Syor tubuh Lembaga Lembangan Ulu Muda: Ini amaran Sanusi
Harapandaily
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi amaran pihaknya tidak akan sesekali membiarkan negeri lain mencampuri urusan kerajaan di bawah pimpinannya.
Reaksi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu selepas ditanya mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda.
“Janganlah cadang nak buat agensi yang melibatkan negeri lain masuk wilayah Kedah.
“Saya tak bagi dan saya tidak akan terlibat, buatlah macam mana pun saya tidak akan terlibat.
“Pegawai saya pun tidak akan terlibat pasal ini wilayah Kedah dan Kedah ada kedaulatan ke atas wilayah kita,” katanya, dipetik BH.
Sebelum ini, Chow dilapor berkata, pencemaran dan mendapan selut di kawasan tadahan Tasik Muda di Hutan Simpan Ulu Muda membuktikan perlunya Lembaga Lembangan Ulu Muda diwujudkan.
Menurut pemimpin DAP itu, beliau bagaimanapun memahami mengapa kerajaan Kedah menentang penubuhan lembaga itu kerana bimbang kehilangan hasil jika pihak berkuasa berkenaan melarang aktiviti pembalakan.
Mengulas lanjut, Sanusi berkata, Pulau Pinang hanya membayar bekalan air disalurkan dari kawasan tadahan hujan Ulu Muda di Kedah itu.
“(Mereka) ajar kita buat itu, buat ini atas kepentingan hangpa (Pulau Pinang).
“Kalau hangpa bergantung kepada Ulu Muda untuk bekalan air bersih, hangpa bayaq (bayar) harga ayaq (air) itu, kita akan pastikan ayaq cukup untuk sampai kepada hangpa,” katanya.
Sanusi menambah, jika Pulau Pinang enggan membuat bayaran dan mahu air secara percuma, pihaknya tidak akan mengambil peduli sebarang cadangan negeri itu.
Ditanya mengenai perkembangan terkini tuntutan air Kedah terhadap Pulau Pinang, Sanusi berkata sehingga sekarang Pulau Pinang tidak membuat sebarang bayaran.
“Dalam Rancangan Fizikal Negara Kedua (RFN2) telah dipersetujui untuk dibuat bayaran, sampai RFN4 belum dibayar.
“Tuntutan ini sudah dibuat sejak zaman mantan Menteri Besar, Allahyarham Datuk Seri Syed Razak Syed Zain sehingga disambung ke menteri besar seterusnya dan sehingga saya sekarang masih tak jadi apa,” katanya.
Untuk rekod, kawasan tadahan hujan Ulu Muda di Kedah adalah punca sungai empangan yang membekalkan 90 peratus bekalan air di Kedah, 80 peratus di Pulau Pinang dan 70 peratus di Perlis untuk pengairan sawah padi, sumber air bersih dan sebagainya.
Terdapat 4.2 juta orang yang tinggal di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sangat bergantung kepada air mentah di Ulu Muda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan