Amir Hamzah Nordin
am@hmetro.com.my
Dua ekor lembu yang dipercayai lembu curi. FOTO Amir hamzah Nordin
Raub: Tindakan penternak lembu mengejar sebuah kereta yang turut memuatkan 'penumpang' iaitu dua ekor lembu curi berjaya memberkas empat individu di Jalan Mempaga-Lebu, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, sebelum itu pengadu yang berada di rumah menerima panggilan daripada rakannya untuk datang ke tapak pasar malam Mempaga.
"Pengadu bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kereta Proton Wira Aeroback terbabit terbabas dan berada di tepi jalan.
"Pengadu memeriksa dua ekor lembu yang berada dalam kereta itu dan mendapati ia adalah miliknya yang dicuri di Ladang Krau 4 berdasarkan tanda-tanda yang terdapat di telinga lembu itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, keempat-empat individu berusia 23 tahun hingga 31 tahun ditahan untuk siasatan termasuk seorang daripadanya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk menerima rawatan.
Katanya, saringan ujian air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine manakala seorang lagi didapati positif amfetamin.
"Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 6 Januari lalu sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan