Dua mayat ditemui dalam kereta berkunci di stesen minyak

Fazli Ahmad
ROMPIN: Dua mayat ditemui dalam sebuah kereta di sebuah stesen minyak Jalan Kuantan – Segamat di Muadazam Shah, dekat sini, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat terbabit ditemui dalam kereta Proton Satria dan berkunci.

Menurutnya, bomba mendapat laporan terdapat seorang lelaki dan seorang wanita dalam sebuah kereta di kawasan parkir stesen minyak berkenaan pada jam 4:10 petang.

Katanya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati pintu kereta terbabit terkunci dan enjin kereta sudah tidak dihidupkan,”

“Anggota bomba cuba mengejutkan pasangan terbabit tetapi tiada tindak balas,”

“Susulan itu, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat membuka pintu kereta terbabit,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zulfadli, selepas pintu kereta dibuka mendapati lelaki berada di tempat duduk pemandu dan wanita di tempat duduk penumpang depan sudah dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, spemeriksaan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia.

Mayat kedua-dua mangsa diserah kepada polis dan dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat.

Identiti kedua-dua mangsa belum diperolehi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan