Mahathir dibenar pinda pernyataan tuntutan kes saman Anwar
FMT Reporters
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Dr Mahathir Mohamad untuk meminda pernyataan tuntutannya dalam saman fitnah terhadap Anwar Ibrahim.
Peguam Rafique Rashid Ali, yang mewakili Mahathir, berkata Pesuruhjaya Kehakiman Zaharah Hussein membenarkan bekas perdana menteri itu meminda pernyataan tuntutannya untuk memasukkan kenyataan yang didakwa dibuat Anwar mengenainya selepas surat tuntutan dikeluarkan berhubung perkara itu.
Tambahnya, mahkamah memerintahkan Mahathir memfailkan pindaan itu selewat-lewatnya 4 Mac.
Menurut Rafique, Anwar kemudiannya akan memfailkan pembelaannya yang dipinda pada 18 Mac dan seterusnya jawapan Mahathir mesti difailkan selewat-lewatnya pada 1 April.
Bagaimanapun, mahkamah turut memerintahkan Mahathir membayar kos RM3,000 kepada Anwar, yang diwakili Benjamin Aliff Suhaimi, Sangeet Kaur Deo dan Phoebe Loi.
Peguam Afif Rusli turut mewakili Mahathir.
Zaharah menetapkan saman untuk pengurusan kes pada 17 April.
Mahathir menyaman Anwar atas kenyataan yang dibuat pada kongres PKR pada 18 Mac tahun lepas yang menggelar Mahathir sebagai rasis dan mengatakan beliau telah memperkayakan keluarganya semasa memegang jawatan.
Dalam tuntutan mahkamahnya, beliau mendakwa bahawa kenyataan itu dibuat oleh Anwar atas kapasitinya sebagai perdana menteri, oleh itu ia mempunyai kesan yang jauh lebih dahsyat terhadapnya berbanding dengan kenyataan serupa yang dibuat oleh rakyat biasa.
Mahathir berkata, dakwaan dibuat menghakis statusnya sebagai negarawan dan sebagai bekas perdana menteri selain bertujuan memburukkan imejnya di khalayak ramai.
Beliau mahu Anwar menarik balik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah yang disiarkan di media arus perdana dan media sosial.
Beliau juga mahu Anwar memohon maaf tanpa syarat dan berjanji untuk tidak mengulangi kenyataan yang sama atau serupa pada masa hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan