Bomba selamat 6 beradik terperangkap dalam rumah terbakar

FMT Reporters
Bomba terpaksa memotong jeriji besi pintu untuk menyelamatkan enam beradik yang terperangkap dalam kebakaran di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada pagi tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Ketangkasan anggota bomba berjaya menyelamatkan nyawa enam beradik yang terperangkap dalam rumah mereka yang terbakar di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada pagi tadi.

Menurut laporan Harian Metro, semua enam beradik berusia dua hingga 11 tahun itu ditinggalkan di rumah berkenaan oleh ibu bapa mereka yang pergi ke hospital.

Katanya, kebakaran itu dikesan oleh jiran mangsa yang kemudiannya menghubungi bomba untuk meminta bantuan kerana pintu rumah yang terkunci.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.15 pagi dan mengarahkan sebuah jentera dari Balai Bomba Sungai Buloh ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, anggota terpaksa memotong jeriji besi pintu untuk masuk ke dalam rumah dan mendapati terdapat enam kanak-kanak terdiri daripada empat perempuan dan dua lelaki di dalam rumah itu.

“Kebakaran membabitkan sofa di ruang tamu dan berjaya dipadamkan,” katanya.

Mukhlis berkata, semua kanak-kanak itu dalam keadaan selamat dan sudah diserahkan kepada ibu bapa mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan