Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
Anggota bomba membantu mengeluarkan empat mangsa daripada dua kenderaan yang terbabit nahas berhampiran Taman Mulia, Assam Jawa. FOTO IHSAN BOMBA
Kuala Selangor: Seorang wanita maut manakala suaminya parah sejurus kereta dinaiki bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam nahas berhampiran Taman Mulia, Assam Jawa, di sini.
Mangsa, Nur Izzathy Ashikin Ibrahim, 32, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya, Tarmizzi Rumandud, 37, tersepit pada bahagian pemandu.
Manakala dua lagi mangsa menaiki MPV Toyota Estima adalah dua sekeluarga dikenali Mohd Saiful Shahrir Mohd Rosdi, 41 dan anak perempuannya berusia lima tahun.
Mohd Saiful Shahrir cedera ringan manakala anaknya pula tidak sedarkan diri.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.59 pagi.
Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Menurut laporan awal, Proton Saga FLX dinaiki pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari Jeram ke Kuala Selangor dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Estima.
"Anggota bertugas kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan peralatan khas dan memberi rawatan awal," katanya semalam.
Ahmad Mukhlis berkata, Nur Izzathy Ashikin bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Menurutnya, kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan