Tegur bakar sampah terbuka, warga emas cedera dipukul

FMT Reporters
Tular klip video di media sosial menunjukkan seorang pemuda memukul seorang wanita berusia 76 tahun selepas ditegur kerana membakar sampah secara terbuka di tanah mangsa.
PETALING JAYA: Seorang warga emas cedera di muka akibat dipukul oleh cucu jirannya gara-gara menegur pembakaran sampah secara terbuka di kawasan tanah mangsa di Tanjung Kling, Melaka, semalam.

Dalam kejadian 1.20 tengah hari semalam, wanita berusia 76 tahun itu pergi berjumpa dengan pemilik inap desa, yang juga jirannya, untuk menegur perbuatan cucu lelakinya berusia 26 tahun membakar sampah dalam kawasan tanah mangsa.

“Mangsa menegur tindakan suspek lelaki itu membakar sampah secara terbuka dalam kawasan tanahnya sehingga menyebabkan mangsa sesak nafas kerana menghidu asap yang banyak,” kata Ketua Polis Melaka Christopher Patit, lapor Bernama.

Tindakan itu mencetuskan pertengkaran mulut antara mangsa dengan suspek sebelum pemuda berkenaan meluru ke arah mangsa dan menumbuk bahagian mukanya beberapa kali.

Mangsa kemudian cuba melarikan diri namun suspek sekali lagi memukul bahagian belakang warga emas itu sehingga terjatuh.

Suspek turut mengugut mahu memukul mangsa dengan kayu sebelum wanita itu berlari masuk ke dalam rumah dan kemudian membuat laporan polis.

Christopher berkata, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut serta sakit di bahagian belakang kepala dan badan, muka serta leher.

Polis menahan suspek pada 12.10 tengah malam tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kejadian ini menjadi tular dengan tersebarnya sebuah klip video berdurasi 29 saat di media sosial.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan