FMT Reporters
PETALING JAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) sedang menyiasat dakwaan salah laku seksual seorang jurulatih para renang terhadap atlet di bawah jagaannya yang dilaporkan media baru-baru ini.
MSN berkata, pihaknya tidak berkompromi dan tindakan tegas akan diambil, termasuk penamatan kontrak serta-merta, jika jurulatih itu didapati bersalah.
“Pegawai Pelindung Sukan yang diberi kuasa di bawah Kod Sukan Selamat sudah mengambil langkah perlu untuk melaksanakan siasatan berkenaan.
“Dakwaan salah laku itu diterima MSN minggu lalu dan Jawatankuasa Salah Laku Dalam Sukan telah memulakan siasatan dengan segera, termasuk menemubual pihak berkaitan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kerjasama penuh turut diberikan kepada polis yang membuka kertas siasatan, termasuk mencari kaedah bagi melindungi privasi atlet terlibat.
Justeru, MSN memohon kerjasama media dan orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat bagi menjaga kebajikan atlet serta mengelakkan persepsi negatif yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“MSN tidak pernah menerima laporan ataupun aduan daripada mana-mana atlet para mengenai salah laku seksual oleh jurulatih sebelum aduan terbaharu ini,” katanya sambil menolak dakwaan tidak berasas ia cuba menutup atau tidak mengendahkan laporan pernah dibuat kepadanya.
Terdahulu, media hari ini melaporkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengesahkan seorang jurulatih para disiasat atas dakwaan gangguan seksual ke atas seorang atlet para bawah umur.
Presidennya, Megat D Shahriman Zaharudin dilaporkan berkata, laporan polis dibuat selepas menerima e-mel daripada Persatuan Renang Para Malaysia (MPSA) minggu lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan