Adakah Hamas mujaddid baru umat Islam?

Ismail Hashim Yahaya

Ada satu perkara yang menarik dari hadis yang pernah disabdakan oleh Rasulullah, yang menyebutkan tentang kemunculan mujaddid untuk umat Islam pada setiap seratus tahun sekali atau satu abad.

Hadis itu bersumber dari Abu Hurairah RA yang meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT mengutuskan untuk umat ini setiap seratus tahun orang-orang yang akan memperbaharui agama ini (daripada segala penyimpangan)"

Sumber: Irsyad Al-hadith Siri Ke-16: Hadis tentang Mujaddid (Reformis) Agama, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani (599) dalam Silsilah-nya.

Para ulama dan ahli ilmu berpendapat ketika menafsirkan hadis ini, lafaz “man” itu adalah “isim mausul” yang membawa maksud itlaq, iaitu sama ada seorang atau lebih.

Ini kerana terdapat golongan yang mengatakan hanya seorang yang akan menjadi reformis setiap seratus tahun. Pendapat yang mengatakan bahawa lafaz “man” itu menunjukkan lebih daripada seorang disokong oleh beberapa ulama hadis yang terkenal, antaranya:

Ibn Hajar : "Tidak semestinya setiap seratus tahun itu akan muncul seorang sahaja reformis, kemungkinan perkara tersebut dilakukan secara berkumpulan." [Fath al-Bari, 13:295]
  • Ibnu Kathir : "Hadith ini meliputi setiap individu pada masa kini yang melaksanakan fardu kifayah iaitu dengan menunaikan amanah ilmu." [al-Bidayah wa al-Nihayah, 9:303]

  • Al-Zahabi : "Aku berpendapat lafaz ‘man’ di dalam hadis tersebut menunjukkan jamak dan bukannya mufrad”.[Tarikh al-Islam, 7:99]
Dengan kata lain, seorang mujaddid yang disebutkan dalam hadis bukan terbatas kepada individu dan boleh juga sesebuah kelompok atau organisasi.

Dalam hubungan ini, seorang cendekiawan Muslim Indonesia, Quraish Shihab dalam bukunya 1001 Soal Keislaman yang patut anda ketahui berpendapat, tugas mujaddid sebagai pembaharu diperlukan bagi mengingat perjalanan sejarah yang boleh jadi dilupakan atau disalah fahami dalam ajaran agama.

Oleh itu mujaddid berperanan menghidupkan ajaran agama. Meskipun demikian tidak mudah untuk menetapkan siapa orangnya pada setiap abad itu. Adalah berkemungkinan mujaddid tidak hanya satu orang melainkan ada beberapa orang dalam satu abad.

Ketua Hamas, Ismail Haniyeh
Persoalannya adakah Hamas dan kumpulan pejuang Palestin lain merupakan mujaddid yang dinantikan? Mereka bukan kumpulan ulama atau pemikir agama tetapi kumpulan pejuang Islam yang berjuang menyedarkan umat Islam tentang kelalaian sejagat mereka.

Dalam Islam, mujaddid membawa maksud sebagai seorang pembaharu yang akan memperbaiki kerosakan dan mengembalikan umat Islam ke jalan yang benar.

Apakah matlamat serangan pada 7 Oktober 2023? Walaupun Briged Al Qassam iaitu sayap bersenjata Hamas mengetahui serangan itu akan membawa kesan dan akibat buruk kepada penduduk Palestin di Gaza, tetapi rancangan serangan tetap diteruskan.

Serangan itu  sebagai tindak balas bagi menentang pendudukan rejim Zionis dan pembunuhan rakyat Palestin.

Laporan Al Jazeera  yang memetik laporan setebal 16 muka surat diterbitkan Hamas menjelaskan anggotanya cuma menyasarkan tentera Israel dan individu yang membawa senjata.

Dalam laporan bertajuk 'Naratif Kami',  Hamas yang mentadbir Gaza berkata pihaknya mahu menjelaskan latar belakang dan dinamik serangan mengejut yang dipanggil Operasi Taufan Al-Aqsa.

Ia adalah strategi untuk menekan pihak berkuasa Israel supaya membebaskan ribuan rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Dalam hubungan ini, serangan 7 Oktober ingin menyedarkan umat Islam mengenai kempen pembinaan penempatan Israel dan pencerobohan berterusan rejim Zionis ke atas tanah Palestin di Tebing Barat serta Baitulmaqdis.

Hamas dan pejuang Palestin adalah kumpulan kecil yang menentang sebuah negara haram yang tersusun daripada persenjataan, pertahanan, ketenteraan dan kuasa nuklear.

Hamas umpama tentera Islam seramai 313 orang berhadapan dengan 1,000 tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Dianggap sebagai satu peperangan luar biasa apabila tentera Islam yang sedikit jumlahnya dan kekurangan dalam sudut kelengkapan senjata apatah lagi berpuasa berjaya mengalahkan tentera Quraish.

Hamas dan pejuang Palestin juga berada dalam suasana Al Qadisyah yang berperang sebuah kuasa besar Parsi. Kekuatan tentera Islam yang menyertai peperangan itu dianggarkan seramai sekitar 30,000 sehingga 36,000 orang, yang mana lebih 300 ldaripada mereka adalah sahabat Rasulullah, 70 lebih daripada mereka adalah di kalangan ahli Badar, dan sejumlah 700 orang anak-anak para sahabat (Al-Bidayah wa al-Nihayah (9/616), Tarikh at-Tobari (3/487).

Tentera Parsi yang terlibat dalam peperangan itu dalam sekitar 80,000 orang. Riwayat lain mengatakan tentera Parsi adalah seramai 120,000 orang berserta 33 ekor gajah (Al-Kafi #1262: Iktibar & Pengajaran daripada Peperangan Al_Qadisiyyah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan).

Daripada tujuan dan objektif serangan 7 Oktober, negara-negara Islam terlihat tidak dapat melakukan sebarang usaha berkesan menyelamat penduduk Palestin, baik di di Tebing Barat mahukan di Gaza. Malah negara-negara Arab berebut-rebut mengadakan normalisasi dengan regim pengganas.

Arab Saudi, negara penjaga kota suci Mekah dan Madinah, dikhabarkan dalam proses memuktamadkan rundingan normalisasi dengan negara haram Israel. Hamas dikira menangguhkan proses rundingan tamat.

Empat negara Arab telah merasmikan hubungan dengan Israel dalam pakatan yang dikenali sebagai Perjanjian Abraham iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi. Walaupun negara-negara ini meletakkan syarat mahu konflik di Gaza ditamatkan dengan wujudnya laluan jelas ke arah penubuhan negara Palestin, tetapi ia hanyalah penghias yang mengaburi pandangan umat Islam.

Serangan  Hamas pada 7 Oktober ingin menyedarkan pemimpin negara Islam yang berselimut supaya bangkit dan selamatkan umat Islam Palestin yang akan dilupakan setelah perjanjian normalisasi dengan regim haram dimeterai.

Walaupun para ulama dan pemikir Islam tidak bersetuju dengan pandangan ini  tetapi bagi saya Hamas adalah kumpulan mujaddid abad ke-15 Hijrah, mujaddid  yang ditunggu umat Islam dengan kedatangan setiap 100 seratus tahun. Hamas adalah pembuka jalan kepada kesedaran tentang apa yang berlaku kepada dunia Islam sekarang.

Hamas telah membongkarkan betapa Barat khusunya Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis adalah khadam kepada Israel. Mereka akan bermati-matian membantu regim haram walaupun genosid, pembersihan etnik dan ancaman kebuluran sedang berlaku ke atas penduduk Paestin di Gaza.

Ini bukan sahaja isu agama tetapi isu kemanusiaan sejagat.

Hamas dan kumpulan pejuang Islam lain ingin menunjukkan betapa lemah negara Islam dan dunia antarabangsa yang kaku, lemah dan layu tidak dapat berbuat apa-apa menyelamatkan penduduk Palestin disembelih, berhadapan dengan genosid, menjadikan Gaza padang jarak padang tekukur dengan penduduk dibiarkan kebuluran.

Negara-negara Islam khusus negara Arab diugut dan mudah dibuli dan ditindas oleh kuasa utama Barat dan regim Israel.

Bahkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan PBB pun tidak dapat menyelamatkan penduduk Palestin di Gaza. Regim Zionis tahu bahawa tiada siapa pun di muka bumi pada waktu sekarang dapat menghentikan serangan genosid yang sedang mereka lakukan.

Negara-negara Islam di Asia Barat juga harus dipersalahkan kerana mereka tidak boleh bersatu padu untuk membina kekuatan di sana. Amat tidak masuk akal bagi sebuah negara kecil seperti Israel dapat bermaharajalela dengan menindas hak-hak rakyat Palestin selama kira-kira 70 tahun.

Mujaddid Hamas membongkarkan di mana kepentingan para pemimpin dunia Islam selama ini adalah menjaga kepentingan mereka dengan  mengenepikan kepentingan persaudaraan umat Islam.

Mujaddid Hamas dan penduduk Palestin telah dipilih Allah untuk berjihad dengan mengorbankan diri, nyawa dan harta mereka dalam menyedarkan umat Islam  supaya bangkit membela dunia Islam. Hamas mahukan umat Islam kembali kepada ajaran Islam berpandukan Al Quran, Hadis dan sunnah Rasulullah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan