Ada apa dengan Muhyiddin?

Hishamuddin Aun

Tiada siapa boleh menebak apa yang berlegar di fikiran Muhyiddin Yassin ketika ini. Tapi ia harus memberi presiden Bersatu itu sedikit kelegaan mendapat pelepasan sementara pasportnya untuk ke Bangkok dengan penerbangan pada jam 4.20 petang ini. Ini adalah kali kedua Muhyiddin mendapat kembali pasportnya daripada Mahkamah Sesyen selepas dibenarkan untuk bercuti bersama keluarga di London pada akhir tahun lalu.

Ketika itu, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) memberitahu mahkamah bahawa ia memang satu kebiasaan untuk membawa keluarganya bercuti selama sebulan setiap tahun bagi membolehkannya meluangkan masa bersama mereka. Beliau juga menawarkan alasan dirinya dan keluarga amat tertekan pada 2023. Sebab-sebabnya tidak pula dikongsinya tapi harus berkaitan dengan politik negara.

Kunjungannya ke Bangkok kali ini dengan tujuan berbeza. Di sebalik bantahan oleh pihak pendakwaan bahawa ia bukan keperluan mendesak, Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan Muhyiddin untuk menghadiri perasmian sebuah restoran halal bernama Phrigkiao milik seorang kenalan rapatnya yang juga warga Malaysia di ibu kota Thailand itu. Selain itu, beliau bercadang melawat beberapa pemimpin, pemikir dan tokoh masyarakat Islam di Bangkok bagi kesinambungan hubungan di luar lingkungan kerajaan.

Pada 29 Nov tahun lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan semula pasportnya secara kekal selepas mendapati adalah pramatang untuk membenarkan permohonannya mengubah syarat jaminan bon dan melepaskan pasport tanpa syarat. Tambahan pula Muhyiddin masih berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram. Dalam pada itu, kata Hakim Azura, adalah tidak wajar pemohon dihalang menjalani kehidupan dan menggalas tanggungjawab seperti biasa selagi tidak disabitkan bersalah. Lagipun tiada bukti bahawa pemohon mempunyai risiko untuk melarikan diri — seperti dipertahankan Muhyiddin beliau ada komitmen selaku ketua parti dan Ahli Parlimen.

Dengan cuaca lebih panas dan kering dijangka Jabatan Meteorologi akan berlanjutan hingga penghujung Mac ini – tidak terkecuali suhu politik negara ikut turut meninggi – kunjungan singkat Muhyiddin ke negara jiran mungkin dapat membantu mententeramkannya daripada pelbagai gembar-gembur melingkari dirinya akhir-akhir ini. Tiada jaminan permulaan tahun 2024 ini akan menghindarkannya daripada situasi amat tertekan seperti didakwanya pada 2023 itu.

Pada 26 Jan lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal – seorang daripada enam wakil PN selain Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang, Jeli dan Tanjong Karang yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim — mendakwa sebahagian besar Ahli Parlimen Bersatu mahu Setiausaha Agung Hamzah Zainudin menerajui parti itu. Selanjutnya, beliau mendakwa Bersatu kini mempunyai dua kem, satu yang memihak Muhyiddin dan satu lagi menyokong Hamzah.

Ini berikutan Muhyiddin yang mengumumkan untuk tidak mempertahan jawatan pada perhimpunan agung tahunan parti November lalu, membuat pusingan U dalam tempoh 24 jam atas pujukan isterinya. Walhal, kata Syed Abu Hussin, sebahagian besar Ahli Parlimen mahukan Hamzah kerana beliau dilihat mempunyai potensi sangat besar untuk memimpin parti dengan lebih dinamik. Tindakan Muhyiddin itu turut didakwa melemahkan moral ahli yang mahu melihat parti itu melakukan perubahan.

Penganalisis, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat Bersatu tidak boleh memandang enteng dakwaan kewujudan kumpulan menyokong pemimpin tertentu yang kini tersebar di media sosial. Ia dirasakannya mungkin berpunca rasa tidak yakin hala tuju Bersatu bawah Muhyiddin yang seolah-olah tiada motivasi dan tidak berpandangan jauh mengemudi parti. Lantaran itu, Azmi jangkakan Muhyiddin tidak akan pertahan jawatan dalam pemilihan tahun ini kerana sokongan hanya dalam kalangan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Cuma, masalahnya Hamzah – dilantik sebagai setiausaha agung pada Mac 2020 — dikatakan tidak layak dari segi perlembagaan parti untuk bertanding lima jawatan tertinggi termasuk presiden, yang terbuka kepada ahli yang menganggotai MPT sekurang-kurangnya dua penggal penuh. Ahli MPT Saifuddin Abdullah pula berkongsi bahawa Hamzah tidak pernah menyatakan hasrat untuk bertanding melawan Muhyiddin sebagai presiden, maka soal dia layak atau tidak layak bertanding sepatutnya tidak timbul.

“Tiada kem dalam Bersatu, semua masalah dah OK,” kata satu tajuk berita FMT Sabtu lalu yang memetik Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sebagai menyangkal berlaku perpecahan dalam parti itu sehingga ada pemimpin utamanya dikatakan “merisik jawatan” dengan perdana menteri. Jika individu itu bermaksud kepada Hamzah, ketua pembangkang itu menyangkal ada berunding dengan Anwar di Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk mendapat jawatan seperti didakwa.

“Itu fitnah, saya tak pernah jumpa Anwar sejak beliau jadi PM (pada November 2022). Terjumpa di Parlimen itu memang adalah. Pemimpin Bersatu yang berdepan dakwaan sama juga menafikan ada bertemu Anwar bagi tujuan sama. Baru-baru ini kami ada mesyuarat MPT, pemimpin yang dituduh terbabit (tidak didedahkan identiti tapi bukan dirinya) bersumpah Wallahi tak jumpa Anwar,” tegas Hamzah.

Sama ada kecelaruan dalam Bersatu sudah OK seperti didakwa Peja – di sebalik ia ditafsirkan sebagai pengesahan bahawa memang ada masalah sebelumnya — hanya masa akan mengukurnya kemudian. Peja sendiri selaku antara pengasas Bersatu memilih berdiam diri mengenai rancangannya pada pemilihan parti nanti. “Wallahualam…esok hidup atau tak pun kita tak pasti lagi…tunggulah nanti,” kata bekas Ahli Parlimen Tambun itu yang seperti Muhyiddin, menang pada pemilihan empat tahun lalu tanpa dicabar.

Seperkara yang pasti, kunjungan singkat ke Bangkok sehingga pelepasan pasportnya tamat pada 23 Feb ini akan meluangkan masa untuk Muhyiddin menimbangkan banyak perkara berkaitan polemik yang beliau turut terkait dengannya. Kehadirannya bersendirian pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gerakan, Sabtu lalu menimbulkan persoalan ketiadaan Hadi Awang bersama, yang bagaimanapun diperjelaskan bahawa presiden PAS itu ada masalah kesihatan.

Awal bulan ini, FMT memetik sumber sebagai mendakwa hubungan Hadi dan Muhyiddin dingin sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kelangsungan PN yang digagaskan Bersatu dan PAS. Hubungan dingin itu dikatakan berkait kegagalan PAS menampilkan Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon perdana menteri. Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun mempertahankan hubungan Hadi dan Muhyiddin “sangat akrab”.

Harus juga menggusarkan Muhyiddin ialah dakwaan Syed Hussin akhir bulan lalu bahawa beberapa lagi Ahli Parlimen Bersatu akan mengisytiharkan sokongan kepada Anwar menjelang sidang Parlimen yang akan bermula 26 Feb ini. Alasannya ialah mereka amat kecewa dengan parti dan berasa tidak dihargai.

“Sehingga hari ini, Bersatu tiada arah tuju yang jelas, jarang mengajak Ahli Parlimennya berbincang bagaimana mahu mengekalkan (kebajikan) kawasan. Kewangan menjadi masalah besar. Jika parti tidak ambil perhatian (tidak mengambil tawaran berunding dengan kerajaan berkaitan peruntukan), siapa lagi?” katanya dalam sidang media di Puchong pada 26 Jan.

Muhyiddin harus kesuntukan masa untuk memikirkan sebarang perkara lain, jauh sekali ‘Langkah Bangkok’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan