KOSMO!
Kepulan asap hitam naik ke udara ketika kereta dipandu Gerben terbakar di tepi jalan. - RTL News
AMSTERDAM – Sebuah kereta dipenuhi bunga api meletup di Belanda selepas pemandunya membuang puntung rokok ke luar tingkap, lapor portal berita MailOnline semalam.
Puntung rokok itu kemudian tercampak semula ke dalam kenderaan akibat ditiup angin, menyebabkan letupan berlaku.
Gerben, 21, dari bandar Nieuwleusen membeli 75 kilogram bunga api di Jerman pada Jumaat lalu untuk dibakar pada malam Tahun Baharu 2024.
Dia menghisap rokok di dalam kereta apabila hampir tiba di rumah. Ketika cuba membuang puntung rokok ke luar tingkap, ia ditiup angin lalu memasuki semula ke dalam kenderaannya.
Puntung rokok itu mengenai bunga api sehingga menyebabkan kereta Volvo V70 dipandu Gerben meletup serta-merta.
“Kami melihat percikan berwarna merah dan mendengar bunyi dentuman. Keadaan dalam kereta menjadi gelap kerana asap,” kata Gerben.
Rakaman kejadian memaparkan situasi kepulan asap hitam naik ke udara manakala percikan bunga api berwarna-warni meletup secara tidak terkawal ke semua arah.
Seorang penumpang berjaya melarikan diri tanpa mengalami kecederaan, manakala Gerben melecur pada kaki dan kini dirawat di hospital. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan