Satelit besar bas jatuh ke Bumi minggu ini

KOSMO!
ILUSTRASI menunjukkan satelit ERS-2 milik ESA menghampiri Bumi. – AGENSI
BRUSSELS  –  Sebuah satelit sebesar sebuah bas sekolah dan tidak lagi berfungsi milik Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) akan menjunam ke Bumi pada minggu ini, lapor saluran berita Fox News semalam.

Satelit usang itu dijangka jatuh selepas lebih satu dekad menamatkan misi meninjau sistem dan bencana alam di Bumi.

ESA melancarkan satelit dinamakan ERS-2 itu pada 21 April 1995. Setelah mengkaji daratan dan lautan di Bumi selama 16 tahun, ESA menamatkan operasi ERS-2 dalam tahun 2011 dan mengeluarkan satelit berkenaan daripada orbitnya untuk mencegah kewujudan lebih banyak serpihan angkasa lepas.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), ESA dan komuniti angkasa lepas antarabangsa lain telah menetapkan garis panduan untuk mengurangkan bilangan satelit mati atau roket di orbit rendah Bumi  dengan mewajibkan pemusnahan pasca misi atau kemasukan terkawal ke Bumi.

Selama lebih 13 tahun, ERS-2 secara semula jadi menjadi semakin rendah dari orbitnya pada ketinggian 560 kilometer dari Bumi sehingga graviti planet ini menariknya kembali dan terbakar apabila memasuki atmosfera.

ESA tidak dapat meramalkan dengan tepat masa dan lokasi ERS-2 akan jatuh tetapi menjangkakan ia berlaku pada bulan ini, manakala agensi berkenaan akan mengemas kini maklumat mengenainya dari semasa ke semasa. – AFP 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan