Bernama
PETALING JAYA: Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang wanita dengan meminta wang RM3 juta, Sabtu lalu.
S Divyan, 27; A Sanjeev Kumar, 32; dan S Kaviethran, 31; didakwa melakukan pemerasan terhadap S Jaylakshmi, 30; yang juga kakak kepada Divyan dengan meminta mangsa membayar wang RM3 juta di sebuah pangsapuri di Puchong pada 10.21 malam, 17 Feb lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal mencadangkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Gurmukh Singh Sandhu yang mewakili Divyan dan Sanjeev memohon jaminan rendah kerana anak guamnya menanggung keluarga manakala peguam S Revin Kumar mewakili Kaviethran juga memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan.
Majistret Farah Azura Mohd Saad membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,300 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mei ini untuk sebutan bagi serahan dokumen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan