Rangka mayat, jasad bertaburan

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
KAWASAN perkuburan Al-Tuffah di timur Gaza yang musnah.
KAWASAN perkuburan Al-Tuffah di timur Gaza yang musnah.
Kuala Lumpur: Beribu kubur penduduk Palestin di Semenanjung Gaza sengaja dibongkar dan dikorek semula tentera Israel hingga menyebabkan rangka mayat serta jasad dikafankan di dalamnya bertaburan.

Itu tindakan biadap tentera Zionis yang sengaja merosakkan kawasan tanah perkuburan di Gaza sejak awal serangan bermula 7 Oktober tahun lalu menggunakan jentera berat jentolak, kenderaan perisai dan kereta kebal.

Salah seorang sukarelawan di Gaza, Abu Has al-Hashimi berkata, sehingga kini tentera Israel sudah memusnahkan sekurang-kurangnya 16 tanah perkuburan di Gaza tanpa diketahui motif sebenar 'serangan' terhadap mayat tidak bernyawa.

"Tentera Israel sengaja merobohkan tanah perkuburan semasa operasi darat dilakukan. Mereka menggunakan jentolak, memecahkan nesan dan binaan selain mengeluarkan mayat dari kubur walaupun ada antaranya sudah mati berpuluh tahun lalu," katanya.

Menurutnya, tindakan sengaja memusnahkan tapak keagamaan seperti tanah perkuburan jelas melanggar undang-undang antarabangsa selain membuktikan jenayah perang dilakukan Israel.

"Selain itu, tentera Israel turut sengaja menggunakan tanah perkuburan sebagai pos tentera dan operasi sepanjang pencerobohan di Gaza. Ini dibuktikan apabila tanah perkuburan Shajaiya di bandar Gaza diratakan dan dijadikan pos tentera Zionis.

"Jurucakap tentera Israel sebelum ini menggunakan alasan menggali beberapa kubur di Gaza bagi menentukan sama ada 132 tebusan Israel yang diculik pejuang Hamas disembunyikan atau dikebumikan di kawasan itu.

"Malah bagi menghalalkan tindakan, mereka mendakwa kononnya kawasan kubur dihancurkan itu digunakan tentera Hamas sebagai pusat ketenteraan dan markas persembunyian bawah tanah," katanya.

Menurutnya, keadaan amat menyedihkan apabila 16 tanah perkuburan berkenaan rosak teruk apabila batu nisan dihancurkan, tanah diterbalikkan dan mayat di dalamnya dibiarkan berteraburan tanpa rasa berdosa.

"Keadaan sama berlaku di tanah perkuburan berhampiran Hospital Al Nasser, Khan Younis apabila tentera Israel tidak hanya menyerang penduduk Palestin yang masih hidup malah menyerang mangsa yang sudah disemadikan.

"Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sekali lagi menggunakan alasan mencari mayat tebusan Israel yang dikurung Hamas sehingga kini. Tidak hanya menggunakan jentolak, mereka turut menggunakan kereta kebal Merkava untuk merosakkan permukaan tanah kubur.

"Keadaan dan kemusnahan sama berlaku di tanah perkuburan Bani Suheila, timur Khan Younis, apabila ia turut dimusnahkan mengguna jentolak untuk dijadikan kem atau kubu tentera IDF sejak awal Januari lalu.

"Selain tanah perkuburan Bani Suheila di timur Khan Younis, turut dimusnahkan tentera Israel adalah tanah perkuburan Al Falouja di kawasan Jabalya, utara Gaza, tanah perkuburan Al-Tuffah, timur Gaza, tanah perkuburan New Bureij di Al-Burei dan tanah perkuburan di Sheikh Ijlin, pusat bandar Gaza," katanya.

Beliau berkata, ketika ini jumlah kematian di Gaza semakin meningkat dari hari ke hari apabila hampir 26,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel sehingga semalam.

"Tanah perkuburan diberi perlindungan sebagai 'objek sivil' di bawah undang-undang antarabangsa dan diberikan perlindungan khas, dengan pengecualian terhad. Apa yang dilakukan tentera Israel ini adalah kerja orang pengecut," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan