Anwar nampak ‘relaks’ sahaja, kalau nak jatuh dah lama huru-hara

SITI NUR ZAWANI

Kesahihan Langkah Dubai bagi menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menjadi tanda tanya selepas pemimpin pembangkang tidak mengaku terlibat dalam rancangan tersebut.

Bagaimanapun seperti kata pepatah, jika tiada angin masakan pokok bergoyang. Khabar mendakwa wakil-wakil rakyat kerajaan sedang dibeli juga kuat tersebar.

Bagi Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, selagi tiada pihak yang mengumumkan menarik sokongan dari Anwar, maka kerajaan masih lagi kukuh.

Senator Dewan Negara itu yakin kerajaan baik-baik sahaja, melihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu tenang dan tidak terjejas dengan gerakan mahu menggulingkannya.

“Kalau saya berpandukan pada kertas, kita ada 157 (sokongan ahli Parlimen). itu sudah sangat kuat. Itu sudah melebihi dua per tiga majoriti.

“Datuk Seri Anwar sendiri nampak relax (tenang) je. Kalau betul dia nak jatuh, huru-hara lah kan,” katanya kepada Harapan Daily dalam satu temubual baru-baru ini.

Disember lalu, Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman mengulangi bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak berminat menyertai usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada. 

Tegas Fazzrudin, seperti yang dikatakan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, GPS akan terus menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.

Mengulas mengenai tentera-tentera siber pro-pembangkang yang terus menyebarkan dakwaan peralihan kerajaan dalam masa terdekat, Mujahid berkata ia hanya akan menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu kepada pelabur-pelabur luar.

Selain itu beliau menyatakan rasa khuatir terhadap penjawat awam yang akan kehilangan motivasi untuk meneruskan perancangan kerajaan disebabkan anggapan kerajaan tidak bertahan lama.

Tambah beliau, khabar tentang kejatuhan kerajaan tidak membawa kebaikan kepada negara sebaliknya menambah kekacauan dan memberi gambaran kerajaan tidak stabil.

“Jangan lupa isu ini akan jejaskan penjawat awam. Apabila berlaku isu-isu seperti kerajaan akan jatuh, bayangkan bagaimana motivasi penjawat-penjawat awam. Mereka terpaksa berfikir. ‘Aku bersungguh pun kerajaan ini nak jatuh’

“Jadi kesannya mereka tidak lagi memberikan khidmat yang baik kepada rakyat kerana memikirkan tentang kelangsungan kerajaan.

“Kemudian pelabur. Bayangkan pelabur nak datang, dengan Datuk Seri Anwar pun secara agresif minta supaya pelabur-pelabur asing datang…tapi bila jadi begini, mereka akan ragu-ragu.

“Ini bermakna anda telah menghalau pelabur-pelabur dan anda menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu kepada pelabur menyebabkan mereka mungkin akan tarik balik perlaburan mereka,” katanya lagi.

Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM225 bilion dalam tempoh sembilan bulan pada tahun 2023, pencapaian tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini berkata, pencapaian terbaik dalam tempoh sedekad itu menyaksikan sejumlah 89,495 pekerjaan baharu diwujudkan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

“Rekod pelaburan diluluskan tertinggi ini adalah lonjakan sebanyak 6.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu atau terbaik berbanding purata sembilan bulan berjumlah RM222.6 bilion dalam 10 tahun,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan