Polis: 'Boss Mario' sembunyi di rumah terbiar, stres fikir bonus untuk 22 pekerja

Amir Mamat
bhnews@bh.com.my
Keadaan ‘Boss Mario’ menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Melaka, hari ini. - Foto ihsan PDRM
Keadaan ‘Boss Mario’ menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Melaka, hari ini. - Foto ihsan PDRM
MELAKA: Misteri kehilangan pempengaruh media sosial, Yew Boon Xiang atau dikenali sebagai 'Boss Mario', akhirnya terjawab apabila pemuda itu didapati mendiami sebuah rumah kosong yang terbiar di Klebang, di sini, sejak Jumaat lalu.

Usahawan berusia 30 tahun itu dikatakan bertindak sedemikian kerana dibebani tekanan kerja, justeru menyembunyikan diri dipercayai untuk mencari ketenangan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata selepas tiga hari berada di rumah usang itu, Boon Xiang dikatakan ke sebuah hospital swasta di Banda Hilir dengan menaiki Grab kerana mahu mendapatkan rawatan akibat tekanan itu.

"Punca penemuan itu ialah apabila abangnya, Boon Teck, nekad menghubungi semua hospital di Melaka untuk mendapatkan maklumat sama ada Mario (Boon Xiang) mendapatkan rawatan atau sebaliknya.

"Apabila mengetahui adiknya itu sedang mendapatkan rawatan di wad kecemasan hospital swasta terbabit, Boon Teck kemudian memaklumkan perkara berkenaan kepada Balai Polis Batang Tiga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, masalah kerja dipercayai menjadi punca Boon Xiang melakukan tindakan sedemikian.

"Hasil soal siasat polis mendapati Mario menyembunyikan diri di rumah kosong itu kerana `stres' memikirkan pembayaran bonus kepada 22 pekerja di dua kedai telefon bimbitnya, iaitu di Melaka Sentral dan Klebang.

"Tiada kecederaan yang serius dan tiada unsur jenayah berlaku ke atas beliau," katanya.

Terdahulu, keluarga Boon Xiang dilaporkan buntu berikutan kehilangannya sejak Jumaat lalu dilihat masih misteri kerana belum ada sebarang maklumat diperoleh mengenai keberadaan usahawan muda itu.

Berita kehilangan 'Boss Mario' yang mempunyai lebih 400,000 pengikut dalam media sosial itu tular sejak Jumaat lalu.

Semalam, Christopher dilaporkan berkata, abang Boon Xiang melaporkan kehilangan pemuda itu di Balai Polis Batang Tiga pada jam 9.35 malam kelmarin.

Beliau dipetik berkata, hasil semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV), abang Boon Xiang mendapati pemuda itu keluar rumah dengan menaiki keretanya jenis Honda City pada jam 3 pagi hari sama, sebelum mendapat tahu bahawa kereta terbabit diparkir di kawasan Pantai Klebang dalam keadaan berkunci pada jam 6 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan