Mohd Farhan Darwis
Ahli Parlimen Tanjong Karang Zulkafperi Hanapi didakwa ‘mungkir janji’ apabila membuat akuan berkanun menyokong Muhyiddin Yassin dan tidak akan mengkhianati Bersatu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tanjong Karang Zulkafperi Hanapi menjadi sasaran utama Bersatu untuk mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada PRK susulan tindakannya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Mohd Rafiq Abdullah, berkata tindakan itu selaras keputusan Bersatu akan mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang khianat.
Dakwanya, Zulkafperi “mungkir janji” apabila membuat akuan berkanun (SD) menyokong Presiden Muhyiddin Yassin dan tidak akan mengkhianati parti selepas lima Ahli Parlimen beralih sokongan.
“Satu dah boleh teruskan (tindakan undang-undang) kepada Zulkafperi. Dia selepas insiden (mengalih sokongan) ada buat aku janji dengan parti.
“Dia dah buat SD tidak akan khianat. Kita teruskan dalam masa terdekat,” katanya kepada FMT.
Zulkafperi adalah wakil rakyat Bersatu keenam menyatakan sokongan kepada Anwar, menyusuli Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).
Hari ini Bersatu mengumumkan akan meminda perlembagaan parti bagi menghalang insiden sama berulang.
Setiausaha Agung Hamzah Zainudin berkata Bersatu sedia berdepan PRK jika berlaku pengosongan kerusi wakil rakyatnya yang diambil tindakan nanti.
Sementara itu, Rafiq berkata tindakan sama akan diambil terhadap lima lagi Ahli Parlimen Bersatu selepas mesyuarat agung khas diadakan untuk meminda perlembagaan.
“Lima lagi (Ahli Parlimen) lepas kita pinda (perlembagaan parti), kita akan keluarkan surat…tanya adakah mereka bersama parti atau tidak.
“Kita akan lawan sampai kerusi itu dikosongkan, (mesyuarat agung) belum diputuskan, ibu pejabat tengah uruskan, tarikh, prosedur…kita ada pasukan guaman kita,” kata Adun Kuang itu.
Beliau berkata, episod peralihan sokongan itu tidak mengganggu usaha Perikatan Nasional (PN) menggulingkan kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan