Terkejut jumpa mayat kaki berdarah

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
Dua beradik dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kematian warga emas yang ditemui dengan kesan tikaman di sebuah rumah di Kampung Pasir,Rantau pagi semalam. FOTO AZRUL EDHAM
Dua beradik dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kematian warga emas yang ditemui dengan kesan tikaman di sebuah rumah di Kampung Pasir,Rantau pagi semalam. FOTO AZRUL EDHAM
Seremban: Jiran kepada lelaki warga emas yang ditemui maut dengan kesan tikaman di sebuah rumah di Kampung Pasir, Rantau, di sini, pagi semalam, memaklumkan terdengar jeritan meminta tolong mangsa pada tengah malam hari kejadian.

Jiran berusia 35 itu berkata, bapanya terdengar jeritan berkenaan namun tidak berani memeriksa rumah itu berikutan mengalami masalah kabur penglihatan.

"Selepas pulang dari kerja pagi semalam, bapa menceritakan perkara itu sebelum saya pergi ke rumah mangsa untuk bertanya khabar.

"Bagaimanapun, sebaik membuka pintu, saya ternampak lelaki itu dalam keadaannya terbaring dan terdapat darah pada bahagian kaki. Saya memeriksa sama ada dia masih bernafas sebelum ke balai polis untuk membuat laporan," katanya tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dua suspek ditahan direman selama tujuh hari hingga 11 Januari depan.

"Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Seremban di sini, tadi," katanya.

Mengulas mengenai motif kejadian, Arifai berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan soal siasat akan dijalankan sejurus permohonan reman dibenarkan.

"Masih terlalu awal untuk mengetahui motif kejadian. Kami akan jalankan soal siasat terhadap kedua-dua suspek bagi mendapatkan punca dan motif kejadian ini," katanya.

Terdahulu media melaporkan lelaki warga emas berusia 74 tahun ditemui tidak sedarkan diri di rumah berkenaan kira-kira jam 10 pagi semalam.

Susulan kejadian itu, polis menahan dua beradik lelaki berusia 18 dan 25 tahun masing-masing berdekatan tempat kejadian serta balai polis bagi membantu siasatan, petang semalam.

Pemeriksaan pada badan warga emas itu menemui kesan tikaman di bahagian belakang badan dan kedua-dua belah buku lali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan