Pemimpin Bersatu sekolahkan PAS Selangor

Tumpu ekonomi rakyat bukan cipta slogan PRU16, pemimpin Bersatu beritahu PAS Selangor
Semalam, Ketua Penerangan PAS Selangor Zurk Ahmad berkata parti itu melancarkan projek “PAS for All” untuk menawan negeri itu.

Nora Mahpar

PETALING JAYA: “Bakul” ekonomi rakyat perlu menjadi agenda utama Perikatan Nasional (PN) berbanding mencipta naratif baharu menjelang PRU16, kata seorang pemimpin Bersatu merujuk projek “PAS for All” dilancarkan PAS Selangor untuk menawan negeri itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Mohd Rafiq Abdullah mengingatkan pencapaian PN di negeri itu sebelum ini adalah atas “tiket kebersamaan” dan tiada parti mampu menang dengan sendiri jika bertanding solo.

Pada PRN Ogos lalu, PN menang 22 DUN sekali gus menafikan penguasaan dua pertiga gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menguasai 34 daripada 56 kerusi.

Adun Kuang itu secara peribadi berpendapat untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya akan datang, PN perlu menumpukan masalah kos sara hidup dan ekonomi membelenggu rakyat kini yang didakwanya gagal diuruskan pentadbiran Anwar Ibrahim.

“Apa yang lebih penting mendepani masalah yang kita ada sekarang…. masalah ekonomi tidak diurus dengan baik, mata wang jatuh, dan harga barang naik.

“Lebih baik kita fokus ini daripada sibuk mencari slogan untuk PRU16 akan datang,” katanya kepada FMT.

Ketua Penerangan PAS Selangor Zurk Ahmad berkata parti itu yakin akan memimpin Selangor pada PRU16 sekali gus menjadikan negeri itu lebih berdaya saing.

Susulan itu, parti itu melancarkan projek khas dengan slogan “PAS for All” bagi mencapai resolusi bertindak membabitkan tokoh pemikir pelbagai kaum dan agama sebagai titik mula kepada usaha menawan Selangor.

Menghormati pendirian rakannya itu, Rafiq bagaimanapun berpandangan keputusan menampilkan naratif baharu untuk kempen PN di Selangor perlu diputuskan pimpinan pusat melibatkan presiden-presiden parti.

“Itu cadangan tak salah… kita pun akan ada pemukiman Bersatu tak lama lagi tetapi akhirnya keputusan akan dicapai selepas pimpinan tertinggi duduk berbincang termasuk presiden-presiden dari PAS (Hadi Awang), Bersatu (Muhyiddin Yassin), Gerakan (Dominic Lau). Masa itu barulah satu naratif baharu yang terbaik akan dicapai.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan