Harapandaily
Wakil rakyat Pas, Siti Mastura Muhammad tetap dengan keputusannya untuk mempertahankan kenyataan beliau terhadap tiga ahli DAP sebelum ini.
Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata, kenyataan yang mengatakan ahli veteran DAP, Lim Kit Siang merupakan sepupu kepada pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng adalah berdasarkan sumber politik yang diyakini sahih.
Katanya, fakta itu diperoleh daripada bahan kempen Barisan Nasional dalam buku terbitan Jabatan Komunikasi gabungan itu (BNCOMMS).
Menurutnya, mengikut sumber itu, ia sekali gus membuktikan Kit Siang dan anaknya Pengerusi DAP, Lim Guan Eng adalah sepupu kepada bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula dikatakan sepupu kepada isteri Guan Eng, iaitu Betty Chew.
Mastura berkata demikian berhubung dengan pembelaan yang difailkannya di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang kelmarin terhadap saman oleh tiga pemimpin kanan DAP Kit Siang, Guan Eng dan Kok dalam saman berasingan.
Terdahulu, ketiga-tiga pemimpin kanan DAP itu mendakwa Mastura telah membuat kenyataan yang berunsur fitnah kerana mengaitkan mereka dengan Chin Peng serta Lee Kuan Yew yang tidak ada mengena langsung pada 4 November lalu.
Timbalan Ketua Dewan Muslimat Parti Islam Semalaysia (Pas) Pulau Pinang itu dikatakan mendakwa pemimpin-pemimpin DAP terbabit menyokong, mengamal dan menyebarkan ideologi serta falsafah komunis.
Ekoran itu, tiga pemimpin DAP terbabit menegaskan dakwaan defendan tidak berasas dan palsu.
Bahkan, mereka menuntut ganti rugi secara am serta injunksi untuk menghalangnya mengulangi dakwaan tersebut.
Namun, Mastura menjelaskan sumber yang didapatinya itu merupakan entiti yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan agenda Barisan Nasional (BN) kepada ahlinya dan rakyat.
Dia mempercayai maklumat yang diperolehnya daripada buku BN adalah sah dan berani untuk menggunakannya dalam tujuan sebahagian daripada kempen politik ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
“Konteks ucapan bertujuan bagi pengundi dapat memahami pendirian dan falsafah pembangkang, khasnya Pakatan Harapan (PH) dan BN, di mana DAP menjadi tulang belakang.
“Ia juga bagi menangkis dakwaan mereka bahawa Pas parti ekstremis yang menunggang agama,” kata Mastura lagi dalam pembelaannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan