Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir
PERISTIWA pembelahan bulan yang berlaku sepatutnya menjadikan manusia lebih dekat kepada Allah SWT.
ANTARA peristiwa yang masyhur dalam kitab sirah berkaitan Baginda Nabi SAW adalah bagaimana berlakunya proses pembelahan bulan. Peristiwa yang merupakan salah satu daripada mukjizat Baginda Nabi SAW ini juga salah satu tanda kiamat yang sudah berlaku. Allah SWT merakamkan dalam surah Al-Qamar ayat pertama yang bermaksud: "Telah hampir saat (kedatangan Hari Kiamat) dan terbelahlah bulan.
Ibn Masud berkata: "Lima petanda (Hari Kiamat) yang telah berlalu iaitu runtuhnya Kaisar Rom, tragedi penyiksaan, (terbelahnya) bulan dan (munculnya) asap." (Tafsir Ibn Kathir-4/262)
Maka, sebab nuzul ayat pertama surah al-Qamar tersebut adalah ketika kaum kafir Makkah meminta kepada Rasulullah SAW memperlihatkan tanda-tanda kebesaran Allah SWT dengan meminta baginda membelah bulan.
Maka Allah SWT mengabulkan doa baginda hingga pada malam tersebut jelas bulan terbelah menjadi dua bahagian iaitu satu bahagian di Gunung Abu Qubais dan sebahagian yang kedua di as-Suwaida.
Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, ia berkata: "Aku melihat bulan terbelah menjadi dua bahagian sebanyak dua kali. Peristiwa ini terjadi di Makkah sebelum hijrahnya Nabi SAW. Satu potongan di atas Gunung Abu Qubais dan potongan lainnya di atas as-Suwaida. Mereka berkata: "Bulan telah disihir". Turunlah firman-Nya: "Telah dekat datangnya saat itu dan telah terbelah bulan." (Hadis Riwayat al-Hakim)
Ketika musafir tiba, mereka turut menyaksikan hal yang serupa. Tetapi kaum kafir Makkah tetap mengingkari mukjizat tersebut dan berkata: "…(Ini adalah) sihir yang terus menerus."
Keegoan pihak kafir Quraisy yang enggan menerima hakikat bahawa pembelahan bulan itu adalah mukjizat Baginda Nabi SAW telah membawa kelebihan kepada dakwah Baginda. Perkara ini bukan setakat dapat dilihat di kawasan Makkah, bahkan seluruh dunia dapat melihat perkara yang sama.
Kisah yang dicatatkan oleh Umar Suhrawardi menerusi kitab Rehlah Al-Muluk menjelaskan bagaimana seorang raja India yang bernama Raja Cheraman melihat peristiwa tersebut dan akhirnya membawa kepada pengislaman Baginda Raja Cheraman.
Dalam sebuah manuskrip hindu kuno yang tersimpan dalam Pejabat Perpustakaan India di London menceritakan bagaimana seorang raja dari Malabar India yang dikatakan hidup sezaman dengan Baginda Nabi SAW telah menyaksikan peristiwa pembelahan bulan ketika mana Baginda Nabi SAW membelah bulan di hadapan golongan Quraisy sebagai mukjizat yang membuktikan kerasulan Baginda.
Raja Cheraman menjadi bingung dengan fenomena yang berlaku dan cuba mencari solusi dengan apa yang baru disaksikan baginda. Dr Ahmad Muhammad Al-Mubayyad menjelaskan dalam kitab Mausuah fi Al-Fitah wan Al-Malahim wa Asrat al-Saah, ketika Raja dalam mencari jawapan berkaitan pembelahan bulan ini, telah datang pedagang Muslim dari Arab yang dalam perjalanan ke China.
Sebelum Raja Cheraman bertanyakan kepada pedagang yang baru tiba tentang peristiwa yang berlaku. Penduduk India yang sebelum ini pernah berjumpa dengan pedagang dari Arab bertanya kepada mereka, bagaimana Islam boleh mengubah bangsa Arab yang kasar menjadi lembut? Berkemungkinan besar, ketika zaman sebelum kedatangan Islam, pedagang-pedagang Arab menunjukkan akhlak dan tingkahlaku yang kasar. Oleh itu, apabila pedagang yang datang sebagai seorang Islam, maka soalan pertama adalah berkaitan kelakuan yang menggambarkan akhlak seorang Islam. Para pedagang menjelaskan bahawa kebaikan dan akhlak mulia sebagai Islam telah ditunjukkan oleh Baginda Nabi SAW iaitu nabi akhir zaman.
Raja Cheraman kemudian bertanya, adakah terdapat sebarang bukti yang menjelaskan tentang Baginda Nabi SAW adalah seorang nabi utusan Allah. Maka pedagang Arab tersebut menceritakan peristiwa terbelahnya bulan sebagai satu mukjizat yang sangat hebat.
Ditakdirkan, Raja Cheraman yang turut mencari-cari jawapan kepada peristiwa terbelahnya bulan, maka jawapan tersebut menyebabkan diri Baginda bertambah minat untuk mencari dan mendalami agama yang sebenarnya.
Peristiwa terbelahnya bulan sebagaimana yang telah disebut oleh Baginda Nabi SAW adalah suatu perkara yang perlu dipegang oleh seluruh umat Islam sebagai satu mukjizat yang besar dan salah satu tanda daripada tanda-tanda kiamat.
Walaupun peristiwa terbelahnya bulan telah berlaku sejak 1400 tahun yang lalu, namun sehingga hari ini, bulan menjadi panduan utama umat Islam khususnya melibatkan hal ehwal ibadah seperti penetapan masuknya 1 Ramadan, 1 Syawal dan Aidiladha.
Allah SWT berfirman dalam surah Yassin yang bermaksud: "Dan Bulan pula kami takdirkan Dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredaranya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya (berbetuk melengkung) seperti tandan (yang kering)." (Surah Yassin ayat 39)
Ayat ini menjelaskan kepada kita, bulan yang sama terbelah pada zaman Baginda Nabi SAW adalah datang dalam pelbagai bentuk bertujuan untuk manusia melihat kebesaran Allah SWT dalam mencipta dan mengubah sesuatu yang besar dan jauh di mata manusia.
Allah SWT berfirman dalam surah Fussilat yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sembah matahari maupun bulan, tapi sembahlah Allah yang menciptakannya, jika ia yang kamu hendak sembah." (Surah Fussilat ayat 37)
Maka, situasi yang berlaku kepada bulan sama ada bulan purnama, bulan sabit, anak bulan atau gerhana bulan sekalipun, janganlah menjadikan peristiwa tersebut bersangkut paut dengan kebetulan kemalangan atau kejadian apa-apa yang membolehkan tergelincirnya akidah umat Islam.
Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih berganti malam dan siang terdapat tanda bagi orang-orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambal berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka yang memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi: Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka." (Surah Ali Imran ayat 190-191)
Oleh itu, daripada peristiwa pembelahan bulan yang berlaku, pembuktian ini sepatutnya menjadikan manusia lebih dekat kepada Allah SWT dan bukan pula menjadikan bulan itu sembahan disebabkan perubahan demi perubahan yang berlaku. Riwayat Raja Cheraman yang memeluk Islam boleh dijadikan simbol bahawa mukjizat dan pembuktian adalah kekuatan kepada perkembangan Islam di India dan dunia.
Penulis Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan