Dibunuh ketika rakam video jalan raya rosak

Agensi
DIANA Carnero. FOTO Agensi
DIANA Carnero. FOTO Agensi
Quito: Seorang ahli majlis Ecuador dibunuh di hadapan orang ramai ketika membuat rakaman video mengenai keadaan jalan raya yang teruk, lapor portal Mirror.

Diana Carnero, 29, dilaporkan mempengerusikan mesyuarat majlis di bandar Naranjal di Guayas pada petang Rabu kemudian merakam video mengenai keadaan jalan raya yang teruk di sekitar bandar itu.

Polis berkata, dua suspek lelaki menaiki motosikal menghampiri dan menembaknya di kepala sebelum melarikan diri.

Pejabat Peguam Negara Ecuador berkata, pihaknya akan mengetuai siasatan tetapi setakat ini tiada tangkapan dibuat.

Ecuador berada dalam gelombang jenayah yang terikat dengan kumpulan pengedar dadah.

Penduduk Ecuador bimbang keganasan akan terus meningkat di negara itu selepas calon presiden dibunuh tahun lalu.

Dua minggu lalu Presiden Daniel Noboa mengisytiharkan darurat dan perang maya terhadap kumpulan gengster dengan memberi kuasa kepada tentera untuk bertindak terhadap mereka.

Susulan itu, ramai orang bertindak tinggal di rumah dan sekolah serta kedai ditutup ketika askar meronda di jalan di bandar-bandar terbesar Ecuador.

Carnero bertanding di bawah Gerakan Revolusi Rakyat, parti politik sosialis demokratik yang ditubuhkan oleh penyokong bekas Presiden Rafael Correa dan dipilih menganggotai majlis bandar Naranjal pada Februari tahun lalu.

Correa yang berkhidmat sebagai presiden dari 2007 hingga 2017 memberi penghormatan kepada Carnero di X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

"Diana berusia 29 tahun. Ini adalah mimpi ngeri. Pelukan kepada keluarganya dan seluruh Naranjal.

"Apabila anda mempunyai anak seusia itu, anda memahami apa yang ibu bapa mereka deritai. Sungguh memalukan!" ciapnya.

Timbalan Datuk Bandar Guayaquil Blanca López juga menulis di X, dengan berkata, wilayah itu berada dalam bahaya.

"Ini mesti berakhir, mahukan hari yang lebih baik, wilayah dan negara kita tidak bermakna meletakkan nyawa kita dalam risiko," tulisnya.

Pembunuhan Carnero berlaku hanya sehari selepas Gabenor Guayas Alberto Molina bertemu dengan penguat kuasa undang-undang di Naranjal untuk menangani gelombang keganasan baru-baru ini.

Sebelumnya, Ahli Majlis Charbel Rouhana, 50, ditembak mati di hadapan rumahnya di bandar pantai Yaguachi pada 24 Oktober lalu.

Bolivar Vera, 42, seorang anggota majlis di Durán, ditemukan mati pada 8 September, sehari selepas dia diculik.

Pada Ogos lalu, calon presiden Fernando Villavicencio, 59, dibunuh selepas meninggalkan acara kempen di Quito.

Pada Julai pula, Datuk Bandar Manta, Agustín Intriago, 38, ditembak mati semasa memeriksa kerja.
- hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan