Lelaki direman tiga hari rakam video tidak sopan ketika persembahan artis wanita

MASZUREEN HADZMAN

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan reman tiga hari selepas disyaki mengambil video tidak sopan ketika persembahan artis wanita dalam acara di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jalil, Cheras, dekat sini Jumaat lalu. 

Penahanan suspek dibuat selepas polis menerima tiga laporan susulan kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa dimaklumkan oelh orang awam berhubung tindakan suspek yang dikatakan merakam video tidak sopan dari bawah pentas.

Kata beliau, suspek kemudian ditangkap rakan mangsa serta beberapa individu lain di dalam pasar raya di pusat beli-belah berkenaan selepas kejadian.

“Suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 33 tahun itu ditahan anggota Pencegahan Jenayah Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Suspek ditahan kira-kira pukul 11.15 malam untuk siasatan lanjut berhubung kejadian,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Terdahulu, tular video memaparkan orang awam menangkap seorang lelaki yang dipercayai merakam secara tidak sopan ketika persembahan diadakan di sebuah pusat beli-belah. – UTUSAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan