Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
AHLI keluarga tiga remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Sempit, Kampung Tanjung Batu Segari berkumpul di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Manjung: Tiga sekawan dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Sempit, Kampung Tanjung Batu Segari, Pantai Remis, di sini, hari ini.
Difahamkan, dua daripada tiga remaja lelaki yang dilaporkan hilang itu dikenali sebagai, Darma, 14; Sarath ,16, manakala seorang lagi belum diketahui identiti berusia 16 tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 4.03 petang.
"Sebaik tiba didapati kejadian membabitkan tiga mangsa dipercayai lemas semasa sedang memancing dan mandi-manda di Sungai Sempit.
"Kedalaman air direkodkan pada 2.37 meter dengan keadaan air pasang ketika ini.
"Anggota bomba sedang giat melakukan misi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa terbabit menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.
"Setakat ini, belum ada mangsa berjaya ditemukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tinjauan mendapati, sungai itu terletak di dalam kawasan ladang sawit berjarak dua kilometer (km) dari jalan utama dan hanya boleh diakses menggunakan pacuan empat roda.
Difahamkan, liputan Government Integrated Radio Network (GIRN) di sini yang lemah menjadi cabaran dihadapi pasukan penyelamat dalam SAR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan