Kepala air ibarat 'tsunami kecil' ranapkan 3 rumah

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@bh.com.my
Tg Mohd Zulkurnain melihat keadaan rumahnya di Kampung Shukor di Hulu Dungun yang ranap dibadai kepala air susulan hujan lebat semalam. - NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Tg Mohd Zulkurnain melihat keadaan rumahnya di Kampung Shukor di Hulu Dungun yang ranap dibadai kepala air susulan hujan lebat semalam. - NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
DUNGUN: Bagaikan tsunami kecil - Itu gambaran diberikan penduduk Kampung Shukor di Hulu Dungun di sini berhubung kejadian kepala air yang berlaku akibat hujan lebat semalam.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu menyebabkan tiga rumah hanyut dengan satu daripadanya hanya tinggal tangga dan tiang sahaja.

Seorang pemilik kediaman, Tg Mohd Zulkurnain Tengku Man, 58, berkata sebahagian anjung rumahnya dihanyutkan arus deras kepala air, namun nasib baik ketika kejadian dia dan keluarga berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Anggota Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA) itu berkata, ketika kejadian dia sedang bertugas di PPS sebelum dimaklumkan jirannya mengenai kepala air yang merosakkan kediamannya.

"Saya segera bergegas ke rumah dan terkejut melihat anjung rumah rosak. Memang biasa rumah dinaiki banjir, tetapi ini kejadian terburuk dialami saya sepanjang 58 tahun tinggal di sini," katanya.

Tg Mohd Zulkurnain berkata, banjir kali ini memang di luar jangkaan dan boleh diibaratkan sebagai tsunami kecil.

"Sedih pun kita nak buat macam mana, kita hanya reda dengan pemberian Allah, tabahkan hati dan kuatkan iman.

"Kita tak boleh nak buat apa-apa, kalau orang buat (sampai rumah rosak) lain cerita, tetapi ini semua ketentuan Allah, jadi kena reda dan ada hikmah di sebalik kejadian ini," katanya.

Selain kediamannya, dua lagi yang turut rosak adalah milik anaknya yang sedang dalam pembinaan serta kediaman sepupunya.

Sehubungan itu, Tg Mohd Zulkurnain berharap kerajaan negeri dapat membantunya serta penduduk lain yang terjejas akibat bencana kali ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan