'Selepas 38 hari, kami cuma dapat rangka...' - kakak Bella persoal polis

Alias Abd Rani
bhnews@bharian.com.my

 aaaaaa
Norhisham (kanan) mempersoalkan beberapa tindakan polis dalam mengendalikan siasatan kes Bella. - FOto BH
BATU PAHAT: Kakak kepada Mila Sharmila Shamsusah, 32, wanita yang hilang sejak pertengahan bulan lalu dan dikaitkan dengan penemuan rangka di Tongkang Pechah kelmarin, mempersoalkan beberapa tindakan polis dalam mengendalikan siasatan kes berkenaan.

Dalam hantaran di Facebook, Norhisham, 36, antara lain mendakwa pegawai penyiasat enggan berjumpa dengannya, selain mempertikai keputusan polis melepaskan individu dipercayai suspek utama atas alasan lelaki itu menghidap penyakit 'tiga serangkai'.

Mengakui keluarga sangat kecewa, Norhisham atau lebih mesra dipanggil Ayu, mencatatkan dia dan Mila Sharmila yang dipanggil Bella sentiasa berkongsi semua perkara dan kali terakhir mereka berhubung adalah melalui aplikasi sembang pada jam 11.38 malam, 14 Disember.

"Sy dan bella ni sntiasa share benda apa kami nak buat.. Bella takkan hilang mcm ni... Masa hari last chat 14.12.2023 pkul 11.38pm bella tanyakan sesuatu..sy dah jawab kmudian bella senyap... Mungkin masa tu last nyawa dia dhabiskan...," tulisnya memaklumkan dia juga mengambil pelbagai usaha mencari bukti.

Dalam hantaran sama, Norhisam mendakwa, dia ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan balai polis untuk memaklumkan kehilangan Bella mempunyai unsur jenayah, bukan lagi kes orang hilang (OH) dan nyawa adiknya itu menjadi taruhan, selain mahu berjumpa pegawai penyiasat (IO) kes terbabit.

"Sy pergi naik IPK utk bagitahu benda ni unsur jenayah dan nyawa adik sy jadi taruhan... Sy sudah pergi balai utk bgthu io ini kes jenayah... io taknak jumpa sy... atas alasan siasatan OH sedangkan sy dh tukar pd jenayah.

"Ya kami tersangat2 kecewa.....," tulisnya sambil mempersoalkan mengapa polis lebih percayakan suspek ada penyakit 'tiga serangkai' berbanding bukti dikemukakannya.
Lokasi yang dikaitkan dengan penemuan rangka tidak sempurna di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
Lokasi yang dikaitkan dengan penemuan rangka tidak sempurna di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
Bella dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu selepas keluar ke kedai dobi dan setakat ini kes masih belum selesai walaupun ada rangka ditemukan polis di sebuah rumah sewa di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah.

Rangka tidak sempurna di rumah sewa terbiar itu ditemukan selepas polis dipandu oleh salah seorang suspek. Keluarga Bella juga dimaklumkan, namun polis belum dapat mengesahkan sama ada ia wanita yang dilaporkan hilang itu.

Dalam hantarannya lagi, Norhisham menulis seolah-olah rangka ditemukan itu ada kaitan dengan adik perempuannya.

"Sekarang selepas 38 hari... Apa yg saya dan keluarga dapat.. Kami cuma dapat rangka.. Kenapa masa reman tidak tekan dia hbis2... Kalau tahu awal mana bella disorokkan.. Mesti keluarga dapat body bukan rangka... walaupun body dh tak bernyawa tapi masih boleh kami peluk cium utk kali terakhir," tulisnya.

Justeru, catatnya lagi, mereka sekeluarga menuntut keadilan buat Bella seandainya itu pengakhiran buat adiknya.

BH masih berusaha mendapatkan maklum balas polis berhubung dakwaan Norhisam itu.

Sementara itu, ibu dua beradik berkenaan, Noraini Salleh, 55, kekal dengan pendirian bahawa rangka ditemukan kelmarin bukan Bella.

"Saya yakin sebab ketika ini saya boleh bercakap. Kalau betul rangka itu Bella, sudah tentu saya tak seperti ini," katanya.

Media melaporkan tiga individu, termasuk teman lelaki Bella dan bapa saudara kini direman polis hingga 27 Januari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan