Lagi kes kanak-kanak tertinggal dalam kereta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak perempuan lima tahun maut selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta ibunya, dalam kejadian di sebuah hospital di Shah Alam, kelmarin.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata polis menerima laporan kejadian itu daripada seorang pegawai perubatan hospital terbabit pada 8.01 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja dalam Perodua Axia terbabit selepas diambil dari taska berhampiran, kira-kira 2 petang.

“Ketika ditinggalkan, mangsa dikatakan berada dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu mangsa berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital itu dipercayai hanya menyedari insiden terbabit selepas dihubungi suaminya pada 6 petang.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.

Katanya, bedah siasat telah dilakukan dengan keputusan ‘pending laboratory investigations’.

“Hasil pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati tidak ada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman pada kanak-kanak itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Iqbal turut menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika mengambil anak mereka pulang dari sekolah atau taska, terutama yang masih kecil bagi mengelak kejadian itu berulang.

“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid melalui talian 013-6544996,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan