Polis ditahan jual dadah di balai

KOSMO!
Suttirat (kanan) ditahan ketika menjalankan urusan jual beli dadah di balai polis. - ThaiRath
BANGKOK – Seorang pegawai polis di wilayah Nakhon Sawan, Thailand ditahan atas tuduhan menjual dadah jenis metamfetamin di balai polis, lapor laman berita Thaiger semalam.

Unit Penindasan Narkotik Balai Polis Nong Pling pada awalnya mendapati seorang leftenan polis bernama Suttirat Ampasawet, 55, menawarkan dadah di sekitar wilayah itu.

Anggotanya kemudian menyamar sebagai pelanggan dan memesan 50 pil metamfetamin daripada Suttirat dengan harga 1,500 baht (RM199).

Suttirat kemudian menemui ‘pelanggan’ tersebut dan memintanya mengambil dadah yang dipesan di Balai Polis Nong Pling pada pukul 2.30 petang (waktu tempatan) pada 15 Januari lalu.

Tanpa menyedari dia dipantau, Suttirat bertemu pelanggan yang sebenarnya merupakan pegawai menyamar di luar balai polis untuk urusan berkenaan.

Polis dengan segera menahan Suttirat dan menemui bukti kes. Mereka kemudian menyerbu rumah suspek selain menemui 40 lagi pil metamfetamin yang disembunyikan di kediamannya.

Suttirat diarah menjalani ujian dadah di mana keputusan mendedahkan bahawa dia positif dadah. – AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan