Mangsa banjir Johor terus meningkat

Bernama
Seramai 7,947 penduduk dipindahkan ke 52 pusat pemindahan sementara di Johor susulan banjir di negeri itu yang semakin buruk. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Johor semakin buruk apabila jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 malam ini meningkat kepada 7,947 manakala jumlah mangsa banjir di Pahang menurun kepada 450 orang.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 7,947 yang berlindung di 52 PPS berbanding 7,297 di 50 PPS tengah hari tadi.

Daripada jumlah itu, 26 PPS di Kota Tinggi menempatkan 4,705 mangsa diikuti 11 PPS di Johor Bahru dengan 1,753 mangsa, sembilan PPS di Kluang (1,306 mangsa), empat di Segamat (75) serta sebuah PPS masing-masing di Kulai (86) dan Pontian (22).

Di Pahang, jumlah mangsa berkurangan kepada 450 yang berlindung di 21 PPS di tiga daerah berbanding 1,165 di 24 PPS tengah hari tadi, merangkumi 11 di Rompin yang menempatkan 69 mangsa, sembilan PPS di Pekan (377) dan sebuah PPS di Maran (empat).

Tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor masih mencatatkan paras bahaya termasuk Sungai Skudai di Johor Bahru, Sungai Johor di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulai serta Sungai Endau di Kluang.

Situasi sama berlaku di Pahang iaitu Sungai Kuantan (Kuantan), Sungai Pahang (Pekan), Sungai Rompin (Rompin), Sungai Pahang di Jerantut dan Maran serta Sungai Kelantan (Kota Bharu), Sungai Perak (Hulu Perak); Sungai Arau (Arau) dan Batang Sadong (Kuching).

Laporan itu turut memaklumkan terdapat 48 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan tanah runtuh antaranya Jalan Pekan-Batu Balik di Pekan, Pahang; Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kota Tinggi, Johor; Jalan Sungai Sam ke Dabong di Jeli, Kelantan; Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor dan Trolak Selatan di Batang Padang, Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan