Rafizi sindir Annuar Musa: ‘Kami tak umum jihad lawan inflasi, tapi inflasi kami terendah’

SITI NUR ZAWANI

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli membidas kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa situasi ekonomi ketika ini terburuk berbanding pentadbiran terdahulu.

Sambil menyindir ahli Pas itu, Rafizi berkata beliau yakin usaha kerajaan untuk menstabilkan harga barang dengan menurunkan inflasi akan lebih membuahkan hasil, berbanding Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang pernah disertai oleh Annuar.

Pasukan itu ditubuhkan pada 29 Jun 2022 dan dipengerusikan Annuar Musa sendiri sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia pada waktu itu.

Pasukan itu dikatakan bertujuan membantu rakyat menghadapi cabaran ekoran peningkatan kos sara hidup.

Namun pasukan itu dibubar pada 2023 oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan ia gagal menurunkan inflasi dan mengawal harga barangan.

“Kami tak ada lah umum sampai jihad lawan inflasi, tapi inflasi turun ke kadar yang terendah.

“Sementara harga barang adalah fungsi penawaran dan permintaan, fokus kerajaan tingkat pendapatan rakyat. Bukan semata-mata melihat kepada kos barang.

“Insya Allah akan lebih membuahkan hasil dari Jawatankuasa Jihad Lawan Inflasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. 

Sementara itu Rafizi berkata, sepanjang tahun 2023 kerajaan berusaha memastikan harga barangan stabil sambil menumpu kepada perkara-perkara yang menjadi punca bebas kos sara hidup.

“Antaranya termasuklah gaji yang naik perlahan tidak seiring dengan kos sara hidup. Maka (solusinya ialah) pelarasan gaji kakitangan awam dan dasar gaji progresif.

“Menambah kapasiti pengeluaran makanan. Maka diperuntukkan dana besar untuk memodenkan pertanian, pertanian moden kecil melalui IPR.

“Membaiki rantaian bekalan. Kita secara berterusan melihat kepada rantaian bekalan padi, telur dan makanan asas lain, menggalakkan penjualan harga yang berpatutan melalui Jualan Rahmah dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata, kerajaan juga sedang menumpukan kepada Penyasaran subsidi untuk keluarga yang lebih memerlukan supaya dapat mengurangkan beban mereka.

Maka dengan itu katanya, sumbangan tunai yang lebih tinggi dan reformasi subsidi pukal sedang dijalankan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan