Bimbang kena tangkap, pesara serah duit setengah juta

KHAIRUL MOHD. ALI

JOHOR BAHRU – Seorang pesara berusia 75 tahun berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM540,047 setelah diperdaya panggilan palsu mendakwa mangsa mempunyai satu rekod jenayah.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kerana takut dengan dakwaan ‘scammer’ tersebut, mangsa yang merupakan seorang lelaki warga tempatan itu bertindak mengikut arahan diberikan.

Menurut beliau, mangsa membuat laporan polis berhubung perkara itu, semalam.

“Mangsa maklumkan dia menerima panggilan melalui aplikasi WhatsApp oleh seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis. Pemanggil itu memberitahu mangsa mempunyai satu rekod jenayah.

“Kerana bimbang dirinya akan ditangkap dan ditahan reman, mangsa bertindak mengikut arahan pemanggil tersebut untuk memindahkan sejumlah wang ke sebuah akaun milik mangsa sendiri sebelum meninggalkan kad ATM beserta nombor pin di satu lokasi diarahkan.

“Mangsa tidak berasa curiga pada awalnya, namun pada awal bulan ini, pengadu membuat semakan terhadap akaun itu dan mendapati kesemua yang berjumlah RM540,047 telah dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Kamarul Zaman, mangsa yang kemudian menyedari telah ditipu akhirnya bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian itu. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan