Faisal Asyraf
SHAH ALAM: Seorang anggota polis disiasat kerana mengugut dua anggota polis lain dari sebuah balai polis di Subang Jaya, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Shuhaily Zain.
Difahamkan, suspek berusia 33 tahun, yang bertugas di sebuah balai di Shah Alam, mengugut dua anggota polis itu selepas disiasat kerana disyaki memiliki dadah tanpa kebenaran, mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tular di media sosial sebelum ini, anggota polis berpangkat lans koperal itu pada 8 Jan mengugut akan membalas dendam terhadap dua anggota polis lain selepas ditahan. Salah seorang anggota polis yang diugut itu kemudian membuat laporan polis kerana bimbang tentang keselamatannya.
Kejadian ini disahkan oleh Shuhaily yang berkata, suspek sedang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan ugutan jenayah.
“Tiada sesiapa termasuk anggota polis boleh melebihi undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Berhubung kes berasingan, Shuhaily berkata, polis berjaya menumpaskan geng pecah rumah yang diketuai oleh seorang wanita Serani berusia 55 tahun.
Pada 3 Jan, polis menahan enam individu, termasuk wanita itu dan dua lelaki warga Colombia, berusia antara 45 hingga 62 tahun.
Kumpulan terbabit dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 19 kes pecah rumah di Selangor dan Kuala Lumpur, membabitkan kerugian lebih RM1.9 juta.
Kedua-dua lelaki warga Colombia itu ditahan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dan KLIA, kata Shuhaily.
Shuhaily berkata, modus operandi geng itu, yang aktif sejak Oktober tahun lepas, adalah menyamar sebagai pekerja kurier sebelum menceroboh kediaman mewah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan