Penyamar penjual susu diburu, dipercayai terlibat kes samun

Bernama

IPOH: Polis sedang memburu seorang lelaki yang menyamar sebagai penjual susu lembu yang dipercayai terlibat dengan kes samun membabitkan kehilangan dua utas rantai emas milik seorang tukang jahit, dalam kejadian di Tanjung Rambutan, 8 Feb lalu.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata dalam kejadian sekitar 9.10 pagi, wanita berusia dalam lingkungan 38 tahun itu didatangi suspek yang dipercayai warga tempatan.

“Semasa sedang berurusan, suspek secara tiba-tiba bertindak agresif menolak mangsa dan menarik rantai emas miliknya itu.

“Suspek sempat mengugut untuk mencederakan mangsa jika menjerit meminta pertolongan, sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan.

Yahaya berkata mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan.

“Dua utas yang hilang itu merupakan rantai perkahwinan dan rantai pemberian bapa mangsa,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan