Gaza: 'Kepada Tuhan kami berserah, tiada siapa lagi boleh membantu'

AFP
KANAK-kanak perempuan memberi adiknya makan di sebuah kem berhampiran Mesir di Rafah. FOTO Reuters
KANAK-kanak perempuan memberi adiknya makan di sebuah kem berhampiran Mesir di Rafah. FOTO Reuters
Semenanjung Gaza: Kebuluran yang meruncing menyebabkan ratusan rakyat Palestin melarikan diri dari utara Gaza, ketika perang Israel-Hamas masih berlanjutan.

Rakyat Palestin terdesak ke utara zon perang yang terkepung terpaksa 'mengais' makanan kerana peperangan menghalang trak bantuan kemanusiaan untuk sampai ke kawasan yang musnah.

Ratusan daripada mereka melarikan diri dari utara Gaza ke selatan menggunakan pelbagai cara, termasuk menyusuri jalan dipenuhi sampah antara bangunan yang dibom, kata seorang wartawan AFP.

"Saya datang dengan berjalan dari utara Gaza," kata salah seorang daripada mereka, Samir Abd Rabbo, 27, yang tiba bersama anak perempuannya yang berusia setahun di kem Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza.

"Saya tidak dapat bayangkan keadaan kebuluran di sana," katanya.

Menurutnya, akibat ketiadaan susu, dia cuba memberi bayi perempuannya makan roti yang diperbuat daripada makanan haiwan, malangnya ia tidak dapat dihadam.

"Satu-satunya harapan kita ialah Tuhan, tidak ada orang lain boleh menolong," katanya.

Sementara itu, tentera Israel terus menyerang sasaran di seluruh wilayah Palestin dan memerangi pejuang Hamas dalam pertempuran yang berpusat di bandar selatan Khan Yunis.

Tentera berkata, mereka membunuh beberapa pejuang dan menemui senjata dan menangkap mereka yang cuba melarikan diri dengan bersembunyi antara orang awam.

Berhampiran dengan medan pertempuran utama, di wilayah jauh di selatan Rafah, kebimbangan meningkat dalam kalangan 1.4 juta rakyat Palestin mengenai pencerobohan darat yang semakin hampir yang dikhuatiri akan membawa lebih banyak korban awam.

Angka kematian orang awam yang semakin meningkat dan krisis kemanusiaan yang semakin teruk di Gaza menguatkan gesaan untuk gencatan senjata.

Kebuluran dan penyakit berjangkit semakin merebak dan kira-kira 80 peratus daripada 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan