Kelantan: “Kami macam orang bodoh”, Penduduk berang 10 tahun turap jalan tak siap-siap

SITI NUR ZAWANI

Lebih 1,000 penduduk Kampung Serian, Gua Musang berang apabila kerja-kerja turapan jalan di kampung itu terbengkalai sejak 10 tahun yang lalu.

Penduduk mendakwa, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) sehingga kini gagal menyiapkan kerja pembinaan jalan sepanjang 18 kilometer yang membabitkan jalan Kampung Serian ke Kampung Baru Star.

Lapor Berita Harian, hanya 500 meter jalan dan satu jambatan besi sahaja yang disiapkan oleh kontraktor sebelum ia dihentikan pada tahun 2013.

Lebih menambah rasa kesal, penduduk mendakwa sebanyak RM5.3 juta diperuntuk bagi menyiapkan jalan 18 kilometer itu, namun tiada hasil sehingga sekarang.

“Kami dijanjikan dengan kemudahan jalan raya untuk laluan ini yang menjadi antara laluan utama ke Kampung Star Baru.

“Jalan ini tidak disiapkan dan hanya boleh digunakan oleh motosikal dan pacuan empat roda.

“Kontraktor hanya menurap kira-kira 300 meter dari Kampung Serian dan 200 meter dari Kampung Baru Star serta membina dua jambatan yang langsung tidak berguna kepada penduduk kampung,” kata salah seorang penduduk Kampung Serian, Muhamad Rofi Ismail, 56.
penduduk
Kredit gambar: BH
Muhammad Faisal Yaakob, 32, pula berkata sepatutnya jalan alternatif itu dapat memendekkan masa selama 30 minit berbanding satu jam menggunakan jalan biasa untuk ke bandar Gua Musang.

“Jalan ini juga tidak terganggu dengan banjir berbanding jalan utama Kampung Serian yang sering dinaiki air sehingga penduduk terkandas.

“Kami berharap KESEDAR dapat menyiapkan projek jalan ini demi keselesaan lebih 1,000 penduduk kampung,” katanya seperti dilapor.

Warga emas, Kadir Wahab, 61, berkata, sebelum pembinaan projek itu, penduduk kampung sudah bersetuju menyerahkan tanah mereka untuk digunakan bagi membuat jalan baru yang dijanjikan lebih selesa.

Namun penduduk Kampung Serian berasa teraniaya kerana jalan yang dibuat itu hanya boleh dilalui dengan motosikal dan kenderaan pacuan empat roda.

“Kami rasa kecewa dan perasaan macam orang bodoh apabila jalan semakin rosak kerana sebelum projek itu dibuat jalan terbabit sudah berturap dan boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan