Tak sampai 2 minggu digempur, Jalan Silang kembali jadi 'mini Dhaka'

Safeek Affendy Razali
safeek@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Tidak sampai dua minggu digempur pihak berkuasa dalam operasi pada Khamis minggu lalu, suasana persekitaran Jalan Silang di sini kembali menjadi 'mini Dhaka' apabila dibanjiri warga asing pada cuti hujung minggu.

Hasil tinjauan BH bermula jam 10 pagi tadi mendapati warga asing pelbagai negara meliputi Myanmar, Bangladesh, Pakistan, Nepal, Filipina serta Indonesia, memenuhi hampir setiap ceruk di Jalan Silang dan Lebuh Pudu.

Pengurus sebuah restoran makanan segera, Fitri Yaakob, berkata kehadiran warga asing dilihat berkurang secara ketara selepas operasi pada minggu lalu, namun kawasan itu didapati kembali 'sesak' dengan golongan berkenaan, hari ini.
Suasana di Jalan Silang, hari ini. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Suasana di Jalan Silang, hari ini. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
"Kita akan berasa tidak selesa jika hendak melalui kawasan hadapan kedai di Jalan Silang kerana mereka (warga asing) memenuhi ruang pejalan kaki dengan berkumpul beramai-ramai dan bersembang, malah ada yang berniaga di kaki lima.

"Saya yakin dalam ribuan warga asing ini, pasti ada yang melakukan kesalahan imigresen kerana mereka dilihat cuba bersembunyi di kawasan tangga kedai atau melarikan diri di celah kesesakan orang ramai apabila ternampak kelibat polis atau penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Sebaik saja pihak polis atau penguat kuasa beredar, mereka akan kembali berkumpul dan melakukan aktiviti seperti bersembang dan memenuhi kedai-kedai warga asing dari negara mereka," katanya ketika ditemui, hari ini.

Justeru, Fitri berpandangan selain serbuan pada hari bekerja, pihak berkuasa disaran turut melancarkan pemeriksaan dan operasi mengejut pada hari cuti serta hujung minggu.
Suasana di Jalan Silang, hari ini. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Suasana di Jalan Silang, hari ini. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Sementara itu, hasil pemerhatian mendapati warga asing di kawasan berkenaan tidak menjaga kebersihan, selain melanggar undang-undang dengan menjalankan perniagaan seperti menjual pakaian, sirih, serta barang basah seperti ikan dan sayur di kawasan kaki lima.

Bagaimanapun, mereka dilihat mula menutup jualan masing-masing apabila menyedari jurugambar BH sedang merakamkan aktiviti mereka.

Malah, cara mereka memandang warga tempatan yang melalui kawasan berkenaan dilihat seperti berhati-hati dan penuh curiga, dipercayai kerana bimbang akan ditahan secara tiba-tiba oleh pihak berkuasa yang tidak berpakaian seragam.

Tidak jauh dari Jalan Silang, sebuah stesen bas Rapid KL dilihat turut dipenuhi warga asing yang berpusu-pusu menggunakan pengangkutan awam sedia ada.

Rata-rata atau sebahagian besar penumpang yang memenuhi setiap bas yang tiba dan bertolak dari Jalan Silang dilihat terdiri daripada warga asing.
Suasana di Jalan Silang, hari ini. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan