Noor Atiqah Sulaiman
am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan akan ke Kota Kinabalu hari ini bagi menyelesaikan situasi politik Sabah yang didakwa sedang bergolak.
Ketika ditanya mengenai situasi yang berlaku itu, Ahmad Zahid hanya memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu di Kota Kinabalu esok.
"Saya akan terbang serta-merta selepas selesai majlis ini, ke Sabah. Saya akan keluarkan kenyataan di Kota Kinabalu, esok," katanya pada sidang media selepas merasmikan MoodaFest di sini, hari ini.
Sebelum ini, Umno Sabah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi mengalahkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Sebelum ini, pemimpin Warisan dan Umno Sabah masing-masing menyatakan kesediaan untuk membentuk kerjasama bagi menghadapi PRN-17 namun belum ada kata puts secara rasmi di antara kedua-dua pihak.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berkata, ia tidak mustahil kerana pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menjalin kerjasama dengan UMNO demi kepentingan rakyat Sabah.
Sementara itu, Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin turut mengakui pihaknya tiada halangan menjalin kerjasama dengan Warisan dan setakat ini pihaknya belum melakukannya secara rasmi.
Jika kerjasama itu menjadi kenyataan, kedua-dua parti yang sama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan bakal menentang GRS dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan negeri selain turut menjadi rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan