan karya-karya besar ulama sebenar seluruh dunia malah ada yang berumur ratusan tahun.

Kalau ada pun buku ditulis oleh ‘ulama Pas’, tidaklah jadi rujukan penting para sarjana. Hanya sekadar bacaan umum orang awam atau pengikut parti yang taksub.

Ulama sebenar, karya mereka dirujuk, dicabar, dibahas, dikembangkan oleh ulama lain dan bertahan ratusan tahun. Itulah ulama sebenar pewaris Nabi.

Hina mahkamah: Peguam Negara mohon Isham Jalil dipenjara, denda

BERNAMA

Kuala Lumpur: Peguam Negara memohon kebenaran Mahkamah Tinggi di sini untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isham Jalil kerana dikatakan menghina mahkamah.

Dalam permohonan sebelah pihak yang difailkan pada 28 Disember lalu, Peguam Negara turut memohon mahkamah untuk memenjarakan atau mengenakan denda ke atas Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil selaku responden.

Permohonan itu difailkan berikutan satu temu bual bertajuk "Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?" yang Isham dilaporkan mengulas proses perbicaraan dan rayuan membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes berkaitan syarikat SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ulasan Isham itu juga disiarkan di halaman Facebook "The Malaya Post" pada 30 September tahun lalu.

Pemohon mendakwa dalam temu bual itu, responden mempertikaikan proses pendengaran permohonan penarikan diri terhadap Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang menghakimi perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini.

"Responden antara lain memberikan ulasan secara tersurat atau tersirat yang didakwa membawa maksud bahawa hakim itu bertindak secara berat sebelah dalam memutuskan permohonan berkenan.

Selain itu, responden juga mempertikaikan proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam kes SRC International antara Datuk Seri Najib lawan Pendakwa Raya.

Responden memberi ulasan secara tersurat dan tersirat membawa maksud rayuan itu dihakimi secara tidak adil oleh panel Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara yang mendengar rayuan berkenaan," dakwa Peguam Negara dalam dokumen permohonan itu.

Peguam Negara juga mendakwa perkataan-perkataan diucapkan oleh responden dalam temu bual itu secara keseluruhannya mengandungi risiko yang nyata, yang boleh menggugat keyakinan orang awam ke atas Badan Kehakiman dan terjumlah kepada gangguan ke atas pentadbiran keadilan.

"Tindakan responden yang disebutkan mengaibkan Badan Kehakiman dan justeru, ia adalah campur tangan dalam pentadbiran keadilan serta suatu penghinaan yang serius," dakwanya.

Sementara itu, Isham dalam hantaran melalui Facebooknya hari ini berkata beliau akan melihat permohonan Peguam Negara itu.

"Mengikut laporan akhbar, mereka sudah menghantar permohonan ini secara sebelah pihak ke mahkamah. Saya akan melihat permohonan sebelah pihak mereka ini," katanya.

Polis tahan 5 pemain bola kerana bergaduh

FMT Reporters
Tangkap layar video tular menunjukkan pemain bergaduh ketika perlawanan bola sepak membabitkan dua kelab di Padang Gamuda Gardens di Bandar Gamuda, Rawang semalam. (Gambar X)
PETALING JAYA: Polis menahan lima individu yang disyaki bergaduh dalam satu perlawanan bola sepak membabitkan dua pasukan di Bandar Gamuda, Rawang semalam.

Ketua Polis Polis Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar berkata kejadian berlaku pada jam 8 malam di Padang Gamuda Gardens di Bandar Gamuda membabitkan pemain kelab bola sepak Sungai Buaya FC dan Garage FC.

“Kedua-dua pihak sudah membuat laporan polis berkait kejadian itu. Susulan itu kami menahan lima suspek berusia dalam lingkungan 14 hingga 39 tahun untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham ketika perlawanan sehingga menyebabkan berlakunya pergaduhan.

“Kejadian itu juga menyebabkan seorang pemain mengalami luka di hidung dan lebam di bahagian belakang badan, muka dan leher,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial beberapa pemain bola sepak bergaduh sesama sendiri.

Video berkenaan memaparkan beberapa pemain bergaduh dan memukul lawan masing-masing menggunakan topi keledar dan kerusi plastik.

Langgar mati dan lari, pemandu lori diburu polis

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
POLIS sedang mengesan pemandu lori yang disyaki terbabit dalam kejadian langgar lari yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut Jalan Pajam-Nilai-Salak berdekatan Taman Semarak. FOTO ihsan Polis
POLIS sedang mengesan pemandu lori yang disyaki terbabit dalam kejadian langgar lari yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut Jalan Pajam-Nilai-Salak berdekatan Taman Semarak. FOTO ihsan Polis
Nilai: Pemandu lori diburu polis selepas disyaki melanggar mati penunggang motosikal Jalan Pajam-Nilai-Salak berdekatan Taman Semarak di sini, sebelum melarikan diri.

Kemalangan kira-kira 6 pagi Khamis lalu, dipercayai berlaku apabila lori membawa muatan pasir itu melanggar mangsa, 47, menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pemandu lori dipercayai lelaki dari Sabah yang memandu lori model Nissan Diesel.

"Setakat ini, pemandu lori terbabit masih belum tampil membuat laporan polis. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Rosliza Mohd Ludin di talian 010-4554359," katanya.

Samseng Rohingya cuba 'tawan' Jalan Silang

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Tinjauan di Jalan Silang selepas diserbuan oleh pihak berkuasa berikutan lambakan warga asing. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Tinjauan di Jalan Silang selepas diserbuan oleh pihak berkuasa berikutan lambakan warga asing. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Kuala Lumpur: Tidak seperti kebiasaannya apabila kawasan tumpuan warga asing digelar 'Mini Dhaka' di Jalan Silang di sini, suram dan sepi tadi, akibat dua kali diserbu pihak berkuasa.

Lokasi yang menjadi tumpuan peniaga warga asing menjual makanan dan pelbagai produk dari negara asal mereka tidak lagi dipenuhi ratusan pelanggan.

Tinjauan wartawan Harian Metro di lokasi itu, mendapati masih ada segelintir warga asing yang keras kepala dan berniaga di tepi jalan malah ada juga menjual sirih di kaki lima.

Kehadiran wartawan di kawasan itu seolah-olah dapat dihidu dan disambut dengan pandangan tajam warga asing yang bekerja di lokasi berkenaan.

Dapat dilihat segelintir warga asing dengan pantas membuat panggilan telefon untuk memberi amaran kepada rakan senegara yang kemudian bergegas menutup gerai sirih di kaki lima.

Sementara itu seorang peniaga tempatan, Dani berkata, kebanyakan peniaga warga asing yang mempunyai premis kedai adalah perniagaan berlesen.

Lelaki tempatan berusia 20-an itu memberitahu, dia dan rakan-rakan yang berniaga secara sah menyokong tindakan pihak berkuasa melakukan operasi di kawasan itu.

"Mereka ini mengaku sebagai warga Bangladesh tetapi sebenarnya adalah warga Rohingya.

"Mereka menjual sirih di merata-rata tempat secara sesuka hati dan pernah membuka gerai haram di depan pintu premis saya. Apabila ditegur, mereka akan berlagak samseng dan mengugut kami.

"Kebanyakan kedai dipaparkan media adalah perniagaan berlesen. Pengacau sebenar adalah mereka yang berniaga di kaki lima dan di lorong-lorong belakang," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, perniagaan yang diasaskan bapanya warga Bangladesh dan ibunya wanita tempatan merudum susulan kebanjiran golongan pendatang Rohingya yang berniaga secara haram di situ.

Dani berkata, kumpulan itu mempunyai tonto yang akan memberi maklumat dan amaran kepada rakan-rakan lain sekiranya muncul pihak berkuasa.

Kecoh Langkah Dubai, Langkah Chow Kit, 8 MP BERSATU ada 'langkah' lain?

Essa Abu Yamin
essabuyamin@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Rabu lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan wujud rancangan oleh Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan yang didakwanya menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Penjelasan itu dibuat Ketua Pengarah Pilihan Raya PN merangkap Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat berkenaan ketika gerakan dinamakan Langkah Dubai yang dikaitkan dengan usaha mengambil alih Putrajaya, kecoh diperkatakan.

"Saya tak fikir ia Langkah Dubai, (mungkin) Langkah Chow Kit kerana perkara itu dibincang di Kuala Lumpur. Saya rasa Dubai itu 'dummy' sahaja sebab mereka nak berjalan ke Dubai," kata Sanusi merujuk kumpulan Ahli Parlimen (MP) dari blok Kerajaan Perpaduan yang dikaitkan dengan gerakan berkenaan.

Sama ada usaha itu akan menjadi kenyataan, penganalisis politik berpandangan, ia hanya dapat diketahui selepas pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 pada Februari ini kerana pengambilalihan kerajaan perlu melalui proses berdasarkan peraturan dan undang-undang serta Perlembagaan negara.

Sidang Dewan Rakyat pada 26 Februari hingga 1 April depan juga ditunggu lapan lagi Ahli Parlimen PN daripada BERSATU, seperti dinyatakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal hari ini, yang menjangkakan mereka akan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memaklumkan kumpulan itu ketika ini mengambil pendekatan tunggu dan lihat serta menanti masa yang sesuai, bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu menegaskan, kenyataannya sebelum ini mengenai lapan MP BERSATU itu masih relevan.

"Tunggu dan lihat kerana Parlimen akan kembali bersidang pada 28 Februari dan ketika itu akan bermula. Kini mereka sedang menunggu dan melihat apa akan berlaku dalam tempoh dua bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika program Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini hari ini.

Pada 11 Disember lalu, Syed Abu Hussin Hafiz mendakwa ada tujuh atau lapan lagi Ahli Parlimen PN dari beberapa negeri, bakal menyatakan sokongan kepada Anwar, namun pada sidang medianya itu, beliau enggan mendedahkan identiti mereka, sama ada daripada PAS atau BERSATU.

"Dulu, saya kata ada lima atau enam orang, (namun) sekarang ada tujuh atau lapan orang (bakal menyatakan sokongan kepada Anwar). Nama (mereka) saya tidak boleh maklumkan di sini. Tunggu dan lihat, bakal ada pengumuman mereka yang akan menyokong Kerajaan MADANI," katanya ketika itu.

Pada sidang media bulan lalu itu juga, beliau turut mengesahkan sebahagian daripada mereka telah berhubung dengannya untuk menyatakan sokongan kepada Anwar.

Sebelum ini, Syed Abu Hussin Hafiz menyertai empat lagi MP BERSATU mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, iaitu Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November 2022 dan pembentukan Kabinet diumumkan pada 2 Disember 2022.

Dituduh seleweng dana NGO, Shamsul Iskandar buat laporan polis

Bernama

BUKIT MERTAJAM: Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat laporan polis terhadap Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard kerana mengaitkan dirinya dengan penyelewengan dana badan bukan kerajaan.

Ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya, Shamsul Iskandar berkata dakwaan yang dibuat menerusi hantaran di laman Facebook semalam itu langsung tidak berasas, tidak disokong sebarang bukti, berniat jahat dan mahu mencemarkan nama baik Pejabat Perdana Menteri.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan tohmahan jahat yang telah dibuat ke atas diri saya dan Pejabat Perdana Menteri. Saya telah berbincang dengan peguam saya dan hadir membuat laporan polis hari ini serta meminta pihak berkuasa jalankan siasatan.

“Kita alu-alukan sebarang pandangan dan kritikan, namun ia tidak boleh dibuat dalam bentuk cemuhan dan juga fitnah serta tuduhan tidak berasas, saya harap pihak bertanggungjawab boleh jalankan siasatan dan segera mengambil tindakan berikutan apa yang diceritakan itu tidak mempunyai sebarang asas, dokumen dan ia hanya sekadar rekaan untuk memburukkan imej saya,” katanya kepada pemberita.

Shamsul Iskandar berkata beliau turut membuat laporan secara dalam talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung dakwaan tersebut.

Beliau berkata tindakan perundangan menghantar notis tuntutan saman juga sedang dilakukan.

Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati seharusnya mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa dan tidak membuat hantaran di media sosial yang hanya mengundang keresahan rakyat, katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Seberang Perai Tengah Tan Cheng San ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu.

Menurut Tan kes diserahkan kepada IPD Putrajaya kerana kes direkodkan di sana.

Mayat wanita tanpa kepala, anggota badan ditemukan

FMT Reporters
Beberapa anggota polis masih lagi mencari anggota badan mangsa yang hilang selepas mayatnya ditemukan di Pulau Sebang, Alor Gajah. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Mayat seorang wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki ditemukan dalam tong sampah di Pulau Sebang, Alor Gajah, akhir bulan lalu.

Ketua Polis Alor Gajah, Arshad Abu, berkata mangsa dipercayai dibunuh sebelum disumbat ke dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di tepi jalan Alor-Gajah-Tampin berhampiran Kampung Rimau.

Menurutnya, mayat tanpa pakaian itu ditemukan kira-kira 2 petang, 31 Dis lalu.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mayat sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

“Hanya bahagian badan ditemukan dengan kepala, kedua-dua tangan dan kaki dari paras lutut ke bawah dipercayai dipotong, selain terdapat sehelai kain merah di bawah mayat.

“Selain itu, identitinya juga tidak ditemukan pada mayat dianggarkan berusia 20 hingga 30-an itu, namun pakar patalogi mengesahkan mangsa seorang wanita,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Beliau berkata mayat itu ditemui dalam keadaan mula mereput dan sudah kering serta disyaki sudah meninggal dunia antara tujuh hingga 10 hari.

Katanya, polis telah menjalankan ujian DNA ke atas dua kes orang hilang dalam tempoh sebulan lalu, namun keputusannya negatif.

“Kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Berikutan itu, kita menyeru mana-mana pihak yang kehilangan ahli keluarga terdekat mahupun individu yang dikenali ataupun mempunyai maklumat berkenaan kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung terus di talian IPD Alor Gajah ditalian o6-5562222 ataupun Pegawai Penyiasat Kanan Mohd Ali Hanafiah Hasim di talian 019-9536277,” katanya.

Liverpool mahu ulang kejayaan musim 2022

Agensi

London: Liverpool akan berusaha sebaik mungkin untuk mengulangi 'keseronokan' mengejar empat trofi seperti yang mereka lakukan pada 2022 biarpun berdepan risiko keletihan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp berdepan dua perlawanan perebutan piala yang besar dalam tempoh empat hari dengan perlawanan pusingan ketiga Piala FA ke Arsenal esok diikuti perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga menentang Fulham di Anfield pada Rabu.

Mereka juga berada di tangga teratas Liga Perdana dan mara ke peringkat kalah mati Liga Europa.

Ia mengimbau dua musim lalu, apabila usaha mereka untuk meraih empat piala yang menyaksikan mereka memenangi Piala FA dan Piala Liga tetapi menamatkan saingan sebagai naib juara Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.​

Mereka seterusnya tergelincir ke tangga kelima pada musim berikutnya tetapi Klopp bertegas bahawa mereka menyasarkan untuk memenangi lebih banyak lagi walaupun Dominik Szoboszlai menyertai senarai kecederaan yang panjang dan Mo Salah dan Wataru Endo akan beraksi di bersama skuad kebangsaan.

"Musim yang dipenuhi dengan tiga perlawanan akhir dan Liga Perdana (bida gelaran) adalah sengit semasa kami berada di dalamnya, tetapi ia juga menyeronokkan," katanya.

"Saya tidak akan mengubahnya apa-apa. Ia sangat bagus. Dua perlawanan akhir menentang Chelsea adalah dua daripada keputusan terbaik yang saya lihat dalam hidup saya luar biasa sengit, secara teknikal pada tahap yang sangat tinggi jadi ia adalah pengalaman yang indah," katanya.​

"Jelas sekali perlawanan akhir Liga Juara-Juara mungkin tidak akan terjadi tetapi mungkin ada perlawanan akhir Liga Europa yang sangat sukar untuk dicapai kerana terdapat beberapa pasukan yang sangat bagus di dalamnya. Tetapi anda tidak boleh berfikir seperti itu.

"Musim panas ini akan menjadi lebih lama untuk sesetengah pemain kerana terdapat Euro juga. Ia sentiasa seperti itu. Kami tidak boleh keluar dari pertandingan hanya kerana kami fikir kami mungkin menghadapi masalah tahun depan."

Liverpool akan beraksi tanpa Salah sehingga lima minggu kerana dia mewakili Mesir dalam Piala Negara-Negara Afrika. Tetapi daripada memberi tugas kepada seorang pemain untuk menggantikan tempatnya, Klopp akan cuba menjadi 'kreatif' untuk memastikan pasukannya menang.

"Kami mempunyai pilihan yang berbeza dan kami boleh menukar sistem," katanya.

"Apabila dia tiada kita perlu kreatif. Saya tidak tahu apa yang mengejutkan orang ramai selepas bertahun-tahun ini, tetapi mungkin ia akan berlaku!"

Pakatan sulit Israel dengan negara Afrika

Agensi

Bailtulmaqdis: Israel didakwa mengadakan rundingan sulit dengan Republik Demokratik Congo (DRC), menggesa negara Afrika tengah itu menerima penduduk Palestin dari Gaza.

Times of Israel yang dipetik TRT World melaporkan, pegawai Israel berbincang dengan wakil rasmi DRC dan negara Afrika lain supaya menerima kemasukan rakyat Palestin.

"Congo nyatakan kesediaan untuk menerima pendatang (Palestin) dan kami sedang berbincang dengan yang lain (negara Afrika)," kata seorang pegawai kanan keselamatan Israel kepada portal berita itu.

Dalam pada itu, Menteri Perisikan Israel, Gila Gamliel berkata, selepas perang berakhir, pemerintahan Hamas akan runtuh dan tidak akan memimpin Palestin lagi.

"Tiada pihak berkuasa perbandaran dan orang awam akan bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan.

"Tidak akan ada pekerjaan dan 60 peratus daripada tanah pertanian Gaza akan menjadi zon penampan keselamatan," katanya.

Selasa lalu, Amerika Syarikat (AS) menolak kenyataan tidak bertanggungjawab menteri Israel mengenai pengusiran rakyat Palestin dari Gaza.

"Amerika Syarikat menolak kenyataan baru-baru ini daripada Menteri Israel, Bezalel Smotrich dan Itamar Ben Gvir yang menyokong penempatan semula penduduk Palestin di luar Gaza.

"Retorik ini menghasut dan tidak bertanggungjawab," kata jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller dalam satu kenyataan.

Kedua-dua menteri itu dalam pelbagai majlis dilapor menggesa apa yang disifatkan mereka sebagai 'pemindahan sukarela' rakyat Palestin dari Gaza.

Menurut kementerian kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 22,313 penduduk Palestin terbunuh dan 57,296 cedera dalam serangan Isreal susulan serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober lalu.

Ceroboh rumah MB, 3 termasuk wartawan direman

FMT Reporters
Terdahulu, tular video dan laporan di platform media sosial X bahawa seorang lelaki dipercayai wartawan ditangkap cuba curi masuk ke kediaman rasmi menteri besar Selangor di Shah Alam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Tiga lelaki direman selepas disyaki menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor Amirudin Shari di Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata siasatan mendapati semua suspek menaiki Proton Waja untuk masuk ke kediaman itu tanpa mengemukakan sebarang jemputan secara rasmi daripada kerajaan negeri.

“Bertindak atas maklumat, pada 7.30 semalam, tangkapan dilakukan ke atas semua suspek bersama rampasan Proton Waja digunakan mereka.

“Suspek adalah tiga lelaki berusia 31 hingga 35 tahun bertugas sebagai pengamal media tempatan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Mereka memberi alasan untuk menghadiri mesyuarat di kediaman rasmi menteri besar Selangor tetapi tidak mempunyai jemputan rasmi.

“Semua tangkapan dibenarkan reman dua hari hingga 7 Jan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan dilakukan bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tiga bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku,” katanya.

Terdahulu, tular video dan laporan di platform media sosial X bahawa seorang lelaki dipercayai wartawan ditangkap cuba curi masuk ke pekarangan kediaman Amirudin di Shah Alam.

Dalam laporan polis dibuat, pembantu Amirudin, Musa Zin, berkata beliau dimaklumkan seorang lelaki ditangkap cuba memasuki kediaman itu dengan bersembunyi di tempat duduk belakang kereta.

Petani beli sarapan di warung, kereta hilang dilarikan

Amirul Aiman Hamsuddin
bhnews@bh.com.my

KUALA SELANGOR: Tindakan seorang petani meninggalkan keretanya dalam keadaan enjin masih hidup ketika membeli sarapan, mengundang padah apabila kenderaan itu dilaporkan hilang akibat dilarikan, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin, berkata kejadian jam 8.15 pagi dilaporkan berlaku ketika lelaki berusia 41 tahun itu berada di warung nasi lemak berhadapan sebuah restoran di pekan Ijok, Bestari Jaya, di sini.

Katanya, mangsa dikatakan memarkir Perodua Myvi yang dipandunya itu pada jarak kira-kira lima meter dari tempat membeli makanan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kenderaan itu kemudian dilihat diundurkan dengan pantas sebelum dibawa lari ke arah jalan besar yang menghala ke Ijok.

"Hasil siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah kawasan perumahan dan kedai lot. Perodua Myvi terbabit pula adalah milik isteri mangsa dan digunakan sejak 2007," katanya ketika dihubungi.

Mohd Ambia berkata, mangsa turut memaklumkan ada kunci rumah dan telefon bimbit di dalam kereta berkenaan.

Berdasarkan maklumat orang awam, beliau berkata, suspek kejadian itu disyaki adalah seorang lelaki.

"Terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu tetapi tidak menghala ke lokasi kejadian.

"Siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek, dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Orang muda mati mengejut semakin meningkat

Harapandaily

Kematian mengejut dalam kalangan orang muda iaitu golongan berusia 40 tahun dan ke bawah di negara ini semakin meningkat.

Pengasas Pusat Kesejahteraan Heart Bit E-ECP, Dr S Denesh, berkata, Sindrom Kematian Mengejut Golongan Dewasa (SADS) bagi populasi tersebut antaranya akibat serangan jantung dan strok.

Menurutnya, SADS mungkin disebabkan oleh kejutan terhadap sistem kardiovaskular berpunca daripada peningkatan mendadak aktiviti fizikal selepas tidak melakukannya dalam tempoh yang panjang semasa perintah kawalan pergerakan apabila negara dilanda pandemik Covid-19.

“Aktiviti senaman fizikal dalam kalangan penduduk kita ketika itu amat kurang.

“Apabila perintah itu ditarik balik, ramai antara kita yang terlalu cepat dan agresif melakukan senaman sehingga menyebabkan kes SADS meningkat.

“Apabila anda tidak melakukan senaman dalam tempoh yang sebegitu lama, ia akan menyebabkan sedikit kejutan terhadap tubuh (jika seseorang itu secara tiba-tiba melakukan senaman secara intensif),” katanya dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.

Beliau berkata, tahap tekanan yang tinggi, tidur tidak cukup dan sejarah penyakit jantung turut menyumbang kepada faktor berlakunya SADS.

Sehubungan itu, Dr S Denesh berkata, langkah pencegahan seperti pengubahsuaian gaya hidup dan diet perlu dilakukan.

“Kita juga harus belajar cara untuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kerana ia boleh meningkatkan kadar survival bagi mereka yang terkena serangan jantung.

“Adalah penting untuk kita mengenal pasti simptom-simptomnya dan melakukan CPR dengan segera jika seseorang itu tidak bernafas,” katanya.

Pemandu teksi cari penumpang bayar tambang RM111,000

KOSMO!
Liming (kiri) bersama penumpang wanita tersebut. - Douyin
BEIJING – Seorang pemandu teksi di China berusaha mencari seorang penumpang wanita yang tersilap membayar tambang sebanyak 170,000 yuan (RM111,250), lapor portal berita South China Morning Post.

Selepas mencari selama lima hari, pemandu teksi bernama Du Liming itu akhirnya menemui penumpang wanita tersebut dikenali sebagai Chen. 

Kejadian berlaku ketika Liming menghantar Chen pulang ke rumah sekitar pukul 3 pagi (waktu tempatan) pada 14 Disember 2023

Chen kemudian membawar tambang sebanyak 60 yuan (RM39) menggunakan kod QR. Selepas tamat syif, Liming terkejut apabila melihat wang sebanyak 170,000 yuan dalam akaun Alipay miliknya.

Selepas menyemak semula, Liming pergi ke balai polis berhampiran, menelefon syarikatnya dan turut menghubungi Alipay serta meninggalkan mesej untuk Chen.

Pada hari-hari berikutnya, Liming mencuba pelbagai cara untuk mencari Chen. Dia meminta bantuan media tempatan untuk mencari penumpang tersebut.

Seorang rakan yang membantu Chen masuk ke dalam teksi Liming melihat berita itu. Mereka bertemu keesokan harinya dan Liming dapat memulangkan semula wang Chen. – AGENSI

Amah tanam bayi belakang rumah

ASYRAF MUHAMMAD

LOKASI penemuan mayat bayi lelaki yang ditanam di belakang sebuah rumah di Taman Mutiara, Kangar pada Sabtu lalu.
KANGAR – Mayat seorang bayi lelaki cukup sifat ditemui ditanam di belakang sebuah rumah di Taman Mutiara, di sini dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Bayi malang itu ditemui kira-kira pukul 10.30 pagi oleh pengadu yang merupakan seorang guru lelaki selepas terhidu bau busuk dari belakang rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pengadu kemudian bertindak mencangkul lokasi bau itu lalu menemui satu mayat disyaki bayi berbungkus kain putih dalam keadaan berulat.

“Pengadu itu juga telah hadir ke balai polis bagi membuat laporan berhubung penemuan itu untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Berikutan itu, Yusharifuddin berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati bayi itu tertanam di dalam tanah yang berkedalaman 12.7 sentimeter (cm) di kawasan terbuka dan tidak berpagar.

Katanya, pemeriksaan lanjut turut mendapati jantina bayi tersebut adalah lelaki dan cukup sifat selain panjang ukurannya adalah 46 sentimeter yang masih bertali pusat.

Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, polis juga berjaya mengesan suspek dipercayai terlibat dalam kes itu yang merupakan seorang pembantu rumah dan bekerja di salah sebuah rumah sekitar taman berkenan selain mengaku menanam bayi tersebut selepas mendapati dia tidak lagi bernyawa. – KOSMO! ONLINE

Ronaldo menang Anugerah Maradona

Agensi
RONALDO masih berbisa pada usia 38 tahun.
RONALDO masih berbisa pada usia 38 tahun.
London: Bintang bola sepak Portugal Cristiano Ronaldo menambah satu lagi trofi dalam karier gemilangnya apabila dipilih pemenang Anugerah Maradona untuk Penjaring Gol Terbaik 2023.

Pemain berusia 38 tahun itu yang menjaringkan 54 gol tahun lalu bakal menerima anugerah terbabit pada majlis Anugerah Bolasepak Dubai Globe kali ke-14 pada 19 Januari ini.

Laman web Essentially Sports memetik kenyataan jurulatih Ronaldo di Al-Nassr, Luis Castro yang memuji cita-cita besar penyerang Portugal itu.

Castro mengakui Ronaldo mahu terus mencipta pencapaian membanggakan dan pemenang lima kali Ballon d'Or itu berkata dia bertekad mengulangi kejayaan pada tahun ini.

Ronaldo memenangi Anugerah Maradona dengan mengetepikan pencabar terdekatnya Kylian Mbappe, Harry Kane dan Erling Haaland.

Kane dan Mbappe ketinggalan di belakang penyerang Al-Nassr itu dengan hanya dua gol apabila masing-masing menjaringkan 52 gol pada 2023 manakala Haaland 50 gol.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman itu dengan 873 gol keseluruhan turut bersaing untuk merebut anugerah Pemain Lelaki Terbaik, Pemain Timur Tengah Terbaik dan Pemain Kegemaran Peminat.

Gangguan seksual: Pelajar seret guru ke mahkamah

Hidir Reduan Abdul Rashid

Seorang pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor menyeret seorang guru yang juga jurulatih hoki ke mahkamah atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak berusia 13 tahun itu empat tahun lalu.

Plaintif, yang kini berusia 17 tahun, memfailkan saman pemula terhadap guru bahasa Melayu berusia 38 tahun itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November 2022.

Memandangkan kes saman ini melibatkan pelajar bawah umur, pihak-pihak yang terlibat tidak dinamakan kerana menjaga sensitiviti.

Menurut kenyataan tuntutan yang dilihat oleh Malaysiakini, dia mendakwa guru tersebut melakukan gangguan itu sebanyak dua kali pada 2019.

Berhubung kejadian pertama yang didakwa sekitar jam 9 pagi pada Nov tahun itu, remaja berkenaan mendakwa guru terbabit memanggilnya ke bilik sukan sekolah dengan alasan untuk berbincang prestasinya dalam hoki.

Dia mendakwa ketika guru itu memulakan perbincangan, jurulatih itu kemudian tiba-tiba menggunakan telefon pintarnya untuk mengambil gambarnya, dengan alasan dia adalah kapten hoki.

Remaja itu mendakwa guru itu kemudian mengarahkannya untuk mengambil beberapa posisi dan gaya semasa dia merakam gambar, termasuk untuk dia menghadapnya serta berulang kali membuka dan menutup mata serta mulutnya.

Dia mendakwa dia berasa terpaksa akur untuk mematuhi arahan guru itu merakam foto yang tidak pernah dipersetujuinya.

Hantar mesej WhatsApp

Ini termasuk arahan dia membelakangi guru itu sambil membongkokkan badan ke hadapan dan tangannya bersandar pada sebuah kabinet manakala guru terbabit mengambil gambarnya dari arah belakang.

Plaintif mendakwa kejadian kedua berlaku kira-kira jam 9.30 malam pada bulan Disember pada musim cuti sekolah, apabila guru itu secara tiba-tiba menghantar mesej WhatsApp kepadanya semasa dia berada di rumah dan mengarahkannya merakam beberapa gambar dirinya.

Pelajar itu mendakwa defendan itu mengarahkannya untuk mengambil gambarnya dalam pelbagai posisi dan gaya, termasuk merangkak serta dia berulang kali diarahkan guru terbabit membuka dan menutup mata dan mulut semasa berbaring.

Dia mendakwa perkara ini berlaku sehingga awal jam 3 pagi, dengan guru berkenaan didakwa berulang kali menghantar mesej mengarahkannya untuk merakam gambar dan menghantar gambar itu kepadanya sehingga dia berpuas hati.

Dakwa pelajar itu dia kemudiannya merasakan kepatuhan (submissiveness), terikat dan terpaksa akur untuk mematuhi arahan lelaki itu untuk memadam semua mesej WhatsApp serta gambar yang dia rakam pada telefon bimbitnya.

Di samping ibu dan abangnya yang selaku plaintif bersama (bapanya telah meninggal dunia pada 2020), pelajar itu berhujah arahan berunsur seksual guru itu sama dengan cubaan untuk menormalkan kejadian ini dan merupakan pengantunan (groom) terhadapnya.

Dia mendakwa sejurus selepas dua insiden yang dikatakan pada 2019, dia mendapat tahu beberapa ahli pasukan hokinya juga telah menerima arahan berbentuk seksual yang sama daripada guru itu.

Dia mendakwa, sekitar Januari 2020, guru itu sekali lagi menghubunginya semasa dia sakit di rumah dan meminta dia merakam gambar dirinya dengan alasan untuk memastikan keadaannya.

Bagaimanapun, dia berkata dia menolak arahan tersebut, menyebabkan guru itu memadamkan mesej berkenaan.

Dia berkata kemudian pada Februari tahun yang sama, seorang pelajar perempuan sekolah berasrama penuh yang sama juga telah membuat laporan berhubung dakwaan gangguan seksual oleh guru terbabit.

Dakwa pelajar itu lagi, dia mengambil masa sehingga Disember 2021 sebelum dia menangis di hadapan abangnya ketika mereka berdua berjalan dari rumah mereka ke kedai serbaneka, apabila dia memberitahunya tentang apa yang berlaku.

Trauma, tekanan emosi

Pelajar itu menjelaskan bahawa keluarganya kemudian berulang kali mengadakan beberapa pertemuan dengan beberapa pihak sekolah, yang didakwa mengaku tentang perbuatan gangguan seksual guru terbabit tetapi gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadapnya.

Dia mendakwa berikutan kejadian itu, dia mengalami trauma, kejutan saraf dan/atau tekanan emosi yang teruk.

Ini termasuk insomnia, menyalahkan diri sendiri, hilang keyakinan diri, perubahan selera makan, hilang minat dalam aktiviti harian dan kecenderungan untuk menjadi agresif terhadap perkara remeh.

Pengetua, menteri turut disaman

Melalui saman mahkamah ini, dia menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan daripada bukan sahaja guru itu tetapi sepuluh defendan lain.

Sepuluh pihak lain yang disaman ialah pengetua sekolah, empat guru penolong kanan sekolah, seorang guru disiplin, pengarah pendidikan Selangor, menteri pendidikan ketika kejadian dan Kementerian Pendidikan, serta kerajaan persekutuan.

Sementara itu dalam pernyataan pembelaannya, guru tersebut menafikan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap pelajar berkenaan, menunjukkan dia mempunyai saksi alibi untuk membuktikan dia tidak pernah memanggilnya ke bilik sukan sekolah.

Dia juga menafikan pernah menghantar sebarang mesej WhatsApp kepada pelajar itu yang dianggap sebagai gangguan seksual.

Firma guaman Faizal Rahman & Co mewakili gadis itu dan keluarganya.

Firma guaman Khairul Anan & Partners pula mewakili guru itu manakala defendan lain diwakili oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Terkejut jumpa mayat kaki berdarah

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
Dua beradik dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kematian warga emas yang ditemui dengan kesan tikaman di sebuah rumah di Kampung Pasir,Rantau pagi semalam. FOTO AZRUL EDHAM
Dua beradik dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kematian warga emas yang ditemui dengan kesan tikaman di sebuah rumah di Kampung Pasir,Rantau pagi semalam. FOTO AZRUL EDHAM
Seremban: Jiran kepada lelaki warga emas yang ditemui maut dengan kesan tikaman di sebuah rumah di Kampung Pasir, Rantau, di sini, pagi semalam, memaklumkan terdengar jeritan meminta tolong mangsa pada tengah malam hari kejadian.

Jiran berusia 35 itu berkata, bapanya terdengar jeritan berkenaan namun tidak berani memeriksa rumah itu berikutan mengalami masalah kabur penglihatan.

"Selepas pulang dari kerja pagi semalam, bapa menceritakan perkara itu sebelum saya pergi ke rumah mangsa untuk bertanya khabar.

"Bagaimanapun, sebaik membuka pintu, saya ternampak lelaki itu dalam keadaannya terbaring dan terdapat darah pada bahagian kaki. Saya memeriksa sama ada dia masih bernafas sebelum ke balai polis untuk membuat laporan," katanya tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dua suspek ditahan direman selama tujuh hari hingga 11 Januari depan.

"Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Seremban di sini, tadi," katanya.

Mengulas mengenai motif kejadian, Arifai berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan soal siasat akan dijalankan sejurus permohonan reman dibenarkan.

"Masih terlalu awal untuk mengetahui motif kejadian. Kami akan jalankan soal siasat terhadap kedua-dua suspek bagi mendapatkan punca dan motif kejadian ini," katanya.

Terdahulu media melaporkan lelaki warga emas berusia 74 tahun ditemui tidak sedarkan diri di rumah berkenaan kira-kira jam 10 pagi semalam.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua beradik lelaki berusia 18 dan 25 tahun masing-masing berdekatan tempat kejadian serta balai polis bagi membantu siasatan, petang semalam.

Pemeriksaan pada badan warga emas itu menemui kesan tikaman di bahagian belakang badan dan kedua-dua belah buku lali.

Ajal 3 motosikal 'terbang' masuk parit

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang maut akibat terbabas ke dalam parit sedang dalam pembinaan di Jalan Bukit Katil, hari ini. Foto JBPM Melaka
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang maut akibat terbabas ke dalam parit sedang dalam pembinaan di Jalan Bukit Katil, hari ini. Foto JBPM Melaka
Melaka: Seorang maut manakala dua cedera sejurus tiga motosikal ditunggangi mereka terbabas dan jatuh ke dalam parit dalam pembinaan di Jalan Bukit Katil di sini.

Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Mohamad Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.49 pagi tadi sebelum sembilan pegawai dan anggota bomba dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati tiga motosikal terbabas ke dalam parit yang sedang dalam pembinaan.

"Kami berjaya mengeluarkan tiga mangsa yang terjatuh di dalam parit sebelum pegawai perubatan mengesahkan salah seorang mangsa berusia 20 tahun meninggal dunia dan dua lagi mangsa berusia 21 dan 50 tahun cedera.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dua beradik hilang sejak Isnin

BERNAMA
POLIS sedang mencari dua beradik yang dilapor hilang sejak 1 Januari. FOTO Bernama.
POLIS sedang mencari dua beradik yang dilapor hilang sejak 1 Januari. FOTO Bernama.
Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan dua beradik lelaki berusia 16 dan 15 tahun yang dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, Selangor sejak pagi Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kedua-dua remaja berkenaan dikenali sebagai Wan Azfar Fitri Wan Azhar dan adiknya Wan Azfar Zikri kali terakhir dilihat di rumah mereka di Jalan Kemudi, Taman Bernam Jaya selepas balik daripada solat subuh di surau.

"Pakaian terakhir mereka ialah berbaju warna tidak pasti dan berseluar trek warna gelap, kehilangan remaja berkenaan disedari oleh ibu bapa mereka pada 6.30 pagi Isnin lalu apabila mendapati mereka tiada di rumah.

"Difahamkan mereka keluar rumah tanpa memberitahu ibu bapa selepas pulang dari surau," katanya kepada Bernama malam ini.

Menurut Ahmad Faizal, kedua-dua ibu bapa remaja berkenaan membuat laporan polis pada 9.19 pagi keesokannya (Selasa).

Remaja terbabit juga katanya, tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri kerana disimpan oleh ibu mereka serta tidak mempunyai telefon bimbit.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai dua beradik berkenaan supaya memaklumkan balai polis berhampiran atau menghubungi ibu bapa remaja itu menerusi talian 01133772289 dan 01111335305 atau pegawai penyiasat 0135547435.

‘Ustaz’ noda wanita ketika lakukan rawatan ditahan

AZMI NORDIN

KUALA LUMPUR – Seorang wanita bersama adik iparnya berdepan detik hitam apabila dicabul ketika menerima rawatan daripada seorang lelaki warga Indonesia menggelar dirinya ‘ustaz’ di Kampung Datuk Keramat, di sini semalam.

Mangsa mendakwa, suspek bertindak demikian ketika dirinya dalam keadaan separuh sedar sebelum wanita itu beredar dari kediaman tersebut dan tampil membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak, semalam.

Menurut sumber, dalam kejadian pukul 9.30 malam itu mangsa berusia 25 tahun bersama adik iparnya, 20, ke rumah terbabit untuk meneruskan rawatan kali ketiga.

“Mereka dibawa ke bilik berasingan oleh suspek sebelum menjadi mangsa cabul lelaki itu. Ini adalah kejadian kali pertama dicabul ketika menerima rawatan dengan suspek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan suspek telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.

Warga emas maut ditikam, dua beradik ditahan

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

POLIS melakukan siasatan di lokasi penemuan mayat warga emas di Kampung Pasir, Rantau. FOTO Ihsan PDRM.
Seremban: Lelaki warga emas maut dengan kesan tikaman pada badan dan kaki di sebuah rumah di Kampung Pasir, Rantau, di sini, hari ini.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua beradik lelaki berusia 18 dan 25 tahun bagi membantu siasatan, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya dimaklum penemuan lelaki tidak sedarkan diri pada 10.10 pagi dan siasatan mendapati mangsa berusia 74 tahun serta disahkan sudah meninggal dunia.

"Pemeriksaan pada badan warga emas itu menemui kesan tikaman di belakang badan dan kedua-dua belah buku lali," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini untuk dibedah siasat.

Arifai berkata, suspek pertama ditahan kira-kira 5 petang berhampiran kawasan kejadian dan seorang lagi dipanggil ke Balai Polis Rantau untuk siasatan.

"Kedua-duanya adalah adik-beradik dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk tampil membantu pihaknya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Firdaus Sudeerman di talian 010-3921373.

Aduh!! RM9.7 juta duit zakat diseleweng

Polis siasat empat kes seleweng duit zakat RM9.7 juta
Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis menyiasat sebuah syarikat dilantik sebagai ejen kutipan zakat oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.

Siasatan dijalankan selepas syarikat terbabit dipercayai gagal mendepositkan wang zakat bermula Mac hingga September 2023.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes itu antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat sepanjang tahun lalu.

Katanya dua kes lain direkodkan di Selangor diikuti satu kes di Terengganu selain satu kes di Perak itu dengan jumlah keseluruhan kerugian berjumlah RM9.71 juta.

"Kes di Perak mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM9,629,682.00 selepas disyaki gagal mendepositkan wang kutipan zakat dan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

"Siasatan masih dijalankan dan terdapat individu yang akan dipanggil dalam masa terdekat," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ramli menegaskan JSJK memberikan amaran keras kepada pelaku-pelaku jenayah ini bahawa tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang akan diambil bagi memastikan jenayah sebegini tidak berulang.

Jelas beliau, kes sebegini amat mendukacitakan apabila wang zakat juga turut diseleweng oleh individu-individu yang diamanahkan untuk mengutip wang terbabit.

"Perkara ini tidak sewajarnya berlaku kerana zakat adalah satu daripada lima rukun Islam yang menjadi pegangan setiap Muslim.

"Sewajarnya, wang kutipan zakat diuruskan dengan baik dan penuh amanah agar ianya dapat dimanfaatkan sesuai dengan kehendak agama," katanya.

'Pengakuan Sanusi bukti PN kemaruk kuasa'

N Faizal Ghazali

Kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Muhammad Sanusi Md Nor yang mengakui mereka sentiasa mencuba untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada disifatkan sebagai bukti gabungan itu kemaruk kuasa.

Malah Timbalan Ketua Penerangan Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor berkata PN sudah meraih kemenangan di empat negeri sepatutnya memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada masyarakat di negeri berkenaan.

"Rakyat sedang memerhati, jika nak tukar kerajaan tunggulah pilihan raya umum ke-16 (PRU16). Kita patut beri ruang kepada kerajaan Perpaduan untuk menjalankan tanggungjawab.

"Bersikaplah seperti seorang 'gentleman', jangan sibuk mahu 'tebuk atap'. Saya ingin mengingatkan PN supaya memberikan tumpuan kepada pentadbiran di empat negeri yang dimenangi mereka daripada sibuk mahu menumbangkan kerajaan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Sanusi yang mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memang boleh ditumbangkan melalui proses demokrasi seperti yang dibenarkan dalam perlembagaan.

Merujuk kepada tindakan kerajaan menerima sokongan lima ahli parlimen PN baru-baru ini, Sanusi berkata, langkah tersebut digambarkan sebagai mengikut perlembagaan.

Justeru, katanya, tindakan PN menarik sokongan ahli parlimen dari BN dan PH juga boleh dianggap sama.

Sementara itu Noor Hariri berkata, tindakan PN yang terus-menerus mahu mengambil alih kerajaan membuktikan mereka sebenarnya kemaruk untuk kembali berkuasa selepas gagal pada PRU ke-15 lalu.

"Usaha seperti ini dibimbangi boleh mencetuskan ketidakstabilan politik sekali gus merugikan negara.

"Sampai bila kita nak hidup begini dengan keadaan suasana politik tidak stabil. Saya rasa rakyat sudah penat untuk berdepan dengan percaturan politik 'gila kuasa'.Saya sarankan PN supaya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat pada PRU-15.

"Sebagai pembangkang sepatutnya memainkan peranan semak dan imbang dengan lebih tuntas dalam membina semula negara selepas pandemik Covid-19," katanya.

Tambahnya, matlamat utama kerajaan persekutuan untuk pembinaan semula negara itu amat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.

"Fokuslah kepada kerja, jangan asyik mahu berpolitik. Rakyat Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis memberikan kemenangan besar kepada PN, jadi bekerjalah untuk masyarakat," tegasnya.

Pegang 6 pasport individu lain lelaki Bangladesh diberkas

MOHD SHARKAWI LONDING
PEGAWAI dan anggota JIM Johor melakukan pemeriksaan ke atas warga asing dalam Ops Serkap yang dijalankan di sekitar Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU – Tindakan seorang juruwang warga Bangladesh menyimpan tiga naskah pasport milik individu lain membawa padah apabila dia ditahan dalam Ops Serkap yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di sekitar bandar raya ini, semalam.

Lelaki warga Bangladesh itu ditahan kira-kira pukul 9.10 malam di sebuah kedai makan di Taman Abad di sini.

Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir berkata, penahanan saspek membawa kepada penemuan tiga bungkus plastik merah yang mengandungi enam naskah pasport warganegara Bangladesh dan India yang disorok di dalam laci di sebuah bilik berkunci.

“Juruwang tersebut ditahan dibawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu memberi kebenaran PATI berada di dalam premis.

“Dia juga disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Passport 1966 (Akta 150) kerana tanpa kuasa yang sah, ada dalam milikannya mana-mana pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang selain dirinya,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baharuddin berkata, dalam operasi ini JIM Johor berjaya menahan tiga lelaki warga Bangladesh termasuk juruwang terbabit dan dua wanita warga Indonesia berusia 22 hingga 45 tahun.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Tambahnya, dua wanita warga Indonesia di tahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Manakala dua lelaki warga Bangladesh di tahan di bawah Peraturan 17(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang dikeluarkan.-KOSMO! ONLINE

Gali terowong sebelum merompak di pusat beli-belah

Agensi
PENCURI menyelinap menerusi terowong di dalam tapak karnival di dalam kawasan persendirian di sebelah pusat beli-belah itu. FOTO Polis Bandar Ozamiz
PENCURI menyelinap menerusi terowong di dalam tapak karnival di dalam kawasan persendirian di sebelah pusat beli-belah itu. FOTO Polis Bandar Ozamiz
Manila: Polis Filipina memburu trio perompak yang melarikan barang kemas serta wang tunai bernilai 41 juta peso (kira-kira RM3.42 juta) sebuah pusat beli-belah di sini, baru-baru ini.

The Straits Times melaporkan, insiden itu berlaku pada 31 Disember lalu di Gaisano Mall dekat Bandar Ozamiz.

Ia terletak kira-kira 783 kilometer (km) dari bandar ini, menurut laman berita dalam talian, Rappler.

Jurucakap polis berkata, pencuri menyelinap menerusi terowong di dalam tapak karnival di dalam kawasan persendirian di sebelah pusat beli-belah itu.

Mereka kemudian masuk melalui lubang itu untuk sampai ke dalam saluran pembentung dan menuju ke medan selera di pusat beli-belah berkenaan, seperti yang dilaporkan dalam ABS-CBN.

Apabila ketiga-tiganya berjaya memasuki pusat beli-belah itu, mereka bertindak membuka mesin juruwang automatik (ATM) MetroBank dan mencuri wang tunai 80,000 peso (kira-kira RM6,665).

Seterusnya, mereka mengambil barang kemas dan wang tunai daripada peti besi serta kotak kaca di Jewellery dan Oro Italia Fine Jewellery, membabitkan nilai 41 juta peso

Penjenayah kemudian melarikan diri dari tempat kejadian.

Rompakan itu disaksikan pekerja pusat beli-belah pada 11 pagi, 1 Januari lalu, lapor ABS-CBN.

Walaupun perompak itu masih belum dikenal pasti dan ditahan, polis menahan seorang pekerja karnival, April John Permanhil.

April disyaki membantu ketiga-tiga penjenayah itu, pada malam tahun baharu.
-hmetro

Kes bunuh pengawal keselamatan, sebar gambar bogel jadi punca

ENAM tertuduh kes bunuh didakwa di Mahkamah Majistret Selayang. FOTO Aswadi Alias
Lima individu termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan yang mayatnya ditanam di belakang sebuah rumah di Sungai Choh, Rawang, bulan lepas.

G Ganong Segaran, 34, dan adik perempuannya G Malani, 33, serta S Devi, 30, P Saravanan, 31, dan PK Vikinesvaran, 20, didakwa bersama-sama membunuh S Ashok, 20, di sebuah rumah di Jalan Sungai Buaya, Sungai Choh, Rawang antara 8 pagi hingga 3.30 petang, 23 Dis lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada  12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Di mahkamah sama, Ganong Segaran dan adik lelakinya, G Dandem Bain, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melupuskan keterangan berkaitan kesalahan menanam mayat Ashok dengan niat untuk mengelak pesalah-pesalah terlibat daripada dihukum.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada lokasi dan tarikh sama antara 3.30 petang hingga 8 malam, mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin tidak menawarkan jaminan, namun peguam Erni Ahmad dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Dandem Bain memohon jaminan diberikan dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga.

“Anak guam saya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan bekerja di sebuah syarikat swasta dengan pendapatan RM1,500 sebulan,” kata peguam itu.

Nur Hafizah membenarkan Dandem Bain diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan menetapkan 4 Mac ini untuk sebutan bagi kedua-dua kes.

Sebelum ini, Bernama melaporkan seorang lelaki maut dipukul dengan menggunakan kayu, botol dan tong besi oleh abang teman wanitanya sebelum mayatnya ditanam di kawasan semak di belakang rumah keluarga wanita itu di Sungai Choh, Rawang.

Polis mendedahkan motif pembunuhan lelaki itu kerana tidak berpuas hati penyebaran gambar bogel rakan tertuduh oleh mangsa.

- Bernama

WHAT?!!!! Budak tadika beri jongkong emas kepada ‘bakal isteri’

KOSMO!
Gadis itu menunjukkan jongkong emas yang diberi oleh rakannya. - Baidu
BEIJING, China – Seorang budak lelaki di bandar Guang’an, wilayah Sichuan memberi jongkong emas bernilai 106,000 yuan (RM69,197) kepada seorang kanak-kanak perempuan di kelas tadikanya sebagai hadiah ‘pertunangan’.

Portal berita South China Morning Post melaporkan, kejadian itu tular selepas gadis kecil itu menunjukkan dua jongkong emas seberat 100 gram kepada ibu bapanya selepas pulang ke rumah.

Rakaman kejadian memaparkan gadis itu memegang sebuah kotak berwarna merah berisi jongkong emas tersebut.

Ibu bapa budak perempuan itu kemudian menyuruh anak mereka memulangkan hadiah tersebut pada keesokan harinya. Mereka turut menghubungi keluarga budak lelaki itu.

“Ibu bapa budak lelaki itu memberitahu bahawa jongkong emas itu disimpan untuk bakal isterinya di masa hadapan. Mereka tidak menyangka dia akan mengambilnya secara rahsia dan memberinya kepada anak kami,” kata ibu gadis itu.

Dia mengingatkan kepada ibu bapa lain supaya berwaspada agar perkara sedemikian tidak berlaku kepada anak mereka. – AGENSI

Polis: Suami wanita kes tipu katering turut hilangkan diri

NORAFIDAH ASSAN

JEMPOL- Polis masih giat mengesan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam penipuan urusan katering membabitkan seorang pengantin wanita dalam kejadian pada 24 Disember lalu di Bandar Seri Jempol.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superitenden Hoo Chang Hook berkata, usaha mendapatkan keterangan suami suspek juga tidak berhasil apabila dia dipercayai turut menghilangkan diri.

"Setakat ini, kita ada mendapatkan maklumat daripada saudara maranya bagi mengesan suspek.

"Justeru, kami meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan suspek berusia 40 tahun itu dengan alamat terakhir dari Taman Alam Budiman, Shah Alam,Selangor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Ujarnya, maklumat berkenaan boleh disalurkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil,Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, Sarjan Norhisham Zulkifli ditalian 017-6219957 atau 06-4582222 sambungan 102.

Media sebelum ini melaporkan, sebuah keluarga pengantin perempuan terpaksa memasak sendiri juadah untuk tetamu selepas pihak katering tidak munculkan diri.

Pengantin perempuan sebelum itu telah membuat pembayaran sebanyak RM13,200 kepada pihak katering bagi menyediakan hidangan untuk 1,000 tetamu.

Chang Hook dalam satu kenyataan selepas itu memaklumkan, mangsa dipercayai menjadi mangsa penipuan selepas berurusan secara dalam talian bagi mendapatkan khidmat pakej perkahwinan.

Katanya, mangsa membuat tiga kali pembayaran secara berperingkat secara dalam talian kepada seorang perancang perkahwinan dari Shah Alam itu.

Semakan polis melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat katering itu didaftarkan atas nama suami kepada wanita berkenaan.

Ketua Pemuda Umno selongkar sampah, hati-hati siapa tuannya

Malaysiakini
story-image
Hati-hati siapa yang suka membuang sampah di merata-rata tempat, ketua Pemuda Umno Akmal Saleh akan memburunya.

Dia yang juga exco Melaka dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu hari ini memuat naik gambarnya menyelongkar sampah di kawasannya.

Hasil usahanya itu dia menjumpai plastik ubat yang bertulis nama “Aida”, jenis ubat, nama klinik serta tarikhnya.

“Saya cari. 

“Kalau jumpa sampah ini semua saya akan letak depan rumah Cik Aida,” katanya.

Selepas Langkah Dubai: Pas tidak lagi guna logo PN dalam akaun X

BORHAN AHMAD
Hubungan antara parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin renggang ekoran kegagalan Langkah Dubai.

Terbaru, Pas tidak menggunakan logo PN lagi di dalam platform Twitter atau X parti itu tetapi menukarnya kepada logo Pas sendiri.

Perkara ini dikesan oleh aktivis media sosial termasuk aku/saya@bumilangit yang menciap di dalam X beliau hari ini.


(GAMBAR: Pas tidak lagi menggunakan logo PN dalam gambar profilenya tetapi menukarnya kepada logo Pas sendiri).

“Hubungan parti komponen PN kini retak menunggu belah selepas Langkah Dubai gagal.

“Perseteruan ini bukan lagi rahsia. Jika semalam pemimpin Pas NS menyerang Peja, hari ini akaun X @PASPusat menukar profile pic dari logo PN kepada logo Pas,” tulis aktivis media sosial yang pernah ditahan polis kerana mendedahkan aktiviti agama melampau yang dikesan menjelang pilihan raya umum lalu.

Langkah Dubai yang didalangi oleh beberapa bekas pemimpin negara untuk menjatuhkan Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal selepas ia tidak mendapat sokongan.

Usaha untuk memujuk Premier Sarawak, Datuk Seri Abang Johari untuk menjadi calon perdana menteri ditolak mentah-mentah olehnya.

Semalam, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha mendesak Pengerusi PN Negeri Sembilan yang juga Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Faizal Azumu meletakkan jawatan, sekiranya tidak lagi berminat untuk menjalankan tugasnya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan itu berkata, ini kerana bekas Menteri Besar Perak itu dilihat tidak memainkan peranannya sebaik mungkin selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri(PRN) Ogos lalu.

“Kalau beliau rasa sudah tidak lagi berminat untuk teruskan tugasnya sebagai Pengerusi PN, sebaiknya serahkan segera kepada tokoh lain yang barang kali lebih sesuai dan dekat dengan Negeri Sembilan.

“Lagi pun ketika beliau ambil alih jawatan itu pun memang ada suara-suara yang tidak berpuas hati mempersoalkan kenapa melantik orang luar sedangkan ada saja tokoh dari Bersatu di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian bagi mengulas dakwaan yang Ahmad Faizal seperti menghilangkan diri selepas PRN.

Beliau yang merupakan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan PN, namun berharap ia dapat diselesaikan segera demi menjaga imej gabungan itu di Negeri Sembilan.

Lelaki kesal serah jongkong emas RM11.7 juta kepada polis

KOSMO!
Mead menemui jongkong emas di dalam sebuah kereta kebal yang dibelinya pada 2017. – YouTube
LONDON  –  Seorang pengumpul peralatan ketenteraan menyuarakan rasa kesal kerana memulangkan jongkong emas bernilai £2 juta (RM11.7 juta) yang ditemui di dalam sebuah kereta kebal yang dibelinya, lapor akhbar Daily Star semalam.

Nick Mead berkata, dia tidak menerima sebarang bayaran sebaliknya, jongkong emas itu hanya disimpan di dalam peti keselamatan deposit di London.

Mead menemui barang berharga itu pada 2017 apabila dia membeli kereta kebal Type 69 yang pernah digunakan oleh tentera Iraq daripada laman e-dagang, eBay.

“Saya amat menyesal kerana menyerahkannya (jongkong emas). Saya sepatutnya meminta sedikit bayaran kerana menemuinya, namun sesen  pun  tidak dibayar,” katanya.

Menurut Mead, dua pegawai Polis Northamptonshire mengambil jongkong emas itu untuk melakukan siasatan dan hanya memberikan sekeping resit kepadanya.

Kata lelaki itu,  dia tidak tahu keadaan terkini barangan tersebut, namun menganggap polis  masih cuba menjejaki pemiliknya.

Mead membeli kereta kebal itu untuk menambah koleksi 300 kenderaan tenteranya yang digelar Tanks-a-Lot di ladangnya di Helmdon, Northamptonshire. – AGENSI

2 warga asing ditahan, rempuh sekatan jalan raya

FMT Reporters
Dua lelaki warga asing yang menaiki kereta Myvi itu ditahan polis selepas merempuh sekatan jalan raya di susur keluar Damansara Jaya ke Lebuhraya Sprint, Petaling Jaya semalam.
PETALING JAYA: Polis menahan dua warga asing dalam sebuah kereta yang merempuh seorang anggotanya dalam sekatan jalan raya di susur keluar Damansara Jaya ke Lebuhraya Sprint, Petaling Jaya semalam.

Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata dua warga asing itu ditangkap selepas dikejar peronda polis sejauh 2km, sebelum kereta Myvi yang dinaiki suspek terbabas di Seksyen 17/50, Petaling Jaya.

Anggota polis yang dilanggar kenderaan suspek di sekatan jalan raya itu patah tapak tangan kanan.

“Siasatan lanjut ke atas suspek membawa kepada rampasan wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah RM9,839.85 dan beberapa peralatan pecah rumah antaranya gerudi tangan, tukul, gunting, pemutar skru, dan gergaji.

“Kedua-dua suspek disahkan negatif dalam ujian air kencing dan semakan juga mendapati mereka tidak memiliki sebarang rekod kesalahan jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga 8 Jan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28 (i) Akta Kesalahan Kecil kerana memiliki peralatan pecah rumah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah diminta menyalurkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya.

Dulu kutuk Salah, kini penyokong Liverpool malu sendiri

Agensi

London: Peminat bola sepak mula bertindak balas terhadap respons lucu selepas Mohamed Salah menandatangani kontrak dengan Liverpool pada 2017.

Penyerang Mesir itu dibeli dengan harga £34.3 juta (RM200 juta) daripada Roma dan selepas itu terus beraksi di Anfield.

Dengan 151 gol sepanjang 238 penampilan, Salah mengukuhkan dirinya sebagai salah seorang pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) terbaik sepanjang zaman.

Tetapi sewaktu mula disambar oleh The Reds, dia tidak menjadi pilihan penyokong kelab itu.

Menjawab kiriman di Twitter yang mengumumkan ketibaannya di kelab itu, seorang penyokong Liverpool menulis: "Mengapa Roma menjualnya? Kerana dia tak bagus."

Seorang lagi menulis: "Mengapa membayar lebih 30 juta untuk pemain yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan Liga Perdana? Sturridge ternyata lebih baik dan saya yakin Liverpool akan menjualnya (Salah)."

Seorang lagi penyokong menulis: "£34 juta di buang ke dalam longkang. Kenapa kelab menandatangani pemain ini?

Melihat kembali komen itu pada masa sekarang, ramai penyokong mula merasai ia agak melucukan.

Seorang penyokong menulis: "Datang dari tahun 2024 dan tergelak melihat komen."

Skuad kendalian Jurgen Klopp mengharungi permulaan hebat di Liga Perdana apabila menduduki tempat teratas dengan kelebihan tiga mata selepas melakar kemenangan ke atas Newcastle.

Bintang Mesir itu menjaringkan dua gol dan melakukan hantaran cantik untuk memastikan kemenangan 4-2 The Reds ke atas Newcastle di Anfield.

Gol Salah menyaksikannya setanding dengan Erling Haaland selaku penjaring terbanyak di Liga Perdana setakat ini.

Mahathir berbaik dengan musuh politik

Harapandaily

NORMAN RADZUAN

Siapa yang mengikuti sejarah politik Mahathir akan tahu beliau adalah politikus paling licik dalam sejarah politik negara.

Politiknya sejak era 60-an sehingga sekarang masih menggunakan kaedah, teknik dan pendekatan yang sama.

Kaedah dan pendekatannya sama iaitu berbaik dengan musuh politik (Tengku Razaleigh), berbaik dengan musuh politik yang pernah diaibkan (Anwar Ibrahim), berbaik dengan musuh politik yang dikafirkan (Pas) dan berbaik dengan musuh politik yang dibenci (DAP).

Satu lagi teknik pecah dan perintah seperti dilakukan di Sabah hingga parti bangsa Dusun/Kadazan berpecah. Seperti kata Ismail Sabri suatu ketika dahulu, Mahathirlah punca orang Melayu berpecah.

Mahathirlah wujudnya S46, PKR, Bersatu dan Pejuang. Maka beliau wujudkan perpecahan kepada orang Melayu yang dibuai mimpi oleh permainan politik agar org Melayu tidak bersatu.

Bekas Perdana Menteri dua kali itu bolehlah dianggap ‘serial political assassination’ dengan mematikan musuh politiknya.

Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib adalah antara mangsanya.

Musuh-musuh politiknya ini yang tidak dikehendaki atau mahu dijatuhkan karier politiknya akn diwujudkan pelbagai cerita untuk menanam kebencian ahli dan rakyat.

Mangsa terbaru

Sekarang beliau bersama Pas. Pas sebenarnya adalah mangsa terbaru. Pas lupa begitu ramai tokoh politik UMNO yg dikain kapankan oleh Mahathir kerana kepentingan peribadinya.

Pas mudah lupa apa yang dikatakan oleh Mahathir, “Inilah perbuatan Pas yang tidak boleh dimaafkan kerana sebelum tertubuhnya parti ini, orang Melayu tidak berpecah kerana agama. Perpecahan ini jugalah yang melemahkan orang Melayu sehingga Pas terpaksa meminta pertolongan org kafir.”

Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ini licik. Dia bersama PH dirinya konon memperjuangkan melawan perasuah. Perkembangan muktahir ini khabarnya beliau bersama Tun Daim dikaitkan dengan skandal berbilion wang rakyat.

Individu bakal berumur 99 tahun pada 10 Julai ini juga tuduh Pas punca Melayu berpecah sedangkan beliau yang membuat orang Melayu berpecah.

Play victim Mahathir memang mudah dibaca kepada mereka yang analitikal mengikuti perjalanan politiknya.

Mahathir juga saya anggap sebagai ‘Machiavelli politik’, beliau akan pastikan matlamat menghalalkan cara. Tipu muslihat (tricks), licik (cunning) dan dusta (lie).

Ketiga, teras ‘fatwa’ yg dikemukakan dalam teori politik Machiavelli ini digabungkan dengan penggunaan kekejaman dan kekuatan.

Disebabkan itu Mahathir dulu dikenali sebagai Mahafiraun atau Mahazalim oleh rakyat Malaysia.

Musuh politiknya bukan sahaja hilang jawatan tetapi akan dipenjarakan di bawah ISA ketika itu.

Pengawal keselamatan dibunuh di tapak perkhemahan, penganggur ditahan

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
SUSPEK yang ditahan berkaitan kes pembunuhan pengawal keselamatan di tapak perkhemahan di Gunung Lang.  FOTO Ihsan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh
SUSPEK yang ditahan berkaitan kes pembunuhan pengawal keselamatan di tapak perkhemahan di Gunung Lang. FOTO Ihsan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh
Ipoh: Seorang pengawal keselamatan ditemukan mati dipercayai dibunuh di sebuah tapak perkhemahan di Gunung Lang di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 2.30 pagi tadi memaklumkan menemukan mangsa dalam keadaan terbaring dan cedera di kawasan pagar tapak perkhemahan itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 41 tahun itu bertugas sebagai pengawal keselamatan di situ.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan bedah siasat mendapati punca kematiannya disebabkan penyakit arteri koronari dengan kecederaan akibat objek tumpul dan tajam.

"Sehubungan itu, kes ini diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yahaya berkata, susulan itu, polis menangkap seorang lelaki berusia 31 tahun di Kampung Manjoi, jam 1.45 tengah hari tadi untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, ketika soal siasat melalui percakapan, pihaknya mendapati keterangan suspek yang juga penganggur itu tidak konsisten.

"Percakapan suspek berpusing-pusing (putar belit). Pada awalnya ada pengakuan, (jadi) kena soal siasat suspek dengan lebih terperinci.

"Dipercayai ketika kejadian hanya mereka berdua (suspek dan mangsa) di tempat kejadian," katanya memaklumkan ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah methamphethamin.

Katanya, semakan mendapati suspek memiliki 10 rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah serta narkotik, selain pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.

"Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Ipoh," katanya.

Sanusi akui ada ‘langkah’ jatuhkan kerajaan Anwar

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Sanusi Nor mengesahkan wujud rancangan pembangkang menjatuhkan kerajaan mengikut proses dibenarkan Perlembagaan.

“Memang kerja pembangkang nak jatuhkan kerajaan melalui proses-proses yang dibenarkan oleh Perlembagaan,” katanya kepada FMT.

Terdahulu menerusi sidang medianya, Sanusi berkata langkah tersebut berdasarkan kelompongan Akta Anti-Lompat Parti yang didakwa digunakan kerajaan untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN.

“Jika mereka (kerajaan persekutuan) menganggap sokongan lima Ahli Parlimen PN itu sebagai berperlembagaan berasaskan prinsip demokrasi, tindakan sebaliknya pun biasa.

“Kalau dia boleh ambil lima Ahli Parlimen (PN), tapi kalau kita boleh ambil 10 Ahli Parlimen, takkan nak marah kot,” katanya.

Beliau yang juga pengarah pilihan raya PN berkata demikian ketika ditanya berhubung terdapatnya gerakan “Langkah Dubai” untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Ada orang kata dia bukan langkah Dubai, (sebaliknya) ‘Langkah Chow Kit’ sahaja. kerana ia (perbincangan) dibuat di Kuala Lumpur.

“Saya rasa ‘Langkah Dubai’ itu cuma nak cetuskan kekeliruan, orang pergi Dubai untuk bercuti,” katanya.