Reuters
THOMAS Eugene Creech. FOTO Ihsan Jabatan Pembetulan Idaho
Idaho: Proses menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang banduan berusia 73 tahun di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu gagal selepas pihak berkuasa berulang kali tidak dapat menemui urat yang sesuai untuk memberikan suntikan maut terhadapnya.
Pengarah Jabatan Pembetulan Idaho, Josh Tewalt, berkata usaha sekurang-kurangnya lapan kali dilakukan untuk mencari urat intravena sesuai bagi suntikan maut pada badan Thomas Eugene Creech, seorang pembunuh bersiri yang disabitkan bersalah dan dipenjarakan sejak 1974.
"Selama hampir sejam, mereka cuba mencari urat di beberapa bahagian anggota badan Creech selepas mengikatnya," katanya yang terpaksa menghantar banduan itu kembali ke penjaranya.
"Ia berkaitan isu kualiti urat," kata Tewalt di Institusi Keselamatan Maksimum Idaho, beberapa jam selepas Mahkamah Agung AS menolak petisyen Creech untuk menangguh pelaksanaan hukuman mati.
Antara lain, peguam Creech berhujah, kerahsiaan protokol suntikan maut menjadikannya mustahil baginya untuk menimbang sama ada negeri itu melanggar larangan Perlembagaan terhadap hukuman yang kejam dan luar biasa itu.
Beberapa negeri di AS yang menjalankan hukuman mati turut berdepan masalah sama iaitu mencari urat pada badan tahanan berusia, mempunyai berat badan berlebihan atau bergelut mencari jenis suntikan yang diperlukan.
Ini mendorong penggubal undang-undang negeri untuk mengembalikan kaedah lama, seperti hukuman ditembak mati skuad penembak atau mewujudkan hukuman baharu, seperti dilaksanakan Alabama bulan lalu.
Mereka menggunakan nitrogen yang boleh menyebabkan kematian banduan akibat sesak nafas.
Idaho merancang untuk membiarkan waran kematian Creech tamat, namun Tewalt menyatakan tidak jelas sama ada negeri itu akan memohon waran baharu selepas itu atau sebaliknya.
Peguam Creech dalam satu kenyataan berkata mereka 'marah tetapi tidak terkejut' dengan percubaan yang gagal dilaksanakan itu.
"Inilah yang berlaku apabila individu yang tidak dikenali atau tidak mendapat latihan bersesuaian ditugaskan untuk melaksanakan hukuman mati," kata Perkhidmatan Pertahanan Persekutuan Idaho.
"Inilah jenis kemalangan yang kami sudah beri amaran boleh berlaku ketika mahkamah cuba menjatuhkan hukuman mati kepada salah seorang banduan tertua di negara ini.
"Walaupun banyak dirahsiakan, kita tahu ada banduan yang mendapat bekalan dadah secara haram dalam penjara," katanya.
Creech disabitkan bersalah membunuh lima orang pada 1970-an sebelum dipenjarakan.
Dia kemudian dijatuhi hukuman mati oleh hakim selepas membunuh banduan lain, David Jensen, di kemudahan keselamatan maksimum di mana dia ditahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan