Satu kampung tidur bertilamkan pasir

KOSMO
Satu kawasan pasir dibina khas di dalam bilik untuk menggantikan katil. – Fadami Indozone
JAKARTA – Sebuah kampung di Madura, wilayah Jawa Timur menjadi perhatian ramai kerana penduduknya  tidur di atas pasir dan bukannya tilam, lapor laman berita Detik semalam.

Penduduk Kampung Legung Timur tidur di atas pasir kerana ia sudah menjadi amalan turun-temurun.

Berdasarkan  klip video yang dimuat  naik oleh seorang netizen di laman Instagram, kelihatan beberapa rumah yang mempunyai lantai seramik dan berdindingkan bata.

Namun, apa  yang menarik  adalah ketika netizen bernama Daeng itu memasuki bilik tidur, tiada katil atau tilam disediakan, sebaliknya ruang berisi pasir yang dibentuk menyerupai katil.

Bukan sekadar di dalam bilik, pasir yang banyak juga  kelihatan di pekarangan rumah, di mana bantal dibiarkan di atas pasir untuk membolehkan penghuninya berehat.

“Bukan sekadar tempat tidur, pekarangan rumah juga dipenuhi pasir untuk penduduk duduk, baring dan bersembang,” kata hantaran tersebut.

Sementara itu, portal berita Hops.id melaporkan, amalan tersebut dilakukan kerana penduduk kampung percaya pasir yang digunakan dapat membantu mengubati penyakit seperti gout, reumatik dan beberapa  penyakit lain.

Pasir digunakan juga berasal dari Pantai Lombang yang terletak tidak jauh dari kampung tersebut.

Tradisi yang menjadi amalan dari zaman nenek moyang itu menjadi kebanggaan penduduk setempat. – AGENSI  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan